Tuesday, October 31, 2017

RATING TERTINGGI BAGI BULAN OKTOBER 2017

Bagi bulan Oktober 2017, posting "Kayveas akan jumpa Subramaniam untuk selesaikan kerusi Cameron higlands" mendapat rating tertinggi sebanyak 135 hits.

10 rating tertinggi bagi bulan Oktober ialah:-

1. Kayveas akan jumpa Subramaniam untuk selesaikan kerusi Cameron Highlands (24/10)- 135 hits
2. Vida bercinta dengan pegawainya berusia 23 tahun? (20/10)
3. Walaupun saya ahli MKT, saya  tak tahu dicalonkan atau tidak (17/10)
4. DFTZ dijangka tarik pelaburan RM700 juta (27/10)
5. SKMM telah ambil tindakan terhadap 3,047 akaun palsu (12/10)
6.Masalah rumahtangga beri kesan negatif kepada pembangunan negara (11/10)
7.Shabery tanam durian Musang King yang ke 500,000 (29/10)
8. Bas shuttle Kemaman beroperasi mulai esok (30/10)
9. Masyarakat Bugis desak Mahathir tarik balik kenyataan hina Bugis (18/10)
10. Program Ekspresi mampu seimbangkan duniawi dan ukrawi (14/10)

EKONOMI DIGITAL PENCETUS KEMAJUAN EKONOMI NEGARA

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Kejayaan usahawan digital hari ini membuktikan ekonomi digital bukan sahaja menjadi trend dalam landskap perniagaan global tetapi turut menjadi pencetus kemajuan ekonomi negara, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.


Salleh berkata rakyat wajar merebut peluang itu yang berpotensi menaik taraf kehidupan dan menjadi lebih kompetitif menerusi gelombang ekonomi digital.

"Ekonomi digital adalah satu salah satu sektor yang semakin berkembang dalam situasi perdagangan dengan jumlah organisasi, perniagaan dan pelabur yang semakin bertambah.

"Dunia kita semakin hari semakin berubah. Revolusi digital telah merubah setiap aspek kehidupan harian kita dan cara kita berinteraksi dan berurusan sesama sendiri," katanya ketika berucap pada Malam Gemerlapan Daya e-Usahawan, di sini hari ini.

Salleh berkata kementeriannya dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) telah menggembleng banyak usaha dalam menjalankan pelbagai inisiatif e-Usahawan dengan objektif menyebarkan manfaat ekonomi digital kepada seluruh rakyat.

"Hasil komitmen yang berterusan, sumbangan ekonomi digital kepada Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia sudah mencecah 18.2 peratus pada 2016 dan kita sudahpun mencapai sasaran yang ditetapkan bagi tahun 2020," katanya.

Beliau berkata usaha kerajaan dalam menghasilkan lebih ramai ?Wira Digital' melalui ekonomi digital dapat dicapai melalui e-Usahawan dalam menggerakkan rakyat ke arah ekonomi digital di samping memastikan Malaysia terus melangkah untuk mencapai wawasan dan aspirasi negara ke arah negara maju.

"Dalam memastikan kesinambungan pembangunan ekonomi yang kita kecapi hari ini, kerajaan sentiasa berusaha melaksanakan pelbagai program dan inisiatif pembangunan ekonomi negara yang berteraskan pembangunan masyarakat. Usaha dan inisiatif ini termasuk usaha membangunkan ekonomi digital negara," katanya.

--BERNAMA

MUHAMMAD ALI KEHILANGAN BESAR KEPADA NEGERI JOHOR

JOHOR BAHRU, 31 Okt (Bernama) -- Kerajaan Johor menzahirkan ucapan takziah atas pemergian bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim, hari ini.

Menteri Besar Johor yang juga Pengerusi JCorp Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pemergian Allahyarham Muhammad Ali merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja kepada negeri tetapi juga tanah air kerana Allahyarham merupakan tokoh korporat dan usahawan Melayu kelahiran Johor yang berwibawa serta banyak berjasa.

"Saya bagi pihak kerajaan negeri merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Muhammad Ali Hashim, bekas Presiden dan Ketua Eksekutif Johor Corporation (JCorp) atas pemergian Allahyarham.

"Keupayaan dan sumbangan Allahyarham tidak boleh dinafikan. Beliau telah menerajui JCorp selama lebih 28 tahun dan di bawah kepimpinannya, JCorp berjaya dibina hingga menjadi antara konglomerat utama negara," katanya menerusi satu kenyataan, di sini.

Mohamed Khaled berkata Allahyarham Muhammad Ali juga banyak menyumbang bakti dalam pembangunan prinsip perniagaan Islam dan ia memberi impak positif yang cukup signifikan bagi memajukan prinsip tersebut, antaranya melalui instrumen Waqaf Korporat.

Monday, October 30, 2017

BAS SHUTTLE KEMAMAN BEROPERASI MULAI ESOK



KEMAMAN - Satu lagi kemudahan baharu dapat dinikmati rakyat di daerah ini apabila Perkhidmatan Bas Kemaman Shuttle akan beroperasi bermula 1 November, iaitu pada Rabu ini.

Kemudahan pengangkutan bas bandar itu diperkenalkan atas inisiatif Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Penyelaras Projek Bas Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman, Mohd Fauzi Mat Adam berkata, bagi fasa pertama yang juga fasa percubaan, Perkhidmatan Bas Kemaman Shuttle itu akan mengambil dan menurunkan penumpang di sebanyak 21 hentian sekitar Bandar Chukai.


"Bas akan tiba di setiap hentian tiap-tiap satu jam bermula jam 7 pagi dan berakhir jam 6 petang.

"Perkhidmatan ini akan memulakan perjalanan di Dataran Kuala Kemaman yang menjadi hentian utama sebelum bergerak ke 21 buah hentian yang telah ditetapkan," katanya.

Menurutnya, hentian pertama hingga ke 21 mengikut urutan adalah Dewan Sivik Geliga/Kuala Kemaman, Klinik Kesihatan Kuala Kemaman, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga, Perhentian Bas Geliga Intan, Masjid Kampung Paya Berenjut, Perhentian Bas Kampung Mak Lagam dan Depan Kilang Tamura Kampung Fikri.

Ia diikuti hentian berikutnya di Bank Islam Chukai Utama, Hospital Kemaman/Depan Kemaman Centre Point, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Majlis Perbadaran Kemaman/Pejabat Daerah dan Tanah Kemaman, Wisma Persekutuan/Klinik Kesihatan Chukai, Padang Astaka/Perpustakaan Awam Daerah dan Pejabat Parlimen Kemaman/ Hai Peng Kopitiam.

Hentian seterusnya yang akan dilalui adalah Pejabat Tabung Haji/Pasar Besar Kemaman, Stesen Bas Lama Kemaman, Jakar/Tunas Manja, Stesen Bas Ekspres Geliga, SMK Geliga, Klinik Kesihatan Kuala Kemaman dan Pondok Polis Kuala Kemaman sebelum kembali semula ke Dataran Kuala Kemaman.

Menerangkan lebih lanjut, Mohd Fauzi memberitahu, pergerakan bas dari Hentian Utama di Dataran Kuala Kemaman melibatkan 12 trip setiap hari, iaitu waktunya berselang sejam bemula dari jam 7 pagi trip pertama, diikuti jam 8 pagi (trip kedua), 9 pagi (trip ketiga), 10 pagi (trip keempat) dan begitulah berikutnya hingga jam 6 petang.

Katanya lagi, perkhidmatan berkenaan adalah khidmat sosial yang tidak berasaskan keuntungan dan ia beroperasi hasil penajaan syarikat-syarikat swasta.

Sehubungan itu, Mohd Fauzi juga sangat mengalu-alukan pihak-pihak lain untuk turut sama menaja kos operasi bas itu yang mana pihak penaja akan diberikan ruang pengiklanan di bahagian luar dan dalam bas serta di skrin televisyen LED bas berkenaan.

PASARAN EKSPORT DURIAN DI CHINA AMAT LUAS

KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Usaha Malaysia untuk mengeksport durian ke China tidak menjejaskan dominasi eksport raja buah oleh Thailand memandangkan pasaran yang sangat luas di negara Tembok Besar itu, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata produk durian dari Malaysia dan Thailand adalah berbeza serta mempunyai
peminatnya yang tersendiri di China.

"Saya percaya bahawa dalam dunia sekarang ini kita tak perlu gusar kerana durian Thailand ada penggemar sendiri, dan (festival) ini peluang untuk Malaysia ketengahkan hasil produk seperti 'Musang King' dan 'Blackthorn'.

"Di China potensi pasarannya sangat besar, tak semua orang China suka makan durian, tapi kalau kita mendidik atau biasakan lebih ramai orang di sana makan durian, adakan aktiviti seperti pesta durian dan sebagainya, ia akan jadikan durian sebahagian budaya dan cara hidup, dan menjadi satu pasaran besar," katanya pemberita di sini, hari ini selepas memberi taklimat kepada usahawan yang akan menyertai Festival Durian Malaysia 2017 (MDF2017) di Nanning, China bermula Rabu ini.

Baru-baru ini, sebuah portal berita antarabangsa melaporkan kesediaan China mengetepikan larangan ke atas Malaysia untuk mengeksport durian segar,yang dilihat mampu menamatkan dominasi Thailand yang menjadi pengeksport terbesar ?Raja Buah' ke negara itu.

Bagaimanapun, permintaan ke atas durian Musang King dari Malaysia meningkat mendadak, dan kementerian berjaya mendapat kelulusan khas untuk membawa lima tan durian segar pelbagai jenis, termasuk produk-produk premium berkaitan durian ke festival selama tiga hari di Nanning, Wilayah Guanxi itu.

Sebelum ini, Malaysia hanya diberi kebenaran untuk mengeksport durian yang disejuk beku dan produk pes ke China, dengan pasaran bernilai RM23.52 juta dan RM18.02 juta masing-masing pada tahun 2015 dan 2016.

Pada masa sama, Singapura turut menzahirkan kebimbangan pasaran mereka hanya akan menerima durian gred kedua sekiranya Malaysia lebih memberi tumpuan kepada pasaran China.

Mengulas perkara itu, Ahmad Shabery yang akan mengetuai delegasi Malaysia ke MDF 2017 berkata, tidak menjadi masalah untuk Malaysia terus menghantar durian gred tinggi ke negara jiran itu, dengan syarat, mereka bersedia dengan harga yang dapat memberi pulangan tinggi kepada pengusaha durian di Malaysia.

"Ini sebahagian daripada adat pasaran, tapi saya percaya kalau Singapura mampu bayar lebih, yang saya percaya orang sana lebih berkemampuan, tak perlu gusar, kita akan terus hantar (durian) yang terbaik," katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan kementerian, selain lima tan metrik durian Musang King, produk buah-buahan seperti nangka madu dan nanas, serta produk berasaskan industri asas tani akan turut dihantar ke festival itu.

Selain itu, ia dirangka untuk menyediakan platform kepada usahawan yang terlibat untuk menyertai sesi pemadanan perniagaan yang telah diatur dengan 400 pengusaha China.

-- BERNAMA

Sunday, October 29, 2017

SHABERY TANAM DURIAN MUSANG KING YANG KE 500,000





RAUB, 29 Okt (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyasar durian Musang King segar tempatan untuk menembusi pasaran China dalam tempoh terdekat sekali gus bakal menjadikan negara itu sebagai negara pengimport terbesar buah tersebut.
Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata sebelum ini durian dari Malaysia memasuki pasaran negara itu menerusi negara ketiga termasuk Singapura dan Hong Kong dengan harga yang mencecah ratusan ringgit untuk setiap kilogram.

Kementerian bakal mengadakan satu program promosi durian di China pada 3 dan 5 Nov depan. Kita berharap acara itu akan menjadi platform untuk menembusi dan memperluaskan pasaran di negara tersebut selain produk hiliran berasaskan buah itu.

"Sekiranya ia berlaku dan membuahkan kejayaan yang besar, ini akan membuka ruang kepada 800,000 pengusaha dan penanam durian di negara ini untuk melonjakkan pendapatan mereka sekali gus menjadikan durian sebagai sumber kekayaan baharu negara," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penanaman Musang King ke 500,000 di Kluster Durian Raub, di Kampung Pamah Rawa, Ulu Dong di sini Ahad.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Koperasi dan Kepenggunaan negeri yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dong, Datuk Seri Shahiruddin Ab Moin dan Ketua Pengarah Pertanian Datuk Ahmad Zakaria Mohamad Sidek.

Pada masa sama, Ahmad Shabery juga meminta Jabatan Pertanian mempertingkatkan keupayaan teknologi dalam pengeluaran Musang King bagi memastikan buah yang dihasilkan bermutu tinggi dan menepati kehendak pasaran antarabangsa.

Ia termasuk memperkenalkan penanda persijilan untuk setiap durian yang dieksport bagi memastikan pembeli mendapat maklumat yang tepat tentang gred dan tempat ia dikeluarkan.

"Kita juga akan membangunkan satu aplikasi khas bagi menanda Musang King serta durian jenis lain yang dijangka siap Disember ini untuk kemudahan bagi mengeksport raja buah itu ke China dan negara lain pada masa akan datang.

"Durian kini dianggap sumber kekayaan baharu maka kita perlu pastikan kualiti penanaman, pembungkusan, pelabelan dan pemasaran berada pada tahap tertinggi dan ia memerlukan kerjasama semua pihak," katanya.

Ahmad Shabery berkata, hingga 2016 keluasan penanaman durian di seluruh negara ialah 66,000 hektar dengan pengeluaran sebanyak 302,000 metrik tan dan hingga kini terdapat sebanyak 204 jenis durian didaftarkan bawah Jabatan Pertanian.

Di Raub sahaja terdapat 370 pengeluar dan penanam durian membabitkan keluasan tanaman 11,152.69 hektar di tujuh mukim di Batu Talam, Dong, Gali, Hulu Dong, Sega dan Semantan Hulu dan Tras.

-- BERNAMA

Friday, October 27, 2017

DFTZ DIJANGKA TARIK PELABURAN RM700 JUTA

KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Fasa pertama Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) untuk 1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbabit dalam ekonomi digital dijangka menarik pelaburan RM700 juta serta mewujudkan 2,500 pekerjaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini berkata, berikutan itu kerajaan akan menyediakan RM83.5 juta bagi membina infrastruktur untuk fasa pertama DFTZ di Aeropolis, KLIA.

Kerajaan juga akan meningkatkan nilai minimum untuk import daripada RM500 kepada RM800 untuk menjadikan Malaysia sebagai hab e-dagang serantau, katanya.

"Malaysia akan menjadi hab pertama di luar China untuk mewujudkan DFTZ yang merangkumi hab e-pemenuhan, hab perkhidmatan satelit dn platform e-perkhidmatan bagi merangsang pertumbuhan dalam perdagangan elektronik," katanya.

Najib berkata, DFTZ akan merubah KLIA sebagai pintu masuk serantau.

Sementara itu, seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan era ekonomi digital, kerajaan akan melaksana Dasar Digital Malaysia.

"Bagi menyokong aktiviti perniagaan dan pelaburan IR 4.0, kerajaan akan menyediakan geran sepadan bernilai RM245 juta di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan pengeluaran pintar," katanya.

Selain itu, Pusat Masa Depan di Cyberjaya akan diperkukuh sebagai pusat sehenti untuk syarikat korporat dan universiti membangunkan produk prototaip dan melonjakkan inovasi.

"Kerajaan juga akan memberi galakan cukai seperti melanjutkan tempoh insentif untuk Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200 peratus ke atas kelengkapan automasi dari tahun taksiran 2018 hingga 2020," katanya.

Menurutnya, kerajaan juga akan memberi galakan elaun modal dipercepatkan sebanyak 200 peratus untuk sektor pengilangan dan perkhidmatan berkaitan pengilangan.

Sementara itu elaun modal peralatan ICT, termasuk perbelanjaan pembangunan perisian komputer, layak dituntut sepenuhnya mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020.

-- BERNAMA


Thursday, October 26, 2017

SKMM SIASAT 67 KES BERITA PALSU

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyiasat 67 kes penyebaran berita palsu dalam media sosial dari Januari 2016 hingga September tahun ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata daripada jumlah itu, lima kes telah dibawa ke mahkamah.

"Dalam tempoh sama, sejumlah 1,861 laman sesawang, portal dan blog telah disekat kerana menyebarkan kandungan, maklumat serta berita berunsur palsu termasuk yang boleh mencetuskan kekeliruan dan menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini," katanya ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang mahu mengetahui langkah proaktif kementerian dalam memastikan kandungan berita dilaporkan portal berita tidak menjejaskan ketenteraman awam dan sensitiviti kaum di negara ini.

Mengulas lanjut, Salleh berkata kementerian telah bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam menjalankan program advokasi bagi menyedarkan masyarakat umum mengenai pentingnya memastikan fakta sahih sebelum menyebarkan sesuatu berita atau maklumat.

Wednesday, October 25, 2017

RISDA PERLU PASTIKAN PRODUK INOVATIF BERI MENFAAT KEPADA PEKEBUN KECIL

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Warga kerja Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) yang menghasilkan produk inovatif dan kreatif perlu memastikan ia memberi manfaat kepada pekebun kecil.


Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata produk seumpama itu juga perlu dipastikan mampu dimiliki pekebun dari segi harga.

"Hasilkan produk yang bukan sahaja mampu memenangi anugerah (inovasi) malah memberi manfaat kepada pekebun kecil dan pastikan produk itu digunakan sepenuhnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Inovasi dan Anugerah Kualiti RISDA 2017 di sini hari ini.

Menteri itu menegaskan budaya mencipta produk inovasi dan berfikiran kreatif adalah penting dan merupakan nilai tambah untuk sebuah jabatan dan agensi kerajaan demi memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam arus pemodenan.

-- BERNAMA

Tuesday, October 24, 2017

KAYVEAS AKAN JUMPA SUBRAMANIAM UNTUK SELESAIKAN KERUSI CAMERON HIGHLANDS

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP) Tan Sri M. Kayveas akan mengadakan pertemuan khas dengan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam bagi menyelesaikan kemelut yang melanda berkaitan calon kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Kayveas dalam kenyataan hari ini berkata perjumpaan itu akan diadakan pada masa terdekat bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan serta kemenangan Barisan Nasional (BN).

"Keputusan saya ini bertujuan untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan cara yang baik dan mengelakkan pertelingkahan. Saya juga bimbang jika keadaan ini berterusan dalam media sosial, ia akan menimbulkan ketegangan antara MyPPP dan MIC, sekaligus menjejaskan nama baik BN,"katanya.

Beliau berkata MyPPP yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN akan membuat keputusan terbaik dalam meletakkan calon paling sesuai bagi kerusi parlimen tersebut.

Kayveas sebelum ini mendakwa kerusi Parlimen Cameron Highlands akan dikembalikan kepada MyPPP berdasarkan janji bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2000, namun, Dr Subramaniam menjelaskan bahawa kerusi tersebut kekal milik MIC seperti dimaklumkan Najib sebelum ini.

-- BERNAMA

Monday, October 23, 2017

ISMAIL ANGGAP NURUL IZZAH JUMPA JACEL KIRAM PENDERHAKA

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini bahawa beliau menganggap tindakan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berjumpa Jacel Kiram, anak perempuan Jamalul Kiram III,
adalah sebagai penderhakaan kepada negara.

Ismail Sabri, 57, berkata beliau berpandangan sedemikian kerana Nurul Izzah, yang juga Anggota Parlimen Lembah Pantai telah bertemu dengan individu yang dikaitkan dengan kumpulan yang mengisytiharkan perang terhadap Malaysia dan insiden pencerobohan di Lahad Datu, Sabah pada 2013.

Anggota Parlimen Bera, Pahang itu berkata insiden berkenaan telah menggugat ketenteraman awam dan keselamatan negara serta menyebabkan beberapa anggota keselamatan terkorban.

"Saya juga berpendapat perbuatan Nurul Izzah boleh diambil tindakan di bawah Kanun Keseksaan dan Akta Pencegahan Keganasan 2015," katanya ketika membaca pernyataan saksi pada perbicaraan kes saman fitnah difailkan Nurul Izzah terhadapnya dan bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar atas dakwaan mengeluarkan perkataan-perkataan fitnah berhubung gambar pertemuan Nurul Izzah dengan Jacel Kiram.

Semasa pemeriksaan balas peguam R. Sivarasa yang mewakili Nurul Izzah, Ismail Sabri, yang juga defendan kedua dalam kes saman itu berkata kenyataan tersebut dibuat ketika beliau menghadiri Majlis Berkhatan Perdana 2015 anjuran Pemuda UMNO di Dewan Rakan Muda Bera, Pahang pada 22 Nov 2015.

Sunday, October 22, 2017

JANGAN HARAP STATUS QUO PARTI KOMPONEN BN

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) :Parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengharapkan 'status quo' dalam agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata perkara itu antara amanat yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN ​​​​dalam Pemukiman Jentera BN PRU ke-14 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Noh berkata Najib mahu parti komponen bersikap bertoleransi dalam soal kuota kerusi yang ditandingi dan memberi fokus kepada matlamat untuk memastikan kemenangan dua pertiga BN pada pilihan raya umum itu.

"Parti komponen BN mesti ada toleransi, jangan bertanding untuk mewakili kaum tapi mesti ada semangatBN iaitu mewakili semua kaum di Malaysia.

"BN harus menghentikan amalan 'status quo' yang telah diamalkan pada PRU lepas dan kini sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan," katanya ketika diminta mengulas mengenai pertemuan itu yang diadakan secara tertutup.

Anggota Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi pula berkata perkara lain yang turut dibangkitkan perdana menteri ialah sasaran untuk memastikan BN menang dengan majoriti dua pertiga pada PRU-14.

"Perdana menteri berkata kemenangan dua pertiga sangat penting kepada BN dan itu merupakan sasaran ditetapkan kepada semua parti komponen BN," katanya.

Dalam pada itu, Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas berkata persediaan BN dalam menghadapi PRU ke-14 itu lebih sistematik dan mantap malah MyPPP telah membuat persediaan lebih baik berbanding PRU lepas.

"Saya melihat BN kali ini lebih bersedia. Jentera PRU MyPPP kini membuat persediaan lebih tersusun dan terancang dengan bantuan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus). Penubuhan JR Plus banyak memberi kesan positif di peringkat akar umbi," kata Kayveas.

JR Plus yang diwujudkan tahun ini berperanan sebagai perantara kerajaan dengan rakyat, dan ia menggabungkan jentera pilihan raya sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri selain turut melibatkan penyertaan parti komponen BN dan sayap masing-masing.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata pelbagai persediaan PRU telah dibuat dengan lancar sejak pemukiman diadakan di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU) di Janda Baik, Pahang beberapa bulan lepas.

"Persediaan untuk menghadapi PRU telah pun siap, cuma menunggu arahan daripada pucuk pimpinan BN untuk menggerakkan jentera PRU semua parti komponen BN. Persediaan ​​​PRU-14 ini berbeza berbanding dahulu," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, October 21, 2017

JANGAN TERPERANGKAP JERAT DAP



KUALA LUMPUR 21 Okt. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan kerajaan agar tidak terperangkap dalam jerat yang dipasang DAP menerusi pakatan politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong mereka.



IBRAHIM ALI


Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kebelakangan ini pelbagai desakan dapat dilihat dilakukan oleh parti-parti politik dan NGO berikutan pilihan raya umum yang semakin hampir dan dikhuatiri kerajaan terlalu mengikut rentak mereka semata-mata kerana ingin meraih undi.


“Semua ini adalah taktik kotor yang dimainkan DAP yang mahukan kita mengikut kehendak mereka, namun apabila permintaan ditunaikan yang diangkat sebagai hero adalah DAP bukannya kerajaan.

“Lebih-lebih lagi permintaan melampau NGO, Dong Zong ber­ikutan mahukan Sijil Pelajaran Bersepadu (UEC) dikuatkuasakan yang hanya satu mainan politik walaupun ternyata bercanggah dengan Perlembagaan yang memartabatkan bahasa Melayu,” katanya ketika merasmikan Persidangan Khas Perkasa Parlimen Lembah Pantai di sini hari ini.

Ibrahim mendakwa, DAP sememangnya licik dalam mengatur gerak terutamanya dalam Pakatan Harapan.

“Jika dahulu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bermati-matian tidak mahu UEC dibenarkan tetapi kini dia mula goyah kerana mahukan sokongan. Ini sudah cukup menunjukkan siapa ketua dalam pakatan tersebut. DAP mahu mengubah pelbagai perkara demi kepentingan mereka yang lambat laun, menjadi mangsa adalah orang Melayu di negara ini,” katanya.

Tambah beliau, apa yang pen­ting kini adalah agenda nasional dan Perlembagaan perlu dipertahankan oleh kerajaan.

“Populariti yang dikecapi itu hanya sementara, namun negara yang akan menerima padahnya apabila perkara itu diubah dan memenuhi tuntutan DAP yang berselin­dung di belakang mereka,” katanya.

Ibrahim menarik perhatian keadaan yang berlaku setelah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan se­perti penghinaan terhadap raja-raja Melayu, mempersendakan agama Islam, pesta arak dan sebagainya.

“ISA adalah satu contoh yang boleh diambil iktibar kerana desakan yang dibuat tidak disokong dalam bentuk undi, malah mereka terus menyokong DAP kerana dianggap berjaya menjadi pejuang,” katanya.

Friday, October 20, 2017

VIDA BERCINTA DENGAN PEGAWAINYA BERUSIA 23 TAHUN?



oleh HIDAYAT FANSYURI





KUALA LUMPUR: Usahawan selebriti, Datuk Seri Vida, tidak akan menolak jodoh andai ditemukan dengan lelaki bersesuaian dengan dirinya.

Beliau berkata, meskipun perkara itu bukan menjadi keutamaannya pada masa ini, namun sebagai manusia biasa, dirinya juga mempunyai keinginan untuk hidup berpasangan.

“Saya sentiasa berdoa moga dipertemukan jodoh yang sesuai dan dapat membimbing saya ke arah kebaikan.

“Paling utama, siapa juga lelaki itu, dia perlulah mendapat persetujuan daripada dua anak dan kakak saya,” dipetik sebagai berkata.

Vida atau nama sebenarnya Hasmiza Othman, 46, berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan seorang wanita yang juga ibu kepada lelaki muda yang didakwa berhubungan dengan beliau.

Bercerita lanjut, Vida tertawa dan mengakui telefon bimbitnya sesak dengan panggilan dan pesanan yang dihantar oleh semua pihak, termasuk media bagi mendapatkan kenyataan berhubung berita berkenaan.

Sebuah portal berita online sebelum ini melaporkan, ibu kepada Ahmad Iqbal Zulkefli, 23, yang juga pekerja Vida, Maznuni Che Yusof, 49, tidak menghalang andainya anak lelakinya itu bertemu jodoh dengan pengasas produk Vida Beauty itu.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, Iqbal adalah pekerja yang menguruskan media sosial saya dan tidak lebih daripada itu.

“Saya pun pening dan tergelak apabila kecoh mengenai hubungan saya dengan dirinya,” katanya.

Vida menambah, beliau berhak untuk bahagia, namun masih waras dan tahu apa yang terbaik serta sesuai buat dirinya.

Penyanyi lagu I Am Me itu kini berada di Makkah kerana mengerjakan umrah.

Ditanya mengenai anak perempuannya, Nur Edlynn Zamileen atau lebih dikenali dengan nama Cik B, yang meluahkan rasa tidak puas hati di laman Instagram miliknya, Vida berkata, puterinya itu antara yang paling tidak gemar sekiranya ada lelaki cuba merapati beliau.

“Cik B memang pantang kalau ada yang cuba rapat dan ambil kesempatan terhadap saya.

“Saya faham luahannya dan seperti saya katakan, Cik B selalu menasihatkan saya dan tidak mahu orang berniat tidak baik terhadap saya,” katanya.

Ulasan :

Nampaknya budak Iqbal ini mula hanyut dalam dunia glamor, mungkin sebab umurnya yang baru setahun jagung dan keinginan untuk menjadi seperti DSV tertalu tinggi menyebabkan budak ini hanyut dalam dunia glamor.

DSV yang saya kenali bukanlah seorang yang hanyut dalam dunia glamor, beliau punya misi dan visi.

Nasihat saya kepada budak ini, jika kamu sebagai seorang pekerja maka jalankanlah tugas kamu sebagai seorang pekerja dan bukan seorang romeo.

Jalinkanlah hubungan sebagai seorang pekerja dan seorang bos, jangan cuba mengambil kesempatan diatas kebaikan orang.

Ya, kamu punya rupa dan kecegasan sebagai anak muda seharusnya gunakanlah kearah kebaikan bukannya untuk memikat bos kamu.

Sebagai ‘Pegawai Media’ yang menguruskan media sosial bos kamu, sepatutnya kamu jangan lebih menonjol daripada bos kamu.

Gunakan media sosial untuk mengangkat bos kamu dan bukan diri kamu sendiri, sebab kamu dibayar gaji untuk mengangkat imej bos kamu itu.

Ada juga bisikan nakal dari rakan-rakan media yang saya dengar budak Iqbal ini seorang yang sombong, biasalah bila bekerja dengan vvip ni kita akan rasa diri kita sempurna, ada juga rakan yang bergosip katanya budak ini akan pakai ‘sut’ siang dan malam tanpa mengira majlis apa yang dihadiri..halloooo dik, lain kali kalau nak pakai ‘sut’ tengok-tengok lah majlis yer…jangan main bedal saja.

Nasib baik lah kamu ni tidak bekerja dengan pak menteri kalau tidak dah lama kena pecat…

Pssssst jangan marah ini cuma nasihat..

Thursday, October 19, 2017

TRADE DAY KUD 2017 SASAR NILAI JUALAN RM10 JUTA



KUALA LUMPUR 19 Okt. - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menyasarkan nilai kontrak jualan sebanyak RM10 juta dapat dimeterai di antara pasar raya besar dan usahawan tempatan sepanjang Trade Day berlangsung di Karnival Usahawan Desa (KUD) 2017 yang bermula hari ini.


Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Trade Day merupakan satu platform jaringan perniagaan yang diper­kenalkan buat kali pertama di KUD 2017 yang mana wakil pasar raya besar dapat berinteraksi secara langsung dengan usahawan yang menyertai karnival itu.


“Lebih 40 wakil pasar raya besar seperti Tesco, Mydin, Lu’lu Hypermarket dan sebagainya telah dijemput untuk menyertai Trade Day KUD 2017 untuk membolehkan mereka menilai sendiri kualiti produk yang dijual usahawan tempatan.

“Untuk Trade Day KUD 2017 hari ini, kita sasar nilai kontrak jualan yang dapat dimeterai ialah sebanyak RM10 juta,” katanya selepas melawat gerai pameran KUD 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Awang Adek Hussin.

KUD 2017 berlangsung selama empat hari bermula hari ini hingga Ahad ini di PWTC disertai kira-kira 700 usahawan luar bandar dari seluruh negara.

Usahawan itu terdiri daripada enam kluster perniagaan iaitu makanan dan minuman, pertanian, gaya hidup, kesihatan dan kecantikan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perkhidmatan dan pelancongan.

Menurutnya, produk yang dipamer dan dijual di KUD 2017 itu memenuhi syarat dari segi pembungkusan dan kualiti yang ditetapkan pasar raya besar.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat beberapa ciri lain antaranya logo halal, bar kod dan kan­dungan nutrien pada produk masih lagi belum ditekankan usahawan tempatan.

“Masih ada lagi usahawan yang tidak memahami pentingnya untuk mereka memenuhi syarat yang ditetapkan pasar raya besar ini.

“Selepas ini kita akan beri taklimat kepada usahawan agar mereka lebih faham tentang keperluan yang diingini oleh pasar raya besar sebelum boleh memasarkan produk mereka di situ,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, usahawan tempatan juga perlu bersedia untuk memenuhi tiga ciri iaitu pembungkusan, kualiti dan jaminan bekalan secara berterusan untuk memastikan produk mereka dipilih untuk dipasarkan di pasar raya besar.


Wednesday, October 18, 2017

MASYARAKAT BUGIS DESAK MAHATHIR TARIK BALIK KENYATAAN HINA BUGIS



PUTRAJAYA 18 Okt. - Masyarakat berketuru­nan Bugis di negara ini berhimpun di hadapan bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap kenyataan berbaur perkauman terhadap mereka oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.


Perhimpunan secara aman melibatkan lebih 200 masyarakat Bugis itu diadakan selama lebih setengah jam dengan peserta-peserta perhimpunan membawa sepanduk antaranya tertulis ‘Kami bukan lanun’ dan ‘Mahathir berasal dari mana’ selain melaungkan ‘Kami bukan lanun’.


Timbalan Presiden Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia, Tasman Matto berkata, mewakili lebih 70,000 ahli persatuan tersebut di seluruh negara, beliau mendesak Dr. Mahathir menarik semula kenya­taannya itu sebelum pihaknya menganjurkan perhimpunan ban­tahan yang lebih besar pada masa akan datang.

“Kita juga akan membuat laporan polis di seluruh negara kalau Dr. Mahathir enggan menarik balik kenyataan itu kerana ia ternyata telah mengguris pe­rasaan masyarakat Bugis di negara ini yang merupakan sebahagian dari­pada anggota masyarakat di Malaysia sejak sekian lama.

“Kenyataan berbaur perkaum­an ini dikhuatiri akan mengganggu-gugat kestabilan negara dan tidak boleh keluar dari mulut seorang yang dikatakan sebagai negarawan. Kita masyarakat Bugis akan pastikan bahawa kita tidak akan menyokong pihak beliau kelak,” katanya kepada pembe­rita selepas perhimpunan tersebut.

Dr. Mahathir dalam Himpunan Anti-Kleptokrasi di Sela­ngor sebelum ini menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.

Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan itu telah mendatangkan kemarahan masyarakat Bugis seluruh negara dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri tersebut kerana dikatakan menghina kaum berkenaan.

Sementara itu, Tasman menambah, beliau juga akan menghantar memorandum bantahan kepada Dr. Mahathir secara peribadi jika berpeluang berbuat demikian memandangkan ba­ngunan Yayasan Kepimpinan Perdana telah ditutup hari ini.

Katanya, kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia boleh mendatangkan kesan kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini selain memberi persepsi salah terhadap kaum tersebut yang dianggarkan sebanyak satu juta orang di negara ini.

“Sejujurnya hati kami berasa pedih dengan penghinaan Dr. Mahathir ini. Ramai juga kaum keluarga bertanya tentang ini kepada kita termasuk yang berada di seberang. Oleh itu, kita desak agar ia ditarik balik serta-merta,” katanya.


Tuesday, October 17, 2017

WALAUPUN SAYA AHLI MKT, SAYA TAK TAHU DICALONKAN ATAU TIDAK



KEMAMAN 15 Okt. – Senarai nama calon Barisan Nasional (BN) yang kononnya bakal bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) seperti tular melalui aplikasi WhatsApp baru-baru ini dipercayai didalangi pihak pembangkang.



Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Sha­bery Cheek berkata, senarai yang turut mengandungi namanya itu merupakan propaganda musuh untuk memecahbelahkan parti.


“Ramai rakan bertanya sama ada saya akan bertanding atau tidak. Nama saya tenggelam timbul, malah ada yang kata saya bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal dan sebagai­nya. Saya tak kisah semua itu kerana saya anggap ia satu propaganda pembangkang.

“Walaupun saya seorang Ahli MT, saya sendiri tidak tahu bila tarikh pilihan raya dan sama ada dicalonkan atau tidak. Yang saya tahu, hanya seorang sahaja yang tahu mengenai perkara ini iaitu Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya ketika meras­mikan pelancaran jentera pilihan raya DUN Air Putih di Dewan Terbuka Kampung Pasir Gajah, dekat sini malam tadi.

Yang turut hadir, ADUN Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.


Monday, October 16, 2017

PERMAINAN TEKAN DADA DIHARAMKAN

BANGI, 16 Okt (Bernama) -- Permainan 'pass out challenge' atau mati lima saat diharamkan dimainkan pelajar di sekolah, kata Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Beliau berkata arahan itu berkuat kuasa serta merta agar tidak berlarutan.

"Pada saya ini sesuatu permainan yang haram, tidak boleh dimainkan dan perlu diambil tindakan tegas kepada mereka yang berkenaan.

"Bagaimana jika pemain yang bermain benar-benar mati. Sebab itu kita perlu tegas dan ambil tindakan segera," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kaunseling Antarabangsa Malindo Kelima di Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai video yang tular yang menunjukkan pelajar asrama bermain pass out challenge dengan bergilir-gilir menekan dada rakan-rakan mereka.....

PERUNTUKAN KKLW PALING BESAR UNTUK SARAWAK

KUCHING, 16 Okt (Bernama) -- Negeri Sarawak memperoleh peruntukan yang lebih besar daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berbanding negeri-negeri lain, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail, Sarawak mendapat peruntukan berjumlah RM3.374 bilion untuk projek bekalan elektrik luar bandarnya bagi tempoh 2010 hingga 2017, iaitu 48 peratus daripada seluruhan bajet untuk bekalan elektrik luar bandar di seluruh negara.


Katanya, negeri Sarawak juga diberi peruntukan berjumlah RM94.4 juta atau 24 peratus untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan RM177.9 (20.4 peratus) untuk perlaksanaan jalan luar bandar dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Di samping itu, katanya negeri Sarawak turut diberi peruntukan RM1.499 bil (25 peratus) untuk projek bekalan air luar bandar dalam RMK-10 dan RMK-11.

"Ini bermakna peruntukan yang disalurkan kepada negeri Sarawak adalah lebih besar dari segi peratusan berbanding yang diterima oleh negeri-negeri lain," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Luar Bandar kali kedua bagi tahun ini di sini, hari ini.

Ditanya mengenai projek sakit, Ismail berkata kesemua projek sakit di negeri Sarawak berjaya diselesaikan sebelum pilihan raya negeri yang lepas, begitu juga di seluruh negara.

Ismail juga menyatakan bahawa sebuah jawatankuasa kerja sudah ditubuhkan yang dipengerusi bersama oleh Ketua Setiausaha KKLW dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak yang akan bermesyuarat dari masa ke semasa dan memantau setiap projek yang dilaksanakan bagi mengelak projek dan mengesan projek sakit lebih awal.

Di samping itu, katanya sebuah jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan bersama oleh beliau sendiri dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Dougkas Uggah Embas turut ditubuhkan bagi tujuan membincangkan cadangan projek yang hendak dilaksanakan.

Mengenai PPRT, Ismail berkata mesyuarat hari ini bersetuju bahawa semua kerja baik pulih rumah diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk dilakukan secara gotong-royong atau mencari kontraktornya.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah pembinaan tadika Kemas, yang mana tanah milik kerajaan negeri dan dipindah kepada Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Malaysia dan bayaran premium dibuat kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata tanah rizab Orang Asli seluas 330,000 hektar sudah siap diukur dan akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diwartakan.

Ismail berkata mesyuarat hari ini turut membincang mengenai prestasi projek di bawah KKLW dan cadangan projek 'touch point' bagi tahun 2018.

Seramai Sembilan Exco Luar Bandar yang hadir ke mesyuarat itu ialah Exco Luar Bandar Melaka, Kedah, Terengganu, Pahang, Sabah, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak, manakala tiga exco luar bandar yang menghantar wakilnya ialah Kelantan, Selangor dan Johor, manakala tiada wakil dari Negeri Sembilan.

--BERNAMA

Sunday, October 15, 2017

TERDAPAT PIHAK YANG MAHU CETUSKAN KETIDAKSTABILAN NEGARA

PARIT, 15 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata terdapat pihak yang sentiasa mencari jalan untuk mencetuskan ketidakstabilan dalam negara dan sehubungan itu rakyat perlu bersatu padu menanganinya.

Beliau berkata ini terbukti menerusi beberapa penangkapan oleh pihak berkuasa terhadap individu yang disyaki terlibat dengan aktiviti atau kumpulan keganasan.

"Baru-baru ini terbaca kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun mengenai penangkapan telah dilakukan terhadap beberapa individu yang (mahu) merosakkan keselamatan negara kita.

"Kita berterima kasih kepada pihak keselamatan yang sentiasa memberi keutamaan kepada perkara tersebut (keselamatan) dan rakyat juga perlu bersatu padu walaupun berbeza latar belakang," katanya ketika berucap pada program Negaraku @ Komuniti peringkat Perak di sini, hari ini.

Program dua hari yang bermula semalam dirasmikan Menteri Besar PerakDatuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Pada Jumaat, Mohamad Fuzi berkata sebanyak 48 individu yang dikategorikan sebagai pengganas warga asing (FTF) ditahan oleh pihak berkuasa.

Dalam ucapannya, Salleh berkata rakyat tidak mempunyai pilihan selain daripada mengekalkan kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sekarang demi kelangsungan dan masa depan negara.

"Menjadi keinginan rakyat untuk mempunyai pemimpin yang sentiasa memahami kehendak mereka, kerajaan yang mampu menyediakan peluang kerja," katanya.

Selain itu, beliau berkata para pemimpin juga bukan hanya perlu turun padang bertemu rakyat di peringkat akar umbi dan menyelesaikan sebarang permasalahan tetapi perlu turut memberi penjelasan tentang isu-isu semasa.

Menurutnya, kementerian menerusi Jabatan Penerangan kini giat melaksanakan aktiviti berkonsepkan negaraku 1Malaysia iaitu Negaraku @ Komuniti di seluruh negara.

-- BERNAMA

Saturday, October 14, 2017

RAKYAT KENA TERIMA POLITIK BAHARU

KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Politik baharu dan roh perlembagaan negara perlu berjalan seiring untuk membina sebuah negara bangsa yang maju dan makmur dengan rakyatnya yang bersatu, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.


Dalam dunia globalisasi ini, beliau berkata rakyat harus menerima politik baharu untuk menjadikan negara mampu bersaing dengan dunia semasa.

"Menolak politik baharu adalah satu langkah ke belakang, tetapi dalam menerima kemunculan politik baharu tersebut, asas perlembagaan jangan ditinggalkan," katanya dalam catatan di blognya hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa politik baharu adalah politik yang berpisah daripada kerangka perkauman yang mengutamakan isu-isu sejagat sesuai dengan arus globalisasi.

"Politik baharu ini berkembang pesat kerana terobosan internet dan mendapat tempat di hati anak muda," katanya sambil menambah ramai merasakan politik baharu disukai.

Namun, bagi anak muda yang celik politik, Salleh berkata mereka menimbulkan satu pertanyaan: "Mana roh kenegaraan dalam politik baharu?".

"Kata mereka, jika mengutamakan hanya aspek globalisasi dan isu-isu sejagat sahaja, bagaimana pula dengan asas-asas pembentukan negara 'Apa gunanya politik baharu jika asas pembentukan negara ini dianaktirikan'," katanya yang berpendapat bahawa persoalan yang ditimbulkan itu adalah relevan.

-- BERNAMA

PROGRAM EKSPRESI MAMPU SEIMBANGKAN DUNIAWI DAN UKHRAWI



DUNGUN, 14 Okt (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata rakyat perlu menyeimbangkan kemajuan duniawi dan ukhrawi bagi mencapai matlamat Malaysia sebagai negara maju pada tahun 2020.

Beliau berkata perisai ukhrawi perlu dibina sebagai benteng pertahanan dalam memerangi pelbagai penyakit sosial yang akhirnya akan meruntuhkan akhlak masyarakat.

"Kita kena kembali kepada agama? apa pun pegangan agama rakyat Malaysia, kita harus perkukuhkan akhlak dan minda selaras dengan kemajuan terkini, ia perlu diutamakan.

"Terdapat negeri, daerah dan kawasan yang kita telah melabur banyak dari segi kemajuan dan pemberian pelbagai kemudahan tetapi akibat hanya beri kemajuan dari segi lahiriah semata-mata, kita (rakyat) hilang tempat berpijak, ini yang kita (kerajaan) mahu transformasikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ekspresi Negaraku dan Hari Sukan Negara peringkat negeri di Dataran Merdeka, Dungun, di sini, hari ini.



TPM Ahmad Zahid Hamidi dan MB Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman mencacakkan Jalur Gemilang pada replika Menara Petronas yang diperbuat daripada keropok lekor


Turut hadir Menteri Komunikasi dan MultimediaDatuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan timbalannya Datuk Jailani Johari, Menteri Besar TerengganuDatuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri TerengganuDatuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong.

Ahmad Zahid berkata Program Ekspresi Negaraku sebagai contoh mampu menterjemahkan keseimbangan dari segi kemajuan duniawi dan ukhrawi dengan penglibatan kerajaan, pihak swasta dan rakyat.

Program berkenaan, katanya dapat mengetengahkan ikon-ikon yang telah berjaya mentransformasikan diri mereka yang sebelum ini terlibat dalam gejala negatif kini kembali menyumbang kepada masyarakat dalam aspek positif.

Dalam nada bergurau beliau memberi contoh pelawak Nabil dan berkata: \"Contohnya Nabil, kalau dulu dia dikenali sebagai Mat Rempit, tetapi kini beliau sudah bergelar Haji Nabil, dan sikapnya kini semakin disenangi masyarakat,\" katanya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata masyarakat yang seimbang dari segi duniawi dan ukhrawi dapat menjamin kelangsungan kemajuan dalam tempoh yang lama.

"Kerajaan juga tidak akan pernah berhenti untuk melakukan transformasi selepas 2020 tetapi hingga 30 tahun akan datang (Transformasi Nasional 2050) kerana kita mahu Malaysia diiktiraf sebagai antara 20 negara maju dalam peta dunia,\" katanya.

-- BERNAMA

Friday, October 13, 2017

KESAN TINGKATKAN KESELAMATAN DI KAWASAN NELAYAN

KEMAMAN, 13 Okt (Bernama) -- Kumpulan Keselamatan Nelayan Nasional (Kesan) berkonsepkan kesukarelawanan yang dilancarkan hari ini bersempena Gelombang Nelayan Negara (GNN 2017) di Kuala Kerteh di sini akan dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan aktiviti keselamatan di kawasan nelayan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata Kesan adalah gabungan antara Sukarelawan Perikanan (Super) di bawah Jabatan Perikanan dan Kumpulan Keselamatan Nelayan (Kukenal) di bawah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) yang ditubuhkan beberapa tahun lepas.

"Kedua-dua kumpulan ini digabungkan untuk memantapkan dan meningkatkan sinergi kedua-dua pasukan," katanya selepas menyaksikan demonstrasi menyelamat melibatkan anggota Kesan, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di sini hari ini.

Ahmad Shabery berkata penggabungan ini menyaksikan jumlah anggota sukarelawan dalam kalangan nelayan terus bertambah sehingga hampir 8,500 orang di seluruh negara yang mana ia satu jumlah besar dan agensi kerajaan lain akan melengkapkan lagi keupayaan kumpulan ini.

Beliau berkata gabungan sukarelawan itu adalah satu inisiatif kerajaan dalam membantu misi bencana alam atau misi menyelamat bagi kemalangan di laut dan di darat yang melibatkan masyarakat nelayan.

"Kita tidak mahu ada lagi tragedi yang berlaku disebabkan kelalaian atau lambat bagi bantuan. Kesan akan bekerjasama dengan jabatan dan agensi keselamatan lain untuk tujuan ini," katanya.

Ditanya sama ada anggota Kesan mendapat perlindungan insurans, beliau berkata jumlah caruman hanya RM100 setahun dengan jumlah perlindungan ditingkatkan kepada RM150,000 berbanding RM100,000 sebelum ini.

"Caruman RM100 ini dipotong daripada elaun sara hidup yang diterima nelayan dan bagi nelayan yang tidak menerima elaun itu, mereka digalakkan membuat caruman sendiri untuk menikmati skim perlindungan itu," katanya.

Terdahulu, Ahmad Shabery yang juga Anggota Parlimen Kemaman turut menyampaikan replika cek sebanyak RM138,000 kepada 20 peserta yang terlibat dalam program Jaya Diri Kemaman untuk perniagaan.

-- BERNAMA






ROS PERKENAL PROJEK PERINTIS PENILAIAN TADBIR URUS BAIK

KUALA TERENGGANU, 13 Okt (Bernama) -- Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) telah memperkenalkan projek perintis Penilaian Tadbir Urus Baik Pertubuhan dalam memperkasakan imej pertubuhan ke tahap lebih unggul.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM), Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata program berkenaan telah dilancarkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri tahun lalu.

"Pengiktirafan tersebut akan diberi kepada sesebuah pertubuhan yang berjaya mentadbir berdasarkan lima prinsip Kod Tadbir Urus Baik.

"Penilaian Kod Tadbir Urus Baik ini juga akan dibuka kembali kepada semua pertubuhan mulai tahun 2018," katanya ketika berucap di Karnival Pertubuhan Kebangsaan yang dirasmikan Ahmad Zahid.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari, Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman, Ketua Setiusaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Sri Alwi Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Wan Nawawi Wan Ismail dan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu, Datuk Mohd Zubir Embong.....

Thursday, October 12, 2017

JENTERA SIBER BN DIMINTA TIDAK SEBAR FITNAH

KUALA TERENGGANU, 12 Okt (Bernama) -- Jentera siber Barisan Nasional (BN) termasuk UMNO diminta supaya tidak menyebarkan berita yang berunsur fitnah di media sosial.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merangkap Pengerusi Biro Informasi dan Teknologi (IT) UMNO, Datuk Ahmad Maslan berkata masih banyak pencapaian BN yang boleh diketengahkan terutama berkaitan kejayaan pemimpin parti dan pembangunan negara selain daripada menjadi pengadu-domba di media sosial.

"Saya yakin Jentera Siber BN mempunyai banyak modal (perkara) kerana setiap hari pelbagai program dan aktiviti yang dirangka dan boleh disebarkan demi kebaikan rakyat,"katanya kepada pemberita dalam sidang media selepas Program Bengkel Teknikal Maya peringkat negeri Terengganu.

Ahmad menarik perhatian agar jentera siber BN perlu menyebarkan perkara yang positif sebelum menjelangnya Pilihanraya Umum ke-14.

"Saya harap, kita dapat perangi fitnah media sosial dan minta jentera siber BN memerangi fitnah media sosial ini yang dibuat oleh pihak pembangkang kerana kita ada banyak perkara (positif) yang boleh disebarkan,"katanya.....

SKMM TELAH AMBIL TINDAKAN 3,047 AKAUN PALSU

KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyeru setiap rakyat Malaysia membantu mempertahankan negara daripada penyebaran berita palsu atau akaun media sosial palsu yang berniat buruk, berbaur fitnah dan berbentuk hasutan.

"Hormati kepelbagaian dan keharmonian perlu diperkukuhkan sebagai amalan kehidupan rakyat Malaysia," katanya dalam catatan terbaru dalam blog beliau di sskeruak.blogspot.my hari ini.

Beliau berkata sudah tiba masa untuk orang ramai menggunakan sepenuhnya inisiatif seperti portal sebenarnya.my dan menjadikan sebagai tabiat untuk menyemak kesahihan berita yang tular di laman sosial terlebih dahulu sebelum berkongsinya dengan orang lain.

Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan terhadap 3,047 akaun palsu yang dikenal pasti dalam pelbagai platform media sosial sejak Januari hingga September tahun ini.

Katanya, hampir 80 peratus daripada 3,047 akaun palsu itu telah dipadam oleh penyedia platform media sosial seperti Facebook dan Twitter kerana melanggar terma dan syarat yang ditetapkan oleh pembekal perkhidmatan masing-masing.

Walaupun gergasi internet seperti Facebook dan Twitter serta enjin pencarian terbesar China, Baidu Inc. (BIDU) bekerjasama dengan kerajaan namun mereka sentiasa tertekan untuk memperbaiki algoritma masing-masing dengan penggunaan gabungan teknologi dan kebenaran kandungan untuk meminimumkan berita palsu, katanya.

"Marilah kita mengingatkan diri sekiranya berjumpa dengan akaun yang disyaki palsu, berita atau maklumat palsu, kita perlu menggunakan kemudahan saluran pelaporan yang disediakan oleh penyedia platform media sosial untuk membuat aduan supaya tindakan dapat diambil dengan secepat mungkin.

"Kita juga boleh membuat aduan dengan SKMM. Adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk membangun, menghantar dan memuat naik kandungan berunsur lucah, sumbang, palsu, mengancam atau bersifat jelik," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, October 11, 2017

MASALAH RUMAHTANGGA BERI KESAN NEGATIF KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) -- Bekas Mufti Terengganu Datuk Ismail Yahya berkata masalah yang berlaku dalam rumah tangga antara suami dan isteri boleh memberi kesan negatif terhadap pembangunan negara.

Menurut Ismail, yang juga bekas Ketua Hakim Mahkamah Syarie di Terengganu, usaha pemerkasaan tidak perlu tertumpu kepada wanita sahaja tetapi juga kepada golongan lelaki agar kedua-dua pihak sedar akan hak serta tanggungjawab mereka dalam melayari bahtera perkahwinan.

"Apa yang berlaku sekarang ini ialah kedua-duanya (suami dan isteri) tidak tahu atau tidak faham tanggungjawab mereka terhadap anak-anak terutamanya selepas berlaku perceraian.

"Bila mereka bercerai, yang menjadi mangsa ialah anak-anak. Mereka (anak-anak) akan menjadi masalah kepada negara kerana apabila tidak terdidik, mereka akan menyumbang kepada berlakunya permasalahan sosial dalam kalangan masyarakat," katanya kepada wartawan selepas tamat forum 'Pemerkasaan Wanita, Pemerkasaan Malaysia' anjuran Institut Diplomasi dan Hubungan Antarabangsa (IDFR) di sini, hari ini.

Katanya sekiranya anak-anak yang tidak terdidik ini terlibat jenayah dan dipenjarakan, kerajaan juga perlu menanggung pembiayaan banduan di dalam penjara menggunakan duit rakyat, yang sepatutnya boleh digunakan untuk tujuan pembangunan negara.

Tuesday, October 10, 2017

FEDERALISME MALAYSIA: KERAJAAN PUSAT ATAU KERAJAAN PERSEKUTUAN?

KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini menyangkal dakwaan kononnya kerajaan pusat mengawal kuasa negeri di Malaysia.

Menyatakan dakwaan itu tidak betul, beliau menegaskan kerajaan Malaysia lebih tepat dipanggil sebagai kerajaan persekutuan dan bukannya kerajaan pusat kerana kerajaan Malaysia adalah milik semua rakyat dalam negara Persekutuan Malaysia.

"Malaysia adalah sebuah negara persekutuan. Ciri utama negara persekutuan ialah pembahagian kuasa antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri seperti yang ditetapkan oleh perlembagaan.

"Negara kesatuan pula adalah negara yang diselenggarakan oleh satu kesatuan tunggal, iaitu kerajaan yang mempunyai kuasa tertinggi. Wilayah-wilayahnya hanya menjalankan kekuasaan seperti yang dibenarkan oleh kerajaan pusat sahaja dan ini bermakna kerajaan pusat berkuasa untuk meluaskan, menyempitkan atau menghapuskan kuasa kerajaan wilayah,"katanya dalam catatannya di laman sskeruak.blogspot.my.

Salleh berkata ciri utama negara persekutuan ialah demokrasi dan perpaduan dalam kepelbagaian, bukannya seperti sistem kesatuan yang mana semua sumber kuasanya adalah terletak di tangan kerajaan pusat.

Beliau menjelaskan kerajaan pusat hanya sesuai dipanggil untuk negara kesatuan sahaja manakala bagi negara persekutuan, panggilan yang betul ialah kerajaan persekutuan kerana ia menjadi kerajaan kepada semua wilayah dalam persekutuan, bukannya memiliki semua kuasa seperti mana dalam sistem kesatuan.

Katanya, dalam sistem persekutuan, terdapat bidang-bidang tertentu yang kuasanya berada di tangan wilayah (negeri).

-- BERNAMA

Monday, October 9, 2017

KERAJAAN TIDAK TOLAK ANSUR KEMPEN BURUKKAN INDUSTRI MINYAK SAWIT

KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Kerajaan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang menjalankan kempen untuk memburuk-burukkan industri minyak sawit demi menjamin kehidupan 650,000 pekebun kecil, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata kerajaan tidak akan berdiam diri terhadap sebarang kempen anti minyak sawit dan akan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap mereka yang menggugat industri minyak sawit.

"Kita perlu bertindak terhadap semua kempen negatif terhadap minyak sawit. Kita harus bertindak balas secara rasional dengan mengemukakan fakta dan angka mengenai isu penebangan hutan dan kemusnahan hidupan liar," kata beliau pada Majlis Anugerah Kepimpinan Industri Minyak Sawit di sini malam ini.

Ahmad Zahid berkata, hari ini industri minyak sawit berdepan cabaran yang belum pernah terjadi sebelumnya dan terus menghadapi cabaran akibat kempen anti minyak sawit terutama di Kesatuan Eropah yang secara sistematik menjejaskan industri betrkenaan.

"Sebab itulah Malaysia perlu bergerak ke hadapan dengan menampilkan pensijilan yang mampan dan menggunapakai amalan pertanian terbaik. Kita harus menjenamakan minyak sawit dengan baik kerana ia adalah minyak serba guna dan berkhasiat," kata beliau.

Ahmad Zahid kemudian menyampaikan Anugerah Kepimpinan Industrit Minyak Sawit ke-10 kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC), Tan Sri Dr Yusof Basiron sementara Ketua Pegawai Operasi, Sektor Perladangan Felda Global Ventures Holdings, S. Palaniappan menerima Anugerah Kecemerlangan Sepanjang Hayat.

Diperkenalkan pada 2008, anugerah itu memberi pengiktirafan kepada tokoh-tokoh peneraju industri minyak sawit Malaysia yang memberi impak ke atas industri berkenaan pada tahun semasa atau tahun-tahun lalu.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata Malaysia mesti berada di barisan hadapan untuk memanfaatkan teknologi baharu untuk menambah nilai kepada industri minyak sawit.

Beliau berkata terdapat keperluan mendesak untuk menggunakan penjenteraan, pertanian jitu dan automasi dalam sektor huluan untuk mengurangkan penggantungan kepada tenaga buruh.

Tahun lepas, Malaysia menghasilkan hampir 20 juta tan minyak sawit dengan jumlah eksport bernilai RM67 bilion.

-- BERNAMA

Sunday, October 8, 2017

PENGURUSAN BENCANA DI SEMUA PERINGKAT DIPERKASAKAN

KUCHING, 8 Okt (Bernama) --Pengurusan bencana di semua peringkat pengurusan diperkasakan dengan melaksanakan beberapa kaedah dan mekanisme yang lebih baik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.



Beliau berkata, selain mewujudkan program seperti Civil Defense Emergency Response Team (CDERT), program Community Based Disaster Risk Management (CBDRM) turut dilaksanakan untuk memberi pengetahuan kepada penduduk tentang tempat tinggal dan penempatan mereka, seterusnya diterjemahkan dalam bentuk strategi dan pelan pengurusan bencana.

Katanya, ia sama dengan penubuhan 'Community Emergency Respond Team' (CERT) yang ditubuhkan dii Sarawak, yang berfungsi sebagai pasukan yang bertindak di peringkat awal di lokasi bencana sebelum ketibaan agensi penyelamat.

"Kerajaan juga telah banyak mengambil langkah proaktif dengan memberi tumpuan kepada pembinaan keupayaan bagi tiga golongan sasaran, iaitu agensi kerajaan, masyarakat yang terdedah kepada bencana dan badan bukan kerajaan (NGO) serta pihak swasta yang membantu.

"Dengan ini golongan sasaran akan lebih peka terhadap risiko dan bahaya bencana," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Bulan Kesiapsiagaan Nasional 2017 oleh Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah di Tebingan Kuching di sini hari ini.....

Saturday, October 7, 2017

FELCRA TUMPU BINA RUMAH GENERASI KEDUA

KUALA BERANG, 7 Okt (Bernama) -- Felcra Berhad (Felcra) mahu memberi tumpuan kepada pembinaan rumah untuk anak-anak peserta di kawasan penempatan tertentu menerusi Rumah Bina Negara yang dilaksanakan di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Pengerusinya Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata program rumah generasi kedua itu
dilaksanakan di seluruh negara bagi membolehkan anak-anak peserta Felcra yang tidak berkemampuan memiliki rumah sendiri.

"Di Terengganu, program ini dilaksanakan di Felcra Seri Bandi, Kemaman dan Felcra Bukit Kapah, Hulu Terengganu,"katanya kepada pemberita selepas majlis Pemimpin Bersama Peserta Felcra Berhad Hulu Berang di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia merangkap Anggota Parlimen Hulu Terengganu Datuk Jailani Johari, Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-Tugas Khas merangkap Anggota Dewan Undangan Negeri Ajil Ghazali Taib dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad Zulkarnain Mohd Eusope.

Bung Moktar berkata Felcra juga akan membantu peserta membaik pulih rumah mereka yang kebanyakannya dalam keadaan yang agak uzur.....

Friday, October 6, 2017

ISU BENDERA DAN LAGU UMNO BUKAN LUAR BIASA



PADANG TERAP, 6 Okt (Bernama) -- Isu bendera dikibarkan dan lagu UMNO berkumandang di Sekolah Kebangsaan Presint 14, Putrajaya pada Selasa tidak bersifat politik dan bukan sesuatu yang luar biasa, kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.


Beliau berkata elemen itu adalah antara aktiviti bersempena sambutan Hari Kebangsaan negara, yang dirancang pihak sekolah untuk menerangkan tentang perjalanan negara dalam memperoleh kemerdekaan.

"Negara kita merdeka hasil perjuangan UMNO dengan dibantu oleh MCA dan MIC. Ini dapat dilihat apabila Tunku Abdul Rahman yang pada ketika itu memegang jawatan Presiden UMNO pergi ke London untuk memperoleh kemerdekaan negara," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih di sini, hari ini.

Mahdzir berkata demikian ketika diminta mengulas pelajar-pelajar sekolah itu yang menyanyikan lagu UMNO dan mengibarkan bendera parti pada majlis anjuran sekolah berkenaan.

Menurutnya parti pembangkang yang menjadikan perkara itu sebagai isu politik boleh berkata apa sahaja kerana pada dasarnya mereka sendiri sedar bahawa UMNO, MCA dan MIC merupakan penyumbang kepada kemerdekaan negara...

Thursday, October 5, 2017

UCAM DICADANG TUKAR NAMA AGROSAINS



SERDANG, 5 Okt (Bernama) -- Nama panggilan Kolej Universiti Agrosains Malaysia iaitu UCAM dicadang dijenamakan semula kepada Agrosains.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata penjenamaan tersebut sejajar dengan misi menjadikan kolej universiti itu sebagai pilihan utama dalam menawarkan kursus pertanian kepada umum.

"Penekanan Agrosains dalam nama panggilan akan membantu kolej ini dikenali sebagai kolej pertanian kerana hampir keseluruhan kursus ditawarkan adalah berasaskan agrikultur dan sehingga kini telah melahirkan graduan yang mempunyai kepakaran dalam sektor pertanian,"katanya kepada pemberita selepas majlis Konvokesyen UCAM di Dewan Besar Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.

Seramai 814 graduan menerima sijil, diploma dan ijazah eksekutif dalam majlis konvokesyen UCAM ke-16 itu.

Turut hadir Timbalan Menteri KKLW Datuk Alexander Nanta Linggi, Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Naib Canselor UCAM Prof Datuk Dr Faridah Hanam Mohd Rashid.....

Wednesday, October 4, 2017

IRON LADY KEMBANGKAN 65 CAWANGAN SECURIFORCE

KUALA LUMPUR, 4 Okt (Bernama) -- Datuk Dr Maznah Abdul Hamid dikagumi kerana semangat kepimpinan dan keusahawanannya serta tokoh masyarakat disayangi yang terkenal dengan gelaran 'The Iron Lady'.

Dalam industri keselamatan yang dikuasai kaum lelaki, beliau meninggalkan nama sebagai pengasas Securiforce dan menerajui syarikat tersebut untuk menjadi antara syarikat menyediakan perkhidmatan kawalan keselamatan yang terbesar di Malaysia.

Seorang daripada usajawan wanita Melayu yang tersohor di Malaysia, keazamannya untuk berjaya dalam dunia perniagaan terserlah melalui kejayaannya membangunkan syarikat tersebut dengan hanya bermodalkan RM5,000 hasil duit simpananya.

Securiforce Group, yang beliau menjadi pengerusi eksekutif, sejak itu telah berkembang kepada lebih 65 cawangan dalam tempoh lebih 30 tahun dengan menawarkan pekerjaan kepada kira-kitra 6,000 orang ? hasil kejayaan seorang wanita yang dilihat sebagai simbol kuasa wanita yang berpegang teguh kepada kepercayaan bahawa ''modal utama dalam perniagaan adalah diri anda''.

Allahyarhamah, 62, menghembuskan nafas terakhirnya pada 6 petang tadi di Institut Jantung Negara (IJN) di sini selepas menjalani pembedahan pada 28 Sept untuk membetulkan saluran pada injab jantungnya yang tersumbat.....

Tuesday, October 3, 2017

RAIS CADANG SPRM DIBERI KUASA MENDAKWA



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi kuasa mendakwa sebagai langkah memperkasakan suruhanjaya itu dalam usaha membanteras gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.


Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, walau bagaimanapun menegaskan, kuasa tersebut perlu ada pemantauan panel khas supaya setiap tindakan diputuskan secara telus.


“Ini seperti di United Kingdom (UK) apabila agensi terlibat mempunyai kuasa mendakwa namun pada masa sama terdapat beberapa panel yang akan meneliti keputusan mereka. Ini menjadikan tindakan yang diputuskan sama ada mendakwa atau sebaliknya bukan ditentukan satu pihak sahaja.

“Walau bagaimanapun, kita masih tertakluk kepada undang-undang yang dibuat pada tahun 1957 iaitu kuasa mendakwa terletak sepenuhnya pada Peguam Negara termasuklah dalam kes-kes yang dikendalikan SPRM.

“Kita harap Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang bekerja keras supaya perundangan kita mengikut zaman demi kepentingan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Memperingati Syarahan Ahmad Ibrahim Ke-16 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Pada majlis tersebut, Rais yang juga pakar perlembagaan menyampaikan syarahan bertajuk Ke Arah Sistem Kedaulatan Undang-Undang Malaysia; ‘Apa Yang Lazim Mengenai Common Law?’.

Beliau mengulas isu penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) yang dibantah pelbagai pihak termasuk SPRM sendiri kerana dilihat mempunyai pertindihan tugas dengan suruhanjaya berkenaan.

Dalam pada itu, Rais berharap agar semua pihak dapat mengadakan perbincangan dan mendengar penjelasan berhubung penubuhan JITN sebelum menentang atau menyokong cadangan terbabit.



Monday, October 2, 2017

PANDANGAN DR MAHATHIR TENTANG DAP CETUSKAN PERSOALAN

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Kenyataaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini menyedari bahawa persepsinya terhadap DAP selama ini salah, hanya menimbulkan pelbagai persoalan dan pandangan berkenaan
sukar diterima, kata Bendahari UMNO Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Katanya jika Dr Mahathir menyedari persepsinya terhadap DAP selama ini salah mengapa beliau tidak meminta maaf kepada Lim Kit Siang dan parti itu semasa pelancaran gabungan pembangkang, Pakatan Harapan di Tampoi pada Jumaat yang turut dihadiri pemimpin veteran DAP tersebut.

"Yang jelasnya, (Dr) Mahathir sama sekali tidak menunjukkan kekesalannya tentang kesilapan persepsinya terhadap DAP sebelum ini. Melihat kepada hal ini, bolehkah kita terima pandangan politik (Dr) Mahathir hari ini.. Bagi saya, tentunya tidak," katanya dalam catatan terbaru blognya hari ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata ucapan Dr Mahathir dalam majlis berkenaan menimbulkan beberapa pertanyaan.

"Jika sudah menyedari persepsinya tentang DAP adalah salah, kenapa tidak bubarkan sahaja PPBM dan sertai DAP bagi membentuk parti pelbagai kaum yang tidak cauvinis.

"Jika Dr Mahathir mengakui tanggapannya terhadap DAP sebelum ini silap, maka apakah jaminannya yang tanggapannya tidak silap lagi pada kali ini.

"Apakah baru sekarang (Dr) Mahathir sedar DAP juga mempunyai anggota Melayu dan India ?

"Jika dahulu (Dr) Mahathir tidak boleh menerima politik 'Malaysian Malaysia' DAP, adakah sekarang beliau menerima perjuangan DAP ?"soal Salleh.

-- BERNAMA

Sunday, October 1, 2017

RATING TERTINGGI BAGI SEPTEMBER 2017

Bagi bulan September posting Mike Tyson ganti Anuar Musa? dapat rating tertinggi 152 hits. 10 rating tertinggi bagi bulan September ialah:-

1. Mike Tyson ganti Anuar Musa (17.9) - 152 hits
2. Mamak yang rugikan wang Bank Negara (9.9)
3. Kayveas isytihar tanding bebas (2.9)
4.Ketua cawangan kena jawab fitnah pembangkang (3.9)
5. DAP mampu kuasai negara jika orang melayu berpecah (3.9)
6. Keputusan PH tolak PAS beri kelebihan kepada BN (1.9)
7.Pelik tapi benar YB Exco Perumahan tapi rakyat tiada rumah (20.9)
8.Tutuplah pondok dan tahfiz yang tidak berdaftar demi keselamatan pelajar (16.9)
9.UCAM tawarkan diploma kepada Pengerusi JKKK (21.9)
10. Hindari amalan rasuah dan perpecahan (23.9)