KUCHING, 24 Nov (Bernama) -- Soal undi untuk menyokong atau tidak Rang Undang-undang (RUU) persendirian bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) pada persidangan Dewan Rakyat ketika ini tidak timbul, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Timbalan perdana menteri berkata semua pihak tidak seharusnya terburu-buru mengenainya kerana banyak proses perlu dilalui sebelum sampai ke peringkat itu..
Ahmad Zahid berkata selepas dibentang, jika diterima sekalipun usul itu, ia masih tidak akan dibahaskan, kerana sebarang pindaan perundangan adalah dalam bidang kuasa kerajaan.
Beliau berkata sebarang langkah ke arah penerimaannya, memerlukan beberapa langkah lagi diambil, dan sama sekali tidak dapat dilaksanakan pada persidangan yang berlangsung hari ini, katanya kepada pemberita dalam sidang media yang turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem di bangunan Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata jika diterima sekalipun, langkah seterusnya ialah bagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengadakan perbincangan dengan semua parti, bukan sahaja anggota parti komponen Barisan Nasional.
"...kemudian perlu wujudkan jawatankuasa pilihan yang akan dianggotai semua parti politik, anggota Parlimen muslim dan juga bukan muslim, yang akan dikemukakan kerajaan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa beberapa perkara yang perlu difahami semua pihak ialah RUU ini telah sedia ada dan pernah dipinda pada 1984, yang bertujuan untuk meluaskan kuasa mahkamah syariah, tiada kena mengena dengan hudud, dan sama sekali tidak mengambil alih kuasa undang-undang sivil atau badan kehakiman negara.
Menjawab soalan kenapa anggota Parlimen BN menyokong rang undang-undang yang dibentangkan pembangkang, Ahmad Zahid berkata itu bukan isunya kerana Dewan Rakyat membenarkan anggota Parlimen membentangkan usul rang undang-undang persendirian.
"Untuk menyokong atau tidak, bukan isunya, ia akan bergantung kepada jawatankuasa pilihan juga yang belum pun dibentuk," katanya.
Ahmad Zahid meminta semua pihak jangan kelirukan pembaca dan audien mengenai perkara ini lebih-lebih lagi rang undang-undang itu hanya berkaitan orang Islam.
Adenan berkata oleh kerana hari ini tiada apa-apa pengundian atau perbahasan di Dewan Rakyat, semua anggota Parlimen dari Sarawak tidak akan mengambil apa-apa ketetapan mengenainya setakat ini.
"Kita gembira perkara ini akan dibawa kepada satu jawatankuasa yang akan mengkaji dengan mendalam perkara ini, yang akan diwakili semua parti. Lepas itu barulah kita boleh memberi apa-apa keputusan muktamad mengenainya," katanya.
Beliau berkata ketetapan Sarawak yang paling muktamad adalah berkaitan dengan hudud, yang ditolak sama sekali, namun sebagaimana yang diterangkan Ahmad Zahid, Akta 355 itu tidak berkaitan dengan hudud.
Sementara itu Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini membawa usul Rang Undang-Undang Persendirian iaitu Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah)(Pindaan) 2016 di Dewan Rakyat.
Ia bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau dikenali Akta 355.
Bagaimanapun, anggota Parlimen Marang itu memohon huraian mengenainya dibuat pada sesi persidangan dewan akan datang memandangkan cadangan pindaan itu memerlukan pemahaman yang jelas serta masih ada kekeliruan dan polemik mengenainya dalam kalangan pelbagai pihak.
Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mempengerusikan sidang Dewan Rakyat memberitahu dewan bahawa apa yang dibentangkan Abdul Hadi itu hanya usul dan belum sampai ke peringkat untuk bacaan kali pertama, sambil menyatakan bahawa proses ke arah itu masih panjang.
Beliau mengizinkan usul itu disambung pada sidang Dewan Rakyat akan datang.
Dalam usul berkenaan, Abdul Hadi berkata pindaan yang ingin dilakukan terhadap akta berkenaan melibatkan hukuman maksimum dinaikkan kepada 30 tahun penjara, denda sehingga RM100,000 dan 100 kali sebatan.
"Walaupun rang undang-undang ini khusus bagi penganut Islam sahaja, berkait dengan kuasa raja-raja, namun masih ada pertikaian dan perbahasan yang hangat. Maka saya pohon untuk membuat huraian pada sesi (mesyuarat dewan) akan datang selaras dengan Peraturan Mesyuarat 15(5)," katanya.
Beberapa anggota Parlimen bangun meminta kerajaan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas untuk membincangkan usul berkenaan selain ingin mengetahui bila ia akan dibentangkan untuk bacaan kali pertama.
Pandikar Amin berkata untuk memahami proses rang undang-undang persendirian itu, beberapa peraturan mesyuarat perlu diteliti dan menjelaskan mengenai prosedur biasa pembentangan sesuatu usul sebelum ia diangkat menjadi rang undang-undang.
"Apabila sudah buat keputusan yang mana sekiranya majlis (anggota dewan) mengizinkan rang undang-undang itu, barulah ia dicap, bermakna apabila dicap barulah sudah sah ia dibaca kali pertama.
"Tapi ia belum lagi berakhir di situ kerana rang undang-undang yang telah dicap itu diagih dalam dewan dan akan diangkat kepada menteri yang bertanggungjawab untuk menteri berkenaan membuat satu penyata.
"Apabila menteri membuat penyata dan diangkat di dalam dewan baru ada perbahasan lagi, selepas itu baru nanti diangkat ke bacaan kedua, panjang lagi prosesnya," katanya.
Pandikar berkata persepsi berkaitan usul itu timbul berikutan laporan berita tidak tepat mengenainya kerana tidak memahami proses tersebut.
Pada Mei lalu, Abdul Hadi membentangkan usul yang sama namun ia dibentang sekali lagi, kali ini selepas dipinda susulan perjumpaan dan taklimat mengenainya diadakan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Selasa lalu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment