Tuesday, October 3, 2017

RAIS CADANG SPRM DIBERI KUASA MENDAKWA



KUALA LUMPUR 3 Okt. - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi kuasa mendakwa sebagai langkah memperkasakan suruhanjaya itu dalam usaha membanteras gejala rasuah dan penyalahgunaan kuasa.


Penasihat Sosiobudaya Kerajaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim, walau bagaimanapun menegaskan, kuasa tersebut perlu ada pemantauan panel khas supaya setiap tindakan diputuskan secara telus.


“Ini seperti di United Kingdom (UK) apabila agensi terlibat mempunyai kuasa mendakwa namun pada masa sama terdapat beberapa panel yang akan meneliti keputusan mereka. Ini menjadikan tindakan yang diputuskan sama ada mendakwa atau sebaliknya bukan ditentukan satu pihak sahaja.

“Walau bagaimanapun, kita masih tertakluk kepada undang-undang yang dibuat pada tahun 1957 iaitu kuasa mendakwa terletak sepenuhnya pada Peguam Negara termasuklah dalam kes-kes yang dikendalikan SPRM.

“Kita harap Pesuruhjaya Penyemak Undang-undang bekerja keras supaya perundangan kita mengikut zaman demi kepentingan semua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Memperingati Syarahan Ahmad Ibrahim Ke-16 di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Yang hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob; Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin dan bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang.

Pada majlis tersebut, Rais yang juga pakar perlembagaan menyampaikan syarahan bertajuk Ke Arah Sistem Kedaulatan Undang-Undang Malaysia; ‘Apa Yang Lazim Mengenai Common Law?’.

Beliau mengulas isu penubuhan Jabatan Integriti dan Tadbir Urus Negara (JITN) yang dibantah pelbagai pihak termasuk SPRM sendiri kerana dilihat mempunyai pertindihan tugas dengan suruhanjaya berkenaan.

Dalam pada itu, Rais berharap agar semua pihak dapat mengadakan perbincangan dan mendengar penjelasan berhubung penubuhan JITN sebelum menentang atau menyokong cadangan terbabit.



No comments:

Post a Comment