Thursday, May 31, 2018

RAFIZI TERLEPAS DARIPADA HUKUMAN PENJARA

PUTRAJAYA, 1 Jun (Bernama) -- Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli terlepas daripada hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan beliau dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bagi kesalahan mendedahkan satu muka surat laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, membenarkan rayuan Mohd Rafizi bagi dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Rafizi, 41, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen pada 2016 bagi kesalahan itu dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu pada tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud tidak membantah permohonan bagi dikenakan bon berkelakuan dikemukakan peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili naib presiden PKR itu.

Pihak pendakwaan juga menarik balik rayuan balas terhadap pembebasan Mohd Rafizi daripada pertuduhan pertama iaitu memiliki laporan audit tanpa kebenaran.

TAJUDDIN UMUM AHAD INI TANDING JAWATAN PENTING UMNO

PASIR SALAK, 31 Mei (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan peringkat tertinggi parti itu pada pemilihan akan datang.

Beliau yang juga Anggota Parlimen Pasir Salak bagaimanapun berkata jawatan yang bakal ditandinginya itu akan diumumkan secara rasmi dalam satu sidang media di ibu negara pada Ahad ini.

Tajuddin berkata berdasarkan pengalaman selama 42 tahun menjadi anggota UMNO, beliau yakin dapat membantu mengembalikan zaman kegemilangan parti itu.

"Saya berharap kepimpinan UMNO yang terpilih kali ini biarlah mereka yang betul-betul memahami cabaran ketika ini dan apa yang perlu dilakukan untuk hadapi cabaran getir ini.

"Bagi saya kepimpinan UMNO amat penting kerana mereka yang akan menerajui 3.7 juta anggota UMNO untuk meneruskan obor perjuangan parti," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bahagian Pasir Salak di sini, malam tadi.

Tuesday, May 29, 2018

JANGAN GOPOH AMBIL TINDAKAN TERHADAP GLC

IPOH, 29 Mei (Bernama) -- Kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Harapan (PH) dinasihatkan supaya tidak terburu-buru dalam mengambil sebarang tindakan ke atas syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri masing-masing, khususnya selepas peralihan kuasa.

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata menteri besar dan ketua menteri perlu mengambil tindakan yang dirasakan perlu berdasarkan kepada tadbir urus baik demi faedah kepada rakyat.

"Jangan gopoh mengambil tindakan, jangan sebab dendam dan iri hati. Saya tiada masalah dengan GLC kalau prestasinya baik dan jika menteri besar rasa ia sesuai diteruskan, saya tiada pandangan negatif, kita terima (diteruskan).

"Tetapi jika terbukti di peringkat persekutuan berlaku pembaziran, pertindihan dan pembayaran elaun keterlaluan kepada tokoh politik, ini harus dihentikan," katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu dan barisan exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Dalam konteks Perak, Anwar berkata menteri besar dan exco perlu memberi perhatian terhadap mana-mana GLC yang didapati melanggar tadbir urus terbaik.

Monday, May 28, 2018

KERJA PEMULIHAN TAMAN ILMU SECARA BERPERINGKAT

BESUT, 28 Mei (Bernama) -- Kerja-kerja pemulihan Taman Ilmu di Tembila di sini, akan dilaksana secara berperingkat bagi memastikan ia memberi manfaat kepada semua pihak, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata kerja membaik pulih kawasan seluas 280 hektar itu tidak boleh dijalankan serentak kerana ia membabitkan kos sangat tinggi sekitar RM400 juta sepertimana kos asal pembinaannya yang bertaraf projek mega.

Sehubungan itu, katanya kerja pemulihan peringkat awal akan memberi tumpuan kepada pembaikan secara minimum bagi membolehkan tempat tersebut dapat dihuni oleh pelajar dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang berminat beroperasi di kawasan berkenaan.

"Ada beberapa peringkat sebenarnya kerana kalau kita nak buat sekali gus memang menelan belanja dan masa yang sangat panjang sedangkan kita perlu mencari jalan untuk selamatkan tempat ini dahulu.

"Kita perlu merangka perancangan supaya limpahan ekonomi dapat dinikmati penduduk setempat dengan cara melibatkan penyertaan masyarakat melalui pembangunan kawasan ini. Hal ini akan merancakkan perkembangan ekonomi dan menjadi tumpuan dan tarikan untuk datang ke sini," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan di sekitar Taman Ilmu hari ini

Sunday, May 27, 2018

AMANAH UTAMAKAN BANTERAS RASUAH DARIPADA RUU355

TASEK GELUGOR, 27 Mei (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) belum membuat pendirian terhadap usul Rang Undang-undang Pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (RUU 355) untuk dibentangkan di Parlimen.

Presiden AMANAH Mohamad Sabu berkata pihaknya akan membincangkan perkara itu dalam mesyuarat parti akan datang dan seterusnya menyatakan pendirian berhubung perkara itu.

"Kami akan bincang dalam mesyuarat parti AMANAH akan datang dan daripada situ kami akan ambil pendirian. Kami akan bincang dengan tokoh-tokoh kita khasnya yang mahir tentang keagamaan dan RUU 355 ini," katanya kepada pemberita pada majlis berbuka puasa di kediamannya di Kampung Guar Petai, di sini hari ini.

Mohamad yang juga Menteri Pertahanan berkata buat masa sekarang perkara yang menjadi keutamaan parti dan parti komponen dalam Pakatan Harapan adalah membanteras rasuah dan penyelewengan.

"Itu yang paling utama, menyelamatkan Malaysia...menyelamatkan rakyat ini paling penting. Ini keutamaan kami," katanya.

Saturday, May 26, 2018

ZAHID AKUR PILIHAN TUANKU BUKAN BERMAKNA ZAHID LEMAH


KANGAR: Datuk Ismail Kassim mendakwa krisis menteri besar Perlis berpunca daripada kelemahan Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi dan Naib presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang itu mendakwa kedua-dua mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik meskipun BN hanya memenangi dua negeri sahaja pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kelemahan ini berpunca pucuk pimpinan parti yang lemah selepas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak letak jawatan. Hishammuddin dan Zahid tak menepati kriteria memimpin parti setakat ini.

“Dan setakat ini, mereka buat keputusan ini, negeri yang sekecil ini... tak dapat diselesaikan dengan bijaksana,” katanya kepada Malaysiakini di luar Balai Polis Jalan Eusoff, semalam.

Malah Ismail turut melahirkan hilang keyakinan terhadap Zahid dan Hishammuddin.

“... mungkin dalam pemilihan agung Umno nanti saya dan rakan-rakan perwakilan akan memikirkan orang baru, yang ada nafas baru untuk memimpin Umno,” katanya.

Ismail turut memberi saranan kepada Zahid untuk mencari orang kanan di kalangan mereka yang menang dalam PRU14 supaya tidak mengulangi kesilapan Najib.

“Datuk Seri Zahid kalau ingin berkuasa, (jadi) pemimpin yang dihormati, pakailah orang di kiri kanan yang menang dalam PRU, jangan pakai orang kalah PRU,” katanya.


Khamis lalu kesemua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis memulaukan istiadat angkat sumpah Menteri Besar  (MB) Azlan Man kerana mahukan Ismail, adik pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan dilantik ke jawatan itu.

Menyifatkan Azlan tidak mempunyai sokongan majoriti ADUN dan tidak patuh pada keputusan BN negeri, Shahidan 'memecat' menteri besar dan mengisytiharkannya wakil bebas.

Pemulauan majlis itu juga menyebabkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dan menegaskan tidak mahu seorang menteri besar boneka.

Ismail menafikan menjadi boneka sesiapa dan mencadangkan pihak lain dilantik selain beliau dan Azlan.

Ulasan saya, sehari sebelum istiadat mengangkat sumpah MB Perlis yang baru, Zahid dan Hishamuddin sudah pergi ke istana menemui Raja Perlis. Maka mereka akur dengan pilihan Raja Perlis kerana ia adalah kuasa Raja Perlis melantik mana mana ADUN sebagai MB.

Oleh itu tidak timbul kononnya kepimpinan Zahid amat lemah kerana tunduk kepada pilihan Raja yang mengenepikan pilihan sembilan ADUN yang mahu Ismail Kassim sebagai MB Perlis.

Sebagai pemimpin yang patuhi perintah Raja maka Zahid dan Hishamuddin kena terima pilihan Tuanku.

Hishamuddin pula berkata keputusan pelantikan Azlan sebagai MB haruslah dihormati kerana semestinya Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah mengambil pertimbangan yang sebaiknya untuk rakyat di negeri itu.

"Perkara seperti ini tidak boleh berlaku. Setiap daripada pemimpin Umno harus berjiwa besar dan menampilkan kepimpinan yang terbaik.

"Dalam keadaan Umno yang masih dalam proses pemulihan, rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan kita. Rakyat telah berikan mandat kepada BN untuk memimpin di Perlis dan kepercayaan ini harus dilaksanakan dengan penuh amanah," katanya dalam catatan di laman sosial Instagram beliau malam tadi.

Mengenai pemecatan anggota Umno, Hishammuddin yang menjalankan tugas timbalan presiden parti itu, ​​​​​berkata sebarang keputusan untuk memecat anggota parti perlu dibawa kepada Lembaga Disiplin dan merupakan kuasa Majlis Tertinggi Umno, dan bukannya pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Oleh itu sembilan ADUN hendaklah akur dengan pilihan Tuanku. Buat malu rakyat Perlis soal sekecil ini pun berbalah macamlah Perlis kaya sangat sampai berebut jadi MB. 

Yang peliknya kenapa Shahidan tidak cadangkan nama lain yang mungkin boleh diterima Tuanku sebaliknya mencadangkan nama adiknya. Itu yang rakyat Perlis tak faham dengan Shahidan.

Ini kesilapan Najib melantik Shahidan sebagai pengerusi perhubungan Umno Perlis. Sepatutnya dari awal Azlan Man dilantik pengerusi perhubungan Umno Perlis, maka kemelut ini tidak akan berlaku kerana Azlan bebas memilih calonnya sendiri. Sebaliknya calon-calon  pilihan Azlan digantikan oleh Shahidan.

Rakyat meluat dengan Umno seperti kata Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati bila hal remeh temeh ini berlaku. Takkan nak bazirkan duit dengan mengadakan pilihanraya negeri Perlis sekali lagi.

Friday, May 25, 2018

PPBM DIGESA BUAT PETISYEN SEMUA KERUSI DIMENANGI UMNO



PETALING JAYA: Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan menggesa PPBM mempetisyen semua kerusi yang dimenangi Umno bagi mengesahkan keputusan pilihan raya 9 Mei lepas.

Ahli Jawatankuasa Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) itu khuatir terdapat kemungkinan unsur manipulasi semasa pengiraan undi bagi menyekat kemenangan PPBM, pesaing utama Umno dalam politik orang Melayu.

Mengambil pengalamannya sebagai contoh, Khairuddin yang tewas di Parlimen Jasin berkata PPBM mendahului di peringkat permulaan pengiraan undi tetapi diisytiharkan tewas dengan majoriti 219 undi pada 3.00 pagi.

Keputusan penuh pilihan raya umum ke-14 hanya diketahui di awal pagi 10 Mei.


Beliau turut mengambil contoh kes Borang Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi, atau Borang 14, yang tidak ditandatangani ketua tempat mengundi serta tidak diserah pada wakil calon.

Borang 14 yang ditandatangani ketua tempat mengundi mengisytiharkan kemenangan calon-calon pilihan raya.

“Saya sarankan calon-calon PPBM masuk petisyen bantahan serta minta disemak semula kertas undi khususnya di kerusi dimenangi Datuk Seri Azalina Othman Said (Pengerang), Khairy Jamaluddin (Rembau) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong).

“Bahkan, banyak lagi kerusi-kerusi yang dimenangi calon Umno amat menyangsikan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau sudah membuat laporan polis atas keputusan diumumkan SPR berkenaan dan dalam proses menghantar petisyen mahkamah untuk membantah keputusan pilihan raya.

“Kita tidak boleh kompromi dengan segala bentuk salah laku penipuan pengiraan undi. Sesiapa yang terlibat mesti dihukum secara tegas dan seadil-adilnya.

“Kalangan pengkhianat dan ‘parasit’ ini mesti dihukum oleh undang-undang kerana mencemarkan amalan demokrasi,” katanya.

Thursday, May 24, 2018

MB UMUM PORTFOLIO UNTUK 10 ORANG EXCO

SEREMBAN, 24 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun hari ini mengumumkan 15 portfolio yang diwujudkan bagi memastikan dasar-dasar kerajaan negeri dapat dilaksanakan dan rakyat mendapat perkhidmatan yang terbaik.

Aminuddin berkata beliau akan memegang lima portfolio iaitu Kewangan, Tanah dan Sumber Alam; Agama Islam; Keselamatan; Pelancongan; serta Infrastruktur dan Kemudahan Awam.

Portfolio lain iaitu Kesejahteraan Bandar, Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kampung Baru dipegang oleh Teo Kok Seong; Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan (Dr Mohamad Rafie Ab Malek); Pembangunan Belia dan Sukan (Mohamad Taufek Abd Ghani); Pembangunan Luar Bandar (Ismail Ahmad) dan Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam (J. Arul Kumar).

Portfolio Pertanian dan Industri Asas Tani (Bakri Sawir); Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan (S. Veerapan); Kesenian, Kebudayaan dan Adat Istiadat Melayu (Mohamad Nazaruddin Sabtu); Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan (Nicole Tan Lee Koon); dan Perpaduan, Penerangan dan Integrasi Nasional (Choo Ken Hwa).

Dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco kali pertama, Aminuddin berkata kesemua Exco yang dilantik dipilih berdasarkan kriteria seperti pengalaman dan kebolehan melaksanakan tanggungjawab, bagi memastikan Negeri Sembilan dapat ditadbir dalam suasana harmoni.

Wednesday, May 23, 2018

AMK GESA KERAJAAN BEKU ASET BEKAS MENTERI KABINET NAJIB

GEORGE TOWN, 23 Mei (Bernama) -- Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggesa kerajaan membekukan aset dan harta milik menteri kabinet dan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan tidak berlaku aliran wang keluar atau cubaan membawa lari aset dari dalam negara.

Timbalan Ketua AMK Dr Afif Baharudin berkata ini kerana AMK berpendapat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu kesalahan bersama dan setiap menteri kabinet dan angggota Parlimen BN ketika pentadbiran Najib turut sama 'bersubahat' membenarkannya terus berlaku.

"Angkatan Muda Keadilan terkesan dengan pengumuman Menteri Kewangan yang baharu Lim Guan Eng bahawa sejak April 2017, rakyat Malaysia melalui Kementerian Kewangan telah terpaksa membayar hampir RM7 billion bagi melangsaikan pembayaran hutang yang ditinggalkan daripada penyelewengan 1MDB.

"Pengumuman ini sememangnya telah membenarkan segala dakwaan kami selama ini bahawa regim UMNO-BN telah menggunakan dana awam dan secara langsung memaksa rakyat untuk menanggung beban hutang daripada ketirisan dan kebocoran yang diakibatkan oleh pelaksanaan 1MDB," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata adalah tidak wajar hanya Najib seorang yang dipertanggungjawabkan kerana setiap anggota kabinet dan anggota Parlimen BN, kecuali mereka yang telah dipecat atau melepaskan jawatan sebagai tanda protes, mempunyai tanggungjawab bersama dalam perkara itu.

"Mereka bukan hanya gagal untuk menghalang perdana menteri tetapi turut meluluskan dan membenarkan jenayah 1MDB untuk terus berlarutan," katanya.

Beliau berkata itu adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap negara dan rakyat Malaysia oleh semua anggota kabinet dan anggota Parlimen BN di bawan kepimpinan Najib dan setiap daripada mereka itu juga wajar dihukum setimpal dengan apa yang dilakukan.

Dr Afif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, berkata setiap anggota kabinet dan anggota Parlimen BN itu juga harus tampil mengisytiharkan aset mereka sepanjang tempoh mereka mendukung kepimpinan Najib dalam pentadbiran kerajaan.

"Aset-aset itu jika didapati diperolehi melalui 1MDB haruslah dirampas dan boleh digunakan semula oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk maksud pembayaran semula hutang negara yang terpaksa ditanggung akibat 1MDB," katanya.

Beliau berkata langkah itu juga dilihat sebagai satu peringatan keras bagi ahli politik atau pentadbir untuk tidak lagi mengulangi jenayah rasuah dan penyelewengan dana awam seperti 1MDB pada masa depan.

-- BERNAMA

Tuesday, May 22, 2018

MAJLIS TERTINGGI UMNO SETUJU SEMUA JAWATAN DIPERTANDINGKAN

KUALA LUMPUR, 22 Mei (Bernama) -- Semua jawatan tertinggi dalam UMNO termasuk presiden dan timbalan presiden akan dipertandingkan pada pemilihan parti itu, Jun ini.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata keputusan untuk membuka semua jawatan dalam parti dipertandingkan dicapai selepas Majlis Tertinggi UMNO sebulat suara bersetuju dengan cadangan tersebut.

"Semua jawatan yang ada adalah terbuka dan bebas dipertandingkan termasuk jawatan Presiden dan Timbalan Presiden serta ketua pergerakan sayap...bebas ditandingi mengikut kelayakan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan UMNO.

"Jadi tidak timbul soal tidak ada pertandingan dalam UMNO," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di sini hari ini.

Beliau berkata keputusan tersebut dibuat secara berlapang dada demi memastikan UMNO dapat dipulihkan terutamanya mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti berkenaan.

GOBIND DEO SIKH PERTAMA JADI MENTERI DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Gobind Singh Deo mencatat sejarah apabila menjadi bangsa Sikh pertama yang dilantik sebagai menteri persekutuan di negara ini.

Ahli Parlimen Puchong itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, pada upacara mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, petang tadi.

Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil, di sini, turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Istiadat berkenaan bermula pada 5.45 petang dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Dr Wan Azizah, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Gobind, 45, yang diberi jolokan `Harimau Kecil Puchong' adalah anak kedua daripada lima beradik kepada mendiang Karpal Singh, pemimpin veteran DAP, yang turut mendapat jolokan 'Harimau Jelutong'.

Mengikut laman web Asia Samachar, Gobind juga adalah menteri Sikh pertama di Asia selain India. Negara lain yang turut membariskan bangsa Sikh sebagai menteri di peringkat persekutuan adalah India dan Kanada.

Gobind, dilantik sebagai ahli parlimen selepas Pilihan Raya Umum 2008, selepas menewaskan penyandang kerusi Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng.

Pada 2009, Gobind digantung dari Dewan Rakyat selama 12 bulan kerana menuduh Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri, sebagai pembunuh berhubung pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Beliau kemudian menang dalam kes menentang penggantungan dan sekatan gaji serta imbuhan sebagai Ahli Parlimen sepanjang tempoh itu.

Monday, May 21, 2018

BILA DR ALI HAMSA MAHU LETAK JAWATAN?

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Hala tuju dasar di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad amat jelas, di mana perkhidmatan awam perlu mematuhi sepenuhnya kedaulatan undang-undang dan menegakkan urus tadbir tanpa takut atau pilih kasih.

Menyatakan demikian, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata perkhidmatan awam telah juga mengikrarkan sokongan tanpa syarat kepada kerajaan dan menegakkan segala prinsip pentadbirannya.

Beliau bercakap kepada Bernama ketika diminta mengulas ingatan Dr Mahathir agar petugas pentadbiran memainkan peranan penting sebagai orang yang telah berikrar untuk berkhidmat kepada negara tanpa takut atau pilih kasih.

Dalam pertemuan rasmi pertamanya dengan petugas awam hari ini, Dr Mahathir berkata jika pentadbir diberitahu supaya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang negara, maka menjadi tanggungjawab mereka agar tidak mengikuti arahan itu.

"Kita dapati, dalam beberapa tahun lalu, pentadbir tidak mempunyai kuasa untuk menolak atau menentang arahan yang bersalahan dengan undang-undang," kata perdana menteri.

Ulasan saya, pentadbir di negara kita biasanya tidak berani menyanggah arahan menteri. Tidak seperti di zaman Tun Razak menteri ikut cakap Ketua Setiausaha Kementerian. Dr Mahathir mahu membersihkan perkhidmatan awam maka beliau perlu melantik KSN yang baharu kerana pentadbiran Najib dahulu pun diketuai oleh Dr Ali Hamsa.

Oleh itu tidak perlu menunggu dipecat, maka Dr Ali Hamsa perlu meletakkan jawatan supaya pembaharuan yang dijanjikan PH  dalam masa 100 hari dapat berjalan dengan lancar.

Saturday, May 19, 2018

HAL EHWAL BUKAN ISLAM TAMBAHAN BIDANG TUGAS EXCO

SEREMBAN, 20 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Negeri Sembilan Aminuddin Harun berkata tiada portfolio baharu bagi barisan exco kerajaan negeri, sebaliknya terdapat penambahan tugas baharu iaitu berkaitan hal ehwal bukan Islam.

Beliau berkata tugas baharu itu akan diberikan kepada seorang daripada exco yang dilantik kelak.

"Kita akan letakkan satu jawatan dalam portfolio tersebut ada hal ehwal bukan Islam yang tujuannya kita mahu pastikan bahawa masalah-masalah (berkaitan) itu dapat diselesaikan dan diurus dengan baik."

"Kita mahu melihat tugasan hal ehwal bukan Islam ini dapat menyelesaikan banyak perkara sebab negeri kita ini merupakan negeri yang majmuk. Jadi kita perlu ada perkara tersebut untuk mereka uruskan dengan baik," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak bazar Ramadan di Dataran Senawang di sini, malam tadi.

Turut hadir, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paroi Dr Mohamad Taufek Abd Ghani.

Barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan dijangka akan mengangkat sumpah pada Rabu ini di hadapan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah

Friday, May 18, 2018

SEMUA KETUA BAHAGIAN PERLU LETAK JAWATAN



HULU TERENGGANU 18 Mei - Sebagaimana yang dijangkakan, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Jailani Johari mengumumkan peletakan jawatan dalam parti itu dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa hari ini.


Jailani turut melepaskan jawatannya sebagai Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu kepada timbalannya, Datuk Rozi Mamat sehingga pemilihan jawatankuasa baharu.


Beliau yang juga bekas Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia turut mendesak Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri , Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman turut berbuat demikian bagi memikul tanggungjawab sebagai punca kekalahan teruk BN.

"Kini rakyat (menunjukkan) tidak mahu (kepemimpinan) Ahmad Razif, rakyat telah bersuara... saya juga mendengar suara dari bahagian meminta saya berundur dan saya sahut seruan tersebut," katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Berkelompok dan Sayap di Dewan UMNO Bahagian Hulu Terengganu, petang tadi.

Tambahnya lagi, rakyat sudah mula bersuara dan menyatakan kehendak mereka, dan kini UMNO/BN perlu bangkit dengan perubahan dilakukan bukan sahaja di peringkat pucuk pimpinan UMNO.

"Semua kesilapan, keegoan dan sikap cantas mencantas antara satu sama lain perlu dibuang kerana rakyat sudah bosan dengan apa yang berlaku bagi memastikan UMNO kembali bangkit dan diperkasakan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15)," ujarnya.

Jailani bekas penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu penggal lalu tidak dicalonkan semula dalam PRU-14.

Sebelum ini, Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Mohd Sabri Alwi turut membuat kenyataan menerusi laman sosial mengenai keputusannya melepaskan jawatan.

Namun beliau belum melakukan secara rasmi bagi memberi laluan kepada bakal penggantinya untuk kembali memulakan gerak kerja parti selepas PRU-14.

Keputusan itu dibuat bagi mengotakan janjinya semasa mengambil alih teraju kepemimpinan bahagian.

Ahmad Sabri dilaporkan berkata beliau akan melepaskan jawatan jika UMNO dan BN sekali lagi gagal memenangi sebarang kerusi dalam kawasan Parlimen Kuala Terengganu.

Sementara itu Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman menghormati pendirian Datuk Seri Jailani Johari yang meletak jawatan sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

Beliau yang merupakan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir berkata keputusan itu adalah hak peribadi Johari tanpa sebarang paksaan.

Mengenai desakan Johari supaya beliau turut mengundurkan diri juga adalah hak Johari dalam melahirkan pendapat berhubung kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) namun memutuskan tidak akan berbuat demikian ketika ini.

"BN Terengganu sedang melakukan bedah siasat berkenaan perkara tersebut dan ia tentunya akan mencapai kata putus tidak lama lagi.

"Namun buat masa ini, mengundurkan diri daripada tanggungjawab memulihkan parti secara tergesa-gesa bukanlah tindakan tepat apatah lagi semua pihak berada dalam keadaan getir dan perlu bersama-sama menggalas tanggungjawap kerana masih ada rakyat yang menyokong serta memilih BN," katanya  ketika dihubungi di sini hari ini.

Ahmad Razif yang merupakan bekas Menteri Besar Terengganu turut menyeru supaya anggota yang masih setia untuk terus bersama-sama menharungi cabaran mendatang.

"Marilah kita sama-sama harungi detik mencabar ini tetapi jika terdapat desakan berterusan daripada anggota parti supaya saya mengundurkan diri, biarlah ia dibuat dengan cara istiqomah seiring semangat berpasukan yang sentiasa bersama di saat suka dan duka," katanya

Ulasan saya, semua lapan ketua bahagian perlu lepaskan jawatan kerana gagal mempertahankan BN pada PRU lalu.

Di Besut, Ketua Bahagian, Nawi Mohamad gagal mempertahankan DUN Kota Putera. Pada PRU13, Ketua Bahagian, Datuk Seri Idris Jusoh menyapu bersih semua empat DUN.

Di Setiu, Datuk Mohd Jidin Shafee gagal mempertahankan DUN Jabi sedangkan pada PRU lalu beliau berjaya menyapu bersih empat kerusi dalam parlimen Setiu.

Di Kuala Nerus, Datuk Seri Razif Abdul Rahman gagal menawan semula DUN Tepuh, DUN Buluh Gading dan DUN Bukit Tunggal yang kalah pada PRU 13.

Di Kuala Terengganu, Datuk Md Sabri Alwi gagal menawan empat kerusi DUN Wakaf Mempelam, DUN Ladang, DUN Batu Buruk dan DUN Bandar.

Di Marang, Latif Awang hilang empat kerusi di Pengkalan Berangan, Bukit Payong, Ru Rendang dan  Alor Limbat.

Di Hulu Terengganu, Datuk Jailani Johari meletakkan jawatan kerana bertangungjawab kalah di DUN Ajil, DUN Kuala Berang dan DUN Manir.

Di Dungun, Datuk Din Adam gagal  menawan tiga DUN lain iaitu Rantau Abang, Sura dan Paka. Di Kemaman pada PRU 13, Datuk Seri Ahmad Said gagal di Chukai tetapi kali ini beliau gagal juga di Kemasik dan Air Putih.

Oleh itu semua ketua bahagian perlu melepaskan jawatan atas tanggungjawab menerima kekalahan dan berilah kepada orang baharu menerajui bahagian pada pemilihan hujung tahun ini.



MUKHRIZ MAHU RAKYAT TEGUR KELEMAHAN KEPIMPINAN BELIAU



JITRA, 18 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir mahu sebarang kelemahan atau kekurangan pentadbirannya ditegur agar setiap lapisan masyarakat mendapat nikmat daripada kepimpinan beliau.

Katanya kerajaan tidak akan tahu setiap masalah rakyat peringkat bawahan seperti ibu tunggal, orang miskin dan warga emas yang perlukan bantuan jika tidak diberikan maklumat sebenar.

"Bukan sahaja kita (kerajaan negeri), mereka yang diberi tanggungjawab di peringkat daerah dan kawasan juga akan menanggung beban kerana tidak melaksanakan amanah."

"Oleh itu, bantulah kami dengan memberi teguran dan pandangan yang membina," kata Mukhriz dalam ucapan ringkas selepas bersembahyang subuh berjemaah di Masjid Al-Muhsinin di sini, pagi ini.

Mukhriz berkata beliau sedar peluang kembali menjawat jawatan Menteri Besar Besar Kedah bagi kali kedua mempunyai hikmah dan sebab itu mahu memastikan kepercayaan yang diberikan oleh rakyat Kedah tidak akan disia-siakan.

"Saya akan minta rakan-rakan dalam kerajaan negeri supaya lebih mengambil berat hal-hal berkaitan kebajikan dan pembangunan negeri," tambahnya.

-- BERNAMA

Thursday, May 17, 2018

SHUKRI ABDULL DILANTIK KETUA PESURUHJAYA SPRM YANG BAHARU

.

PETALING JAYA, 17 Mei (Bernama) -- Bekas Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Shukri Abdull dinamakan untuk menerajui badan tersebut menggantikan Tan Sri Dzulkifli Ahmad yang meletak jawatan pada Isnin lepas.
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan perkara itu pada sidang media selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan, sini hari ini.

Shukri mengambil keputusan bersara wajib pada 2016 ketika sedang menyiasat kes berprofil tinggi termasuk berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Dzulkifli telah diarah melapor diri untuk bertugas di Pejabat Peguam Negara pada Selasa lepas.



Dr Mahathir berkata pelantikan Shukri yang akan memulakan tugas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, adalah berdasar pengalaman serta maklumat yang beliau perolehi sepanjang berkhidmat dengan suruhanjaya itu.

Wednesday, May 16, 2018

MALAYSIA AKAN DAPATKAN SEMULA DUIT 1MDB DI LUAR NEGARA

PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan Malaysia akan menghubungi beberapa negara bagi mendapatkan balik dana yang didakwa diseleweng daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana jumlahnya yang besar boleh menyelesaikan beberapa jenis hutang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata penting bagi kerajaan mendapatkan balik wang yang masih ada di Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat dan mungkin juga di Luxembourg, dengan jumlah yang agak besar dianggarkan US$4.5 bilion berada di Amerika Syarikat.

"Dahulu, tidak ada pengakuan daripada kerajaan (pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bahawa duit ini berasal dari 1MDB dan dibersihkan di Amerika Syarikat. Oleh kerana, tiada pengakuan duit itu adalah duit Malaysia, maka tiada tuntutan dibuat."

"Jadi, kita hendak buat kenyataan duit ini kepunyaan Malaysia, dan kita akan pohon supaya mereka bagi balik duit ini kepada Malaysia. Jumlah agak besar dan akan menolong kita selesaikan beberapa jenis hutang," katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Menurut Dr Mahathir, perkara utama yang mendapat perhatian kerajaan adalah isu rasuah khususnya 1MBD dan juga wang-wang yang telah diselewang oleh kerajaan lama.

-- BERNAMA

Tuesday, May 15, 2018

PRU14 BUKTI RAKYAT ADALAH TUAN DAN PEMIMPIN ADALAH PELAYAN

PEKAN, 15 Mei (Bernama) -- Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mengajar semua pihak bahawa suara rakyat adalah suara keramat dan realitinya, rakyat sebenarnya adalah tuan, manakala pemimpin sebenarnya adalah sebagai pelayan.

Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah sehubungan itu, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) dan wakil rakyat yang terpilih pada kali ini perlu menyantuni dan sentiasa mendengar suara rakyat.

"Sentiasalah berlaku adil dan jujur kepada rakyat, berkhidmat untuk memakmurkan negeri dan mensejahterakan rakyat," titah baginda pada Istiadat Pergurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang dan Exco di Balairong Seri Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Turut berangkat Tengku Puan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah dan Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Sultan Haji Ahmad Shah.

Memandangkan PRU14 telah berlalu, Tengku Abdullah berharap kerajaan negeri dan semua pihak yang berkenaan dapat menumpukan kembali kepada soal membangunkan negara dan membela nasib rakyat di negeri ini.

Rakyat telahpun bersuara, pepatah orang lama dahulu berpesan, biduk lalu kiambang bertaut, ini bukan masa kita mengimbau zaman silam sebaliknya saya berkehendakkan semua wakil rakyat di negeri ini tanpa mengira fahaman politik bekerjasama sebagai kumpulan untuk membela nasib rakyat di negeri ini.

"Begitu juga dengan rakyat sekalian, rapatkan kembali saf dan hentikan pertikaian. Jadikanlah perpaduan ummah sebagai agenda utama kita, saya juga ingin berpesan kepada kerajaan negeri untuk membina satu lebaran baharu dalam bekerjasama dengan kerajaan pusat," titah baginda.

Baginda juga mahu supaya perbezaan ideologi politik tidak dijadikan sebagai batu penghalang kepada kemakmuran kerajaan negeri, jalinan hubungan yang erat dan permuafakatan antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat seharusnya diberi perhatian khusus

"Nasihat saya carilah titik persamaan terlebih dahulu dan selanjutnya sebarang perbezaan ditangani dengan secara bijaksana lagi berhemah. Hubungan baik antara kerajaan pusat dan kerajaan negeri amat ditagih bagi memastikan kelancaran pembangunan negeri Pahang," titah Tengku Abdullah.

Menyentuh tentang kelewatan pelantikan angkat sumpah jawatan Menteri Besar Pahang, Tengku Abdullah bertitah sebagai Pemangku Raja Pahang, baginda tidak boleh melakukan lantikan jawatan itu dan Exco sewenang-wenangnya.

"Tanggungjawab menteri besar dan Exco negeri adalah sangat besar dan ia menjadi amat penting dalam keadaan landskap politik negara pada ketika ini, oleh itu pemilihan mereka tidak boleh saya lakukan sewenang-wenangnya tanpa mengambil kira aspek kemakmuran dan kelangsungan pembangunan negeri," titah baginda.

Abdullah juga merakamkan ucapan tahniah kepada Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh dan berharap Pahang juga mendapat perhatian sebagaimana negeri lain.

-- BERNAMA

Monday, May 14, 2018

DASUKI SERTAI UMNO DI SAAT SAAT UMNO TENAT



KUALA LUMPUR: Dalam suasana Umno kehilangan sokongan anak muda di mana setiap saluran tiga ke atas pada hari pengundian 9 Mei lalu
PKR yang menjadi pilihan mereka, tetapi bagi Dasuki Mustafa, 21, tetap menyokong BN.


Beliau mengisi borang Umno pada hari Majlis Tertinggi Umno bersidang semalam di lobi PWTC kerana rasa terpanggil untuk sama sama memulihkan Umno yang sudah tercemar namanya pada PRU ke 14.

Umno hanya mendapat 59 kerusi parlimen daripada 79 kerusi BN yang mana Umno masih mendahului PKR (49 kerusi) dan DAP (45 kerusi) dari segi kerusi. Manakala PAS mendapat 18 kerusi.

"Saya mahu aktif dalam Umno bersama pemuda lain mengembalikan kepercayaan rakyat kepada BN pada PRU akan datang," katanya yang mengundi buat kali pertama di DUN Kemasik, Kemaman Rabu lepas.

BN tewas di Kemasik begitu juga kerusi parlimen Kemaman pada PRU tersebut.

"Saya percaya BN dan Umno akan bangkit kembali pada PRU akan datang walaupun kerajaan pusat bukan lagi milik BN," katanya lagi.

Sementara itu dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Umno, Naib Presiden Umno yang menjalankan tugas Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau diberi mandat oleh ahli Majlis Tertinggi Umno sekiranya mahu mengadakan sebarang rundingan.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut sama ada rundingan itu termasuk dari pihak parti kerajaan Pakatan Harapan (PH).

"Majlis Tertinggi telah beri mandat pada saya bahawa jika ada sebarang rundingan yang mahu dibuat bagi pihak BN dan Umno ia hendaklah dibuat secara end bloc.

"Kita akan menggunakan segala kekuatan Umno dan BN demi mengadakan rundingan dengan siapa sahaja bagi pembentukan dalam sebarang bentuk kerajaan atau sebagai pembangkang.

"Di dalam hal ini, ahli-ahli Majlis Tertinggi telah beri mandat sepenuhnya pada saya untuk mengadakan perundingan dan juga langkah-langkah selanjutnya," katanya lagi.

Selain itu, Zahid juga memberitahu Umno akan menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi menstruktur kembali parti itu.

Katanya ia bertujuan bagi mengenal pasti masalah yang ada hingga mengakibatkan kekalahan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14), 9 Mei lalu.

"Kami juga memutuskan bahawa task force telah diwujudkan bagi melaksanakan tugas dan tanggungjawab bagi membangkitkan Umno sebagai satu parti politik di Malaysia.

"Kita harap ahli-ahli Umno diperingkat akar umbi di bahagian dan negeri akan terus merapatkan barisan.

"Insya-Allah ujian ini sementara yang bertujuan untuk melihat kekuatan kita," katanya.

Pada sidang media sama, anggota parlimen Bagan Datuk itu juga memberi amaran kepada mana-mana individu yang cuba memusnahkan Umno.

"Jika ada pihak yang hendak meracikkan Umno dan berusaha melakukan sesuatu, kepimpinan Umno akan bersatu mengekang usaha ke arah itu," katanya lagi

Sunday, May 13, 2018

KENYATAAN RAFIZI PANDANGAN PERIBADI

KUALA LUMPUR, 13 Mei (Bernama) -- Kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli mengenai pelantikan tiga portfolio kanan dalam Kabinet kerajaan yang belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan itu adalah pandangan peribadi semata-mata.

Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata pendirian parti adalah sama dengan kenyataan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menerajui kerajaan baharu Persekutuan.

"Itu pandangan dia (Rafizi) kita harus menghormatinya, tapi pada akhirnya dalam jemaah ini melihat kepada keputusan parti dan keputusan rasmi itu telah dinyatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.

"...dan saya yakin proses ini akan berjalan dengan baik, cukup kondusif dan kita mahu ia mestilah memenuhi aspirasi rakyat," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Kesyukuran Kemenangan Rakyat Parlimen Gombak di Dataran Greendwood, di sini, hari ini.

Turut hadir Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua, Amirudin Shari, ADUN Gombak Setia, Hilman Idham dan ADUN Hulu Kelang, Saari Sungib.

Semalam, Rafizi menerusi laman rasminya Rafiziramli.com berkata perbincangan rundingan jemaah menteri termasuk tiga portfolio kanan dalam kerajaan iaitu Menteri Kewangan, Menteri Dalam Negeri dan Menteri Pertahanan masih berjalan dan belum dimuktamadkan.

Rafizi berkata ia susulan ketiadaan wakil PKR di dalam mesyuarat dan semasa pengumuman pelantikan tiga portfolio kanan dalam kerajaan itu.

Mohamed Azmi, yang juga Menteri Besar Selangor, berkata parti itu akan meneruskan perbincangan dengan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengenai senarai penuh anggota Kabinet kerajaan.

Mengenai barisan exco kerajaan negeri Selangor, Mohamed Azmi berkata senarai 10 nama yang akan mengangkat sumpah esok untuk menganggotai Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) telah mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah,' katanya.

Menurutnya, majlis angkat sumpah akan diadakan pada 2 petang esok.

"Kita akan melihat beberapa muka baharu esok. Saya percaya in adalah pasukan yang mantap dan kami akan terus memberi khidmat terbaik kepada rakyat di Selangor," katanya.

Saturday, May 12, 2018

SELEPAS TIGA PENGGAL KALAH MAT SABU AKHIRNYA JADI MENTERI PERTAHANAN

KUALA LUMPUR, 12 Mei (Bernama) -- Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu hari ini dilantik sebagai Menteri Pertahanan di dalam kabinet kerajaan baharu yang diterajui Pakatan Harapan, selepas ia memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14.

Pelantikan Mohamad itu diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media selepas mesyuarat khas berkaitan pembentukan Kabinet di Wisma Yayasan Selangor, Petaling Jaya hari ini.

Mat Sabu merupakan seorang tokoh politik yang cukup terkenal dengan kelantangannya dan mempunyai keistimewaan tersendiri dalam kalangan peminat politik tempatan.

Popular di peringkat akar umbi, Mat Sabu sering menjadi 'penarik' di pentas-pentas ceramah di seluruh pelosok negara dengan 'hidangan' cerita-cerita panas, kontroversi dan jenaka berkait politik tanah air.

Biarpun sering dilabel sebagai ahli politik dengan pendekatan lapuk dan tidak mempunyai imej pemimpin nasional, Mat Sabu kini berjaya membuktikan beliau bukan sekadar 'pemanas' pentas ceramah apabila dilantik sebagai Menteri Pertahanan dalam barisan kabinet yang dibentuk kerajaan baharu pimpinan Pakatan Harapan.

Dilahirkan pada 14 Oktober 1954, anak jati Tasek Gelugor, Pulau Pinang itu bersekolah di Pulau Pinang sebelum menyambung pelajaran dalam jurusan pemakanan di Institut Teknologi MARA (ITM) yang kini dikenali Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Beliau telah berkahwin dengan Normah Alwi dan mempunyai empat orang anak.

Kerjaya politik Mat Sabu bermula apabila beliau menyertai Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) pada 1975 sebelum menganggotai PAS pada 1981.

Mat Sabu memegang pelbagai jawatan dalam PAS antaranya ialah Timbalan Presiden PAS untuk penggal 2013 hingga 2015, Naib Presiden PAS dan Timbalan Ketua Pemuda PAS bagi dua penggal, 1989 hingga 1991 dan 1993 hingga 1995.

Beliau pernah ditahan sebanyak dua kali di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA (Internal Security Act) pada tahun 1984 sehingga 1986 atas tuduhan terlibat dalam gerakan pelampau dan kali kedua dari tahun 1987 hingga 1989 di tahan bawah Operasi Lalang dilancarkan polis bagi menangkap mereka yang menimbulkan kekacauan akibat isu politik ketika itu.

Mat Sabu pernah menjadi Anggota Parlimen Nilam Puri, Kelantan dari tahun 1990 hingga 1995, Anggota Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dari 1995 hingga 1999 dan Anggota Parlimen Kuala Kedah di Kedah dari 1999 hingga 2004.

Pada 16 September, 2015 Mat Sabu menubuhkan parti Amanah dan menjadi presiden pertamanya.

Parti Amanah pada awal penubuhannya disertai bekas anggota PAS selepas berlaku perpecahan dalam parti itu (PAS) susulan tindakan parti Islamik itu menamatkan kerjasama politik dengan DAP sehingga menyebabkan gabungan Pakatan Rakyat yang mewakili pembangkang ketika itu berakhir.

-- BERNAMA

Friday, May 11, 2018

MUKHRIZ MENJADI MB BUAT KALI KEDUA

ALOR SETAR, 11 Mei (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri di Kedah dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir hari ini dilantik sebagai Menteri Besar Kedah yang ke-13.


Mukhriz, 53, yang juga pengerusi PH Kedah melafazkan sumpah memegang jawatan itu di hadapan Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah dalam majlis yang berlangsung di Balairung Seri Kecil, Istana Anak Bukit di sini.

Turut berangkat di istiadat itu ialah Sultanah Kedah, Sultanah Maliha Tengku Ariff dan Raja Muda Kedah Datuk Tengku Sarafuddin Badlishah Sultan Sallehuddin.

Berangkat sama Tunku Bendahara Kedah Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah, Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Almarhum Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Tunku Laksamana Kedah, Datuk Tunku Shazuddin Ariff Sultan Sallehuddin.

Isteri Mukhriz, Tok Puan Norzieta Zakaria serta pimpinan PH negeri hadir sama.

Pelantikan Mukhriz hari ini sekaligus menamatkan penantian rakyat Kedah selama beberapa hari apabila pembentukan kerajaan negeri Kedah sebelum ini tergantung selepas tiada mana-mana parti atau pakatan yang mendapat majoriti mudah yang diperlukan iaitu 19 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 9 Mei.

Ini apabila PH menguasai 18 daripada 36 kerusi DUN, Barisan Nasional pula hanya memenangi tiga kerusi manakala PAS memperoleh 15 kerusi.

Mukhriz, pernah dilantik sebagai menteri besar Kedah pada Mei 2013 yang ketika itu beliau merupakan pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri selepas Barisan Nasional (BN) berjaya menguasai Kedah pada PRU13.

Anak kelima kepada Tun Dr Mahathir Mohamad yang baru dilantik sebagai perdana menteri ke-7 semalam itu bagaimanapun meletak jawatan sebagai menteri besar pada Februari 2016 setelah majoriti ADUN Kedah memutuskan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan beliau.

Mukhriz kemudiannya menyertai bapanya dan beberapa bekas pemimpin UMNO yang lain untuk menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) setelah dipecat daripada UMNO pada Jun 2016 dan dilantik timbalan presiden parti itu.

-- BERNAMA

BERI PELAPIS BAHARU TERAJUI UMNO

KUALA TERENGGANU, 11 Mei (Bernama) -- Pergerakan Pemuda UMNO Terengganu hari ini mendesak presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak supaya memberi laluan kepada pelapis baharu untuk menerajui kepimpinan parti itu.

Ketuanya Mohd Johari Abu Bakar berkata kepimpinan baharu terutamanya orang muda diperlukan bagi memastikan kelangsungan parti itu pada masa hadapan.

"Transformasi menyeluruh harus dilaksanakan agar UMNO dilihat lebih segar dengan kepimpinan baharu dan bangkit berjuang seiring dengan kehendak rakyat Malaysia.

"Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) adalah permulaan baharu untuk Malaysia di mana suara keramat rakyat telah memilih perubahan yang cukup jelas dan nyata," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Johari berkata UMNO dan Barisan Nasional (BN) perlu bermuhasabah sedalam-dalamnya sebelum membuka langkah baharu untuk kembali bangkit dan kekalahan dalam PRU kali ini adalah mesej yang jelas daripada rakyat untuk parti itu.

"Menuju ke hadapan, kita perlu menjadi gerakan politik yang lebih baik dan sentiasa meletakkan kepentingan rakyat melebihi kepentingan lain, kerana rakyat dan akar umbi adalah denyut nadi kita.

"BN juga perlu membuat pembaharuan dengan lebih berkesan serta pada masa sama menjadi pembangkang yang hebat dan berbisa," katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, May 9, 2018

PAS KEDAH TUNGGU ARAHAN PAS PUSAT

ALOR SETAR, 10 Mei (Bernama) -- PAS Kedah sedang menunggu keputusan kepimpinan PAS Pusat berhubung tindakan yang perlu diambil setelah parti memenangi 15 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ini.

Pesuruhjaya PAS negeri Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata ia berikutan situasi Kedah ketika ini yang masih belum dapat membentuk kerajaan negeri walaupun Pakatan Harapan (PH) menguasai negeri itu dengan 18 kerusi DUN.

"Kerajaan negeri yang baharu masih belum dapat dibentuk berikutan majoriti mudah bagi negeri Kedah adalah 19 kerusi DUN.

"PAS bertuah dapat tambah bilangan kerusi DUN menjadi 15, manakala Parlimen tiga kerusi iaitu di Jerai, Pendang dan Sik. Cuma bilangan (kerusi DUN) tersebut tidak dapat untuk PAS bentuk kerajaan. Bagaimanapun, PAS sedia untuk berada dalam apa saja posisi sama ada menjadi pembangkang atau kerajaan di negeri ini bergantung kepada PAS Pusat.

"Kalau menjadi pembangkang, kami akan menjadi pembangkang yang kuat dan jika mahu membentuk kerajaan pula, apa yang paling mustahak adalah membentuk kerajaan yang stabil dari segi politik," katanya dalam sidang media khas di Kompleks PAS Kedah di Kota Sarang Semut, dekat sini awal pagi ini.

Monday, May 7, 2018

ADUN DAP JADI MB JIKA PH MENANG DI PERAK

KUALA LUMPUR, 7 Mei (Bernama) -- Anggota seumur hidup DAP, Amran Ahmad mendedahkan bahawa DAP berhasrat menuntut jawatan Menteri Besar Perak jika Pakatan Harapan (PH) berjaya menawan negeri itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Rabu ini.

Beliau berkata pendedahan itu berdasarkan surat yang didakwa diterimanya pada 6 April lepas daripada Prof Dr Abdul Aziz Bari, calon DAP bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, Perak yang menyebut DAP tidak selesa untuk memberi jawatan menteri besar itu kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, sebaliknya DAP mahu menonjolkan tokoh dalam kalangan parti mereka sendiri.

"Ini adalah satu pembohongan jelas yang dilakukan oleh DAP yang mana kali ini dilakukan oleh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang, yang pada ketika dahulu berkata mereka tidak berhasrat menuntut jawatan Menteri Besar Perak.

"Ramai melihat kenyataan ini sebagai satu strategi politik untuk mengelak pengundi Melayu lari daripada menyokong PH," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Amran turut melahirkan rasa kesal terhadap Abdul Aziz yang membiarkan dirinya sehingga kini diperalat oleh DAP.

"Saya banyak dapat maklumat daripada beliau tentang hala tuju politiknya, namun kesal beliau yang berintegriti itu diperalatkan DAP, saya pasti Abdul Aziz akan berada di bawah telunjuk Pengerusi DAP negeri, Nga Kor Ming dan Penasihat DAP Perak, Ngeh Koo Ham.

"Selain itu, orang ramai menganggap bahawa hubungan semua parti dalam PH adalah baik tetapi ia adalah sebaliknya berlaku. Sejak zaman Pakatan Rakyat lagi, PKR dan DAP sering bercakaran," katanya yang tidak bercadang untuk keluar daripada parti itu buat masa ini.

Sabtu lalu, media tempatan melaporkan Amran yang juga pasukan publisiti DAP pusat, mendedahkan bahawa DAP mempunyai niat untuk menyebarkan progaganda yang bersifat fitnah terhadap kerajaan semata-mata untuk meraih undi rakyat pada PRU14.

Justeru, beliau menyeru rakyat di seluruh negara terutama pengundi Melayu di Perak, agar tidak menyokong PH pada pilihan raya nanti.

"Jangan sokong PH, jangan undi logo PKR, tanpa anda sedar anda menyerahkan Perak kepada DAP," katanya sambil menambah PH tidak layak memerintah Malaysia.

Katanya, beliau akan membuat beberapa siri pendedahan bagi memberi pemahaman kepada rakyat secara jelas tentang propaganda dan niat jahat parti pembangkang itu untuk mengelirukan orang ramai.

-- BERNAMA

Sunday, May 6, 2018

DIN ADAM MUDOH BASER, SENANG KIRA


DUNGUN, 4 Mei (Bernama) "Mudoh baser, senang kira! (Mudah dan senang berurusan). Itu jawapan ringkas diberikan penduduk di daerah ini apabila ditanya tentang calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Datuk Din Adam.

Sikapnya yang tidak mementingkan protokol dan peramah juga membuatkan masyarakat di sini tidak kekok untuk berbual setiap kali disapa Din yang sering bertemu masyarakat tanpa mengira waktu dan tempat termasuk di kedai kopi.

Kalangan penduduk yang ditemui Bernama menyifatkan ketua UMNO Bahagian Dungun ini sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar selain mudah didekati.

Penduduk Kampung Gong Pasir, Nik Ibrahim, 63, berkata meskipun Din yang lebih dikenali dengan panggilan DDA bukan wakil rakyat tetapi beliau sering turun padang bertanya khabar dan menziarahi penduduk terutamanya warga emas dan pesakit terlantar.

"DDA ni bukan kerja ikut musim. Bukan masa nak mengundi je turun padang. Dia (Din) selalu je ada dengan orang kampung kalau ada kematian atau orang sakit ke, dia akan turun ziarah.

"Kalau dengan orang tua macam mak cik ni, kita anggap dia macam anak sebab dia sangat mesra, cakap pun banyak (peramah). Memang ramai orang suka dia sebab dia cukup hormat orang tua...dengan orang muda pun sama, dia masuk belaka (bergaul semua) dengan orang," katanya ketika ditemui Bernama.

Jamaliah Husin, 52, daripada Kampung Taman Rakyat Jaya berkata orang kampung sentiasa merujuk kepada DDA untuk membantu menyelesaikan masalah, yang sentiasa bersedia untuk membantu tanpa mengira fahaman politik seseorang itu.

Zaitun Mohamad, 67, daripada Hulu Dungun berkata pencalonan semula Din, yang pernah dipilih Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi dalam kawasan Parlimen Dungun pada 2004 dan 2008 merupakan khabar gembira yang sememangnya ditunggu-tunggu penyokong BN kerana beliau dianggap calon yang tepat mampu merampas kembali kerusi Parlimen itu daripada Pas.

"Orang kampung memang setuju sangat bila Datuk Din (dicalonkan) sebab dia memang boleh buat kerja. Boleh dikatakan orang di kawasan DUN Bukit Besi terutama di kawasan Hulu Dungun ni tak dok (tidak ada) orang yang tidak kenal Datuk Din ni. Kalau kita susah, dia akan tolong selesai masalah kita.

"Masa banjir pun, dia selalu turun bantu orang pindah, bantu bagi bekalan makanan dan lepas banjir, dia akan mari (datang) tolong bersih rumah dengan Pemuda serta Puteri UMNO," katanya.

Kewibawaan bapa kepada tiga anak itu sememangnya tidak dapat dinafikan apabila beliau berjaya membawa masuk beberapa projek besar yang memberi manfaat kepada ekonomi dan sosial penduduk di DUN itu yang merupakan kawasan agak terpencil di daerah ini ketika menjadi ADUN Bukit Besi selama dua penggal pada 2004 dan 2008.

Antara projek berkenaan termasuk pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Bukit Besi, Projek Perumahan Mampu Milik di Kampung Paya Lawas dan Pusat Koreksional Dungun iaitu pusat pemulihan banduan.

Penubuhan pasukan bola sepak T-Team yang dicetuskannya ketika beliau dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri pada 2007 turut membawa perubahan besar dalam sukan bola sepak negeri ini.

Ketika diberi amanah sebagai anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri, Din turut mencetuskan idea bagi penubuhan Sekolah Sukan Bukit Nenas di Setiu bagi melahirkan pelapis sukan negeri serta penubuhan beberapa kompleks sukan selain Akademi Seni Terengganu bagi memartabatkan seni dan budaya negeri ini.

Pada PRU11, Din yang menentang pencabarnya Roslan Ismail daripada PAS di DUN Bukit Besi menang besar dengan majoriti 2,290 undi manakala pada PRU12, Din sekali lagi menang bergaya di DUN itu dengan pertambahan majoriti kepada 2,492 undi mengalahkan Nordin Othman daripada PAS.

Pada PRU14 ini, Din terbabit dalam pertandingan tiga penjuru di kawasan Parlimen Dungun menentang penyandang kerusi itu Wan Hassan Mohd Ramli daripada PAS dan Abdul Rahman Yusof daripada PKR.

-- BERNAMA

TULANGIS TERBUKTI HEBAT TIGA MAJLIS PPR DILANCAR DALAM MASA SATU MINGGU



TEMERLOH: Tulangis Sdn Bhd terbukti sebuah syarikat yang hebat kerana berjaya melancarkan tiga program dalam tempoh satu minggu.

Pada hari Isnin 30 April, Menteri Besar Negeri Sembilan melancarkan projek perumahan rakyat (PPR) di Labu sebanyak 200 unit. Namun demikian Datuk Seri Mohamad Hassan meminta Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan  memasukkan dalam bajet 2019 untuk menambah 300 unit lagi di tapak sebelah.

Dua hari kemudian pada hari Rabu 2 Mei, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh melancarkan 500 unit rumah dalam DUN Jerteh. Dalam ucapannya beliau bangga kerana kontraktor Tulangis diterajui oleh anak Besut, Datuk Seri Mohamed Rahim Husin.

Hari ini Ahad 6 Mei, Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Alhaj ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al Mustain Billah melancarkan satu lagi projek Tulangis di Kampong Bongsu, Lanchang di sini sebanyak 500 unit

Tengku Abdullah dalam titahnya gembira kerana Temerloh dipilih untuk hub industri perabut yang kedua selepas Batu Pahat.

Baginda menyeru rakyat membuat pilihan yang terbaik pada 9 Mei ini dengan menyokong kerajaan yang dipilih rakyat.

"Beta gembira kerana 22 buah projek PPR telah diluluskan di Pahang dan kerajaan terbukti amat cakna dengan keperluan rakyat untuk memiliki rumah terutama kumpulan sasar B40," titahnya lagi.

Turut hadir di majlis itu ialah calon parlimen Temerloh, Datuk Shakar Shamsudin, Ketua Setiausaha KKBPKT, Datuk Mohamad Mentek serta Ketua Pegawai Eksekutif Tulangis Sdn Bhd Datuk Seri Mohamed Rahim Husin.


Saturday, May 5, 2018

PAKATAN HARAPAN TIDAK MAMPU BERI HARAPAN KEPADA RAKYAT

PADANG BESAR, 5 Mei (Bernama) -- Pengundi perlu menolak sebuah gabungan pembangkang yang terdiri daripada parti yang sering berpura-pura dan tidak mampu memberi harapan kepada rakyat walaupun menggelarkan diri mereka sebagai Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar berkata, perkara itu jelas dilihat semasa pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Parlimen baru-baru ini, apabila PKR dan PAN sangat lantang menentangnya.

"DAP pula kata tak menentang Islam, tapi masa di parlimen dia paling kuat tentang RUU 355, begitu juga Amanah (PAN) dan PKR, kemudian di luar tidak malu pula cakap tidak menentang Islam."

"Di Parlimen lain yang mereka buat, tapi dengan orang ramai lain pulak kenyataan mereka sedangkan perkara itu boleh dilihat secara langsung di televisyen, jadi ingat rakyat boleh percaya mereka?," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di sini, hari ini.

Oleh itu katanya, pengundi beragama Islam khususnya, harus menolak PH yang disifatkan sebagai "cakap lain, buat lain".

Dalam pada itu Zahidi berkata beliau yakin dengan pengundi-pengundi di kawasan Parlimennya yang dilihat jelas menolak PH dan kemenangan selesanya pada pilihan raya umum yang lepas menunjukkan Padang Besar adalah kawasan selamat untuk Barisan Nasional (BN).

"Di Padang Besar tiada masalah, proses berkempen juga berjalan dengan baik dan lancar dan saingan-saingan BN juga melakukan gerak kerja dalam keadaan harmoni," katanya.

Sementara itu beliau yang juga Pengerusi Risda menyeru kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat korporat agar meningkatkan sumbangan supaya boleh disalurkan kepada golongan memerlukan memandangkan Ramadan akan tiba tidak lama lagi.

"Seperti majlis pada hari ini, Risda menyampaikan sumbangan kepada lebih 6,000 asnaf bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan sempena Ramadan," katanya.

-- BERNAMA

JANGAN CEMAS LIHAT RAMAI ORANG DENGAR CERAMAH PEMBANGKANG

GUA MUSANG, 5 Mei (Bernama) -- Veteran UMNO Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan kehadiran ramai mendengar ceramah pakatan pembangkang tidak semestinya bermakna mereka menyokong parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 9 Mei ini.

Sebaliknya, mereka mahu mendengar isu yang dibangkitkan penceramah pembangkang dan perkara itu berlaku pada setiap kali pilihan raya umum, katanya selepas majlis Ramah Mesra Bersama Anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia ( Rela) dan keluarga veteran Angkatan Tentera Malaysia di Dewan Bukit Chekati di sini, hari ini.

Mengambil iktibar daripada Parti Semangat 46 (S46) ketika PRU 1990 ramai datang mendengar ceramah yang diadakan tetapi akhirnya BN juga yang menang dan dapat menubuhkan kerajaan.

Tengku Razaleigh yang juga calon BN Parlimen Gua Musang pada PRU14 berkata demikian ketika mengulas tular di media sosial seperti Facebook mengenai kehadiran orang ramai mendengar ceramah pakatan pembangkang sejak kebelakangan ini.

Beliau menasihati anggota UMNO dan parti lain dalam komponen BN supaya tidak cemas mengenai perkara itu kerana rakyat bijak membuat keputusan pada hari pengundian nanti.

Pengundi beragama Islam juga perlu berfikir jika hendak mengundi pakatan pembangkang, kerana ia dikuasai DAP yang jelas menolak Islam.

-- BERNAMA

Friday, May 4, 2018

NANCY SHUKRI KEMPEN DALAM BAHASA JAWA

SADONG JAYA, 4 Mei (Bernama) -- Memasuki hari ketujuh kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), calon Barisan Nasional (BN) kerusi Parlimen Batang Sadong mengambil pendekatan sedikit berbeza ketika sesi bersama masyarakat di Kampung Sadong Jaya Ulu, di sini.

Datuk Seri Nancy Shukri yang juga penyandang kerusi itu memikat masyarakat Jawa di kampung tersebut apabila berkempen bukan sahaja menggunakan bahasa Melayu Sarawak malahan di selang-seli dengan bahasa Jawa.

"Aku teko kene gowo pembangunan ninggo riko wong men penak gawek kejo arian (Saya datang ke sini membawa pembangunan untuk memudahkan anda semua menjalankan kehidupan seharian).

"Macem-macem wes digawek perintah ninggo rikowong, surau baru, dewan baru karo jeng paling baru saiki, tempat main bol jeng gedi karo apik ninggo wong enom gawek aktiviti (Kerajaan telah menyediakan pelbagai kemudahan untuk anda semua seperti surau baharu, dewan baharu serta sebuah gelanggang futsal yang sangat besar dan cantik untuk digunakan terutamanya para remaja mengadakan aktiviti riadah dan bersukan)," katanya disambut tepukan gemuruh lebih 100 komuniti Jawa di kampung tersebut.

Nancy yang bertanding buat kali ketiga di Parlimen tersebut berkata kerajaan BN telah melaksanakan pelbagai projek infrastruktur di kawasan tersebut untuk kemudahan rakyat.

"Keadaan jalan raya semakin baik, infrastruktur ini bukan sahaja beri kemudahan malahan dari segi ekonomi penduduk dapat bawa produk mereka seterusnya membantu meningkatkan ekonomi masyarakat. Contoh paling jelas ialah pembinaan Jambatan Batang Sadong yang membawa kebaikan serta memudahkan masyarakat untuk berulang-alik," katanya.

Ketika ditemui Bernama, Nancy berkata untuk pilihan raya kali ini, beliau melakukan kempen secara fokus kepada kumpulan sasaran yang telah ditetapkan.

"Apabila bertemu kumpulan sasaran ini, saya tekankan pencapaian kerajaan BN supaya mereka boleh melihat apa yang kerajaan sumbang serta laksanakan kepada mereka. Sebagai contoh kepada kumpulan yang melaksanakan aktiviti ekonomi saya terangkan kepada mereka perkembangan, perancangan serta pencapaian kerajaan," katanya.

Diminta mengulas pendekatan diambil apabila berbahasa Jawa ketika berkempen, Nancy berkata langkah itu diambil agar bersesuaian dengan keadaan setempat.

"Kawasan ini merupakan penempatan masyarakat Jawa, ini adalah kaedah dalam menghubungkan anda dengan rakyat, jadi saya kena belajar (berbahasa Jawa) untuk sesuaikan dengan keadaan," katanya yang juga boleh berbahasa Iban.

-- BERNAMA



Thursday, May 3, 2018

RISDA PERUNTUKKAN RM7.2 JUTA UNTUK DAERAH BERA

BERA: RISDA Daerah Bera telah menerima peruntukan sebanyak RM7.2 juta bagi menjayakan program-program pembangunan RISDA untuk tahun 2018.

Menurut Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, peruntukan yang diberikan adalah untuk keseluruhan pekebun kecil daerah Bera seramai 7,023 orang yang memiliki keluasan kebun berjumlah 27,444.92 hektar merangkumi tiga DUN iaitu Guai, Triang dan Kemayan.

"Saya berharap para pekebun kecil dalam DUN Guai dapat memanfaatkan Pejabat Risda Stesen (PRS) Batu Papan yang dibina khusus untuk kemudahan mereka," katanya ketika merasmikan PRS Batu Papan di sini semalam.

PRS Batu Papan bernilai RM589,575.47 dibina pada Februari 2008 dan siap sepenuhnya pada Julai 2008 dan mula beroperasi pada Januari 2009.

Beliau yang juga penyandang parlimen Bera berkata kewujudan PRS Batu Papan memudahkan pekebun pekebun kecil DUN Guai menerima bantuan terkini yang ditawarkan oleh RISDA seperti Program Tanam Semula, Keusahawanan, Khidmat Perkembangan  dan lain-lain.

Pada majlis tersebut beliau juga menyerahkan mock cheque Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) Thaun 2018 Daerah bera sebanyak RM200,000 kepada 20 orang penerima.

Ismail juga menyerahkan mock cheque Program Peningkatan Pendapatan (PPP) Daerah Bera sebanyak RM1.5 juta .

PRS Batu Papan adalah PRS ketiga di daerah Bera selain dari PRS Kerayong dan PRS Kemayan.

Beliau menyeru rakyat Bera mengekalkan BN pada PRU 9 Mei ini. Katanya bila BN menang beliau selaku menteri dapat membawa pelbagai peruntukan ke daerah Bera.

Wednesday, May 2, 2018

BN TERENGGANU TAMPILKAN LAPAN BEKAS GURU SEBAGAI CALON

KUALA NERUS, 2 Mei (Bernama) -- Pemilihan lapan bekas guru sebagai calon Barisan Nasional (BN) Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) kali ini bagi menghargai jasa dan sumbangan golongan pendidik, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman.

Beliau berkata golongan pendidik amat dekat di hati rakyat kerana jika mereka diberi peluang untuk melaksanakan sesuatu, hasilnya pasti tidak menghampakan rakyat.

"Kesemua mereka (bekas guru) ini juga adalah calon yang disukai oleh rakyat di akar umbi dan ini membuktikan bahawa masyarakat menaruh sepenuh keyakinan kepada guru dan bekas guru (yang menjadi calon)" katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis sambutan Hari Guru 2018 peringkat negeri di sini, hari ini.

Pada PRU14 ini, BN Terengganu menampilkan lapan bekas guru iaitu Ahmad Razif sendiri yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Dr Ghazali Taib (DUN Ajil), Datuk Rosol Wahid (Parlimen Hulu Terengganu), Bazlan Abdul Rahman (DUN Batu Rakit), A Latiff Awang (DUN Pengkalan Berangan), Datuk Rozi Mamat (DUN Telemong), Che Mansor Salleh (DUN Buluh Gading) dan Tuan Arif Sahibu Fadilah Tuan Ahmad (DUN Bukit Tunggal).



Terdahulu, dalam ucapannya, menteri besar berkata kecemerlangan bidang pendidikan di Terengganu adalah hasil kesepakatan semua warga guru serta dasar kerajaan negeri yang diamalkan oleh tiga bekas menteri besar sebelum ini.

Ahmad Razif berkata kesemua tiga menteri besar terdahulu amat menekankan pendidikan dan semasa di bawah pentadbiran Tan Sri Wan Mokhtar Wan Ahmad memberi tumpuan dalam memperkasakan aspek kemudahan fizikal pendidikan.

"Ia diteruskan oleh Datuk Seri Idris Jusoh yang memperjuangkan Terengganu sebagai bumi Darul Albab dan disambung oleh Datuk Seri Ahmad Said yang memperkenalkan slogan Negeri Anjung Ilmu dengan memperkasakan teknologi maklumat dalam pendidikan.

"Saya dan anda semua (guru) hanya meneruskan kecemerlangan mereka yang terdahulu dan BN akan terus memfokuskan kejayaan dalam bidang pendidikan jika terus diberi mandat memerintah negeri selepas PRU14 ini," katanya.

-- BERNAMA

Tuesday, May 1, 2018

RAKYAT PERLU PILIH CALON YANG RAPAT DENGAN KERAJAAN

KOTA KINABALU, 1 Mei (Bernama) -- Rakyat perlu memilih calon yang sentiasa rapat dengan kerajaan agar dapat membantu menyelesaikan masalah dengan baik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata selain memilih parti yang memerintah, rakyat harus bijak memilih calon yang sentiasa bekerja untuk rakyat meskipun belum menjadi wakil rakyat.

"Misalnya Datuk Francis Goh (calon Barisan Nasional DUN Kapayan)...dia tidak tahu akan jadi calon tetapi dari dahulu sentiasa berkhidmat untuk rakyat di sini," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat, di sini malam ini.

Turut hadir, Francis dan calon BN Parlimen Penampang Ceasar Mandela Malakun.

Salleh berkata peranan wakil rakyat amat penting dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat setempat.

Beliau berkata kejayaan BN memenangi 13 kali dalam pilihan raya umum membuktikan ia sebuah parti yang mementingkan rakyat.

"Barisan Nasional pasti akan memerintah kerana rakyat faham, parti ini untuk rakyat," katanya.

-- BERNAMA

PILIH PARTI YANG BOLEH MENTADBIR BUKAN ALIM SEMATA MATA

KANGAR, 1 Mei (Bernama) -- Rakyat diingatkan supaya memilih calon-calon daripada parti yang benar-benar layak mentadbir, bukan sekadar melihat kepada latar belakang seseorang yang alim atau mempunyai ilmu agama yang tinggi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata rakyat harus membuat pilihan tepat pada hari pengundian nanti kerana ia merupakan penentu kepada siapakah yang akan mentadbir negeri dan negara.

"Contohnya pada zaman Rasulullah, seorang alim meminta jawatan gabenor, namun Rasullullah tolak dan berkata kamu alim, kuat beribadat tapi kamu jahil tentang pentadbiran, maka jawatan gabenor diberi kepada orang yang pandai mentadbir," katanya kepada pemberita selepas bertemu dengan pengundi-pengundi di Pekan Simpang Empat dekat sini, hari ini.

Shahidan berkata beliau juga berpuas hati dengan sokongan yang diterima setakat ini dan yakin BN mampu menang besar bagi Parlimen Arau dan semua lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalamnya.

Turut turun padang bersama Shahidan, penyandang DUN Simpang Empat, Nurulhisham Yaakob dan calon muka baharu DUN Sanglang, Che Zaidi Saidin.

Shahidan, penyandang kerusi Parlimen Arau akan ditentang oleh Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin dan Datuk Dr Rahman Daud daripada PKR.

-- BERNAMA