Friday, March 31, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN MAC 2017

posting "Mat Awang Tera dan Mat Dalam sudah berdamai?" yang disiarkan pada 29 Mac lalu mendapat rating tertinggi sebanyak 271 hits. 10 posting tertinggi adalah seperti berikut:-

1. Mat Awang Tera dan Mat Dalam sudah berdamai? (29 mac)
2. Siapa wakili DUN Kijal? (30 mac)
3. Ahmad Said mahu Umno Kemaman pilih sendiri calon PRU (19 mac)
4. Ku Li yakin nilai RM bertambah baik (25 mac)
5. Sebenarnya MY umtuk kesahihan berita (14 mac)
6. PKR akan tumbang di DUN Bandar? (29 mac)
7.Dua bekas pegawai kanan FELDA didakwa pecah amanah RM48 juta (1 mac)
8. Wanita yang sanggup beri gelang kepada Tunku meninggal dunia (24 mac)
9.Pencapaian Ariffin selesaikan kes tertunggak (12 mac)
10. Silat lonjak naik nama SMC Chukai (28 mac)

Thursday, March 30, 2017

SIAPA WAKILI DUN KIJAL?

KEMAMAN: Datuk Seri Ahmad Said telah menjadi ADUN Kijal sejak PRK 1990 lagi pada bulan Ogos. Inii bermakna sudah 22 tahun beliau mewakili rakyat Kijal (kecuali 1999-2004). Beliau dikatakan mahu berpindah ke kerusi parlimen Kemaman pula.

Beliau dikatakan mahu bekas Pengarah APMT, Cikgu Roshaili sebagai penggantinya, Cikgu Roslaili Taha adalah bekas Setiausaha Penyelaras DUN Kijal. Selain Cikgu Roslaili, beberapa nama turut disebut sebagai calon BN untuk DUN Kijal iaitu Kamarudin Ali, Haji Yahya Mohamad dan Haji Anuar Awang.

Kamarudin adalah ahli jawatankuasa Umno Bahagian Kemaman pernah bertanding Ketua Pemuda bahagian pada tahun 2008 tetapi kalah kepada Hisham Zubir. Beliau kini adalah pegawai Seranta EPIC yang dikatakan bertugas untuk menjaga politik MB di Kemaman.

Haji Yahya Mohamad juga adalah ahli jawatankuasa bahagian juga. Beliau adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Perniagaan Melayu Terengganu dan Bendahari Koperasi Pembangunan Kemaman Berhad yang dikatakan membayar dividen tertinggi 20 peratus kepada ahli koperasi.


Jika Haji Yahya dipilih sebagai calon, beliau boleh diterima oleh Ahmad Said kerana beliau bukan tokoh kontroversi seperti Kamarudin Ali yang tidak boleh diterima oleh penyokong Ahmad Said. Manakala ramai yang mahu melihat pengganti Ahmad Said terdiri daripada pegawai TCS juga kerana Ahmad Said adalah bekas pegawai TCS.

Setiausaha Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), Haji Anuar Awang disebut juga nama sebagai calon tetapi menantu bekas ADUN Kijal itu tidak berminat menjadi wakil rakyat. Malah nama Wan Hisham Wan Hamid pegawai khas ADUN Kijal turut disebut sebagai calon selain dari Cikgu Roshaili, Kamarudin Ali, Haji Yahya Mohamad dan Haji Anuar Awang.

Terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih siapa sebagai calon kerana kerusi DUN Kijal tetap jadi milik BN tak kira siapa calonnya.

Wednesday, March 29, 2017

MAT AWANG TERA DAN MAT DALAM AWANG SUDAH BERDAMAI?

KEMAMAN: Dua orang tokoh politik ini  mempunyai nama yang hampir sama iaitu Pegawai Pembangunan DUN Chukai, Datuk Mohamad Awang Tera dengan Pegawai Khas Menteri Besar, Mat Dalam Awang.

Mat Awang Tera (MAT) adalah bekas ADUN Chukai selama dua penggal dari tahun 2004 hingga 2013 manakala Mat Dalam Awang (MDA) adalah bekas Pengerusi Tetap Umno Bahagian Kemaman (2000-2004) yang menentang ketua bahagian, Datuk Seri Ahmad Said pada pemilihan bahagian pada tahun 2013.

MDA yang menggunakan slogan "menentang kemungkaran" kalah dalam pemilihan tersebut tetapi akhirnya Mat Said kehilangan jawatan Menteri Besar Terengganu setahun kemudian. Beliau digantikan oleh Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman yang kemudiannya melantik MDA sebagai pegawai khasnya.

MDA juga admin grup whatsapp Kemamang Kite (KK) yang dinaungi oleh bekas Naib Ketua Umno Bahagian Kemaman, Datuk Mohamed Rahim Husin (2000-2008). Bulan lepas KK mahu mengadakan program Fiesta Kemaman Kite di Padang Astaka. KK menjemput Menteri Besar untuk merasmikannya tetapi di saat saat akhir Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) membatalkan fiesta tersebut kerana kononnya ada orang politik Umno yang sabotaj program tersebut.

Nama MAT disebut sebut sebagai orang yang sabotaj program tersebut yang menyebabkan seluruh ahli grup whatsapp KK marah kepada beliau. Tiga malam lepas MB telah memanggil MAT dan MDA berdamai di Hotel Primula sempena sidang Dewan Undangan Negeri yang berlangsung selama tiga hari. Gencatan senjata di antara mereka berdua sudah pasti petanda baik untuk merampas kerusi DUN Chukai.

Jika mereka bersatu tanpa memikirkan siapa jadi calon DUN Chukai sudah pasti BN dapat tawan semula DUN Chukai. Walaupun MAT sudah dua penggal menjadi ADUN Chukai tetapi penyokongnya masih mahu beliau bertanding semula pada PRU akan datang kerana MAT tak pernah kalah. Penyokong MAT mendakwa MAT layak jadi Menteri Besar jika Razif bertanding kerusi parlimen.

. Sebaliknya Mat Said mendakwa MAT sabotaj calon pilihan Mat Said, Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid yang kalah teruk pada PRU13. Mat Said kata dia ada bukti MAT naik kereta orang PAS pada hari mengundi. 

Mat Said juga membangkitkan isu peruntukan Penyelaras Wanita DUN Chukai yang diketuai oleh isteri MAT yang tidak sampai ke cawangan wanita. Tetapi selepas PRU ketua wanita cawangan dalam DUN Chukai pergi makan angin ke luar negara.

Adakah MAT akan dipilih semula sebagai calon DUN Chukai? Dengan usia 60 lebih mampukah beliau jadi wakil rakyat lagi? Nama MDA turut disebut sebut sebagai calon. Melalui KK pelbagai program diadakan dalam DUN Chukai yang menonjolkan sama ada Dato Rahim atau MDA sebagai calon.

Dato Rahim bukan orang asing bagi pengundi Kijal. Beliau adalah bekas Naib Ketua Umno Bahagian yang mengalahkan Haji Shahbudin Mydin pada pemilihan tahun 2000. Pada pemilihan tahun 2008 beliau kalah kepada Wan Ahmad Nizam Wan Hamid kerana dikatakan ada penipuan kertas undi.

Di samping itu dua orang lagi yang disebut sebut sebagai calon Chukai ialah Dr Zulkifli Awang dan pengacara tv terkenal, Hamdan Ahmu. Untuk analisis siapa calon DUN Kijal, kita tunggu hari esok.

PKR AKAN TUMBANG DI DUN BANDAR?

KUALA TERENGGANU, 29 Mac (Bernama) -- PKR Terengganu akan terus kekal sebagai pembangkang dan meneruskan kerja-kerja politik bersendirian jika Pas mengambil keputusan menghentikan kerjasama politik kedua-dua parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 14 kelak.

Pengerusi PKR Terengganu merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bandar, Azan Ismail berkata gerak kerja dan motif PKR Terengganu sekali-kali tidak akan berubah dalam usaha menumbangkan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) di negeri ini.

"Saya (PKR) akan terus kekal sebagai pembangkang. Apa sahaja yang berlaku akan berbalik kepada pengundi dan saya percaya para pengundi di negeri ini matang dalam membuat keputusan untuk memilih parti mana yang menjadi pilihan mereka kelak," katanya ketika ditemui Bernama di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun), di sini semalam.


Azan diminta mengulas laporan media semalam mengenai keputusan empat kawasan PAS Terengganu yang sebulat suara mahu membawa usul menghentikan kerjasama politik dengan PKR pada Muktamar PAS di Kota Sarang Semut, Kedah pada 28 April depan.

Empat kawasan itu ialah Dungun, Marang, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Mengulas mengenai jumlah kerusi yang bakal ditandingi PKR pada PRU ke 14, beliau berkata perkara itu belum dibincangkan, namun yang pasti katanya pembangkang mempunyai strategi yang kukuh dalam memastikan BN tidak lagi memerintah negeri itu kelak.

"Meskipun Pas mahu bertanding di semua 32 kerusi sekalipun, itu adalah keputusan dia dan kita (PKR) tak boleh ikut keputusan sebegitu dan bermakna akan ada pertandingan tiga penjuru nanti.

"Namun kita (pembangkang) mempunyai garis panduan yang kukuh untuk menentang BN dan saya sendiri akan tetap bertanding melawan BN dalam PRU akan datang," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, March 28, 2017

UMILE RANCANG BINA PROJEK INTEGRASI LADANG SOLAR TERAPUNG PERTAMA NEGARA

KOTA BHARU, 28 Mac (Bernama) -- UMILE PLT (UMILE), sebuah syarikat bumiputera, merancang untuk membangunkan projek Integrasi Ladang Solar Terapung di Tasik Danau Tok Uban, Pasir Mas, melibatkan kos sebanyak RM400 juta.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMILE, Datuk Dr Nazily Mohd Noor berkata projek tersebut dengan kapasiti tenaga 49 Mega Watt (MW) adalah yang pertama di negara ini.

Sehubungan itu, beliau berkata pihaknya akan melakukan kajian kesesuaian tasik tersebut untuk dibangunkan dengan projek berkenaan.

Kajian tersebut yang akan mengambil masa antara lapan dan 12 bulan, melibatkan kerjasama dengan sebuah syarikat dari Taiwan iaitu Tien Ching Energy Group.

"Mulai bulan depan, kita akan menjalankan kajian feasibiliti iaitu merupakan kajian kesesuaian tapak dan kos, kajian daya maju, kajian bancian kuasa, kajian alam sekitar dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas majlis menandatangani memorandum perjanjian (MOA) antara UMILE dan Tien Ching Energy Group, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, UMILE diwakili Nazily manakala Tien Ching Energy Group diwakili pengerusinya Chih Chung Yeh (HE).

Nazily berkata hasil kajian tersebut akan diserahkan kepada kerajaan Kelantan untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata selain tenaga solar, pihaknya juga merancang untuk melaksanakan projek ternakan ikan dalam sangkar di kawasan berkenaan.

"Projek Integrasi Ladang Solar Terapung dirancang membabitkan hanya 80 hektar daripada 640 hektar keluasan tasik tersebut," katanya dengan menambah pembinaan dijangka siap dalam tempoh 18 bulan.

-- BERNAMA

Monday, March 27, 2017

ISTERI RAHSIAKAN SUAMI DICULIK DARIPADA ANAK

KUALA LUMPUR, 27 Mac (Bernama) -- Isteri Tayudin Anjut, nelayan Malaysia yang diculik militan Abu Sayyaf, menceritakan bagaimana beliau sedaya upaya cuba menyembunyikan ke

Rustia Sultan, 47, berkata ini kerana beliau tidak mahu mengganggu emosi anak-anaknya terutama Nurerin Farisha, 13, yang menduduki hari pertama peperiksaan percubaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehari selepas kejadian culik itu berlaku.

Beliau juga cuba menyembunyikan apa yang berlaku daripada anak bongsunya Mohd Fahirin, 5, dengan menjawab ayah mereka keluar menangkap ikan dan masih belum pulang setiap kali ditanya.

"Selalunya, ayahnya akan balik selepas kira-kira seminggu keluar menangkap ikan, tetapi setelah beberapa lama dia masih belum pulang, anak-anak mula kerap bertanya di mana ayah, dan apa yang berlaku.

"Bagaimanapun, saya masih belum beritahu mereka apa yang berlaku, hanya cakap ayah mereka keluar tangkap ikan, nanti dia baliklah," katanya ketika menceritakan keperitan yang terpaksa dilalui setelah Tayudin dan empat rakannya yang merupakan kru kapal tunda Serudong Tiga diculik kumpulan Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah, pada 18 Julai tahun lalu.

Katanya khabar tentang penculikan berkenaan sampai juga kepada anak-anaknya kira-kira sebulan kemudian setelah guru di sekolah meminta semua pelajar membuat solat hajat memohon keselamatan kesemua mangsa culik berkenaan.

"Selepas solat hajat itu, Fahirin balik dan tanya saya betulkah ayahnya diculik sebab guru tadikanya bagitahu ayah Fahirin antara yang diculik. Selepas itu baharulah saya menceritakan apa yang berlaku," katanya.

Rustia berkata sepanjang tempoh tersebut, suaminya beberapa kali menghubungi beliau menerusi telefon.

Namun, setiap kali itu juga beliau amat gusar kerana setiap kali dihubungi suami melalui telefon, anggota kumpulan berkenaan akan turut mengugut untuk memenggal kepala suaminya dan tahanan lain.

"Alhamdulillah, saya syukur kerana usaha kerajaan yang membantu selamatkan dan bawa mereka balik," katanya kepada pemberita di kediaman perdana menteri di Jalan Duta, di sini.

Tayudin, 45, dan seorang lagi rakannya, Abdul Rahim Summas, 63, diselamatkan pasukan keselamatan Filipina di selatan republik itu pada Khamis lepas, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di Sepang malam tadi.

Kedua-dua mangsa culik itu bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor, di Jalan Duta, di sini untuk sendiri menyatakan penghargaan terhadap usaha kerajaan membantu menyelamatkan mereka dan tiga lagi rakannya yang dibebaskan malam tadi.

Pada pertemuan itu, Tayudin dan Abdul Rahim menceritakan apa yang terpaksa ditempuhi sepanjang lapan bulan mereka ditahan kumpulan berkenaan, azab dilayan seperti hamba abdi dengan dipaksa memasak untuk anggota kumpulan berkenaan dan hanya diberi sisa-sisa makanan, selain sering kali diugut untuk dipancung kepala.

Abdul Rahim disambut oleh anak keduanya Rasniyati, 40, dan beberapa anggota keluarga lain.

Kedua-dua mangsa culik itu kini menghadapi pelbagai masalah kesihatan antaranya tidak dapat berjalan dengan baik kerana mereka sering dipaksa berjalan dari satu tempat ke tempat yang lain pada waktu malam di dalam hutan serta mengalami masalah penglihatan berikutan mata mereka sering ditutup.

Kedua-dua mangsa juga mengalami masalah pundi kencing tidak berfungsi akibat terpaksa meminum air masin.

Kedua-dua nelayan itu akan dirawat pakar di Hospital Selayang sebelum dibenarkan pulang ke Sabah di bawah penyeliaan Kelab Putera 1Malaysia.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Datuk Wan Abd Bari Wan Abd Khalid, berkata pihak berkuasa Malaysia sedang dalam tindakan untuk membawa pulang tiga lagi rakan Tayudin dan Abdul Rahim yang diselamatkan oleh pasukan keselamatan Filipina dalam operasi di kawasan umum Poblacion Punay, Panglima Estino, di Sulu.

Ketiga-tiga mangsa itu Jumadil Rahim, 24, Mohd Ridzuan Ismail, 33, dan Fandy Bakran, 27.

-- BERNAMA
jadian itu daripada pengetahuan kedua-dua anak mereka.

Sunday, March 26, 2017

SILAT LONJAK NAIK NAMA SMK CHUKAI




KEMAMAN 25 Mac – Dengan tagline Sekolahku Gemilang, Dalam Kelas Tersendiri’, warga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai didorong ke arah meme­nuhi misinya dalam memba­ngunkan potensi individu se­iring dengan aspirasi negara.


Sekolah yang ditubuhkan pada tahun 1964 dan diangkat sebagai Sekolah Premier pada tahun 2005 sebelum diberi penarafan Sekolah Kluster Kecemerlangan pada tahun 2013 terus berusaha menterjemahkan misi itu dan rentetan pencapaiannya menjadi bukti.

Pengetuanya, Roeaidah Mat Yusuff memberitahu, selain kece­merlangan dalam akademik, se­ko­lah ini mengungguli dalam be­­­berapa bidang kokurikulum dengan rentetan kejayaan di pe­ringkat daerah, negeri, negara dan antarabangsa.


“Kebitaraan kita dalam lapangan silat dan matematik yang menjadi teras namun fokus turut diberikan kepada kegiatan la­in dengan memberi ruang seluasnya untuk lebih ramai pelajar menyum­bang sesuatu untuk diri, sekolah, negeri dan negara,” ujarnya.

Beliau antara lain turut merujuk kepada pencapaian naib johan dalam program All About Youth All Star Petronas peringkat kebangsaan tahun lalu melalui projek inovasi kotak simpanan antibanjir.

Tirai siri kejayaan SMK Chukai bagi tahun ini bermula dengan pencapaian tertinggi dalam silat bermula Januari lalu melalui penyertaan dalam Karnival Tempur Bela Diri Antarabangsa 2017 yang berlangsung di Besut.

Sebelum itu, dalam bulan yang sama, pe­lajarnya, Mohamad Sha­­fiq Akran Shafee di bawah bimbingan Fe­bing Ayu Marjohan dan Marhaini Mohamad berjaya memperoleh pingat Gangsa dalam World Mathe­matics Olym­piad (WMO) yang pertama kali diadakan di Malaysia.

Dalam kejohanan silat terbaharu itu, mereka membawa pulang pulang 4 Emas, 5 Perak dan 5 Gangsa manakala Muhammad Shahmiel Ashraf muncul sebagai pesilat terbaik.

“Pesilat dibimbing oleh jurulatih Ahmad Nesfu Jusoh yang juga guru sekolah ini, dan beliau merupakan pemenang pingat emas Sukan Malaysia (Sukma) dan mempunyai sijil wasit juri tahap 2 kebangsaan.

“Kemahiran beliau dibantu oleh guru-guru-guru penasihat silat telah membantu pasukan silat sekolah mencapai kejayaan sehingga peringkat kebangsaan dan antarabangsa secara konsisten sejak ditubuhkan.

“Semoga kejayaan yang menjadi penanda aras baharu ini menjadi titik tolak untuk sekolah kita lebih cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa da­lam pelbagai bidang. Ini mampu di­corakkan melalui komitmen tinggi warga pendidik,” ujar Roeaidah.

Menyentuh mengenai silat, me­­nurut Roeaidah, program ‘Ge­rak Pendekar’ dirangka bagi memastikan kesinambungan kejayaan sehingga mendapat penghargaan sebagai etos sekolah da­lam bidang sukan dan badan beruniform ko-kurikulum.

“Seiring dengan kebitaraan si­lat, peruntukkan sebanyak RM40,000 akan digunakan untuk pelaksa­naan program kebitaraan silat dan aktiviti yang eksklusif dan sistematik kepada semua warga SMK Chukai,” ujarnya.

Sementara itu Muhammad Shahmiel Ashraf, 17, ketika ditemui berkata, walaupun sibuk de­ngan latihan silat dengan impian meraih lebih banyak kemena­ngan di peringkat antarabangsa sebagai wakil negara, dia tetap fokus kepada pelajaran.

Bercita cita menjadi seorang pegawai polis, Muhammad Shahmiel yang mulai menyertai ke­giatan silat ketika di tingkatan tingkatan satu berbangga dapat menaikkan nama sekolah.

“Saya mengucapkan terima ka­sih kepada guru-guru yang memberi tunjuk ajar dalam semua bidang yang diceburi dan berharap lebih ramai rakan rakan menyertai persatu silat kerana dapat membentuk disiplin dan sentiasa dipandang tinggi oleh masyarakat,” ujarnya.

(dipetik dari Utusan malaysia)

Saturday, March 25, 2017

KU LI YAKIN NILAI RINGGIT AKAN BERTAMBAH BAIK

GUA MUSANG, 25 Mac (Bernama) -- Bekas Menteri Kewangan Tengku Razaleigh Hamzah yakin kerajaan pusat di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mampu untuk mengurus kewangan negara dengan baik.


Beliau berkata negara mempunyai banyak aset bagi menampung sebarang hutang negara sedia ada dan dakwaan pemimpin pembangkang bahawa Malaysia berdepan muflis adalah tidak benar.

"Kalau nak ikutkan, hutang menjadi perkara biasa bagi sesebuah negara dan Amerika Syarikat juga lebih banyak hutang daripada negara kita.

"Masalah tekanan ekonomi itu berlaku di semua negara maju, tetapi (masing-masing) ada pelan pemulihannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Transformasi Pendidikan Sekolah Kebangsaan Jerek di sini, Sabtu.

Tengku Razaleigh yang juga Anggota Parlimen Gua Musang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pembangkang bahawa kerajaan kini berdepan muflis akibat tekanan ekonomi global.

Menurutnya sesebuah negara seperti Malaysia tidak mudah untuk berdepan dengan krisis seperti yang didakwa oleh pembangkang kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) bertanggungjawab memastikan ia tidak akan berlaku.

Tengku Razaleigh berkata walaupun tekanan ekonomi global turut dirasai di Malaysia ketika ini namun negara berada di landasan tepat untuk memulihkannya.

"Kita yakin ekonomi akan pulih semula dalam masa terdekat ini dan begitu juga dengan nilai ringgit akan bertambah baik serta stabil," katanya.

Friday, March 24, 2017

WANITA YANG SANGGUP BERI GELANG KEPADA TUNKU MENINGGAL DUNIA



KUALA LUMPUR 24 Mac – Nama Datuk Siti Rahmah Kassim yang dilahirkan pada 30 November 1926 di Kampung Batu Hampar, Rembau, Negeri Sembilan mungkin tidak mesra pada halwa teli­nga anak-anak muda hari ini.



Siti Rahmah


Namun, mereka yang membesar ketika negara dalam proses mencapai kemerdekaan negara dan pada fasa awal pembebasan daripada penjajahan pasti meng­anggap beliau sebagai seorang tokoh yang hebat.

Siti Rahmah digambarkan sebagai seorang srikandi negara yang sanggup berkorban apa sahaja termasuk harta dan wang demi memastikan anak bangsa­nya tidak terus dijajah.


Biarpun tidak berperang dan mengangkat senjata, Siti Rahmah layak diberi penghormatan sebagai seorang wira kerana sumbangannya yang cukup besar dalam usaha menentang gagasan Malayan Union serta menuntut kemerdekaan.

Perjuangannya dalam gerakan menuntut kemerdekaan bermula sejak 1945 melalui pembabitannya dalam Persatuan Melayu Negeri Sembilan dan UMNO.

Tiada siapa yang dapat melupakan bagaimana Siti Rahmah sanggup memberi gelang emas hadiah perkahwinannya kepada Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj bagi menampung perbelanjaan yang diperlukan delegasi menuntut kemerdekaan untuk berunding dengan kerajaan Bri­tish di London, United Kingdom (UK).

Bukan itu sahaja, Siti Rahmah yang semangat nasionalismenya terkesan daripada pengaruh seorang guru dari Indonesia, turut menggesa orang ramai baik lelaki atau wanita supaya turut memberi sumbangan kepada Tunku Abdul Rahman.

Sumbangan Siti Rahmah itu amat besar nilainya dalam membantu negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, Siti Rahmah merupakan wanita pertama dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri Sembilan bagi mewakili kawasan Te­rentang dan beliau yang bertan­ding atas tiket Perikatan berjaya mempertahankan kerusi tersebut mulai 1959 hingga 1969.

Sepanjang perjuangannya, Siti Rahmah banyak mendapat pengiktirafan termasuk Tokoh Wanita UMNO Malaysia, Tokoh Ibu Mithali Peringkat Negeri Sembilan, Tokoh Wanita Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tokoh Jubli Emas Perkim, Anugerah Pengkisahan Sejarah ‘Wira Tak Dicanang’ dan Srikandi Negara selain darjah kebesaran seperti Ahli Mangku Negara dan Johan Setia Mahkota.

Seluruh negara turut bersedih apabila mengetahui Siti Rahmah yang hampir mencecah usia 91 tahun pulang ke rahmatullah hari ini dan Allahyarham yang difahamkan meninggal dunia kerana sakit tua menghembuskan nafas terakhir di sisi anaknya di Kelana Jaya, Selangor.

Sudah tentu pemergian Allah­yarham merupakan kehilang­an besar kepada negara, namun perjuangan serta pengorbanannya dalam membantu negara menuntut kemerdekaan pasti dikenang sampai bila-bila. Al-Fatihah.

Thursday, March 23, 2017

ABANG BOMBA JADI PENYANYI ISI MASA LAPANG

KUALA TERENGGANU, 23 Mac (Bernama) -- Walaupun sering dihambat waktu kerana bekerja sebagai anggota Bomba dan Penyelamat, namun ia tidak menghalang Nursyafiq Farhain A.M Salim, 23, menjadikan bidang nyanyian sebagai kerjaya sampingan.

Nursyafiq Farhain yang juga anak kepada vokalis utama kumpulan Iklim, iaitu Salim Iklim berkata beliau mula serius dalam bidang nyanyian sejak 2013 dan kini mempunyai kumpulan muzik sendiri yang juga terdiri daripada anggota bomba dan dikenali sebagai Fire Fingers JDT.

Beliau yang bertugas di Balai Bomba dan Penyelamat Tebrau, Johor, bagaimanapun berkata ia hanya aktiviti bagi mengisi masa lapang dan masih mencintai kerjayanya sebagai anggota bomba

Monday, March 20, 2017

LIMA BERMULA HARI INI DI LANGKAWI

KUALA LUMPUR, 20 Mac (Bernama) -- Lebih 550 pempamer aeroangkasa dan maritim dari 36 negara menyertai Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2017 yang bermula esok.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata LIMA'17 menjanjikan penglibatan lebih bermakna sektor maritim dan penerbangan menerusi pembabitan secara langsung sektor komersial yang lebih besar.

Kementerian Pengangkutan akan membawa 31 jabatan, agensi dan pemain industri ke LIMA'17 bagi menyediakan gambaran menyeluruh akan industri pengangkutan di negara ini serta peranan kementerian sebagai pemudah cara industri, katanya dalam kenyataan semalam.

Sunday, March 19, 2017

AHMAD SAID MAHU UMNO KEMAMAN PILIH SENDIRI CALON

KEMAMAN, 19 Mac (Bernama) -- Selepas tiga tahun, bekas menteri besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akhirnya kembali untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan berkelompok UMNO Bahagian Kemaman di sini, malam tadi.

Ahmad, selaku Ketua UMNO Bahagian Kemaman, sebelum ini hanya mewakilkan kepada timbalannya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, untuk merasmikan mesyuarat bahagian itu.

Ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian itu, beliau melahirkan kesyukuran kerana masih mendapat sokongan kuat daripada perwakilan berkelompok yang masih mahu beliau menerajui bahagian itu.

Beliau turut menegaskan akan terus bekerja keras memastikan kemenangan UMNO di negeri itu khususnya di Parlimen Kemaman pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

"Ketika berucap tadi, saya tanya ahli UMNO Kemaman, mahu saya masih berada dalam UMNO atau di pihak pembangkang, ternyata mereka masih mahu saya memimpin UMNO Bahagian Kemaman.

"Inilah amanah dan suara perwakilan untuk kita memastikan UMNO tidak kalah lagi pada pilihan raya akan datang," katanya yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal.

Ditanya mengenai pujian Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai dirinya yang terus menyokong kepimpinan UMNO Terengganu yang kini dipengerusikan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman meskipun terdapat perselisihan faham sebelum ini, beliau berkata:

"Prinsip saya mudah sahaja, jika orang berlembut dengan saya, saya akan lebih baik dengan mereka dan begitulah sebaliknya," katanya.

Mengulas mengenai senarai calon PRU14, Ahmad berkata beliau mahu UMNO Bahagian Kemaman memilih sendiri calon sesuai untuk memastikan kemenangan parti itu.

"Kami akan berbincang dahulu, bila sudah ada senarai saya akan usahakan untuk menyerahkannya sendiri kepada Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak)," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, March 18, 2017

PERBEZAAN BUKAN ALASAN UNTUK TIDAK BERSATU

PUTRAJAYA, 18 Mac (Bernama) -- Perbezaan yang wujud dalam kalangan masyarakat negara ini bukan alasan untuk rakyat tidak bersatu padu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Justeru, katanya masyarakat perlu menyingkirkan sebarang rasa negatif yang wujud daripada perbezaan itu demi keharmonian negara.

"Kita mungkin berbeza pendapat tetapi kita mesti bersatu untuk memastikan kestabilan negara.

"Apapun perbezaan kita sama ada fahaman politik, agama dan kaum... tetapi ini adalah negara kita Malaysia dan kita mestilah bersatu dalam memastikan kesatuan bangsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis pelancaran program Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya di sini, semalam.


Program yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak turut dihadiri isterinya Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta menteri-menteri Kabinet.

Kira-kira 10,000 pengunjung membanjiri Dataran Putrajaya, di sini seawal 7 pagi untuk menyertai pelbagai aktiviti yang dirangka bagi menyemarakkan semangat patriotik dalam kalangan masyarakat.

Antara aktiviti yang diadakan adalah Larian Bendera Negaraku, senamrobik dan Konsert Ekspresi Negaraku.

Menurut Salleh, seluruh rakyat Malaysia bertanggungjawab untuk menjaga dan mempertahankan negara.

"Saya juga ingin tegaskan semua ini harus dipacu bersama-sama. Kejayaan kita sekarang adalah milik 31 juta rakyat negara ini," katanya.

Salleh turut menyeru rakyat negara ini agar menjadi rakyat yang aktif bagi memacu kejayaan negara ke peringkat yang lebih tinggi.

"Kita tidak harus menjadi 'penumpang' dalam negara, sebaliknya menjadi peserta yang aktif dalam menentukan hala tuju negara," katanya.

Mengenai pemilihan lokasi program, Salleh berkata Putrajaya dipilih sebagai penghargaan kepada penjawat awam yang selama ini memainkan peranan penting menjayakan aspirasi kerajaan.

Beliau tidak menolak kemungkinan bahawa program tersebut akan diteruskan ke negeri-negeri lain bagi membolehkan rakyat Malaysia meluahkan rasa cintakan negara terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata pelancaran Ekspresi Negaraku akan menguatkan lagi semangat penjawat awam untuk menyampaikan janji-janji kerajaan kepada rakyat.

"Penjawat awam sentiasa berkhidmat untuk negara. Semangat patriotik dan jati diri adalah amat tinggi dalam kalangan penjawat awam," katanya.

-- BERNAMA

PAKATAN HARAPAN DICABAR DAFTAR SECARA SAH

KEPALA BATAS, 18 Mac (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) dicabar agar mendaftar secara sah sebagai sebuah pertubuhan dan melantik pengerusi supaya rakyat dapat melihat dengan jelas hala tuju mereka.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata rakyat mahu melihat sebuah pertubuhan yang mampu menawarkan sesuatu yang terbaik untuk mereka dan bukan sekadar menabur janji palsu.

"Kalau Barisan Nasional (BN), kita ada perdana menteri (sebagai pengerusi), BN adalah sebuah pertubuhan yang tulen dan tidak hipokrit," katanya selepas menyampaikan Sijil Kelayakan Subsidi dan Inden Kerja Rumah Mesra Rakyat 1Malaysia (RMR1M) kepada 28 penerima bagi Parlimen Kepala Batas di sini, hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Luar dan anggota Parlimen Kepala Batas berkata kerajaan BN juga tidak berpecah belah seperti PH dan sentiasa mempunyai kerjasama yang erat di antara parti-parti komponennya sejak sekian lama.

Sementara itu, mengenai RMR1M, beliau berkata bagi Pulau Pinang sebanyak 908 permohonan diterima sejak program itu diperkenalkan pada 2002 dan daripada jumlah itu 426 permohonan diluluskan dengan 293 unit rumah siap dibina.

-- BERNAMA

Friday, March 17, 2017

WARGA MALAYSIA DIJEMPUT KE MAJLIS EKSPRESI NEGARAKU



PUTRAJAYA 17 Mac – Warga Malaysia dijemput untuk meluahkan semangat cintakan negara melalui ‘Ekspresi Negaraku’ - acara yang padat dengan aktiviti menarik dan interaktif untuk seisi keluarga - di Dataran Putrajaya hari ini.



SALLEH SAID KERUAK


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, Ekspresi Negaraku merupakan platform pertama untuk menggerakkan inisiatif Negaraku yang bertunjangkan semangat cintakan Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Inisiatif yang akan dilaksanakan di seluruh negara itu bertujuan menye­marakkan semangat cintakan negara dalam diri rakyat.


“Ekspresi Negaraku diinspirasikan oleh kejayaan dan kemajuan yang kita telah kecapi sebagai sebuah negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Acara itu akan diadakan dari pukul 7 pagi hingga 11 malam bertempat di Dataran Putrajaya, berhadapan Istana Kehakiman, Presint 3.

Ia akan dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka melibatkan lebih 10,000 orang peserta.

Pengunjung berpeluang menyertai pelbagai aktiviti seperti Larian Bendera Negaraku dan Senamrobik Negaraku.

Di kawasan itu akan disediakan ‘Zon Kebanggaan dan Kecintaan’ yang akan memaparkan cerita individu-individu yang telah menyumbang kepada negara melalui Kisah-Kisah Kejayaan Negaraku untuk menjadi inspirasi kepada para pengunjung, kata Salleh.

Zon Aspirasi pula menyediakan peluang kepada rakyat Malaysia untuk berkongsi harapan dan aspirasi mereka untuk masa hadapan negara. – BERNAMA

Thursday, March 16, 2017

PENCIPTA LOGO BANGGA BERNAMA TERUS MAJU

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kemajuan yang dicapai agensi berita Bernama, yang akan menyambut ulang tahun ke-50 pada Mei ini sentiasa mendapat tempat istimewa di hati Shahnan Abdullah.

Setiap kali beliau melewati Jalan Tun Razak dan ternampak huruf 'B' logo Bernama pada bumbung Wisma Bernama, terdetik rasa bangga dengan agensi berita ini yang telah berkembang maju di peringkat nasional dan antarabangsa.


Bagi Shahnan, nilai sentimetal terhadap Bernama tidak dapat dipisahkan kerana logo 'B' dan di bawahnya perkataan BERNAMA, yang beliau cipta 42 tahun dulu masih menjadi identiti jenama agensi berita ini hingga ke hari ini.

Menceritakan bagaimana beliau mereka-cipta logo itu, bekas pereka grafik di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu berkata beliau tidak sama sekali menyangka idea spontan melipat pita teleprinter berbentuk seakan-akan huruf B untuk pertandingan ciptaan logo Bernama, telah terpilih sebagai pemenang.

Shahnan, yang bakal menginjak usia 80 tahun pada 17 April ini, berkata beliau dimaklumkan mengenai pertandingan itu ketika berbual dengan rakan-rakannya dan kebetulan pula Bernama pada ketika itu menggunakan teleprinter untuk menghantar berita.

Kata-kata rakannya itu memberi ilham kepada beliau, lantas beliau meminta jurutaip menaipkan perkataan 'Bernama' sebanyak tiga kali menggunakan pita teleprinter.

"Kebetulan di pejabat DBP pada masa itu, ada mesin teleprinter. Jadi saya minta kerani taipkan perkataan 'Bernama Bernama Bernama' untuk saya gunakan bagi mencipta logo," katanya dalam temu bual dengan Bernama di kediamannya di Petaling Jaya di sini.

Pita teleprinter berwarna putih itu kemudian dilipat membentuk huruf B, dan dilekatkan di atas sekeping kertas berwarna hitam sebelum dihantar segera ke Bernama seminggu sebelum tarikh tutup iaitu pada 30 April 1975.

Logo baharu itu kemudian menjadi sejarah menggantikan logo lama iaitu perkataan 'Bernama' berwarna jingga, yang digunakan agensi berita itu sejak awal operasinya.

Shahnan meraih hadiah RM1,000 sebagai pemenang pertama dalam pertandingan mencipta logo Bernama itu yang menarik 264 penyertaan.

Beliau berkata logo yang digunakan sekarang telah beliau ubah suai mengikut kehendak Pengurus Besar BERNAMA ketika itu Allahyarham Tan Sri Dol Ramli, termasuk menggunakan warna biru sebagai warna latar bagi melahirkan semangat bersatu-padu dalam agensi berita ini.

"Pihak Bernama meminta saya melakukan lakaran akhir dengan memasukkan perkataan BERNAMA di bawah logo berbentuk 'B' dan Pengurus Besar Bernama pada ketika itu, Dol Ramli (kemudian Tan Sri) menyarankan warna biru dipilih sebagai warna latar menggantikan warna hitam. Saya pun setuju sebab nampak warna itu lembut, sesuai," katanya.

"Saya terharu kerana walaupun dengan kepesatan teknologi dan macam-macam perubahan yang dilalui Bernama serta warga yang telah silih berganti, namun logo yang digunakan tetap tidak berubah," katanya.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab telah mengambil inisiatif menjadikan ruang menunggu di tingkat satu Wisma Bernama sebagai galeri pameran-peralatan lama yang digunakan wartawan, seiring peredaran zaman seperti mesin teleprinter, mesin taip, alat perakam suara dan telefon.

Mengakui yang Bernama sentiasa dekat di hatinya, Shahnan berkata beliau sering mengikuti perkembangan agensi berita ini yang begitu beliau hormati sebagai penyalur berita utama negara.

"Saya harap Bernama akan terus kekal menjadi sebuah agensi berita yang penting dan dipercayai di peringkat tempatan dan antarabangsa," katanya.

Wednesday, March 15, 2017

PPBM TAK SOKONG RUU355 KERANA NAK JAGA HATI DAP

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) masih belum memberi kata putus sokongan terhadap usul Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) kerana dipercayai ingin menjaga hubungan dalam pakatan pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata kegagalan Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan pendirian parti itu mungkin kerana dibayangi oleh keputusan pembangkang yang dikuasai oleh DAP, yang secara terang-terangan menolak RUU itu.

"Itu satu permuafakatan dalam saf pembangkang, walaupun secara individu ramai yang menyokong tapi mereka terpaksa mengikut apa yang ditentukan oleh pakatan mereka.

"Sebab itu kita dengar pemimpin PAS yang hampir separuh hayat mereka berjuang tentang perkara ini, bila bertukar parti, tidak lagi berada dalam PAS, kita tengok nada mereka pun sudah berubah walaupun menyentuh soal agama," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Annuar turut menyifatkan tindakan Penasihat DAP Lim Kit Siang yang secara semberono menentang usul pindaan RUU355 itu sebagai tidak menghormati Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyentuh mengenai kedudukan Islam sebagai agama rasmi.

Menurut Annuar perkara yang menyentuh mengenai agama Islam perlu dibincangkan secara tertib oleh mana-mana kaum sebagai menghormati kedudukan agama itu.

Sementara itu, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (BN-Santubong) ketika mengulas perkara itu berkata perbuatan "pusingan U politik" dalam kalangan pembangkang sudah menjadi satu kebiasaan.

Malah, katanya sehingga hari ini pandangan pembangkang berkaitan usul RUU355 masih tidak sehaluan, berbanding Barisan Nasional yang mempunyai pendirian tetap.

"Satu hari kita dengar pandangan ini, esok pula berubah. Sukar untuk menilai pendirian mereka," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhyiddin berkata, PPBM belum dapat membuat keputusan berhubung RUU355 selagi ia tidak dibentangkan di Parlimen.

Muhyiddin dilaporkan berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini bahawa bekas timbalan perdana menteri itu menyokong cadangan pindaan RUU355. -- BERNAMA

Tuesday, March 14, 2017

SEBENARNYA.MY UNTUK SEMAK KESAHIHAN BERITA

CYBERJAYA, 14 Mac (Bernama) -- Portal SEBENARNYA.MY dilancarkan hari ini bagi membolehkan orang ramai menyemak kesahihan berita yang menular di laman sosial.


Dirasmikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, portal yang dibangunkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) itu merupakan antara usaha kerajaan untuk mengekang penyebaran berita palsu bagi memastikan masyarakat menerima berita yang benar-benar sahih.

Berucap pada majlis pelancaran portal itu, Salleh berkata maklumat yang berkaitan akan dikumpul, dianalisa, disahkan dan dimuat naik dalam portal itu untuk rujukan rakyat tanpa mengira latar belakang politik.

Katanya, MCMC sehingga kini telah mengenal pasti hampir 1,000 berita palsu yang mempunyai kepentingan awam menular di dalam negara.

"Berita palsu, bukan sahaja mengelirukan, malah boleh mengancam keselamatan, kemakmuran dan kesejahteraan rakyat dan negara.

"Perkara ini bukan hanya berlaku di Malaysia, tetapi berlaku di Amerika Syarikat, Indonesia dan negara-negara Eropah," katanya.

-- BERNAMA

Monday, March 13, 2017

SENARAI CALON DI TERENGGANU BERJANGKIT KE KEDAH PULAK



ALOR SETAR 13 Mac - Pejabat Menteri Besar menafikan mengeluarkan sebarang senarai calon Barisan Nasional (BN) untuk pilihan raya umum (PRU) akan datang.



Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin


Setiausaha Politik Menteri Besar, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, perkara itu dipercayai dilakukan oleh pihak tertentu yang tidak matang kerana sekadar mahu mencipta sensasi dan mewujudkan kekalutan dalam suasana politik negeri.

"Saya juga tidak menolak kemungkinan bahawa penyebaran senarai ini ada penglibatan parti pembangkang yang mahu menimbulkan syak dan curiga dalam kalangan jentera parti.


"Namun saya amat yakin penyebaran senarai ini tidak akan sama sekali menggoyah perpaduan dan fokus parti bagi menghadapi pilihan raya akan datang," katanya di sini semalam.

Tambah beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Kedah, pihaknya memohon agar jentera parti tidak melayan perkara seperti itu.

"Hakikatnya semua pihak harus yakin bahawa UMNO adalah parti yang mempunyai sistem dan tatacara dalam menentukan apa jua keputusan termasuklah dalam proses penentuan calon.

"Penghantaran senarai yang sebegini penting sudah tentunya tidak akan menggunakan applikasi Whatapps," katanya.

Difahamkan senarai calon berkenaan tular melalui aplikasi Whatapps sejak semalam yang kononnya ia dibuat oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah. -

Sunday, March 12, 2017

PENCAPAIAN ARIFIN SELESAIKAN KES TERTUNGGAK

Tun Arifin Zakaria memberi keutamaan paling tinggi dalam memulihkan semula keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman apabila beliau memegang jawatan Ketua Hakim Negara ke-13 pada 2011.

Bakal bersara pada hujung bulan ini, keutamaan beliau itu tidak berubah.

Dalam wawancara di pejabatnya di sini, beliau mengimbas semula krisis perlembagaan pada 1988 yang meninggalkan kesan amat mendalam, apabila krisis itu berakhir dengan penyingkiran Tun Salleh Abas sebagai Ketua Hakim Negara.

"Banyak yang berpendapat keyakinan umum terhadap badan kehakiman berada di tahap paling rendah susulan krisis itu, dan masih ada mereka yang bertegas bahawa tahap itu tetap rendah," kata Arifin.

"Tetapi bagi saya, keadaan semakin bertambah baik sejak tahun-tahun kebelakangan ini di bawah pendahulu saya," katanya, dan menyebut secara khusus, Tun Zaki Azmi dan Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah.




"Namun, saya mahu membawa badan kehakiman ke peringkat lebih tinggi untuk memulihkan sepenuhnya keyakinan masyarakat," katanya.

Arifin percaya bahawa sebuah badan kehakiman yang bebas adalah penting bagi demokrasi, dan keyakinan masyarakat juga perlu bagi sistem keadilan yang berkesan.

"Sebagai hakim, menjadi tugas kami untuk melaksanakan keadilan dengan sebaik-baiknya, dan sebagai ketua hakim negara, matlamat utama saya adalah untuk mengembalikan semula keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman," katanya.




Beliau menolak dakwaan bahawa keyakinan masyarakat terhadap badan kehakiman tersangat rendah.

"Orang masih datang ke mahkamah untuk menyelesaikan pertikaian... mereka yang mengkritik mahkamah sebagai tidak adil, tidak saksama, berat sebelah.. orang seperti inilah yang datang ke mahkamah.

"Pembangkang membawa banyak kes ke mahkamah untuk menentang kerajaan. Jika mereka tiada keyakinan terhadap badan kehakiman, saya pasti mereka tidak akan datang ke mahkamah," kata Arifin.

Arifin menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai undang-undang di Jabatan Perdana Menteri kira-kira 42 tahun yang lalu sebelum menjadi majistret pada 1976.

Beliau merupakan Penasihat Undang-undang Negeri Perak pada 1988 dan kemudian menjadi Pesuruhjaya Kehakiman pada 1992 dan Hakim Mahkamah Tinggi pada 1994. Beliau dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan pada 2002, Hakim Mahkamah Persekutuan pada 2005 dan Hakim Besar Malaya pada 2008.

Ditanya tentang kenangan paling indah dalam kerjayanya, Arifin, yang mencecah usia 67 tahun pada Oktober ini, sekadar berkata: "Saya suka mendengar kes dan menulis penghakiman."

"Apabila saya menulis penghakiman, saya lakukannya dengan sepenuh jiwa raga. Apabila anda mendengar sesuatu kes, lebih-lebih lagi kes yang rumit, dan anda kemukakan penghakiman yang pada anda adalah penghakiman terbaik yang telah anda tulis, anda akan rasa amat puas hati.

"Paling manis adalah apabila anda benar-benar yakin bahawa anda telah berlaku adil terhadap sesuatu kes," katanya.

Arifin, yang berasal dari Kelantan, ketawa kecil apabila diminta menggambarkan tentang dirinya sendiri. "Saya agak terbuka kepada media dan masyarakat serta agak mudah didekati," katanya.

"Ia penting bagi kami (hakim) untuk mendampingi masyarakat menerusi media supaya kami boleh memperjelaskan perkara berkaitan badan kehakiman dan tentang fungsi kami. Lagipun, tiada apa untuk saya sembunyikan."

Satu daripada pencapaian yang membanggakan Arifin adalah penyelesaian 12,000 kes tertunggak di Mahkamah Rayuan kepada 3,000 kes dalam tempoh dua tahun.

"Sekarang, kami hanya mengendalikan kes semasa," katanya.

Beliau turut memperkenalkan peraturan mahkamah yang baharu bagi mahkamah rendah dan mahkamah tinggi yang menggabungkan serta memudahkan peraturan berasingan bagi kedua-dua mahkamah itu selain memperkemaskan prosedur.

Arifin turut memperkenalkan banyak mahkamah khas, termasuk yang mengendalikan kes komersial, rasuah dan siber.

Beliau juga aktif di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam perkara yang memberi kesan kepada negara anggota ASEAN.

Beliau menganggotai Persatuan Undang-undang ASEAN dan Majlis Ketua-Ketua Hakim Negara ASEAN yang mengendalikan isu seperti amalan bersama serta penguatkuasaan perintah.

"Sebagai contoh, kami cuba memperkemaskan perintah dalam negara ASEAN supaya perintah mahkamah di Malaysia boleh dikuatkuasakan di Thailand atau Laos. Di Singapura dan Brunei kami boleh (melakukannya) disebabkan kita berkongsi latar belakang Komanwel," kata Arifin.

Mengenai perancangannya selepas bersara, Arifin, yang gemar bermain golf dan berkebun, berkata beliau akan bercuti bersama-sama keluarga sebelum membuat sebarang keputusan.

"Jika kesihatan saya mengizinkan, saya akan terus berkhidmat kepada negara dalam apa jua kapasiti yang ada, dan sudah tentulah, minat saya sentiasa dalam undang-undang," katanya.

Ditanya tentang calon yang akan mengambil alih daripada beliau, Arifin berkata: "Siapa pun yang dipilih, beliau sudah tentu seorang yang layak dan sesuai untuk menjadi pengganti saya dan saya berkeyakinan penuh terhadapnya."

-- BERNAMA

Saturday, March 11, 2017

PARTI PEMBANGKANG PERJUANG HAK SABAH UNTUK POLITIK SEMATA MATA

KOTA BELUD, 11 Mac (Bernama) -- Parti pembangkang tempatan Sabah memperjuangkan hak-hak Sabah hanya untuk kepentingan politik semata-mata, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.


Sebaliknya, kata beliau, Barisan Nasional (BN) memperjuangkan hak-hak Sabah dengan konsisten dan bukan hanya kerana politik.

"Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak juga tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat Sabah dan Sarawak serta mengiktiraf 16 Sept setiap sebagai cuti umum ekoran pembentukan Malaysia.

"Oleh itu jangan terpengaruh dengan slogan pembangkang 'Sabah Untuk Sabahan' yang kononnya untuk memperjuangkan hak-hak Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat dan Penyerahan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pirasan Lama Sesi 2017-2018, dekat sini hari ini.

Salleh berkata kerajaan BN dari dahulu sehingga kini telah memperjuangkan segala kepentingan rakyat Sabah termasuk hak-hak yang sepatutnya diperoleh mereka.

Pada masa sama, Salleh meminta rakyat supaya mengurangkan sikap berpolitik dan sebaliknya bersatu padu dalam usaha kerajaan untuk memajukan negeri serta negara.

"Kalau kita asyik berpolitik sahaja...sampai bila dapat menyelesaikan masalah yang dibangkitkan rakyat. Marilah kita semua mengurangkan perpecahan dalam politik agar pembangunan dan kemajuan negara dapat dilaksanakan," katanya.

Pada majlis itu, Salleh turut meluluskan RM60,000 untuk menaik taraf padang di Kampung Pirasan dan peruntukan sebanyak RM30,000 untuk kegunaan JKKK di kampung berkenaan.

-- BERNAMA

Friday, March 10, 2017

ZAIRIL TAK PERCAYA KEPADA RUKUN IMAN?



KUALA LUMPUR 10 Mac – Pas memulangkan ‘paku buah ke­ras’ kepada Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari apabila mengingatkan pe­mimpin DAP itu sebagai seorang Islam yang wajib percaya kepada hari akhirat.


Dengan nada sinis, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed juga mengingatkan Zairil bahawa hidup di dunia ini tidak kekal selama-lamanya kerana ada ‘kesinambungannya’ di akhirat kelak.

Beliau pada masa sama menjawab sin­diran Zairil dengan menegaskan per­jua­ngan Pas selain ma­hu menang pilihan raya ialah untuk memastikan kejayaan itu diredai Allah.


“Ini jelas objektif Pas ber­dasarkan Perkara 5 untuk mewujudkan sebuah ma­sya­rakat di dalam negara yang me­laksanakan hukum Islam de­ngan keredaan Allah. Kita sekali jalan keduanya.

“Pas tidak mahu menang ca­ra tipu tetapi menang de­ngan cara diredai Allah, itu diajar Islam. Pas bukan sekadar mahu dapatkan undi daripada orang ramai, tetapi turut mengambil kira akhirat kelak.

“Waima orang Islam dalam DAP pun mesti faham perkara ini yang kehidupan kita bukan hanya di dunia ini, ada akhirat selepas ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Zairil dalam satu kenyataan secara sinis mempersenda dan mempertikaikan kewajaran Pas un­tuk terus berada dalam arena politik negara sekiranya parti itu le­bih berminat ber­­cakap menge­nai keredaan Allah berbanding kemenangan pilihan raya sebagai pertimbangan strategi.

Mengulas lanjut, Mahfodz me­ngakui besar perbezaan di antara Pas dan DAP de­ngan parti diwa­kili Zairil itu yang sanggup menipu semata-mata mahu menang.

“Dulu, mereka berbaik-baik dengan Pas sehingga membentuk satu pakatan. Tetapi apabila rasa sudah kuat, mereka tolak dasar Islam Pas yang sebelum ini diterima. Sebab itu saya tegaskan bahawa Pas tidak akan berbaik semula de­ngan DAP.

“Jangan persendakan Pas, kami parti Islam sampai ke akhi­rat. Biarlah orang Islam dalam DAP pun, tetapi kita kena percaya pada Rukun Iman,” jelas beliau.

Thursday, March 9, 2017

POLIS JUARA RASUAH?

KUALA LUMPUR, 9 Mac (Bernama) -- Seramai 16 pegawai dan anggota polis pelbagai pangkat di empat buah negeri yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), didakwa di mahkamah berasingan atas tuduhan menerima rasuah, hari ini.

SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata mereka yang dituduh termasuk seorang berpangkat deputi supritenden, dua asisten supritenden dan dua inspektor, manakala selebihnya anggota berpangkat rendah.

Lapan daripada mereka dituduh di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, empat di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, tiga di Mahkamah Sesyen Shah Alam dan seorang di Mahkamah Sesyen Georgetown.

Wednesday, March 8, 2017

PAS RUNDING DENGAN PPBM YANG TOLAK RUU355

PETALING JAYA, 8 Mac (Bernama) -- PAS kini bersedia berunding dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berhubung pembahagian kerusi bagi pilihan raya umum akan datang, kata Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Jika sebelum ini tiada sebarang hubungan bersama-sama PAS namun, kini mereka (PAS) telah menjemput kami untuk berbincang mengenai pembahagian kerusi bagi menghadapi pilihan raya umum," katanya kepada pemberita di ibu pejabat PPBM di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Muhyiddin tidak menjelaskan lebih lanjut berhubung jemputan itu sebaliknya berkata PPBM akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi kerjasama dengan PAS bagi menghadapi pilihan raya itu nanti.

PPBM juga telah mengenal pasti kerusi yang mahu ditandinginya dalam pilihan raya umum, katanya.

Namun, beliau enggan mendedahkan jumlah kerusi tersebut.

-- BERNAMA

Tuesday, March 7, 2017

RUU PERSENDIRIAN HAJI HADI TURUT TERSENARAI

KUALA LUMPUR, 7 Mac (Bernama) -- Usul Rang Undang-undang (RUU) Persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) turut tersenarai dalam aturan urusan mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Notis usul rang undang-undang itu, yang dikemukakan anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Presiden PAS, tersenarai sebagai perkara ketujuh dalam aturan urusan mesyuarat.

Usul itu bertujuan meminda Seksyen 2 akta berkenaan untuk menggantikan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi tiga tahun atau denda melebihi RM5,000 atau sebatan melebihi enam kali' dengan perkataan 'penjara selama tempoh melebihi 30 tahun atau denda melebihi RM100,000 atau sebatan 100 kali sebagaimana ditadbir selaras dengan Tatacara Jenayah Syariah'.....

Monday, March 6, 2017

AGONG BUKA SENDIRI PENUTUP BOTOL AIR KETIKA RASMI SIDANG PARLIMEN

KUALA LUMPUR, 6 Mac (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V, yang terkenal dengan imej sederhana dan tidak terlalu berprotokol, semalam
secara bersahaja membuka penutup botol air minuman semasa sedang bertitah merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen Ke-13 di Dewan Rakyat di sini.

Ketika bertitah, Seri Paduka berhenti seketika sambil mencapai botol air minuman dan memaklumkan kepada Dewan Rakyat tentang hasratnya mahu minum.

"Sekejap... minum air kejap deh (minum air sekejap ya),"titah Seri Paduka ringkas selepas mencapai air botol mineral, membuka penutupnya dan meminumnya.

Aksi spontan Seri Paduka, yang disiarkan semasa siaran langsung menerusi saluran televisyen RTM1 dan skrin televisyen sekitar Parlimen, turut membuatkan ramai Anggota Parlimen tersenyum.

Sultan Muhammad V antara lain bertitah menegaskan bahawa isu pembangunan perumahan, pendidikan, kesihatan dan keselamatan perlu terus diberi perhatian kerajaan agar rakyat tidak terus terbeban dengan peningkatan kos sara hidup dan terpinggir dengan arus pembangunan.

Persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari hingga 6 April ini sebelum tumpuan beralih kepada persidangan Dewan Negara selama 10 hari dari 17 April hingga 27 April.

-- BERNAMA

Sunday, March 5, 2017

NGO PRO BN PERTIKAI KELAYAKAN SHAFIE JADI KETUA MENTERI SABAH

KOTA KINABALU, 5 Mac (Bernama) -- Pakatan NGO Pro Barisan Nasional (BN) mempertikaikan kelayakan bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal untuk menjadi Ketua Menteri Sabah berdasarkan rekod pencapaiannya ketika menjadi menteri Kerajaan Persekutuan.

Presidennya Datuk Zulkarnain Mahdar berkata keupayaan Shafie untuk menduduki tampuk jawatan Ketua Menteri berkenaan diragui atas kegagalannya menyelesaikan masalah kemudahan infrastruktur asas luar bandar Sabah dan Sarawak semasa memegang jawatan menteri KKLW selama lima tahun.

Jumaat lepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, seorang bekas menteri persekutuan, yang kini mengetuai sebuah parti pembangkang, telah meminta jawatan ketua menteri Sabah.

Najib menyifatkan permintaan itu sebagai cita-cita peribadi bekas menteri itu.

Walaupun beliau tidak menyebut nama, tapi Najib dipercayai merujuk kepada Shafie.

Zulkarnain dalam kenyataan di sini hari ini berkata apa yang berlaku jelas kelihatan masih banyak lagi (masalah) jalan raya, (bekalan) elektrik dan air bersih telah gagal dilaksanakan dengan jayanya oleh Mohd Shafie.

"Sungguhpun kementerian yang diterajuinya telah menerima peruntukan hampir 20 bilion ringgit dalam tempoh lima tahun," kata beliau.

Beliau berkata, Mohd Shafie juga langsung tidak pernah menemui Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan menteri Kabinet negeri berkaitan bagi membincangkan masalah dan keperluan rakyat.

Justeru katanya, bagaimana mungkin Mohd Shafie mengetahui apakah projek rakyat yang mendesak dan perlu kepada pembaikan segera kalau beliau (Shafie) membelakangkan Kerajaan Negeri Sabah sebelum ini?.

"Justeru jika perbandingan corak kepimpinan Ketua Menteri Sabah ketika ini iaitu Datuk Seri Musa Aman dengan Shafie Apdal jelas menunjukkan Datuk Seri Musa Aman adalah seorang Ketua Menteri Sabah yang terbaik.

"Selepas hanya 11 tahun mengambil alih jawatan Ketua Menteri daripada Tan Sri Chong Kah Kiat dengan rizab kewangan terdahulu hanya 180 juta ringgit kini berjumlah 3.2 bilion ringgit," katanya.

Menurutnya pembangunan yang rancak di Sabah juga jelas dan amat ketara di bawah kepimpinan Musa.

Semalam, Mohd Shafie berkata beliau tidak pernah bercita-cita untuk menjadi ketua menteri Sabah, malah beliau pernah menolak tawaran itu.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata beliau sepatutnya bertanding di kerusi negeri jika beliau mahu menjadi ketua menteri Sabah, dan bukan di kerusi parlimen.

-- BERNAMA

Thursday, March 2, 2017

JINS SHAMSUDDIN SELAMAT DISEMADIKAN

KUALA LUMPUR, 2 Mac (Bernama) -- Jenazah seniman legenda Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Klang, di sini, hari ini.

Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Al-Ridhuan di Hulu Klang kira-kira 9.30 pagi sebelum disolat dan dikebumikan kira-kira 10.30 pagi tadi.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan berkenaan apabila lebih ratusan anggota keluarga, rakan artis dan penggiat seni tanah air memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Bercerita mengenai arwah, anakanda Allahyarham, Putera Hang Jebat, 30, menyifatkan arwah seorang bapa yang tegas dan berdisiplin dalam mendidik anak-anaknya.

"Dia (arwah bapa) mengambil berat dan serius dalam hal-hal melibatkan pelajaran kami. Setegas-tegas dia pada kami, namun dia seorang yang penyayang," katanya yang ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Hulu Klang, di sini.



Puan Sri Halijah Abdullah (tengah) menyiram air mawar ke atas pusara suaminya Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin
Putera Hang Jebat turut berkongsi pesanan Allahyarham bapanya yang berharap lebih ramai artis tempatan melanjutkan pengajian dalam bidang seni bagi mendorong industri seni tempatan ke tahap yang lebih baik.

"Beliau mahu artis tempatan berpengetahuan tinggi dan luas," katanya yang menyifatkan mereka wajar mencontohi Allahyarham yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Phd).

Sementara itu, pelakon, Zul Ariffin, 31, menyifatkan kematian Jins Shamsuddin sebagai kehilangan besar khususnya dalam industri perfileman tanah air.

"Saya banyak belajar ilmu lakonan daripada arwah walaupun saya tidak pernah berlakon dengan dia.

"Allahyarham merupakan mentor saya dan kehilangan dia merupakan kehilangan besar dalam dunia lakonan," katanya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri.

Semalam, seniman veteran Jins Shamsuddin, 81, meninggal dunia ketika hendak mendapat rawatan di sebuah klinik di Taman Melawati di sini.

Jins Shamsuddin atau nama sebenar Mohamed Jins bin Shamsuddin, diberi penghormatan tinggi oleh kerajaan apabila beliau dilantik menjadi Senator, selama dua penggal mulai 2004 hingga 2011, sebagai mewakili komuniti perfileman serta menjadi pelakon filem yang pertama mendapat status tersebut.

Selain itu, Allahyarham yang dilahirkan di Taiping, Perak, turut dianugerah gelaran Seniman Negara oleh kerajaan pada 2009 atas sumbangannya pada kemajuan industri filem negara.

Jins Shamsuddin meninggalkan seorang balu iaitu Puan Sri Halijah Abdullah dan tiga putera iaitu Jefri Jins, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim.

-- BERNAMA

Wednesday, March 1, 2017

DUA BEKAS PEGAWAI KANAN FELDA DIDAKWA PECAH AMANAH RM48 JUTA

KUALA LUMPUR, 1 Mac (Bernama) -- Dua bekas pegawai kanan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan pecah amanah dan bersubahat melibatkan wang hampir RM48 juta, tiga tahun lepas.

Bekas Timbalan Pengarah Besar (Pengurusan Sumber Strategik) FELDA, Muhammad Sufi Mahbub, 53, menghadapi dua pertuduhan pecah amanah manakala bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad, 57, didakwa atas dua pertuduhan bersubahat.

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Allaudeen Ismail.


Bagi dua pertuduhan itu, Muhammad Sufi didakwa sebagai orang yang telah diamanahkan dengan penguasaan ke atas dana FELDA melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana organisasi itu iaitu dengan curangnya melupus dan meluluskan dua pembayaran masing-masing RM25,999,000 dan RM21,625,500 tanpa kelulusan Lembaga Pengarah FELDA atau Jawatankuasa Tender FELDA.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Bangunan Wisma FELDA, Jalan Perumahan Gurney, di sini, antara 13 Jan 2014 dan 23 Julai 2014 mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dengan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Faizoull pula dituduh bersubahat dengan Muhammad Sufi atas kedua-dua pertuduhan sama mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman serupa, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib tidak menawarkan sebarang jaminan tetapi sekiranya mahkamah membenarkan jaminan beliau memohon jumlah RM1 juta dikenakan terhadap setiap tertuduh.

Peguam Mohd Irwan Mohd Mubarak yang mewakili Muhammad Sufi dan peguam Azad Bashir yang mewakili Datuk Faizoull merayu supaya anak guam mereka dibenarkan diikat jamin kerana mereka adalah penanggung utama keluarga masing-masing.

Allaudeen membenarkan kedua-dua tertuduh diikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin setiap seorang dan menetapkan 27 April sebagai tarikh sebutan semula kes.

"Kedua-dua tertuduh dibenarkan membayar deposit RM500,000 pada hari ini manakala baki RM500,000 dilunaskan pada atau sebelum 22 Mac depan. Sekiranya baki RM500,000 tidak ada wang tunai, mahkamah juga membenarkan jaminan mengikut geran tanah nilai setara serta pasport diserahkan kepada mahkamah," katanya.

-- BERNAMA