Saturday, May 26, 2018

ZAHID AKUR PILIHAN TUANKU BUKAN BERMAKNA ZAHID LEMAH


KANGAR: Datuk Ismail Kassim mendakwa krisis menteri besar Perlis berpunca daripada kelemahan Pemangku Presiden Umno Datuk Seri Zahid Hamidi dan Naib presiden Umno yang menjalankan tugas timbalan presiden, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tambun Tulang itu mendakwa kedua-dua mereka gagal melaksanakan tugas dengan baik meskipun BN hanya memenangi dua negeri sahaja pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

“Kelemahan ini berpunca pucuk pimpinan parti yang lemah selepas Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak letak jawatan. Hishammuddin dan Zahid tak menepati kriteria memimpin parti setakat ini.

“Dan setakat ini, mereka buat keputusan ini, negeri yang sekecil ini... tak dapat diselesaikan dengan bijaksana,” katanya kepada Malaysiakini di luar Balai Polis Jalan Eusoff, semalam.

Malah Ismail turut melahirkan hilang keyakinan terhadap Zahid dan Hishammuddin.

“... mungkin dalam pemilihan agung Umno nanti saya dan rakan-rakan perwakilan akan memikirkan orang baru, yang ada nafas baru untuk memimpin Umno,” katanya.

Ismail turut memberi saranan kepada Zahid untuk mencari orang kanan di kalangan mereka yang menang dalam PRU14 supaya tidak mengulangi kesilapan Najib.

“Datuk Seri Zahid kalau ingin berkuasa, (jadi) pemimpin yang dihormati, pakailah orang di kiri kanan yang menang dalam PRU, jangan pakai orang kalah PRU,” katanya.


Khamis lalu kesemua anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perlis memulaukan istiadat angkat sumpah Menteri Besar  (MB) Azlan Man kerana mahukan Ismail, adik pengerusi BN Perlis Datuk Seri Shahidan dilantik ke jawatan itu.

Menyifatkan Azlan tidak mempunyai sokongan majoriti ADUN dan tidak patuh pada keputusan BN negeri, Shahidan 'memecat' menteri besar dan mengisytiharkannya wakil bebas.

Pemulauan majlis itu juga menyebabkan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail murka dan menegaskan tidak mahu seorang menteri besar boneka.

Ismail menafikan menjadi boneka sesiapa dan mencadangkan pihak lain dilantik selain beliau dan Azlan.

Ulasan saya, sehari sebelum istiadat mengangkat sumpah MB Perlis yang baru, Zahid dan Hishamuddin sudah pergi ke istana menemui Raja Perlis. Maka mereka akur dengan pilihan Raja Perlis kerana ia adalah kuasa Raja Perlis melantik mana mana ADUN sebagai MB.

Oleh itu tidak timbul kononnya kepimpinan Zahid amat lemah kerana tunduk kepada pilihan Raja yang mengenepikan pilihan sembilan ADUN yang mahu Ismail Kassim sebagai MB Perlis.

Sebagai pemimpin yang patuhi perintah Raja maka Zahid dan Hishamuddin kena terima pilihan Tuanku.

Hishamuddin pula berkata keputusan pelantikan Azlan sebagai MB haruslah dihormati kerana semestinya Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail telah mengambil pertimbangan yang sebaiknya untuk rakyat di negeri itu.

"Perkara seperti ini tidak boleh berlaku. Setiap daripada pemimpin Umno harus berjiwa besar dan menampilkan kepimpinan yang terbaik.

"Dalam keadaan Umno yang masih dalam proses pemulihan, rakyat sedang memerhati dan menilai setiap tindakan kita. Rakyat telah berikan mandat kepada BN untuk memimpin di Perlis dan kepercayaan ini harus dilaksanakan dengan penuh amanah," katanya dalam catatan di laman sosial Instagram beliau malam tadi.

Mengenai pemecatan anggota Umno, Hishammuddin yang menjalankan tugas timbalan presiden parti itu, ​​​​​berkata sebarang keputusan untuk memecat anggota parti perlu dibawa kepada Lembaga Disiplin dan merupakan kuasa Majlis Tertinggi Umno, dan bukannya pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Oleh itu sembilan ADUN hendaklah akur dengan pilihan Tuanku. Buat malu rakyat Perlis soal sekecil ini pun berbalah macamlah Perlis kaya sangat sampai berebut jadi MB. 

Yang peliknya kenapa Shahidan tidak cadangkan nama lain yang mungkin boleh diterima Tuanku sebaliknya mencadangkan nama adiknya. Itu yang rakyat Perlis tak faham dengan Shahidan.

Ini kesilapan Najib melantik Shahidan sebagai pengerusi perhubungan Umno Perlis. Sepatutnya dari awal Azlan Man dilantik pengerusi perhubungan Umno Perlis, maka kemelut ini tidak akan berlaku kerana Azlan bebas memilih calonnya sendiri. Sebaliknya calon-calon  pilihan Azlan digantikan oleh Shahidan.

Rakyat meluat dengan Umno seperti kata Ketua Puteri Umno, Mas Ermieyati bila hal remeh temeh ini berlaku. Takkan nak bazirkan duit dengan mengadakan pilihanraya negeri Perlis sekali lagi.

No comments:

Post a Comment