Thursday, May 31, 2018

RAFIZI TERLEPAS DARIPADA HUKUMAN PENJARA

PUTRAJAYA, 1 Jun (Bernama) -- Naib Presiden PKR Mohd Rafizi Ramli terlepas daripada hukuman penjara selepas Mahkamah Rayuan di sini hari ini memutuskan beliau dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bagi kesalahan mendedahkan satu muka surat laporan audit 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Panel tiga hakim terdiri daripada Datuk Ahmadi Asnawi, Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Abdul Karim Abdul Jalil, membenarkan rayuan Mohd Rafizi bagi dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun dengan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mohd Rafizi, 41, dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen pada 2016 bagi kesalahan itu dan Mahkamah Tinggi mengekalkan keputusan itu pada tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Awang Armadajaya Awang Mahmud tidak membantah permohonan bagi dikenakan bon berkelakuan dikemukakan peguam Ahmad Nizam Hamid yang mewakili naib presiden PKR itu.

Pihak pendakwaan juga menarik balik rayuan balas terhadap pembebasan Mohd Rafizi daripada pertuduhan pertama iaitu memiliki laporan audit tanpa kebenaran.

No comments:

Post a Comment