Wednesday, November 9, 2016
KEMENANGAN TRUMP SEWAJARNYA BERI PENGAJARAN KEPADA BN
KUALA LUMPUR 9 Nov. – Malaysia sedang berbincang dengan negara-negara anggota Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) terhadap kemungkinan Amerika Syarikat (AS) menarik diri daripada pejanjian tersebut selepas Donald Trump memenangi pemilihan Presiden negara itu.
MUSTAPA MOHAMED
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamad bagaimanapun berkata, masih terlalu awal untuk membuat sebarang andaian terhadap perkara berkenaan.
Beliau berkata, perubahan dasar tetap akan berlaku tetapi tidak terlalu radikal seperti yang sering dilihat dalam kempen pilihan raya yang dilakukan Trump sebelum ini.
“Pada saya kita tidak boleh terburu-buru dan perlu bertenang kerana tidak semestinya 100 peratus kenyataan yang dikeluarkan Trump sebelum ini akan diterjemahkan kepada dasar dan mungkin ia satu strategi bagi memancing undi.
“Bagaimanapun, pasukan saya telah mula mengumpul maklumat dan reaksi dari seluruh dunia sebelum dapat membuat analisis dalam perkara ini,” katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen hari ini.
Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kelantan memberitahu, kemenangan Trump itu juga sewajarnya memberikan pengajaran kepada Barisan Nasional (BN) dalam menghadapi pilihan raya umum akan datang.
Beliau berkata, hal ini kerana kajian yang dilakukan universiti dan badan bebas di AS terhadap proses pemilihan presiden negara itu adalah berbeza dengan situasi sebenar yang berlaku.
“Kita lihat banyak kajian yang dilakukan lebih menjurus kepada calon Parti Demokrat, Hillary Clinton dan perkara ini perlu diberi perhatian oleh BN agar tidak terlalu selesa mengikut kajian yang mengatakan BN selamat kerana ia tidak semestinya memberikan kelebihan kepada kita,” jelasnya.
Labels:
kemenangan,
trump
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment