Wednesday, October 18, 2017
MASYARAKAT BUGIS DESAK MAHATHIR TARIK BALIK KENYATAAN HINA BUGIS
PUTRAJAYA 18 Okt. - Masyarakat berketurunan Bugis di negara ini berhimpun di hadapan bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini bagi menyatakan bantahan terhadap kenyataan berbaur perkauman terhadap mereka oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini.
Perhimpunan secara aman melibatkan lebih 200 masyarakat Bugis itu diadakan selama lebih setengah jam dengan peserta-peserta perhimpunan membawa sepanduk antaranya tertulis ‘Kami bukan lanun’ dan ‘Mahathir berasal dari mana’ selain melaungkan ‘Kami bukan lanun’.
Timbalan Presiden Persatuan Perpaduan Rumpun Bugis Melayu Malaysia, Tasman Matto berkata, mewakili lebih 70,000 ahli persatuan tersebut di seluruh negara, beliau mendesak Dr. Mahathir menarik semula kenyataannya itu sebelum pihaknya menganjurkan perhimpunan bantahan yang lebih besar pada masa akan datang.
“Kita juga akan membuat laporan polis di seluruh negara kalau Dr. Mahathir enggan menarik balik kenyataan itu kerana ia ternyata telah mengguris perasaan masyarakat Bugis di negara ini yang merupakan sebahagian daripada anggota masyarakat di Malaysia sejak sekian lama.
“Kenyataan berbaur perkauman ini dikhuatiri akan mengganggu-gugat kestabilan negara dan tidak boleh keluar dari mulut seorang yang dikatakan sebagai negarawan. Kita masyarakat Bugis akan pastikan bahawa kita tidak akan menyokong pihak beliau kelak,” katanya kepada pemberita selepas perhimpunan tersebut.
Dr. Mahathir dalam Himpunan Anti-Kleptokrasi di Selangor sebelum ini menyebut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, mungkin berasal dari lanun Bugis yang sesat ke Malaysia dan memintanya balik ke Bugis.
Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan itu telah mendatangkan kemarahan masyarakat Bugis seluruh negara dengan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri tersebut kerana dikatakan menghina kaum berkenaan.
Sementara itu, Tasman menambah, beliau juga akan menghantar memorandum bantahan kepada Dr. Mahathir secara peribadi jika berpeluang berbuat demikian memandangkan bangunan Yayasan Kepimpinan Perdana telah ditutup hari ini.
Katanya, kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu perlu dipandang serius oleh semua pihak kerana ia boleh mendatangkan kesan kepada perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara ini selain memberi persepsi salah terhadap kaum tersebut yang dianggarkan sebanyak satu juta orang di negara ini.
“Sejujurnya hati kami berasa pedih dengan penghinaan Dr. Mahathir ini. Ramai juga kaum keluarga bertanya tentang ini kepada kita termasuk yang berada di seberang. Oleh itu, kita desak agar ia ditarik balik serta-merta,” katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment