Monday, May 21, 2018

BILA DR ALI HAMSA MAHU LETAK JAWATAN?

PUTRAJAYA, 21 Mei (Bernama) -- Hala tuju dasar di bawah pentadbiran Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad amat jelas, di mana perkhidmatan awam perlu mematuhi sepenuhnya kedaulatan undang-undang dan menegakkan urus tadbir tanpa takut atau pilih kasih.

Menyatakan demikian, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata perkhidmatan awam telah juga mengikrarkan sokongan tanpa syarat kepada kerajaan dan menegakkan segala prinsip pentadbirannya.

Beliau bercakap kepada Bernama ketika diminta mengulas ingatan Dr Mahathir agar petugas pentadbiran memainkan peranan penting sebagai orang yang telah berikrar untuk berkhidmat kepada negara tanpa takut atau pilih kasih.

Dalam pertemuan rasmi pertamanya dengan petugas awam hari ini, Dr Mahathir berkata jika pentadbir diberitahu supaya melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang negara, maka menjadi tanggungjawab mereka agar tidak mengikuti arahan itu.

"Kita dapati, dalam beberapa tahun lalu, pentadbir tidak mempunyai kuasa untuk menolak atau menentang arahan yang bersalahan dengan undang-undang," kata perdana menteri.

Ulasan saya, pentadbir di negara kita biasanya tidak berani menyanggah arahan menteri. Tidak seperti di zaman Tun Razak menteri ikut cakap Ketua Setiausaha Kementerian. Dr Mahathir mahu membersihkan perkhidmatan awam maka beliau perlu melantik KSN yang baharu kerana pentadbiran Najib dahulu pun diketuai oleh Dr Ali Hamsa.

Oleh itu tidak perlu menunggu dipecat, maka Dr Ali Hamsa perlu meletakkan jawatan supaya pembaharuan yang dijanjikan PH  dalam masa 100 hari dapat berjalan dengan lancar.

No comments:

Post a Comment