KUALA LUMPUR, 12 Okt (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak menyeru setiap rakyat Malaysia membantu mempertahankan negara daripada penyebaran berita palsu atau akaun media sosial palsu yang berniat buruk, berbaur fitnah dan berbentuk hasutan.
"Hormati kepelbagaian dan keharmonian perlu diperkukuhkan sebagai amalan kehidupan rakyat Malaysia," katanya dalam catatan terbaru dalam blog beliau di sskeruak.blogspot.my hari ini.
Beliau berkata sudah tiba masa untuk orang ramai menggunakan sepenuhnya inisiatif seperti portal sebenarnya.my dan menjadikan sebagai tabiat untuk menyemak kesahihan berita yang tular di laman sosial terlebih dahulu sebelum berkongsinya dengan orang lain.
Menurutnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah mengambil tindakan terhadap 3,047 akaun palsu yang dikenal pasti dalam pelbagai platform media sosial sejak Januari hingga September tahun ini.
Katanya, hampir 80 peratus daripada 3,047 akaun palsu itu telah dipadam oleh penyedia platform media sosial seperti Facebook dan Twitter kerana melanggar terma dan syarat yang ditetapkan oleh pembekal perkhidmatan masing-masing.
Walaupun gergasi internet seperti Facebook dan Twitter serta enjin pencarian terbesar China, Baidu Inc. (BIDU) bekerjasama dengan kerajaan namun mereka sentiasa tertekan untuk memperbaiki algoritma masing-masing dengan penggunaan gabungan teknologi dan kebenaran kandungan untuk meminimumkan berita palsu, katanya.
"Marilah kita mengingatkan diri sekiranya berjumpa dengan akaun yang disyaki palsu, berita atau maklumat palsu, kita perlu menggunakan kemudahan saluran pelaporan yang disediakan oleh penyedia platform media sosial untuk membuat aduan supaya tindakan dapat diambil dengan secepat mungkin.
"Kita juga boleh membuat aduan dengan SKMM. Adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 untuk membangun, menghantar dan memuat naik kandungan berunsur lucah, sumbang, palsu, mengancam atau bersifat jelik," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment