KUALA LUMPUR, 27 Okt (Bernama) -- Fasa pertama Zon Perdagangan Bebas Digital (DFTZ) untuk 1,500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terbabit dalam ekonomi digital dijangka menarik pelaburan RM700 juta serta mewujudkan 2,500 pekerjaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat hari ini berkata, berikutan itu kerajaan akan menyediakan RM83.5 juta bagi membina infrastruktur untuk fasa pertama DFTZ di Aeropolis, KLIA.
Kerajaan juga akan meningkatkan nilai minimum untuk import daripada RM500 kepada RM800 untuk menjadikan Malaysia sebagai hab e-dagang serantau, katanya.
"Malaysia akan menjadi hab pertama di luar China untuk mewujudkan DFTZ yang merangkumi hab e-pemenuhan, hab perkhidmatan satelit dn platform e-perkhidmatan bagi merangsang pertumbuhan dalam perdagangan elektronik," katanya.
Najib berkata, DFTZ akan merubah KLIA sebagai pintu masuk serantau.
Sementara itu, seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan era ekonomi digital, kerajaan akan melaksana Dasar Digital Malaysia.
"Bagi menyokong aktiviti perniagaan dan pelaburan IR 4.0, kerajaan akan menyediakan geran sepadan bernilai RM245 juta di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi menaik taraf kemudahan pengeluaran pintar," katanya.
Selain itu, Pusat Masa Depan di Cyberjaya akan diperkukuh sebagai pusat sehenti untuk syarikat korporat dan universiti membangunkan produk prototaip dan melonjakkan inovasi.
"Kerajaan juga akan memberi galakan cukai seperti melanjutkan tempoh insentif untuk Elaun Modal Dipercepatkan sebanyak 200 peratus ke atas kelengkapan automasi dari tahun taksiran 2018 hingga 2020," katanya.
Menurutnya, kerajaan juga akan memberi galakan elaun modal dipercepatkan sebanyak 200 peratus untuk sektor pengilangan dan perkhidmatan berkaitan pengilangan.
Sementara itu elaun modal peralatan ICT, termasuk perbelanjaan pembangunan perisian komputer, layak dituntut sepenuhnya mulai tahun taksiran 2018 hingga 2020.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment