Sunday, May 6, 2018

DIN ADAM MUDOH BASER, SENANG KIRA


DUNGUN, 4 Mei (Bernama) "Mudoh baser, senang kira! (Mudah dan senang berurusan). Itu jawapan ringkas diberikan penduduk di daerah ini apabila ditanya tentang calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Dungun, Datuk Din Adam.

Sikapnya yang tidak mementingkan protokol dan peramah juga membuatkan masyarakat di sini tidak kekok untuk berbual setiap kali disapa Din yang sering bertemu masyarakat tanpa mengira waktu dan tempat termasuk di kedai kopi.

Kalangan penduduk yang ditemui Bernama menyifatkan ketua UMNO Bahagian Dungun ini sebagai seorang pemimpin yang berjiwa besar selain mudah didekati.

Penduduk Kampung Gong Pasir, Nik Ibrahim, 63, berkata meskipun Din yang lebih dikenali dengan panggilan DDA bukan wakil rakyat tetapi beliau sering turun padang bertanya khabar dan menziarahi penduduk terutamanya warga emas dan pesakit terlantar.

"DDA ni bukan kerja ikut musim. Bukan masa nak mengundi je turun padang. Dia (Din) selalu je ada dengan orang kampung kalau ada kematian atau orang sakit ke, dia akan turun ziarah.

"Kalau dengan orang tua macam mak cik ni, kita anggap dia macam anak sebab dia sangat mesra, cakap pun banyak (peramah). Memang ramai orang suka dia sebab dia cukup hormat orang tua...dengan orang muda pun sama, dia masuk belaka (bergaul semua) dengan orang," katanya ketika ditemui Bernama.

Jamaliah Husin, 52, daripada Kampung Taman Rakyat Jaya berkata orang kampung sentiasa merujuk kepada DDA untuk membantu menyelesaikan masalah, yang sentiasa bersedia untuk membantu tanpa mengira fahaman politik seseorang itu.

Zaitun Mohamad, 67, daripada Hulu Dungun berkata pencalonan semula Din, yang pernah dipilih Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi dalam kawasan Parlimen Dungun pada 2004 dan 2008 merupakan khabar gembira yang sememangnya ditunggu-tunggu penyokong BN kerana beliau dianggap calon yang tepat mampu merampas kembali kerusi Parlimen itu daripada Pas.

"Orang kampung memang setuju sangat bila Datuk Din (dicalonkan) sebab dia memang boleh buat kerja. Boleh dikatakan orang di kawasan DUN Bukit Besi terutama di kawasan Hulu Dungun ni tak dok (tidak ada) orang yang tidak kenal Datuk Din ni. Kalau kita susah, dia akan tolong selesai masalah kita.

"Masa banjir pun, dia selalu turun bantu orang pindah, bantu bagi bekalan makanan dan lepas banjir, dia akan mari (datang) tolong bersih rumah dengan Pemuda serta Puteri UMNO," katanya.

Kewibawaan bapa kepada tiga anak itu sememangnya tidak dapat dinafikan apabila beliau berjaya membawa masuk beberapa projek besar yang memberi manfaat kepada ekonomi dan sosial penduduk di DUN itu yang merupakan kawasan agak terpencil di daerah ini ketika menjadi ADUN Bukit Besi selama dua penggal pada 2004 dan 2008.

Antara projek berkenaan termasuk pembinaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Bukit Besi, Projek Perumahan Mampu Milik di Kampung Paya Lawas dan Pusat Koreksional Dungun iaitu pusat pemulihan banduan.

Penubuhan pasukan bola sepak T-Team yang dicetuskannya ketika beliau dilantik sebagai pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri pada 2007 turut membawa perubahan besar dalam sukan bola sepak negeri ini.

Ketika diberi amanah sebagai anggota majlis mesyuarat kerajaan negeri, Din turut mencetuskan idea bagi penubuhan Sekolah Sukan Bukit Nenas di Setiu bagi melahirkan pelapis sukan negeri serta penubuhan beberapa kompleks sukan selain Akademi Seni Terengganu bagi memartabatkan seni dan budaya negeri ini.

Pada PRU11, Din yang menentang pencabarnya Roslan Ismail daripada PAS di DUN Bukit Besi menang besar dengan majoriti 2,290 undi manakala pada PRU12, Din sekali lagi menang bergaya di DUN itu dengan pertambahan majoriti kepada 2,492 undi mengalahkan Nordin Othman daripada PAS.

Pada PRU14 ini, Din terbabit dalam pertandingan tiga penjuru di kawasan Parlimen Dungun menentang penyandang kerusi itu Wan Hassan Mohd Ramli daripada PAS dan Abdul Rahman Yusof daripada PKR.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment