Tuesday, November 22, 2016

PEMANGKU TIMBALAN PRESIDEN LEBIH BERKUASA UNTUK BANTU PRESIDEN

MELAKA, 22 Nov (Bernama) -- Cadangan klausa baharu dalam Perlembagaan UMNO mengenai jawatan pemangku timbalan presiden akan membolehkan UMNO memberikan lebih ruang kepada 'orang nombor dua' parti itu untuk membantu presiden.

Bekas Naib Presiden UMNO Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata langkah itu tepat kerana ia dapat melancarkan dan memudahkan mereka yang menjalankan tugas untuk jawatan itu.

"Klausa itu juga dapat mengukuhkan serta memperkemas jentera pentadbiran parti yang seterusnya melancarkan perjalanan parti itu terutamanya dalam mensiapsiagakan UMNO menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14.

"Saya sokong agar klausa baharu untuk pemangku timbalan presiden diwujudkan dalam Perlembagaan (UMNO) apabila jawatan timbalan presiden dikosongkan atau kosong," katanya kepada Bernama.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Naib Presiden UMNO yang kini menjalankan tugas Timbalan Presiden UMNO, telah mencadangkan jawatan Pemangku Timbalan Presiden UMNO dimaktubkan dalam perlembagaan parti itu.

Berdasarkan Perlembagaan UMNO, Fasal 9.9 menyentuh tentang pemangkuan jawatan presiden yang boleh dipangku oleh Timbalan Presiden sehingga diadakan pemilihan presiden baharu, manakala Fasal 9.10 pula menyebut tentang Naib Presiden yang boleh memangku jawatan Pemangku Presiden sehingga diadakan pemilihan baharu.

No comments:

Post a Comment