PUTRAJAYA, 16 Mei (Bernama) -- Kerajaan Malaysia akan menghubungi beberapa negara bagi mendapatkan balik dana yang didakwa diseleweng daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) kerana jumlahnya yang besar boleh menyelesaikan beberapa jenis hutang, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata penting bagi kerajaan mendapatkan balik wang yang masih ada di Switzerland, Singapura, Amerika Syarikat dan mungkin juga di Luxembourg, dengan jumlah yang agak besar dianggarkan US$4.5 bilion berada di Amerika Syarikat.
"Dahulu, tidak ada pengakuan daripada kerajaan (pimpinan bekas Perdana Menteri Datuk Seri) Najib (Tun Razak) bahawa duit ini berasal dari 1MDB dan dibersihkan di Amerika Syarikat. Oleh kerana, tiada pengakuan duit itu adalah duit Malaysia, maka tiada tuntutan dibuat."
"Jadi, kita hendak buat kenyataan duit ini kepunyaan Malaysia, dan kita akan pohon supaya mereka bagi balik duit ini kepada Malaysia. Jumlah agak besar dan akan menolong kita selesaikan beberapa jenis hutang," katanya dalam sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.
Menurut Dr Mahathir, perkara utama yang mendapat perhatian kerajaan adalah isu rasuah khususnya 1MBD dan juga wang-wang yang telah diselewang oleh kerajaan lama.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment