KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Presiden Parti Progresif Penduduk (MyPPP) Tan Sri M. Kayveas akan mengadakan pertemuan khas dengan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam bagi menyelesaikan kemelut yang melanda berkaitan calon kerusi Parlimen Cameron Highlands.
Kayveas dalam kenyataan hari ini berkata perjumpaan itu akan diadakan pada masa terdekat bagi membincangkan dan mencari jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan serta kemenangan Barisan Nasional (BN).
"Keputusan saya ini bertujuan untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan cara yang baik dan mengelakkan pertelingkahan. Saya juga bimbang jika keadaan ini berterusan dalam media sosial, ia akan menimbulkan ketegangan antara MyPPP dan MIC, sekaligus menjejaskan nama baik BN,"katanya.
Beliau berkata MyPPP yakin Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Pengerusi BN akan membuat keputusan terbaik dalam meletakkan calon paling sesuai bagi kerusi parlimen tersebut.
Kayveas sebelum ini mendakwa kerusi Parlimen Cameron Highlands akan dikembalikan kepada MyPPP berdasarkan janji bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 2000, namun, Dr Subramaniam menjelaskan bahawa kerusi tersebut kekal milik MIC seperti dimaklumkan Najib sebelum ini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment