Saturday, May 5, 2018

PAKATAN HARAPAN TIDAK MAMPU BERI HARAPAN KEPADA RAKYAT

PADANG BESAR, 5 Mei (Bernama) -- Pengundi perlu menolak sebuah gabungan pembangkang yang terdiri daripada parti yang sering berpura-pura dan tidak mampu memberi harapan kepada rakyat walaupun menggelarkan diri mereka sebagai Pakatan Harapan (PH), kata Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau yang mempertahankan kerusi Parlimen Padang Besar berkata, perkara itu jelas dilihat semasa pembentangan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 di Parlimen baru-baru ini, apabila PKR dan PAN sangat lantang menentangnya.

"DAP pula kata tak menentang Islam, tapi masa di parlimen dia paling kuat tentang RUU 355, begitu juga Amanah (PAN) dan PKR, kemudian di luar tidak malu pula cakap tidak menentang Islam."

"Di Parlimen lain yang mereka buat, tapi dengan orang ramai lain pulak kenyataan mereka sedangkan perkara itu boleh dilihat secara langsung di televisyen, jadi ingat rakyat boleh percaya mereka?," katanya kepada pemberita selepas Majlis Bersama Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) di sini, hari ini.

Oleh itu katanya, pengundi beragama Islam khususnya, harus menolak PH yang disifatkan sebagai "cakap lain, buat lain".

Dalam pada itu Zahidi berkata beliau yakin dengan pengundi-pengundi di kawasan Parlimennya yang dilihat jelas menolak PH dan kemenangan selesanya pada pilihan raya umum yang lepas menunjukkan Padang Besar adalah kawasan selamat untuk Barisan Nasional (BN).

"Di Padang Besar tiada masalah, proses berkempen juga berjalan dengan baik dan lancar dan saingan-saingan BN juga melakukan gerak kerja dalam keadaan harmoni," katanya.

Sementara itu beliau yang juga Pengerusi Risda menyeru kepada badan bukan kerajaan (NGO) serta syarikat korporat agar meningkatkan sumbangan supaya boleh disalurkan kepada golongan memerlukan memandangkan Ramadan akan tiba tidak lama lagi.

"Seperti majlis pada hari ini, Risda menyampaikan sumbangan kepada lebih 6,000 asnaf bagi meringankan beban mereka dalam membuat persiapan sempena Ramadan," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment