Wednesday, November 30, 2016

RATING TERTINGGI BAGI BULAN NOVEMBER 2016

Terima kasih kepada ahli jawatankuasa Umno Bahagian Pagoh, Zaaba Aman yang mempromosi blog www.newajilpost.blogspot.my yang mana posting mengenai bahagian tersebut mendapat rating tertinggi dalam sejarah blog ini sebanyak 3,718 hits pada 11 November lalu mengatasi rating tertinggi bulan ini dua blog saya yang lain iaitu www.catatanzabidi.blogspot.my dan www.todayterengganu.blogspot.my

Rating tertinggi bagi blog ini untuk bulan November 2016 adalah seperti berikut:-



1. PM akan beri layanan istimewa kepada Umno Pagoh (11 November)
2. Tindakan kakitangan MPK memalukan (15 November)
3. Cukuplah Khalid jadi alat DAP (23 November)
4. Akibat cari publisiti murah (14 November)
5. LPNM akan lahirkan 20 jutawan nanas MD2 (21 November)
6. Lawatan yang penuh impak dan berjaya (8 November)
7. Macam mana BN nak menang kalau 1 juta Melayu belum daftar pengundi? (27 November)
8. Pemangku Timbalan Presiden lebih berkuasa untuk bantu Presiden (22 November)
9. Letak calon wanita di kerusi selamat (16 November)
10. Bersatu tak sertai Pakatan Harapan bukti pembangkang makin berpecah (12 Movember)

Tuesday, November 29, 2016

ZAHID JANJI BISIK KEPADA PM TAMBAH CALON PEMUDA, WANITA DAN PUTERI

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini berjanji akan 'membisikkan' kepada Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak supaya menambah jumlah calon daripada Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) nanti.

Jaminan itu disuarakan naib presiden UMNO itu yang kini menjalankan tugas timbalan presiden, di hadapan perwakilan ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri, bersempena Perhimpunan Agung UMNO 2016, di sini, malam ini.

Turut hadir, Ketua Wanita Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

"Namun, ada prasyarat manteranya. Wanita, Pemuda dan Puteri perlu terus istiqamah. Buktikan kepada kepimpinan dengan bekerja keras dan terus bersemangat menjulang keperkasaan parti melalui kekuatan jentera pada sayap pergerakan masing-masing.

"Saya pasti, presiden parti merupakan seorang pemimpin yang memahami dan sayang serta baik hati kepada saudara-saudari semua. Insya-Allah," kata beliau.

Ahmad Zahid, yang juga timbalan perdana menteri turut yakin bahawa ketiga-tiga sayap akan terus menjadi nadi penggerak utama dalam menentukan UMNO terus relevan dan berkesinambungan.

Menyentuh prestasi ketiga-tiga sayap parti itu, Ahmad Zahid menzahirkan rasa kagum dengan pencapaian yang ditunjukkan mereka pada PRU13, apabila seramai 33 calon Wanita, 26 calon Pemuda dan lapan calon Puteri berjaya menjadi anggota Parlimen atau Anggota Dewan Undangan Negeri.

Menyampaikan amanatnya kepada Wanita UMNO, Ahmad Zahid berharap semangat juang sayap Wanita tidak pudar dalam menepis sebarang dakyah pembangkang daripada berterusan memusnahkan kebahagiaan rakyat.

"Tahukah Kak Ijat (Shahrizat), pemimpin Wanita parti pembangkang amat menggeruni Wanita UMNO? Tetapi jangan salah sangka, pembangkang bukan gerun kerana mengerlipnya baju dan kilauan manik-manik tudung wanita UMNO.

"Tetapi kerana program-program 'touch based' (mendampingi rakyat) seperti (dilaksanakan) Skuad Sayang, Skuad An-Nur, Jalinan Rakyat dan banyak lagi program yang tidak terhitung.

"Tanpa seorang ketua dan kepimpinan yang berkualiti dan mantap, pencapaian sebegini sukar dicapai. Syabas Kak Ijat, syabas Kak Zizah (Naib Ketua Wanita Datuk Azizah Mohd Dun) dan seluruh saf kepimpinan Wanita UMNO," kata Ahmad Zahid.

Beliau turut berpesan kepada Pemuda untuk memperkukuhkan perjuangan dan sentiasa berada di barisan hadapan dalam menangani sebarang dugaan dalam UMNO.

Jelasnya, corak kepimpinan Pemuda di bawah Khairy dan naib ketuanya Khairul Azwan Harun selain sokongan anggota pergerakannya membuktikan Pemuda hari ini merupakan barisan yang boleh diharapkan dalam PRU14.

Ahmad Zahid turut memberi keyakinan Puteri UMNO akan terus menyerlah menerusi program sayap pergerakan itu yang banyak membantu golongan memerlukan.

Menyentuh pelan Transformasi Nasional 2050 (TN50) iaitu pelan hala tuju jangka panjang negara melalui penglibatan golongan muda, beliau mahu Pemuda dan Puteri bekerjasama secara aktif demi memastikan seramai mungkin golongan muda terlibat memberi input dan buah fikiran yang terbaik.

Menurut beliau, dialog atau wacana nasional merupakan platform khusus dan terbaik untuk mereka menyuarakan pendapat dan melibatkan diri secara aktif kerana mereka juga adalah rakan dalam pembinaan sebuah negara yang gemilang.

"Justeru, saya amat berharap apabila wacana atau dialog nasional itu diadakan nanti, Pergerakan Pemuda dan Puteri akan menjuarai visi nasional itu," kata beliau.

-- BERNAMA

Monday, November 28, 2016

MRSM BERBAYAR UNTUK ANAK ORANG KAYA

PUTRAJAYA, 28 Nov (Bernama) -- Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata beliau telah memberi cadangan kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA) agar menubuhkan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar.

Beliau berkata ini kerana beliau menerima banyak permintaan daripada ibu bapa berpendapatan tinggi yang anak mereka cemerlang dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mahu menghantar anak mereka melanjutkan pelajaran di MRSM.

Permohonan kemasukan ke MRSM kini memberi keutamaan kepada pelajar dari keluarga berpendatan rendah terutama dari luar bandar.

Sunday, November 27, 2016

MACAM MANA BN MAHU MENANG KALAU 1 JUTA MELAYU BELUM DAFTAR PENGUNDI?

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- UMNO percaya lebih sejuta anak muda Melayu yang layak masih belum mendaftar sebagai pengundi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Ketua Penerangannya, Tan Sri Annuar Musa.

Katanya, meskipun jentera UMNO di peringkat akar umbi berusaha mengesan mereka, namun agak sukar kerana kebanyakan mereka berada di luar kawasan kerana bekerja.

"Banyak cabaran tetapi UMNO kena terus bekerja. Apa yang penting kini adalah untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan mereka yang belum berdaftar," katanya dalam temubual dengan Bernama menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2016 di pejabatnya, di sini Khamis.

Beliau berkata kesedaran itu penting kerana politik adalah satu-satunya kekuatan kaum Melayu, malah ia merupakan tuntutan fardu Kifayah dalam urusan membentuk kerajaan.

"Kita kena tahu orang Melayu tiada apa, tiada kekuatan ekonomi, tiada kekuatan lain kecuali kekuatan politik kerana kita ramai... tetapi sebenarnya yang ramai itu kini sudah berpecah-belah dan ditambah dengan yang tidak daftar mengundi, maka orang Melayu kena terima kalau kita hilang satu-satunya kekuatan," katanya.

Malah, kata Annuar, UMNO juga mengenal pasti ratus ribu anggota parti yang belum berdaftar sebagai pengundi.

Ulasan saya, macam mana BN mahu menang kalau 1 juta anak Melayu belum daftar sebagai pengundi? Oleh itu Umno perlu serius mengesan mereka yang belum daftar sebagai pemilih kerana seperti kata Perdana Menteri, PRU mungkin diadakan pada tahun 2018. 

Kesedaran mengundi perlu diberitahu kepada mereka kerana satu undi amat penting dalam menentukan kemenangan BN pada PRU yang akan datang. Anak muda China bersatu mendaftar diri mereka sebagai pengundi kerana mereka mahu lihat DAP menjadi parti teras kerajaan Pakatan Harapan. Oleh itu sama-samalah kita mengesan mereka yang belum daftar mengundi.



Saturday, November 26, 2016

BERANIKAH UMNO PECAT JAMAL YUNUS?



KUALA LUMPUR (Bernama) -- UMNO akan mengambil tindakan disiplin ke atas anggota parti yang menyertai perhimpunan haram di ibu kota minggu lepas, kata Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata pihaknya sedang meneliti rakaman perhimpunan tersebut bagi mengenal pasti anggota UMNO yang mengambil bahagian dalam perhimpunan Bersih 5 dan Gerakan Baju Merah, sebelum ia dibawa kepada Lembaga Disiplin UMNO.

"Kita akan serahkan kepada ahli lembaga disiplin untuk buat keputusan dan apa yang mereka patut lakukan...sekarang kita akan lihat kesemua rakaman perhimpunan semalam dan teliti siapa yang ambil bahagian.






"Saya amat kecewa dengan apa yang berlaku, saya sendiri pantau semalam dan dapati banyak perkara yang tak sepatutnya dilakukan oleh rakyat Malaysia," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Gotong-Royong Mega 2016 Bersepadu Perangi Aedes peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini.

Tambah Tengku Adnan, beliau turut kecewa dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyertai perhimpunan berkenaan.

"Saya pun tak faham, dulu cakap ini semua tak patut berlaku...saya rasa mereka ini angkuh dan terlalu kecewa, jadi percayalah pada qada dan qadar," katanya.

Ulasan saya, beranikah Umno memecat Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunus kerana beliau mengetuai gerakan Baju Merah dalam perhimpunan minggu lepas? Jamal menuduh Ku Nan sebagai nyanyuk. Kita tunggu dan lihat sama ada Umno hanya cakap kosong sahaja atau serius mahu ambil tindakan kepada mereka yang terlibat dalam perhimpunan haram.

Friday, November 25, 2016

ZAHID SETIA 101 PERATUS KEPADA NAJIB



KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau setia 101 peratus kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dan sentiasa bersedia untuk membantu Perdana Menteri dan Presiden UMNO itu dalam kerajaan dan parti.

Timbalan perdana menteri berkata dalam UMNO beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai timbalan presiden parti dan keadaan itu memerlukannya untuk bersama-sama dengan presiden mempertahankan dan mendepani segala cabaran yang dihadapi oleh parti.

Katanya, beliau tidak memikirkan soal jawatan sebaliknya berserah kepada ketentuan Allah dalam menentukan perjalanan kerjaya politiknya.






"Saya hanya makan di pinggan yang ada di depan saya, nasi dan lauk yang dihidangkan kepada saya. Saya tidak akan pergi ke meja lain untuk mengambil lauk atau nasi walaupun nasi dan lauk tidak cukup.

"Ertinya, saya akan berada di suatu keadaan di mana saya harus hormati institusi yang ada, dan ia berlaku jika mengikut kehendak Allah," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama.

Temu bual melalui Program Ruang Bicara Khas sempena Perhimpunan Agung UMNO 2016 itu akan disiarkan saluran televisyen Bernama News Channel (BNC) pada malam esok (26 Nov).






Dalam rancangan bual bicara selama sejam itu Ahmad Zahid antara lain turut mengingatkan orang Melayu khususnya tentang Rukun Iman keenam iaitu percaya kepada qada dan qadar supaya mereka sentiasa reda dengan ketentuan Allah.

Ahmad Zahid berkata pada Perhimpunan Agung UMNO kali ini beliau berasa teruja untuk melaksanakan tugas merasmikan secara serentak perhimpunan agung ketiga-tiga sayap parti - pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri yang dijadualkan pada Selasa.

"Majlis Tertinggi UMNO telah memberi mandat kepada saya untuk merasmikan ketiga-tiga sayap parti pada malam itu dan setelah 21 tahun saya tidak memakai baju Pemuda UMNO, Insya-Allah, saya akan pakai baju Melayu Pemuda UMNO ketika itu sebagai nostalgia untuk diri saya secara peribadi," katanya.

Menyentuh soalan bahawa beliau dilihat ultra Melayu dan sehubungan itu bagaimana beliau dapat membezakan tugas sebagai pemimpin parti dan sebagai Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid berkata ultra Melayu itu hanyalah satu gelaran namun beliau sentiasa sedar hakikat bahawa Malaysia adalah negara majmuk.

"Akar tunjang kepada negara ini adalah kebangsaan dan tidak bererti apabila Islam dan Melayu diperjuangkan, kita mengenepikan agama lain," katanya.

Beliau berkata sebagai orang nombor dua dalam kerajaan dan menjalankan tugas-tugas orang nombor dua dalam UMNO, sebagai pemimpin beliau harus berlaku adil kepada semua.

"Saya ingin memberikan gambaran bahawa keMelayuan dan keIslaman saya tetap kental tetapi tidak semestinya saya mengenepikan agama dan bangsa lain.

"Saya harus berlaku adil kepada semua rakyat Malaysia dan ummah keseluruhannya dan masyarakat kita di peringkat antarabangsa dan sejagat," katanya.

Ahmad Zahid bergiat aktif dalam politik sejak dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO bahagian Bagan Datoh pada 1984 dan seterusnya mendaki tangga dalam perjuangan politik UMNO peringkat nasional sehingga berjaya dipilih sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia (1996-1999).

Kerjaya politik beliau lebih menyinar apabila dipilih sebagai anggota Majlis Tertinggi UMNO selama dua penggal iaitu bagi 2000-2003 dan 2004-2007 sebelum dipilih sebagai seorang daripada tiga Naib Presiden UMNO selama dua penggal iaitu pada 2008-2011 dan 2013-2016.

Ahmad Zahid dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri pada 28 Julai 2015 menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digugurkan dalam rombakan Kabinet.

-- BERNAMA

Thursday, November 24, 2016

JANGAN TERBURU BURU DENGAN RUU355 KERANA IA BUKAN HUKUM HUDUD

KUCHING, 24 Nov (Bernama) -- Soal undi untuk menyokong atau tidak Rang Undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pada persidangan Dewan Rakyat ketika ini tidak timbul, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata semua pihak tidak seharusnya terburu-buru mengenainya kerana banyak proses perlu dilalui sebelum sampai ke peringkat itu..

Ahmad Zahid berkata selepas dibentang, jika diterima sekalipun usul itu, ia masih tidak akan dibahaskan, kerana sebarang pindaan perundangan adalah dalam bidang kuasa kerajaan.

Beliau berkata sebarang langkah ke arah penerimaannya, memerlukan beberapa langkah lagi diambil, dan sama sekali tidak dapat dilaksanakan pada persidangan yang berlangsung hari ini, katanya kepada pemberita dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jika diterima sekalipun, langkah seterusnya ialah bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan semua parti, bukan sahaja anggota parti komponen Barisan Nasional.

"...kemudian perlu wujudkan jawatankuasa pilihan yang akan dianggotai semua parti politik, anggota Parlimen muslim dan juga bukan muslim, yang akan dikemukakan kerajaan," katanya.

Beliau menegaskan bahawa beberapa perkara yang perlu difahami semua pihak ialah RUU ini telah sedia ada dan pernah dipinda pada 1984, yang bertujuan untuk meluaskan kuasa mahkamah syariah, tiada kena mengena dengan hudud, dan sama sekali tidak mengambil alih kuasa undang-undang sivil atau badan kehakiman negara.

Menjawab soalan kenapa anggota Parlimen BN menyokong rang undang-undang yang dibentangkan pembangkang, Ahmad Zahid berkata itu bukan isunya kerana Dewan Rakyat membenarkan anggota Parlimen membentangkan usul rang undang-undang persendirian.

"Untuk menyokong atau tidak, bukan isunya, ia akan bergantung kepada jawatankuasa pilihan juga yang belum pun dibentuk," katanya.

Ahmad Zahid meminta semua pihak jangan kelirukan pembaca dan audien mengenai perkara ini lebih-lebih lagi rang undang-undang itu hanya berkaitan orang Islam.

Adenan berkata oleh kerana hari ini tiada apa-apa pengundian atau perbahasan di Dewan Rakyat, semua anggota Parlimen dari Sarawak tidak akan mengambil apa-apa ketetapan mengenainya setakat ini.

"Kita gembira perkara ini akan dibawa kepada satu jawatankuasa yang akan mengkaji dengan mendalam perkara ini, yang akan diwakili semua parti. Lepas itu barulah kita boleh memberi apa-apa keputusan muktamad mengenainya," katanya.

Beliau berkata ketetapan Sarawak yang paling muktamad adalah berkaitan dengan hudud, yang ditolak sama sekali, namun sebagaimana yang diterangkan Ahmad Zahid, Akta 355 itu tidak berkaitan dengan hudud.

Sementara itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.

Ia bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355.

Bagaimanapun, anggota Parlimen Marang itu memohon huraian mengenainya dibuat pada sesi persidangan dewan akan datang memandangkan cadangan pindaan itu memerlukan pemahaman yang jelas serta masih ada kekeliruan dan polemik mengenainya dalam kalangan pelbagai pihak.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mempengerusikan sidang Dewan Rakyat memberitahu dewan bahawa apa yang dibentangkan Abdul Hadi itu hanya usul dan belum sampai ke peringkat untuk bacaan kali pertama, sambil menyatakan bahawa proses ke arah itu masih panjang.

Beliau mengizinkan usul itu disambung pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Dalam usul berkenaan, Abdul Hadi berkata pindaan yang ingin dilakukan terhadap akta berkenaan melibatkan hukuman maksimum dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda sehingga RM100,000 dan 100 kali sebatan.

"Walaupun rang undang-undang ini khusus bagi penganut Islam sahaja, berkait dengan kuasa raja-raja, namun masih ada pertikaian dan perbahasan yang hangat. Maka saya pohon untuk membuat huraian pada sesi (mesyuarat dewan) akan datang selaras dengan Peraturan Mesyuarat 15(5)," katanya.

Beberapa anggota Parlimen bangun meminta kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk membincangkan usul berkenaan selain ingin mengetahui bila ia akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama.

Pandikar Amin berkata untuk memahami proses rang undang-undang persendirian itu, beberapa peraturan mesyuarat perlu diteliti dan menjelaskan mengenai prosedur biasa pembentangan sesuatu usul sebelum ia diangkat menjadi rang undang-undang.

"Apabila sudah buat keputusan yang mana sekiranya majlis (anggota dewan) mengizinkan rang undang-undang itu, barulah ia dicap, bermakna apabila dicap barulah sudah sah ia dibaca kali pertama.

"Tapi ia belum lagi berakhir di situ kerana rang undang-undang yang telah dicap itu diagih dalam dewan dan akan diangkat kepada menteri yang bertanggungjawab untuk menteri berkenaan membuat satu penyata.

"Apabila menteri membuat penyata dan diangkat di dalam dewan baru ada perbahasan lagi, selepas itu baru nanti diangkat ke bacaan kedua, panjang lagi prosesnya," katanya.

Pandikar berkata persepsi berkaitan usul itu timbul berikutan laporan berita tidak tepat mengenainya kerana tidak memahami proses tersebut.

Pada Mei lalu, Abdul Hadi membentangkan usul yang sama namun ia dibentang sekali lagi, kali ini selepas dipinda susulan perjumpaan dan taklimat mengenainya diadakan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Selasa lalu.

-- BERNAMA

Wednesday, November 23, 2016

CUKUPLAH KHALID JADI ALAT DAP



Tindakan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi taklimat berkenaan usul Rang Undang-undang (RUU) Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) atau Akta 355 bagi pihak Datuk Seri Abdul Hadi dianggap seperti "ada udang di sebalik batu".

Perkembangan itu juga dilihat Anggota Parlimen (MP) Shah Alam Khalid Samad sebagai bukti wujudnya kerjasama antara PAS dengan Umno.

Katanya, sangat menghairankan apabila usul persendirian itu datang daripada Abdul Hadi (PAS-Marang) tetapi yang mengadakan majlis taklimat mengenainya - walaupun atas kapasiti peribadi - adalah Ahmad Zahid.

“Ia menunjukkan ada udang di sebalik batu, ada tanda tanya politik yang perlu kita baca dan faham sejak awal lagi… ia ada kepentingan politik,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Semalam Malaysiakini melaporkan Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri menghantar jemputan kepada anggota parlimen beragama Islam untuk menghadiri sesi perjumpaan dan taklimat berhubung usul dibawa Abdul Hadi.

Taklimat itu turut disertai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Selepas pertemuan itu Ahmad Zahid mengesahkan usul dibawa presiden PAS untuk meminda Akta 355 itu akan dibentangkan sama ada hari ini atau esok.

Sesi persidangan Dewan Rakyat kali ini akan berakhir esok.

Khalid yang juga pengarah komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH) berkata perkembangan yang berlaku semalam adalah bukti wujud kerjasama erat antara pembawa usul itu (Abdul Hadi) dengan kerajaan.

"Kita hairan kerajaan bersetuju dengan usul itu. (Jika ia memang dipersetujui) kenapa kerajaan sendiri tak bawa?

Mengulas lanjut Khalid berkata sebelum ini Jamil Khir membangkitkan bahawa timbul kekeliruan di kalangan orang bukan Islam mengenai cadangan pindaan Akta 355 itu.

“Jamil Khir kata ada banyak kekeliruan dan salah faham khususnya orang bukan Islam mengenai RUU 355.

“Kalau itu keadaannya kenapa MP bukan Islam tidak dijemput? Dalam keadaan begitu (ia seakan-akan) menunjukkan orang Islam sedang berkomplot.

“Ia akan menimbulkan salah faham dan buruk sangka. Banyak salah faham (tetapi) kenapa MP bukan Islam tidak dijemput bersama,” katanya.

Ulasan saya, kenapa Khalid Samad ahli parlimen Amanah itu takut Umno tolong jelaskan  RUU355 yang akan dibawa oleh Presiden PAS, Haji Hadi Awang? Apa salahnya Zahid memanggil semua ahli parlimen Umno untuk menerangkan isu tersebut.

Oleh kerana taklimat itu untuk ahli parlimen Islam, apa salahnya semua ahli parlimen Islam dari semua parti dijemput hadir seperti PAS, Amanah, PKR dan DAP. Soal mereka nak terima penjelasan atau tidak terpulang kepada mereka.

Walaupun ia RUU persendiriaan tetapi Umno sebagai tulang belakang kerajaan rasa  bertanggungjawab untuk memberi taklimat kepada semua ahli parlimen. Sekurang-kurang inisiatif yang diambil oleh Zahid wajar dipuji kerana jika PAS yang buat taklimat sudah tentu ahli parlimen Umno tidak hadir.

Oleh itu demi memperkasakan agama Islam apa salahnya Zahid membuat majlis taklimat tersebut? Saya rasa kalau Lim Kit Siang yang mempertikai isu ini tak apa juga kerana dia bukan Iislam tetapi yang sedihnya orang Islam sendiri seperti Khalid Samad pula yang anti pindaan RUU355. Bertaubatlah Khalid Samad. Cukuplah jadi alat DAP.




Tuesday, November 22, 2016

PEMANGKU TIMBALAN PRESIDEN LEBIH BERKUASA UNTUK BANTU PRESIDEN

MELAKA, 22 Nov (Bernama) -- Cadangan klausa baharu dalam Perlembagaan UMNO mengenai jawatan pemangku timbalan presiden akan membolehkan UMNO memberikan lebih ruang kepada 'orang nombor dua' parti itu untuk membantu presiden.

Bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata langkah itu tepat kerana ia dapat melancarkan dan memudahkan mereka yang menjalankan tugas untuk jawatan itu.

"Klausa itu juga dapat mengukuhkan serta memperkemas jentera pentadbiran parti yang seterusnya melancarkan perjalanan parti itu terutamanya dalam mensiapsiagakan UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Saya sokong agar klausa baharu untuk pemangku timbalan presiden diwujudkan dalam Perlembagaan (UMNO) apabila jawatan timbalan presiden dikosongkan atau kosong," katanya kepada Bernama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, telah mencadangkan jawatan Pemangku Timbalan Presiden UMNO dimaktubkan dalam perlembagaan parti itu.

Berdasarkan Perlembagaan UMNO, Fasal 9.9 menyentuh tentang pemangkuan jawatan presiden yang boleh dipangku oleh Timbalan Presiden sehingga diadakan pemilihan presiden baharu, manakala Fasal 9.10 pula menyebut tentang Naib Presiden yang boleh memangku jawatan Pemangku Presiden sehingga diadakan pemilihan baharu.

Monday, November 21, 2016

LPNM AKAN LAHIRKAN 20 JUTAWAN NANAS MD2

KEMAMAN: Seramai 20 orang bakal jutawan nanas MD2 akan dilahirkan di Kemaman tidak lama lagi.

Menurut sumber, tanaman nanas MD2 itu akan diusahakan oleh Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM).

Pegawai LPNM Terengganu, Azmi Muhammad dan Pegawai LPNM Daerah Kemaman,  Mohamad Hazman Jusoh  telah beruasaha mencari tanah yang sesuai untuk tanaman tersebut selama tiga bulan.

Idea menanam nanas MD2 ini dicetus oleh Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga ahli parlimen Kemaman.




"Tanah padang ragut Sungai Nipah, Air Putih seluas 260 hektar akan diusahakan oleh LPNM dengan tanaman tersebut selama 10 tahun," kata sumber tersebut.

Sumber itu menambah selain dari Sungai Nipah, kawasan yang akan ditanam nanas MD2 itu ialah Kampung Bujal, Kijal seluas 50 ekar dengan lima orang peserta; Kampung Pinggir, Semanyor, Kemasik juga seluas 50 ekar dengan lima orang peserta juga.

Manakala tanah rezab di bawah  Persatuan Peladang Kawasan (PPK) Kijal  masih dalam perbincangan dengan PPK Kijal.

Sunday, November 20, 2016

KITA KENA CARI TITIK PERSAMAAN

HULU SELANGOR, 19 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau tidak mahu melihat rakyat Malaysia dilabelkan dengan nama-nama negatif mengikut kaum.


Sebagai contoh, beliau berkata, sebelum ini kongsi gelap sering dilabelkan kepada kaum India, kaum Melayu sinonim dengan dadah dan judi dilabelkan kepada kaum Cina.

Beliau berkata rakyat Malaysia perlu bersatu dan menolak tanggapan negatif terhadap sesuatu kaum untuk terus mencapai kemajuan.

Timbalan perdana menteri berkata tidak seperti di negara lain, Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sangat menghormati dan menghargai kepelbagaian budaya dalam kalangan rakyatnya.

"Walaupun terdapat perbezaan, kita kena cari titik persamaan dan perbezaan itu disatukan dengan kita fahami budaya, agama dan keturunan kaum lain," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2016 yang dihadiri kira-kira 20,000 orang di Batang Kali di sini, malam Sabtu.

Antara yang hadir ialah Presiden MIC, Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Majlis tersebut adalah antara enam acara sambutan perayaan terbesar peringkat kebangsaan yang dianjur oleh Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan.

Majlis itu diisi dengan pelbagai acara kebudayaan yang menarik seperti tarian dan nyanyian oleh artis-artis tempatan.

Pengunjung turut disediakan dengan jamuan rakyat yang menyajikan pelbagai juadah dan makanan tradisi masyarakat India serta makanan tempatan.

Sebanyak 15 gerai pameran disediakan oleh penganjur kepada agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan untuk mempromosi, mempamer dan menjual produk-produk mereka di samping memperkenalkan perkhidmatan mereka.

-- BERNAMA

Saturday, November 19, 2016

VETERAN JUGA PERLU DIBERI PELUANG MEMILIH PEMIMPIN UMNO

JOHOR BAHRU, 19 Nov (Bernama) -- UMNO perlu pertimbangkan untuk memasukkan golongan veteran dalam perlembagaan parti bagi membolehkan kumpulan itu mempunyai hak mengundi.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Aziz Kaprawi mengambil contoh, jika ada bahagian mempunyai hak pengundian sebanyak 15 undi, sekurang-kurangnya 20 peratus atau tiga undi itu harus datang daripada golongan veteran.


"Saya berpandangan UMNO perlu melihat peranan veteran untuk dijadikan sebagai komponen dalam menentukan pemilihan kepimpinan.

"Dengan adanya undi daripada veteran, sekurang-kurangnya anak muda tidak memandang sepi terhadap sumbangan mereka untuk bangsa, agama dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan moderator Amurad Md Yassin mengenai kepimpinan kini termasuk anak-anak muda memperlihatkan penerimaan mereka terhadap perjuangan veteran pada Forum 'Veteran UMNO Merentas Zaman', di sini malam tadi.

Abdul Aziz merupakan anggota panel forum itu selain bekas pensyarah Sejarah Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Abdul Malik Munip.

Mengulas lanjut, Abdul Aziz yang juga Timbalan Menteri Pengangkutan berkata, anak muda berada dalam parti hari ini menikmati hasil perjuangan daripada veteran, namun segelintir daripada mereka tidak bersungguh-sungguh dalam mempertahankan perjuangan.

"Hari ini, menjadi masalah kepada anak muda ialah perjuangan mereka bukan berdasarkan keikhlasan, tetapi lebih rakus untuk berlumba-lumba merebut hasil yang disumbangkan veteran," katanya.

Menurut beliau, apabila kerakusan itu terlalu menguasai diri, maka tidak hairan ada anak-anak muda kini terutama Melayu sanggup menjadi calon DAP dalam pilihan raya dan menyokong parti terbabit.

"Di mana jati diri anak Melayu yang lupa akan sejarah perjuangan orang Melayu sebagaimana orang Melayu menderita ketika zaman Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya).

"Anak-anak muda Melayu hari ini sanggup menjadi alat DAP dan apabila mereka sanggup bersama-sama menyertai parti itu, di sini, saya melihat satu perkara harus kita (UMNO) perbetulkan balik iaitu demokrasi terbabas," katanya yang merupakan Anggota Parlimen Sri Gading.

Abdul Aziz berkata 'demokrasi terbabas' membenarkan demonstrasi atau perhimpunan secara aman dan seumpamanya dilakukan, dan ia adalah tidak sesuai diamalkan di negara berbilang kaum dan agama seperti Malaysia.

Katanya, ini kerana ia hanya memberi ruang kepada musuh-musuh UMNO untuk mengambil kesempatan menjatuhkan parti dengan bekerjasama dengan pihak luar, terutama dari Amerika Syarikat (AS).

-- BERNAMA

Friday, November 18, 2016

PEMBANGKANG TAK MAHU TERIMA SISTEM WESTMINISTER

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Pembangkang nampaknya tidak mahu menerima sistem 'Westminister' iaitu sistem parlimen kerajaan demokratik yang diguna pakai di United Kingdom (UK) dalam memilih sebuah kerajaan, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Sebaliknya, katanya, pembangkang mahu mengambil jalan keluar menerusi demonstrasi jalanan dalam mengubah kerajaan.

Menurutnya, tindakan itu sudah pasti bukan sesuatu yang diperuntukkan dalam sebuah sistem demokrasi atau dalam perlembagaan.

Beliau turut menyatakan bahawa pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) sepatutnya memperjuangkan untuk mewujudkan sebuah sistem atau negara yang lebih baik.

"Bagaimanakah kaedah yang tidak berperlembagaan dalam mengubah sesebuah kerajaan yang lebih baik dapat diwujudkan apabila tindakan seperti itu hanya mencetuskan huru-hara dan anarki," katanya dalam blog beliau http://sskeruak.blogspot.my/, Jumaat.

Salleh berkata definisi demokrasi adalah pemerintahan rakyat oleh rakyat pilihan majoriti dalam kerajaan.

"Dalam kes Malaysia, ini bermaksa 30 juta warganegara menerusi 15-20 juta pengundi memilih 222 wakil ke Parlimen.

"Seperti di UK dan Amerika Syarikat, ini tidak semestinya bermaksud undi majoriti tetapi kerusi majoriti atau sesuatu yang sama seperti pilihan raya kolej," katanya.

-- BERNAMA

Thursday, November 17, 2016

PEMUDA UMNO PERSOAL KHALID KIRA MURAH, AZMIN KIRA MAHAL




SHAH ALAM: Pergerakan Pemuda UMNO semalam mempersoalkan formula penilaian yang diguna pakai Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dalam menentukan harga tawaran pengambilalihan ekuiti Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn. Bhd. (Splash) bernilai RM2.7 bi­lion.


Pengerusi Biro Profesional Muda pergerakan itu, Shahril Sufian Hamdan menegaskan, penilaian tersebut harus didedahkan oleh Mohamed Azmin kerana jumlah RM2.7 bilion itu tidak menepati persetujuan kerajaan negeri semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menetapkan tawaran pengambilalihan ekuiti Splash hanya berjumlah RM250.6 juta daripada jumlah keseluruhan kos membabitkan empat syarikat konsesi perkhidmatan air bernilai RM9.65 bilion.

Menurutnya, semasa pentad­biran Abdul Khalid, kerajaan negeri ketika itu difahamkan menggunakan kaedah pembayaran berdasarkan pulangan ekuiti pada kadar 12 peratus setahun dengan pemotongan mana-­mana bayaran dividen melibatkan empat syarikat konsesi.

“Dari segi pecahan kos ke­seluruhan pengambilalihan empat syarikat konsesi, pentadbiran kerajaan negeri semasa di bawah Abdul Khalid menetapkan RM1.97 bilion bagi pembayaran ekuiti manakala RM7.67 bilion lagi diperuntukkan bagi kos liabiliti yang diambil alih.

“Malah, kos keseluruhan RM9.65 bilion itu telah ditetapkan menerusi Perjanjian Utama yang ditandatangani di antara kerajaan negeri dengan Kerajaan Persekutuan sebelum ini.

“Walau bagaimanapun, keadaan ini amat berbeza dengan tawaran baharu kerajaan ne­geri untuk mengambil alih ekuiti Splash pada nilai RM2.7 bilion yang membawa maksud kos sebenar pengambilalihan syarikat itu dijangkakan mencecah RM5.7 bilion merangkumi tambahan liabiliti bernilai RM3 bi­lion. Justeru, kita minta Menteri Besar dedahkan laporan penilai­an yang dibuat di sebalik harga tawaran baharu yang dipertahankan kerajaan negeri itu,” katanya dalam sidang akhbar di Bangunan UMNO Selangor di sini.

Yang hadir sama Ketua Pemuda UMNO Selangor, Zainuri Zainal; Ketua Pemuda UMNO Bahagian Petaling Jaya Utara, Mohamad Fakhzan Md. Noor dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Shah Alam, Datuk Ahmad Mua'adzam Shah Yaakop.

Tambah Shahril, sekiranya Mohamed Azmin kekal mempertahankan harga tawaran pengambilalihan ekuiti Splash pada nilai RM2.7 bilion dan liabiliti RM3 bilion, itu akan menyebabkan kos keseluruhan pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi perkhidmatan air meningkat kepada RM13.51 bi­lion.

“Apakah kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar ketika ini cuai dalam menguruskan wang rakyat? Kita bimbang pe­ningkatan kos pengambilalihan Splash akhirnya terpaksa ditanggung rakyat menerusi kenaikan tarif air pada masa depan,” ujarnya.

Wednesday, November 16, 2016

LETAK CALON WANITA DI KERUSI SELAMAT

KUALA TERENGGANU: Pergerakan Wanita UMNO telah bersedia mengemukakan calon pertama wanita Barisan Nasional (BN) negeri untuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU) kelak.

Ketua Wanita Umno Tan Sri Shahrizat Abd Jalil berkata sekurang-kurangnya seorang calon wanita akan dinamakan untuk memenangi kerusi bagi BN.

"Setahun dulu, semasa perjumpaan dengan Menteri Besar Terengganu beliau berjanji bahawa kali ini (PRU) akan ada sejarah di mana Wanita Umno akan diberi peluang bertanding sebagai calon.

"Kalau boleh kita nak lebih daripada satu calon daripada wanita, tetapi sekurang-kurangnya seorang calon pun sudah memadai," katanya ketika ditemui pemberita sempena Taklimat Kesiapsiagaan PRU-14 Kepimpinan Wanita Negeri Terengganu di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Terengganu Ahmad Razif Abd Rahman dan Ketua Pergerakan Wanita Umno Negeri Terengganu Datuk Fatimah Hamat.

Shahrizat berkata bilangan calon Wanita diberi peluang bertanding di Terengganu bukanlah isu utama tetapi kemenangan kerusi yang menjadi keutamaan.

"Di Terengganu, Alhamdulillah Wanita Umno berada dalam keadaan baik dan saya berpuas hati dengan persiapan dan kesiapsiagaan mereka...," katanya.

Tambah Shahrizat, untuk memenangi kerusi pilihan raya, dua elemen iaitu parti dan jentera haruslah menjadi keutamaan.

"Kalau parti bagus, tapi jentera tak bagus susah nak menang dan kalau jentera bagus parti tak bagus pun tak boleh jadi," katanya.

Sementara itu Ahmad Razif berkata perkara itu akan diserahkan kepada perdana menteri berdasarkan kepada cadangan yang diterima daripada bahagian-bahagian.

Wujud keperluan untuk dicadangkan calon wanita, sekurang-kurangnya seorang calon untuk satu Dewan Undangan Negeri (DUN), bagaimanapun semuanya bergantung kepada keputusan presiden (parti), katanya.

Ulasan saya, pada PRU2004, Datuk Seri Idris Jusoh telah menawarkan kepada ketua puteri negeri, Nordiana Shafie untuk bertanding di kerusi DUN Ladang tetapi Nordiana menolaknya. Maka kerusi itu diberi kepada Datuk Wan Hisham Wan Salleh bertanding dan beliau menang dan dilantik Exco apabila BN berjaya merampas semula negeri Terengganu daripada PAS.

Jika Nordiana bertanding di Ladang dan menang maka beliau yang jadi ADUN wanita yang pertama menang setelah sekian lama wanita tak menjadi YB di Terengganu. Pada tahun 2008, beliau bertanding di Batu  Buruk tetapi kalah.

Kali ini jika BN mahu meletakkan calon wanita maka Pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu, Ahmad Razif Abdul Rahman perlu meletakkan calon wanita di kerusi yang selamat. Maka Razif boleh memilih di mana-mana kerusi yang selamat yang menjadi kubu kuat BN jika benar BN mahu melihat wanita pertama menjadi Exco di Terengganu.

Tuesday, November 15, 2016

TINDAKAN KAKITANGAN MPK MEMALUKAN

Seorang ahli grup whatsapp Kemaman Kite posting keratan akhbar Harian Metro tentang kemalangan di antara bas dengan kenderaan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) Ahad lalu yang mengatakan polis dapati cukai jalan kenderaan MPK sudah dua tahun mati.

Tak sampai satu minit, seorang kakitangan MPK telah menelefon wanita berkenaan sambil marah-marah kepadanya kerana memuatkan keratan akhbar yang memalukan imej MPK dalam grup wasap berkenaan.

Kebetulan saya turut komen dalam grup wasap itu yang terkejut kenapa MPK sudah dua tahun membiarkan kenderaan MPK tanpa cukai jalan. Saya turut menerima panggilan telefon dari kaktangan MPK yang mengatakan Harian Metro itu tidak betul.

Tindakan warga MPK itu mempertahankan MPK secara cepat dan pantas wajar diberi pujian tetapi memarahi orang yang posting isu tersebut dalam grup wasap adalah tidak wajar. Saya faham beban yang ditanggung oleh warga MPK berkenaan kerana laporan akhbar itu memalukan MPK.

Sepatutnya warga MPK itu menghubungi Hatian Metro dan jelaskan keadaan sebenar. Memarahi wartawan tidak wajar, jika ada, kerana wartawan hanya melaporkan sidang akhbar yang diadakan oleh pihak polis. Sepatutnya bukan sahaja warga MPK itu menghubungi MPK malah beliau sepatutnya menghubungi IPD Temerloh menafikan laporan tersebut. Biar polis membetulkan kenyataan yang silap itu.

Bagi saya, memarahi orang yang posting berita kemalangan itu di dalam mana mana grup whatsapp bukanlah perkara yang betul sebaliknya MPK sepatutnya membuat penjelasan yang berhemah dalam grup whatsapp tersebut.

Sepatutnya warga MPK itu meminta maaf kepada wanita berkenaan kerana bercakap kasar. Saya dah biasa kena marah jadi saya tak trauma sangat seperti yang dihadapi oleh wanita tersebut kerana dimaki sudah menjadi lumrah wartawan.




Gambar di atas adalah gambar hiasan tidak kena mengena dengan kemalangan bas di Temerloh Ahad lalu


Monday, November 14, 2016

AKIBAT CARI PUBLISITI MURAH

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Anggota Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli patut menyalahkan dirinya sendiri kerana disabitkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, Rafizi cuba mencari publisiti murahan untuk kepentingan politik peribadi tetapi dia secara sedar melakukan kesalahan yang serius dengan berbuat demikian, oleh itu, adalah wajar beliau menanggung akibatnya.

"Rafizi telah memfitnah lawannya tanpa menjalankan usaha yang sewajarnya dan menghormati undang-undang negara. Kali ini dia secara sengaja dan sedar melanggar undang-undang," katanya.

Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli semalam
dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Mac lepas.

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Rafizi yang menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan ke Mahkamah Tinggi, dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

Zulqarnain berkata dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah memberi keutamaan kepada Akta Rahsia Rasmi itu sendiri yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun jika disabitkan dengan kesalahan.

"Selepas mahkamah menimbangkan faktor mitigasi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara berjalan serentak," katanya.

Dalam penghakimannya Zulqarnain berkata mahkamah mendapati penjelasan Mohd Rafizi bahawa dia telah memiliki dan mendedahkan halaman 98 laporan pengauditan 1MDB tidak langsung menimbulkan keraguan.

"Saya mendapati video sidang akhbar oleh Mohd Rafizi pada 28 Mac lepas di bangunan Parlimen yang dimainkan dalam mahkamah menunjukkan bahawa tertuduh bukan sahaja mengetahui, malah memberi komen dan bersedia untuk mengambil soalan daripada wartawan mengenai perkara itu," katanya.

Hakim itu berkata pada sidang akhbar yang sama juga, tertuduh telah membaca setiap ayat dalam tiga perenggan dan nota kecil pada halaman 98 laporan pengauditan 1MDB.

"Oleh itu, bukti daripada rakaman video sidang akhbar tertuduh, paparan halaman 98 pada Facebook dan blog miliknya menunjukkan dia mengetahui mengenai perkara-perkara rahsia pada tiga perenggan dan nota kecil halaman 98.

"Justeru, tertuduh tidak diprejudiskan sekiranya benar sekali pun bukan semua perkara pada halaman 98 dikemukakan," katanya yang turut memaklumkan halaman 98 itu telah disahkan dan diklasifikasikan sebagai rahsia oleh Ketua Audit Negara.

Zulqarnain berkata mahkamah mendapati adalah satu kesalahan mendedahkan tiga perenggan dan satu nota kecil pada halaman 98 laporan itu.

"Bukti rakaman sidang akhbar, paparan halaman 98 pada Facebook dan blog tertuduh serta telefon bimbit miliknya adalah amat kuat untuk mahkamah mensabitkan tertuduh dengan pertuduhan," katanya.

Naib Presiden PKR itu didapati bersalah memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Mohd Rafizi, 39, yang juga Setiausaha Agung PKR turut didapati bersalah mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Mohd Rafizi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang bukan bersifat pemenjaraan mandatori terhadap anak guamnya.

"Jika kita lihat dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan, seseorang anggota Parlimen yang disabitkan dengan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau didenda RM2,000, maka beliau akan terlucut kedudukannya sebagai anggota Parlimen," hujahnya.

Gobind berhujah perlucutan jawatan anak guamnya sebagai anggota Parlimen akan memberi kesan kepada penduduk (kawasan Pandan) dan Mohd Rafizi juga akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran kerana pendedahan dokumen rahsia adalah merupakan masalah serius yang sedang meningkat pada masa kini dan kes itu juga melibatkan kepentingan awam.

"Masalah ini (pendedahan dokumen rahsia) perlu dibendung dan diberi perhatian serius oleh semua pihak agar tidak berleluasa dan hukuman yang diberikan bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh, tetapi diharap menjadi langkah pencegahan kepada orang lain yang akan melakukan kesalahan sama.

"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran bagi mengelakkan tertuduh mengulangi kesalahan sama atau kesalahan yang lebih berat," katanya yang turut memaklumkan tertuduh, yang mempunyai 'status tinggi' seharusnya tahu tanggungjawab untuk menghormati undang-undang negara.

Beliau berkata mahkamah sebagai satu badan yang bebas perlu memainkan peranan penting dalam menjatuhkan hukuman bagi menyampaikan mesej yang tegas dan berkesan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan mereka, malah mereka juga tidak akan terlepas dari cengkaman undang-undang jika terlibat dengan gejala sedemikian.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan kes itu.

Pada 1 Sept lepas Mahkamah Sesyen memerintahkan Mohd Rafizi membela diri atas kedua-dua pertuduhan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

Sunday, November 13, 2016

PEMBANGKANG DARI DAHULU NAK GUNA SATU LAMBANG TAPI TAK PERNAH BERJAYA

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata Tun Dr Mahathir Mohamad lupa mengenai kebenaran apabila menyeru parti-parti pembangkang mempunyai satu parti, satu simbol dan satu manifesto.

Salleh berkata bekas perdana menteri berusia 91 tahun itu nampaknya lupa mengenai kebenaran berhubung PAS, yang dipinggirkan oleh gabungan pembangkang selepas bertelagah dengan DAP.

Beliau mempersoalkan usaha Mahathir untuk menyatukan pembangkang dengan satu simbol dan manifesto kerana isu itu telah menghantui mereka sejak 1999 dan walaupun selepas 17 tahun, mereka masih tidak dapat melaksanakannya.

"Bercakap mengenainya memang mudah. Melakukannya adalah perkara lain sama sekali. Pembangkang tidak bersatu dalam banyak perkara, jadi bagaimana hendak mencapai persetujuan mengenai satu parti, satu simbol, satu manifesto?.

"PAS tidak akan membuang simbol "Bulan", begitu juga DAP tidak akan membuang simbol "roket".

"Itu adalah identiti setiap parti individu. Meminta setiap parti membuang simbol tradisionalnya dan menggantikannya dengan simbol bersama adalah sesuatu yang mereka telah lama bincangkan tetapi tidak pernah melaksanakannya sejak 17 tahun lalu," kata Salleh dalam catatan pada blog beliau http://sskeruak.blogspot.my/.

Salleh berkata pakatan pembangkang terdiri daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan Amanah (Parti Amanah Negara) semuanya mempunyai agenda berasingan.

Beliau menjelaskan bahawa perjuangan PPBM lebih kepada untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan menggantikannya dengan proksi Mahathir, PKR pula untuk membebaskan Anwar Ibrahim dari penjara dan menjadikannya Perdana Menteri, manakala Amanah adalah parti terdiri daripada ahli-ahli PAS yang terkilan yang cuba tetapi gagal untuk menggulingkan Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"DAP sebaliknya adalah sebuah parti yang mahu memperjuangkan slogan "Malaysian Malaysia", yang kebanyakan orang Melayu, malah mereka dalam pembangkang pun, tidak menerimanya," kata beliau.

Mengenai manifesto bersama, beliau berkata ia menimbulkan satu lagi masalah bagi pembangkang kerana DAP mahukan negara sekular bagi negara ini tetapi sebaliknya PAS mahu menegakkan sebuah negara Islam.

Beliau mempersoalkan sama ada PKR, Amanah dan PPBM; dan juga PAS sedia menerima negara sekular yang diperjuangkan DAP.

"Jadi itu bermakna, seperti biasa, selain manifesto bersama, setiap parti juga mempunyai manifesto masing-masing dan manifesto berbeza untuk setiap negeri seperti pada masa lalu," katanya.

Mengenai kritikan Dr Mahathir terhadap PAS baru-baru ini dengan mengatakan bahawa parti itu telah "makan dedak" kerana menentang pembangkang, Salleh berkata: Apa yang Mahathir gagal lihat ialah PAS tidak meninggalkan Pakatan Rakyat tetapi DAP meruntuhkan Pakatan Rakyat supaya PAS boleh disingkir dari gabungan pembangkang -- dan apabila mereka membentuk Pakatan Harapan, PAS tidak dijemput untuk menyertainya.

Beliau menyamakan serangan Dr Mahathir terhadap PAS dengan doktrin bekas Presiden Amerika Syarikat George Bush Senior iaitu "jika anda tidak bersama saya maka anda menentang saya" untuk meraih sokongan bagi melancarkan perang terhadap Iraq, yang menyebabkan seluruh Timur Tengah kini berada dalam keadaan kucar-kacir.

-- BERNAMA

Saturday, November 12, 2016

PPBM TAK SERTAI PAKATAN HARAPAN BUKTI PEMBANGKANG MAKIN BERPECAH

SHAH ALAM, 12 Nov (Bernama) -- Masih tiada kata putus sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menjadi sebahagian daripada gabungan parti-parti pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH).

Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun secara dasarnya PPBM bersetuju untuk menyertai pakatan pembangkang itu, tetapi kepimpinan kanan parti serpihan Umno berkenaan memerlukan masa untuk berbincang lebih lanjut mengenai penyatuan berkenaan.

Katanya lagi penangguhan menandatangani perjanjian kerjasama dengan gabungan parti DAP-PKR-Amanah (Parti Amanah Negara) yang sepatutnya berlaku pada Konvensyen Nasional pakatan itu hari ini bukan menunjukkan PPBM mahu menarik diri.

"Bersatu akan bermesyuarat untuk berbincang mengenai hubungan kerjasama ini dalam masa satu atau dua hari lagi," katanya dalam ucapan pada konvensyen itu, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam ucapan masing-masing pada konvensyen berkenaan dilihat menggesa supaya Muhyiddin segera mengakhiri teka teki sama ada mahu menyertai PH.

Sementara itu, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya akan menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum menyertai pakatan tersebut termasuk menjadikan pakatan itu sebagai satu entiti.

"Ada beberapa isu yang perlu kita diperhalusi terlebih dahulu sebelum menyertai pakatan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui sewaktu konvensyen.

Ditanya mengenai penyertaan PAS dalam Pakatan Harapan, Dr Mahathir berkata rundingan masih dilakukan bersama pimpinan parti Islam itu dalam meyakinkan mereka menyertai pakatan itu.

-- BERNAMA

Friday, November 11, 2016

PM AKAN BERI LAYANAN ISTIMEWA KEPADA UMNO PAGOH

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan beri layanan yang istimewa kepada Umno Bahagian Pagoh pada perhimpunan agung Umno ini.

Katanya, layanan ini adalah kerana ia adalah bahagian yang sudah ditinggalkan oleh bekas timbalan presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yasin.

"Sepanjang tiga hari perhimpunan, perwakilan dari Pagoh akan mendapat tempat duduk khas," kata beliau dalam pertemuan dengan 130 orang ahli Umno dari Pagoh di kediamannya dua malam lepas.

Turut hadir ialah pemangku ketua bahagian, Datuk Ismail Mohamad dan semua ahli jawatankuasa bahagian termasuk Datuk Zaaba Aman.

Najib yang juga Presiden Umno amat berbesar hati dengan sokongan Umno Bahagian Pagoh yang berkekalan walaupun ia adalah kubu kuat Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin.

Sehubungan dengan itu beliau meminta semua ahli Umno bekerja kuat untuk mengekalkan kerusi Pagoh pada PRU akan datang.

Di majlis tersebut juga mereka yang hadir telah melafazkan ikrar taat setia kepada najib selaku Presiden Umno dan Ketua Umno Bahagian.


PEMUDA UMNO SELANGOR BUAT ADUAN POLIS TERHADAP MB

SHAH ALAM, 11 Nov (Bernama) - Pemuda UMNO Selangor hari ini membuat laporan polis terhadap Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana didakwa memfitnah Barisan Nasional (BN) berhubung cadangan pelantikan Tan Sri Shukry Mohd Salleh sebagai timbalan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Ketuanya Zainuri Zainal berkata Menteri Besar Selangor itu perlu dipanggil memberi keterangan memandangkan kenyataan beliau bertentangan dengan Akta Rahsia Rasmi 1972 dan membayangkan penghinaan terhadap kedudukan Majlis Raja-Raja.

"Kenyataan Mohamed Azmin adalah tidak tidak ikhlas, berniat jahat dan tidak berasas apabila memberi gambaran seolah-olah pelantikan timbalan pengerusi SPR 'diatur'" katanya.

Thursday, November 10, 2016

DAP TUTUP MATA ISU PKFZ KERANA DR MAHATHIR BERSAMA DAP?

SHAH ALAM, 9 Nov (Bernama) -- Mahkamah Sesyen Shah Alam membebaskan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datin Paduka O.C. Phang atas tiga pertuduhan pecah amanah melibatkan RM254.85 juta berkaitan projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Selepas tujuh tahun menghadapi pertuduhan, Hakim Slamat Yahya semalam melepaskan dan membebaskan Phang daripada pertuduhan selepas Jabatan Peguam Negara membenarkan representasi Phang berhubung pertuduhan.

Peguamnya Francis Ng Aik Guan ketika dihubungi berkata pihak pendakwa memohon supaya Phang dibebaskan tetapi tidak terlepas daripada pertuduhan tetapi beliau menolaknya.

Sementara itu bekas Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) Datuk Lee Hwa Beng menyifatkan siasatan berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sebagai usaha yang hanya "membuang masa".

Ini berikutan keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam semalam yang membebaskan bekas pengurus besar LPK, OC Phang daripada tuduhan pecah amanah.

"Saya beri keterangan terhadapnya selama dua minggu dan kes (PKFZ) berlangsung selama kira-kira tujuh tahun.

"Jadi sekarang, bagi saya, semua ini hanya membuang masa dan juga pembaziran wang kerajaan," kata Lee.

Lee adalah antara tokoh utama dalam siasatan kerajaan mengenai lebihan kos PKFZ. Projek yang dimiliki oleh LPK itu pada mulanya hanya dianggarkan bernilai RM1.957 bilion pada tahun 2001.

Bagaimanapun, menjelang tahun 2006, harga projek itu meningkat kepada RM4.6 bilion dan sedang menghadapi masalah kewangan. Ini memaksa kerajaan meminjamkan LPK RM4.632 bilion untuk membantu membiayai PKFZ.

Lee dilantik sebagai Pengerusi LPK oleh menteri pengangkutan ketika itu, Tan Sri Ong Tee Keat pada tahun 2008, selepas skandal tersebut didedahkan.

Di bawah teraju Lee, LPK melantik Pricewaterhouse Coopers (PwC) untuk mengaudit akaun PKFZ.

Audit mendedahkan salah urus dan menganggarkan sekiranya pembayaran balik dilakukan kepada semua pemiutangnya dan dicampur dengan unjuran aliran tunai LPK, perbelanjaan projek itu akan menelan kos RM12.5 bilion.

Susulan laporan audit itu, Phang didakwa atas tiga pertuduhan pecah amanah manakala dua menteri kabinet - Tun Dr Ling Liong Sik dan Tan Sri Chan Kong Choy - didakwa, antara lain, cuba "menipu" kerajaan.

Kedua-dua Ling dan Chan akhirnya dibebaskan daripada semua pertuduhan.

Walau bagaimanapun, saman sivil LPK ke atas Phang berhubung tuduhan pecah amanah masih berterusan.

"Saman itu difailkan oleh Lembaga Pelabuhan Klang semasa saya menjadi pengerusi.

"Selepas banyak kali penangguhan, akhirnya perbicaraan akan bermula pada Disember," kata Lee, yang menambah bahawa beliau akan menjadi saksi.

Ulasan saya, Lim Kit Siang pernah membangkitkan skandal PKFZ di Dewan Rakyat. Maka skandal yang berlaku di zaman Dr Mahathir ini telah merugikan wang negara. Jadi Lim Kit Siang boleh tanya rakan sekutunya yang baru itu apa yang sebenar berlaku dalam PKFZ atau DAP sudah menutup mata isu tersebut kerana Dr Mahathir menyokong Pakatan Harapan?

Wednesday, November 9, 2016

KEMENANGAN TRUMP SEWAJARNYA BERI PENGAJARAN KEPADA BN



KUALA LUMPUR 9 Nov. – Malaysia sedang berbincang dengan negara-negara anggota Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) terhadap kemungkinan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada pejanjian tersebut selepas Donald Trump memenangi pemilihan Presiden negara itu.

MUSTAPA MOHAMED

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian terhadap perkara berkenaan.

Beliau berkata, perubahan dasar tetap akan berlaku tetapi tidak terlalu radikal seperti yang sering dilihat dalam kempen pilihan raya yang dilakukan Trump sebelum ini.

“Pada saya kita tidak boleh terburu-buru dan perlu bertenang kerana tidak semestinya 100 peratus kenyataan yang dikeluarkan Trump sebelum ini akan diterjemahkan kepada dasar dan mungkin ia satu strategi bagi memancing undi.

“Bagaimanapun, pasukan saya telah mula mengumpul maklumat dan reaksi dari seluruh dunia sebelum dapat membuat analisis dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.

Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan memberitahu, kemenangan Trump itu juga sewajarnya memberikan pengajaran kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Beliau berkata, hal ini kerana kajian yang dilakukan universiti dan badan bebas di AS terhadap proses pemilihan presiden negara itu adalah berbeza dengan situasi sebenar yang berlaku.

“Kita lihat banyak kajian yang dilakukan lebih menjurus kepada calon Parti Demokrat, Hillary Clinton dan perkara ini perlu diberi perhatian oleh BN agar tidak terlalu selesa mengikut kajian yang mengatakan BN selamat kerana ia tidak semestinya memberikan kelebihan kepada kita,” jelasnya.

Tuesday, November 8, 2016

LAWATAN YANG PENUH IMPAK DAN BERJAYA


OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)

Sebagai Perdana Menteri yang diamanahkan dan diberi mandat untuk menerajui negara ini,pastinya Datuk Seri Najib Tun Razak lebih mementingkan  usahanya untuk memantapkan ekonomi dan  mensejahterakan negara kita ,Malaysia daripada melayan pelbagai kritik, rasa tidak puas hati serta tohmahan yang dikenakan pada dirinya.

Lihat sahaja tohmahan yang dilemparkan pada Najib sebaik sahaja dia mengumumkan pelbagai pemeteraian perjanjian yang bernilai RM144 bilion antara syarikat Malaysia dan China yang akan menyumbang kepada pertumbuhan sosio ekonomi Malaysia.

Ada sahaja yang tidak kena di mata para pengkritik Najib. Usaha yang baik untuk memantapkan pertumbuhan ekonomi dilihat sebagai langkah yang negatif sehinggakan ada yang menuduh Malaysia telah menggadai maruah hingga sanggup mengorbankan kedaulatan negara kepada China.Ini merupakan satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali . Apatah lagi jika kita melihat sejarah perhubungan antara Malaysia dan China yang sudah lama terjalin dengan eratnya.

Perlu diingatkan bahawa sebarang penjanjian perdagangan antara dua negara ini bukanlah sesuatu yang baru. China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia pada 2015, iaitu satu kedudukan yang kekal sejak 2009 lagi. Jumlah dagangan dua hala pada 2015 adalah sebanyak US$100 bilion. Malaysia juga merupakan rakan perdagangan terbesar di kalangan negara ASEAN bagi China selama lapan tahun berturut-turut.

Antara projek yang diselar oleh pengkritik Najib seperti Tun Mahathir ialah projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), yang mana menurut Mantan Perdana Menteri itu, ianya merupakan suatu projek yang akan membebankan lagi negara kita. Kritikan ini tidak relevan kerana dari sudut positifnya,  laluan landasan berkembar kereta api  itu akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur seperti Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu and Tumpat. Pastinya dengan adanya landasan seperti ini, akan menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi dan pembangunan negeri-negeri di Pantai Timur.

Mereka yang mengkritik Najib juga tidak mengambil kira akan faktor pelaburan yang masuk dalam ekonomi Malaysia . Tidakkah mereka terfikir , perjanjian perdagangan ini akan mewujudkan lebih  banyak peluang pekerjaan, dapat meningkatkan kemahiran dalam kehidupan rakyat di negara kita.

Seperkara lagi yang perlu diambil kira ialah, perjanjian perdagangan ini juga merupakan satu petanda bahawa negera China telah memberi kepercayaan kepada pentadbiran Najib dalam mengurus dan mentadbir negara ini. Disebabkan faktor inilah, China sanggup membuat pelaburan dan memeterai pelbagai perjanjian perdagangan dengan Malaysia. Bukannya semua negara dapat menjalin perhubungan diplomatik dan perdagangan yang mantap dengan sebuah kuasa besar ekonomi seperti Malaysia.

Apa yang dirundingkan oleh Najib serta rombongan perdagangan dari Malaysia ialah untuk memastikan setiap kerjasama yang dibentuk dengan China adalah untuk keuntungan bersama antara kedua buah negara ini. Inilah pegangan yang dipraktikkan selama ini ,yang mana setiap perjanjian perdagagangan  antara  syarikat Malaysia  dan China dalam pelbagai projek, baik di Malaysia mahupun di China telah  berjaya mencapai matlamat iaitu  memberi manfaat dan kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Beijing telah menyatakan hasratnya untuk  merapatkan lagi  hubungan dengan negara-negara jirannya seperti Malaysia serta negara Asean yang lain . Dan antara usaha Beijing ialah dengan menyediakan pelbagai inisiatif, yang mana antara inisiatif  yang dimaksudkan oleh Beijing ialah memperkenalkan dasar Laluan Sutera Maritim.

Jelaslah di sini juga lawatan Najib ialah untuk membuktikan komitmen Malaysia dengan China dalam melaksanakan dasar Laluan Sutera Maritim yang akan memberikan kesan yang positif terhadap ekonomi serantau, termasuklah negara kita Malaysia.Dalam hal ini Malaysia merupakan antara negara yang paling awal berada dalam zon atau kerangka Laluan Sutera Maritim yang diusahakan oleh China.

Bahkan sokongan Malaysia terhadap dasar  laluan sutera maritim telah dipraktikkan menerusi perjanjian Malaysia-China Joint Communique yang ditandatangani bersama ketika menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 2014

Jelaslah , lawatan Perdana Menteri kita ialah untuk terus menjalin hubungan yang baik  dan mencipta sejarah hubungan diplomatik yang lebih bermakna antara Malaysia dan China. Dan pastinya usaha ini juga akan memberikan impak yang sangat besar kepada ekonomi dan perdagangan Malaysia.


Monday, November 7, 2016

DAP MEMANG MUKA TAK MALU?

GEORGE TOWN, 6 Nov (Bernama) -- Seorang anggota perwakilan Konvensyen DAP Pulau Pinang 2016 di sini hari ini membantah kerjasama di antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipengerusi oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Perwakilan dari Taman Chai Leng Shamsher Singh Thind berkata DAP tidak seharusnya bekerjasama dengan mana-mana individu yang pernah menjadi musuh parti semata-mata untuk memenangi Pilihan Raya Umum ke-14.

Beliau menyelar Dr Mahathir kerana sanggup berkerjasama dengan mana-mana pihak demi mencapai matlamat untuk menjatuhkan kerajaan.

"Orang-orang DAP tak malukah nak berjabat tangan dengan musuh Tun M? Dia harus memohon maaf dahulu dengan DAP sebelum nak bekerjasama," katanya dalam sesi perbahasan konvensyen itu.

Ekoran itu, tercetus suasana panas apabila Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng bangkit dan meminta Shamser menarik balik gelaran yang ditujukan kepada Dr Mahathir, sambil menegaskan DAP menuntut ahlinya supaya tidak menuding jari kepada mana-mana pihak ekoran kesalahan lampau mereka.

Pada mulanya, Shamsher enggan menarik balik kerana itu bukan arahan daripada speaker konvensyen namun akhirnya beliau akur dengan permintaan para ahli jawatankuasa negeri.

Shamsher turut mempersoalkan di manakah hala tuju parti dan mendakwa Pakatan Harapan tidak mempunyai persefahaman sesama anggota-anggotanya.

Katanya, Pilihan Raya Negeri Sarawak telah membukti perkara itu kerana terdapat enam kerusi di mana PKR dan DAP sama-sama menurunkan calon untuk bertanding.

"Mengikut persetujuan dalam Pakatan, Majlis Mesyuarat Presiden harus menentukan satu calon yang akan turun bertanding sekiranya tiada keputusan dibuat di kalangan anggotanya. Tetapi dalam hal di Sarawak, mana Majlis Presiden?," katanya.

Sementara itu, konvesyen DAP yang bermula dengan 287 perwakilan pada sesi pagi, bertukar hambar apabila tidak sampai 50 orang berada dalam dewan ketika sesi penggulungan pada jam lebih kurang 4.00 petang.

-- BERNAMA

Sunday, November 6, 2016

PEMBANGKANG CEMBURU DENGAN LAWATAN PM KE CHINA

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Pembangkang cemburu dan bimbang dengan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak ke China baru-baru ini, yang berakhir dengan
kejayaan hebat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Walaupun ada yang menuduh Najib 'menjual' Malaysia kepada China, beliau berkata pembangkang tidak berani mengkritik perdana menteri secara terbuka dan agresif kerana bimbang dengan tindak balas komuniti China.

Salleh berkata ada juga yang berkata lawatan Najib ke China adalah langkah yang bijak, seperti yang dilakukan bapanya Perdana Menteri Kedua Tun Abdul Razak Hussein pada 1974.

Dalam catatan blognya di sskeruak.blogspot.my, beliau berkata: "Pembangkang bimbang lawatan China boleh mempengaruhi sesetengah pengundi pembangkang dan pengundi atas pagar.

"Oleh itu, mereka merancang supaya (bekas perdana menteri) Tun Dr Mahathir Mohamad membuat 'penampilan sebagai tetamu' di Parlimen untuk mengalih perhatian rakyat Malaysia daripada lawatan ke China itu," katanya.

Mengenai hasil positif lawatan rasmi enam hari Najib yang berakhir semalam, Salleh berkata: "Pelaburan China di Malaysia akan mewujudkan pekerjaan dan peluang buat semua rakyat Malaysia serta menawarkan masa depan lebih cerah kepada negara."

Sementara itu, Salleh berkata menteri-menteri perlu diingatkan bahawa apabila mereka dilantik menganggotai Kabinet, mereka mengangkat sumpah kerahsiaan di hadapan Yang di-Pertuan Agong.

Beliau berkata sumpah kerahsiaan berkenaan tiada tarikh luput dan tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi (OSA) walaupun selepas mereka melepaskan jawatan.

"Oleh itu, 'trio' yang melepaskan jawatan mereka baru-baru ini perlulah berhati-hati semasa mendedahkan apa yang tidak boleh mereka dedahkan mengikut undang-undang, jika mereka tidak mahu menghadapi prosiding undang-undang dan berselindung di sebalik kekebalan Parlimen," katanya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah didakwa mendedahkan rahsia kerajaan ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2017 di Dewan Rakyat baru-baru ini.

-- BERNAMA

Saturday, November 5, 2016

KERAJAAN KENA JAWAB CEPAT DAKWAAN PEMBANGKANG

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kerajaan harus bertindak pantas dalam menjawab sebarang dakwaan dan tuduhan pihak pembangkang bagi memastikan tidak wujud persepsi negatif, kata Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin.

Beliau berkata sebarang dakwaan jangan dibiarkan tidak dijawab dalam tempoh yang lama, dan perlu dijawab oleh pihak berwajib selewat-lewatnya dua hari selepas sesuatu isu ditimbulkan.

"Sebagai contoh dakwaan Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli, Lembaga Tabung Haji kerugian RM3.09 bilion dijawab dengan lengkap dan dalam masa yang pantas oleh Pengarah Urusan Kumpulan Tabung Haji Datuk Johan Abdullah. Malah saya difahamkan isu ini juga akan dijawab di Parlimen dalam masa terdekat," katanya.....

Friday, November 4, 2016

SALLEH BERHARAP PENCERAMAH TIDAK SYOK SENDIRI

KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Kursus Pemukiman Penceramah anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) menjadi platform terbaik melahirkan penceramah berkaliber bagi menangkis tohmahan terhadap kerajaan.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata penceramah itu berupaya menjadi medium perantara dengan masyarakat dalam memperbetulkan persepsi tidak tepat terutama yang disebar melalui media sosial.

"Kursus pemukiman itu merupakan langkah permulaan baik bagi mengasah dan menonjolkan kebolehan menyampaikan ceramah dan berhujah dengan pembangkang," katanya ketika merasmikan kursus itu di sini, hari ini.

Seramai 270 orang menyertai kursus tiga hari dua malam di sebuah hotel terkemuka di sini di mana mereka didedahkan dengan input yang bertenaga dari penceramah yang berkaliber.

Salleh mencadangkan supaya penceramah  memikirkan mukadimah yang terbaik untuk menarik pendengar.

"Jika mukadimah kita ok, ini membuatkan mereka minat untuk mendengar ceramah kita. Sebaliknya jika mukadimah kita teruk, mereka tidak berminat mendengar ceramah kita, jadi mereka main whatsapp di hadapan kita," katanya.

Beliau berharap penceramah tidak syok sendiri dan perlu tengok suasana pendengar dan tempat untuk berkomunikasi dengan pendengar.

Beliau mengakui banyak belajar dari tukang jual ubat cara berceramah. Katanya, penjual ubat sentiasa menukar mukadimah ucapannya bergantung kepada penonton di hadapannya.

"Kalau di hadapannya penonton muda, lain mukadimah penjual ubat tersebut," kata beliau sambil disambut gelak ketawa para hadirin.

Salleh menambah art of delivering itu penting dalam menawan hati pendengar ceramah kita.