Sunday, October 22, 2017

JANGAN HARAP STATUS QUO PARTI KOMPONEN BN

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) :Parti komponen Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak mengharapkan 'status quo' dalam agihan kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor Tan Sri Noh Omar berkata perkara itu antara amanat yang disampaikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN ​​​​dalam Pemukiman Jentera BN PRU ke-14 yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Noh berkata Najib mahu parti komponen bersikap bertoleransi dalam soal kuota kerusi yang ditandingi dan memberi fokus kepada matlamat untuk memastikan kemenangan dua pertiga BN pada pilihan raya umum itu.

"Parti komponen BN mesti ada toleransi, jangan bertanding untuk mewakili kaum tapi mesti ada semangatBN iaitu mewakili semua kaum di Malaysia.

"BN harus menghentikan amalan 'status quo' yang telah diamalkan pada PRU lepas dan kini sudah tiba masanya untuk melakukan perubahan," katanya ketika diminta mengulas mengenai pertemuan itu yang diadakan secara tertutup.

Anggota Parlimen Sungai Besar Budiman Mohd Zohdi pula berkata perkara lain yang turut dibangkitkan perdana menteri ialah sasaran untuk memastikan BN menang dengan majoriti dua pertiga pada PRU-14.

"Perdana menteri berkata kemenangan dua pertiga sangat penting kepada BN dan itu merupakan sasaran ditetapkan kepada semua parti komponen BN," katanya.

Dalam pada itu, Presiden MyPPP Tan Sri M. Kayveas berkata persediaan BN dalam menghadapi PRU ke-14 itu lebih sistematik dan mantap malah MyPPP telah membuat persediaan lebih baik berbanding PRU lepas.

"Saya melihat BN kali ini lebih bersedia. Jentera PRU MyPPP kini membuat persediaan lebih tersusun dan terancang dengan bantuan Jalinan Rakyat Plus (JR Plus). Penubuhan JR Plus banyak memberi kesan positif di peringkat akar umbi," kata Kayveas.

JR Plus yang diwujudkan tahun ini berperanan sebagai perantara kerajaan dengan rakyat, dan ia menggabungkan jentera pilihan raya sayap UMNO iaitu Wanita, Pemuda dan Puteri selain turut melibatkan penyertaan parti komponen BN dan sayap masing-masing.

Pengerusi BN Pulau Pinang, Teng Chang Yeow berkata pelbagai persediaan PRU telah dibuat dengan lancar sejak pemukiman diadakan di Institut Latihan Memperkasa UMNO (ILMU) di Janda Baik, Pahang beberapa bulan lepas.

"Persediaan untuk menghadapi PRU telah pun siap, cuma menunggu arahan daripada pucuk pimpinan BN untuk menggerakkan jentera PRU semua parti komponen BN. Persediaan ​​​PRU-14 ini berbeza berbanding dahulu," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment