Thursday, July 20, 2017

ROS BERTINDAK BERASASKAN FAKTA

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Bernama) -- DAP perlu akur dengan arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) agar mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Kerja Pusatnya (CEC), kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata apa yang berlaku bukan kepada DAP sahaja kerana UMNO juga pernah diisytiharkan mahkamah sebagai pertubuhan yang tidak sah pada sekitar tahun 1980-an dahulu.


"Pada saya apa yang penting, semua urusan mesyuarat mana-mana pertubuhan atau persatuan mesti mengikut peraturan parti yang ditetapkan. Dalam isu DAP ini, bantahan dilakukan oleh anggota DAP sendiri dan RoS telah membuat keputusan yang wajar berdasarkan kepada bantahan tersebut," kepada pemberita semasa menghadiri majlis sambutan Aidilfitri 2017 anjuran Jabatan Penyiaran Malaysia, di Angkasapuri di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Abu Bakar Rahim dan Pengurus Besar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Zulkefli Salleh.

Salleh berkata RoS telah bertindak berasaskan fakta dan meminta DAP mengadakan sekali lagi pemilihan semula CEC baharu bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota CEC yang sah dan diiktiraf.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hari ini berkata DAP akan mengumumkan opsyennya mengenai isu pemilihan semula CEC itu selepas mengadakan perjumpaan dengan RoS, namun enggan mendedahkan butiran opsyen itu selagi belum bertemu RoS.

Pada 7 Julai lepas, Ketua Pengarah RoS Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata DAP perlu mengadakan sekali lagi pemilihan semula CEC baharu yang sah dan telus kerana langkah itu amat penting di sisi undang-undang memandangkan pelantikan bagi jawatan utama parti mempunyai peranan yang penting sebagai wakil parti yang mempunyai autoriti untuk menandatangani watikah pelantikan calon bagi mewakili parti dalam pilihan raya yang diiktiraf oleh Suruhanjaya Pilihan Raya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment