Saturday, October 21, 2017
JANGAN TERPERANGKAP JERAT DAP
KUALA LUMPUR 21 Okt. – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mengingatkan kerajaan agar tidak terperangkap dalam jerat yang dipasang DAP menerusi pakatan politik atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong mereka.
IBRAHIM ALI
Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, kebelakangan ini pelbagai desakan dapat dilihat dilakukan oleh parti-parti politik dan NGO berikutan pilihan raya umum yang semakin hampir dan dikhuatiri kerajaan terlalu mengikut rentak mereka semata-mata kerana ingin meraih undi.
“Semua ini adalah taktik kotor yang dimainkan DAP yang mahukan kita mengikut kehendak mereka, namun apabila permintaan ditunaikan yang diangkat sebagai hero adalah DAP bukannya kerajaan.
“Lebih-lebih lagi permintaan melampau NGO, Dong Zong berikutan mahukan Sijil Pelajaran Bersepadu (UEC) dikuatkuasakan yang hanya satu mainan politik walaupun ternyata bercanggah dengan Perlembagaan yang memartabatkan bahasa Melayu,” katanya ketika merasmikan Persidangan Khas Perkasa Parlimen Lembah Pantai di sini hari ini.
Ibrahim mendakwa, DAP sememangnya licik dalam mengatur gerak terutamanya dalam Pakatan Harapan.
“Jika dahulu Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin bermati-matian tidak mahu UEC dibenarkan tetapi kini dia mula goyah kerana mahukan sokongan. Ini sudah cukup menunjukkan siapa ketua dalam pakatan tersebut. DAP mahu mengubah pelbagai perkara demi kepentingan mereka yang lambat laun, menjadi mangsa adalah orang Melayu di negara ini,” katanya.
Tambah beliau, apa yang penting kini adalah agenda nasional dan Perlembagaan perlu dipertahankan oleh kerajaan.
“Populariti yang dikecapi itu hanya sementara, namun negara yang akan menerima padahnya apabila perkara itu diubah dan memenuhi tuntutan DAP yang berselindung di belakang mereka,” katanya.
Ibrahim menarik perhatian keadaan yang berlaku setelah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan seperti penghinaan terhadap raja-raja Melayu, mempersendakan agama Islam, pesta arak dan sebagainya.
“ISA adalah satu contoh yang boleh diambil iktibar kerana desakan yang dibuat tidak disokong dalam bentuk undi, malah mereka terus menyokong DAP kerana dianggap berjaya menjadi pejuang,” katanya.
Labels:
dap,
ibrahim ali
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment