GEORGE TOWN, 23 Mei (Bernama) -- Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggesa kerajaan membekukan aset dan harta milik menteri kabinet dan anggota Parlimen Barisan Nasional (BN) di bawah pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak bagi memastikan tidak berlaku aliran wang keluar atau cubaan membawa lari aset dari dalam negara.
Timbalan Ketua AMK Dr Afif Baharudin berkata ini kerana AMK berpendapat isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu kesalahan bersama dan setiap menteri kabinet dan angggota Parlimen BN ketika pentadbiran Najib turut sama 'bersubahat' membenarkannya terus berlaku.
"Angkatan Muda Keadilan terkesan dengan pengumuman Menteri Kewangan yang baharu Lim Guan Eng bahawa sejak April 2017, rakyat Malaysia melalui Kementerian Kewangan telah terpaksa membayar hampir RM7 billion bagi melangsaikan pembayaran hutang yang ditinggalkan daripada penyelewengan 1MDB.
"Pengumuman ini sememangnya telah membenarkan segala dakwaan kami selama ini bahawa regim UMNO-BN telah menggunakan dana awam dan secara langsung memaksa rakyat untuk menanggung beban hutang daripada ketirisan dan kebocoran yang diakibatkan oleh pelaksanaan 1MDB," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata adalah tidak wajar hanya Najib seorang yang dipertanggungjawabkan kerana setiap anggota kabinet dan anggota Parlimen BN, kecuali mereka yang telah dipecat atau melepaskan jawatan sebagai tanda protes, mempunyai tanggungjawab bersama dalam perkara itu.
"Mereka bukan hanya gagal untuk menghalang perdana menteri tetapi turut meluluskan dan membenarkan jenayah 1MDB untuk terus berlarutan," katanya.
Beliau berkata itu adalah satu bentuk pengkhianatan terhadap negara dan rakyat Malaysia oleh semua anggota kabinet dan anggota Parlimen BN di bawan kepimpinan Najib dan setiap daripada mereka itu juga wajar dihukum setimpal dengan apa yang dilakukan.
Dr Afif yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, berkata setiap anggota kabinet dan anggota Parlimen BN itu juga harus tampil mengisytiharkan aset mereka sepanjang tempoh mereka mendukung kepimpinan Najib dalam pentadbiran kerajaan.
"Aset-aset itu jika didapati diperolehi melalui 1MDB haruslah dirampas dan boleh digunakan semula oleh kerajaan Pakatan Harapan untuk maksud pembayaran semula hutang negara yang terpaksa ditanggung akibat 1MDB," katanya.
Beliau berkata langkah itu juga dilihat sebagai satu peringatan keras bagi ahli politik atau pentadbir untuk tidak lagi mengulangi jenayah rasuah dan penyelewengan dana awam seperti 1MDB pada masa depan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment