Tuesday, May 22, 2018

GOBIND DEO SIKH PERTAMA JADI MENTERI DI MALAYSIA

KUALA LUMPUR: Gobind Singh Deo mencatat sejarah apabila menjadi bangsa Sikh pertama yang dilantik sebagai menteri persekutuan di negara ini.

Ahli Parlimen Puchong itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, pada upacara mengangkat sumpah jawatan dan setia serta sumpah simpan rahsia di hadapan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V di Istana Negara, petang tadi.

Istiadat yang berlangsung di Singgahsana Kecil, di sini, turut disaksikan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.

Istiadat berkenaan bermula pada 5.45 petang dengan penerimaan surat cara pelantikan oleh Dr Wan Azizah, yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), selaku Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Wanita dan Pembangunan Keluarga.

Gobind, 45, yang diberi jolokan `Harimau Kecil Puchong' adalah anak kedua daripada lima beradik kepada mendiang Karpal Singh, pemimpin veteran DAP, yang turut mendapat jolokan 'Harimau Jelutong'.

Mengikut laman web Asia Samachar, Gobind juga adalah menteri Sikh pertama di Asia selain India. Negara lain yang turut membariskan bangsa Sikh sebagai menteri di peringkat persekutuan adalah India dan Kanada.

Gobind, dilantik sebagai ahli parlimen selepas Pilihan Raya Umum 2008, selepas menewaskan penyandang kerusi Parlimen Puchong, Lau Yeng Peng.

Pada 2009, Gobind digantung dari Dewan Rakyat selama 12 bulan kerana menuduh Datuk Seri Najib Razak, yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri, sebagai pembunuh berhubung pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Beliau kemudian menang dalam kes menentang penggantungan dan sekatan gaji serta imbuhan sebagai Ahli Parlimen sepanjang tempoh itu.

No comments:

Post a Comment