Monday, July 3, 2017

HENTIKAN SPEKULASI DAP AKAN DIHARAMKAN



KUCHING, 3 Julai (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin-pemimpin DAP agar menghentikan spekulasi kononnya parti pembangkang itu akan diharamkan oleh pihak Pendaftar Pertubuhan (ROS).

"Saya berharap DAP tidak akan membuat sebarang spekulasi mengenainya, apatah lagi ada yang beranggapan bahawa ada usaha daripada ROS untuk mengharamkan parti berkenaan," katanya pada sidang media ketika mengadakan kunjungan Gawai Dayak ke kediaman Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas di Taman BDC, Stampin sini hari ini.

Beliau berkata ROS ada menerima permohonan daripada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng supaya kepimpinan DAP mengikuti pemilihan parti yang terdahulu, diterima sebagai pemegang jawatan yang sah.






Perkara ini telah dikaji secara terperinci oleh ROS dan mereka bukan sahaja mengkaji daripada aspek-aspek perundangan tetapi ROS juga berperanan untuk menjaga kepentingan mana?mana pertubuhan yang berdaftar dengannya.

"Dalam hal ini saya telah berbincang dengan Ketua Pengarah ROS dan saya belum dapat penjelasan untuk memuktamadkan tentang keputusan rayuan yang dibuat DAP," katanya.

Sehubungan itu, Zahid berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Pengarah ROS minggu hadapan.

Mengenai kemungkinan DAP akan dibubarkan, Zahid berkata beliau tidak nampak ada usaha ke arah itu.

"Ia bergantung kepada aspek perundangan yang sedia ada dan aspek perlembagaan parti berkenaan.

"Pada hemat saya, apabila peraturan itu tidak dipatuhi oleh kepimpinan DAP yang perlembagaan parti itu dibuat oleh mereka sendiri, maka ROS boleh mengambil keputusan yang profesional mengikut apa yang dicatat di dalam perlembagaan parti berkenaan," katanya.

Sebelum ini, penasihat DAP Lim Kit Siang meminta anggota parti itu agar bersiap sedia menghadapi kemungkinan DAP diharamkan dan begitu juga penggunaan logonya pada pilihan raya umum akan datang.

Sementara itu, diminta mengulas tindakan kerajaan negeri Sarawak untuk menghantar pasukan petugasnya ke London untuk membuat penyelidikan mengenai Perjanjian Malaysia 1963, Zahid berkata adalah menjadi hak kerajaan Sarawak dan Sabah untuk melihat aspek-aspek perundangan dan persefahaman sosial yang membawa kepada termaktubnya Perjanjian Malaysia 1963.

"Kita di peringkat kerajaan persekutuan berfikiran terbuka dan lapang dada untuk menerima maklum balas yang akan diperolehi oleh kerajaan negeri Sarawak melalui usaha yang dilakukan," katanya.

Beliau berkata tidak ada isu yang tidak boleh dirungkai dan diselesaikan dan menambah bahawa kerajaan pusat bersedia untuk mengadakan perundingan dengan kerajaan negeri Sarawak apabila menerima maklumat hasil daripada dokumen dan penyelidikan oleh pasukan petugas berkenaan.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment