KOTA KINABALU, 1 Mei (Bernama) -- Rakyat perlu memilih calon yang sentiasa rapat dengan kerajaan agar dapat membantu menyelesaikan masalah dengan baik, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
Beliau berkata selain memilih parti yang memerintah, rakyat harus bijak memilih calon yang sentiasa bekerja untuk rakyat meskipun belum menjadi wakil rakyat.
"Misalnya Datuk Francis Goh (calon Barisan Nasional DUN Kapayan)...dia tidak tahu akan jadi calon tetapi dari dahulu sentiasa berkhidmat untuk rakyat di sini," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat, di sini malam ini.
Turut hadir, Francis dan calon BN Parlimen Penampang Ceasar Mandela Malakun.
Salleh berkata peranan wakil rakyat amat penting dalam membantu menyelesaikan masalah rakyat setempat.
Beliau berkata kejayaan BN memenangi 13 kali dalam pilihan raya umum membuktikan ia sebuah parti yang mementingkan rakyat.
"Barisan Nasional pasti akan memerintah kerana rakyat faham, parti ini untuk rakyat," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment