Monday, October 16, 2017

PERUNTUKAN KKLW PALING BESAR UNTUK SARAWAK

KUCHING, 16 Okt (Bernama) -- Negeri Sarawak memperoleh peruntukan yang lebih besar daripada Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) berbanding negeri-negeri lain, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail, Sarawak mendapat peruntukan berjumlah RM3.374 bilion untuk projek bekalan elektrik luar bandarnya bagi tempoh 2010 hingga 2017, iaitu 48 peratus daripada seluruhan bajet untuk bekalan elektrik luar bandar di seluruh negara.


Katanya, negeri Sarawak juga diberi peruntukan berjumlah RM94.4 juta atau 24 peratus untuk pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan RM177.9 (20.4 peratus) untuk perlaksanaan jalan luar bandar dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK-11).

Di samping itu, katanya negeri Sarawak turut diberi peruntukan RM1.499 bil (25 peratus) untuk projek bekalan air luar bandar dalam RMK-10 dan RMK-11.

"Ini bermakna peruntukan yang disalurkan kepada negeri Sarawak adalah lebih besar dari segi peratusan berbanding yang diterima oleh negeri-negeri lain," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Luar Bandar kali kedua bagi tahun ini di sini, hari ini.

Ditanya mengenai projek sakit, Ismail berkata kesemua projek sakit di negeri Sarawak berjaya diselesaikan sebelum pilihan raya negeri yang lepas, begitu juga di seluruh negara.

Ismail juga menyatakan bahawa sebuah jawatankuasa kerja sudah ditubuhkan yang dipengerusi bersama oleh Ketua Setiausaha KKLW dan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sarawak yang akan bermesyuarat dari masa ke semasa dan memantau setiap projek yang dilaksanakan bagi mengelak projek dan mengesan projek sakit lebih awal.

Di samping itu, katanya sebuah jawatankuasa tertinggi yang dipengerusikan bersama oleh beliau sendiri dan Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Dougkas Uggah Embas turut ditubuhkan bagi tujuan membincangkan cadangan projek yang hendak dilaksanakan.

Mengenai PPRT, Ismail berkata mesyuarat hari ini bersetuju bahawa semua kerja baik pulih rumah diserahkan kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk dilakukan secara gotong-royong atau mencari kontraktornya.

Turut dibincangkan dalam mesyuarat tersebut ialah pembinaan tadika Kemas, yang mana tanah milik kerajaan negeri dan dipindah kepada Ketua Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Malaysia dan bayaran premium dibuat kepada kerajaan negeri.

Beliau berkata tanah rizab Orang Asli seluas 330,000 hektar sudah siap diukur dan akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk diwartakan.

Ismail berkata mesyuarat hari ini turut membincang mengenai prestasi projek di bawah KKLW dan cadangan projek 'touch point' bagi tahun 2018.

Seramai Sembilan Exco Luar Bandar yang hadir ke mesyuarat itu ialah Exco Luar Bandar Melaka, Kedah, Terengganu, Pahang, Sabah, Pulau Pinang, Perak, Sabah dan Sarawak, manakala tiga exco luar bandar yang menghantar wakilnya ialah Kelantan, Selangor dan Johor, manakala tiada wakil dari Negeri Sembilan.

--BERNAMA

No comments:

Post a Comment