Monday, November 14, 2016

AKIBAT CARI PUBLISITI MURAH

KUALA LUMPUR, 14 Nov (Bernama) -- Anggota Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli patut menyalahkan dirinya sendiri kerana disabitkan di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Beliau berkata, Rafizi cuba mencari publisiti murahan untuk kepentingan politik peribadi tetapi dia secara sedar melakukan kesalahan yang serius dengan berbuat demikian, oleh itu, adalah wajar beliau menanggung akibatnya.

"Rafizi telah memfitnah lawannya tanpa menjalankan usaha yang sewajarnya dan menghormati undang-undang negara. Kali ini dia secara sengaja dan sedar melanggar undang-undang," katanya.

Anggota Parlimen Pandan Mohd Rafizi Ramli semalam
dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah memiliki dan mendedahkan laporan pengauditan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada Mac lepas.

Hakim Zulqarnain Hassan menjatuhkan hukuman penjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Rafizi yang menghadapi dua pertuduhan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 dan memerintahkan hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan difailkan ke Mahkamah Tinggi, dengan menaikkan jumlah jaminan daripada RM3,000 kepada RM5,000.

Zulqarnain berkata dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah memberi keutamaan kepada Akta Rahsia Rasmi itu sendiri yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun jika disabitkan dengan kesalahan.

"Selepas mahkamah menimbangkan faktor mitigasi dan hujahan kedua-dua pihak, mahkamah memerintahkan tertuduh dipenjara 18 bulan bagi setiap pertuduhan dan hukuman penjara berjalan serentak," katanya.

Dalam penghakimannya Zulqarnain berkata mahkamah mendapati penjelasan Mohd Rafizi bahawa dia telah memiliki dan mendedahkan halaman 98 laporan pengauditan 1MDB tidak langsung menimbulkan keraguan.

"Saya mendapati video sidang akhbar oleh Mohd Rafizi pada 28 Mac lepas di bangunan Parlimen yang dimainkan dalam mahkamah menunjukkan bahawa tertuduh bukan sahaja mengetahui, malah memberi komen dan bersedia untuk mengambil soalan daripada wartawan mengenai perkara itu," katanya.

Hakim itu berkata pada sidang akhbar yang sama juga, tertuduh telah membaca setiap ayat dalam tiga perenggan dan nota kecil pada halaman 98 laporan pengauditan 1MDB.

"Oleh itu, bukti daripada rakaman video sidang akhbar tertuduh, paparan halaman 98 pada Facebook dan blog miliknya menunjukkan dia mengetahui mengenai perkara-perkara rahsia pada tiga perenggan dan nota kecil halaman 98.

"Justeru, tertuduh tidak diprejudiskan sekiranya benar sekali pun bukan semua perkara pada halaman 98 dikemukakan," katanya yang turut memaklumkan halaman 98 itu telah disahkan dan diklasifikasikan sebagai rahsia oleh Ketua Audit Negara.

Zulqarnain berkata mahkamah mendapati adalah satu kesalahan mendedahkan tiga perenggan dan satu nota kecil pada halaman 98 laporan itu.

"Bukti rakaman sidang akhbar, paparan halaman 98 pada Facebook dan blog tertuduh serta telefon bimbit miliknya adalah amat kuat untuk mahkamah mensabitkan tertuduh dengan pertuduhan," katanya.

Naib Presiden PKR itu didapati bersalah memiliki tanpa kebenaran satu halaman muka surat 98 mengenai Laporan Pengauditan 1MDB yang merupakan kesalahan di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di lobi bangunan Parlimen, Jalan Parlimen, di sini pada 3 petang, 24 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iii) Akta Rahsia Rasmi 1972 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun.

Mohd Rafizi, 39, yang juga Setiausaha Agung PKR turut didapati bersalah mendedahkan kandungan laporan tersebut dalam sidang media di tempat dan masa sama pada 28 Mac lepas, mengikut Seksyen 8(1)(c)(iv) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun.

Terdahulu, peguam Gobind Singh Deo, yang mewakili Mohd Rafizi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang bukan bersifat pemenjaraan mandatori terhadap anak guamnya.

"Jika kita lihat dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan, seseorang anggota Parlimen yang disabitkan dengan kesalahan dan dihukum penjara lebih setahun atau didenda RM2,000, maka beliau akan terlucut kedudukannya sebagai anggota Parlimen," hujahnya.

Gobind berhujah perlucutan jawatan anak guamnya sebagai anggota Parlimen akan memberi kesan kepada penduduk (kawasan Pandan) dan Mohd Rafizi juga akan hilang kelayakan untuk bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Timbalan Pendakwa Raya Shukor Abu Bakar memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran kerana pendedahan dokumen rahsia adalah merupakan masalah serius yang sedang meningkat pada masa kini dan kes itu juga melibatkan kepentingan awam.

"Masalah ini (pendedahan dokumen rahsia) perlu dibendung dan diberi perhatian serius oleh semua pihak agar tidak berleluasa dan hukuman yang diberikan bukan sahaja memberi pengajaran kepada tertuduh, tetapi diharap menjadi langkah pencegahan kepada orang lain yang akan melakukan kesalahan sama.

"Oleh itu, pihak pendakwaan memohon hukuman setimpal dan berbentuk pengajaran bagi mengelakkan tertuduh mengulangi kesalahan sama atau kesalahan yang lebih berat," katanya yang turut memaklumkan tertuduh, yang mempunyai 'status tinggi' seharusnya tahu tanggungjawab untuk menghormati undang-undang negara.

Beliau berkata mahkamah sebagai satu badan yang bebas perlu memainkan peranan penting dalam menjatuhkan hukuman bagi menyampaikan mesej yang tegas dan berkesan kepada masyarakat supaya lebih berhati-hati dalam setiap tindakan mereka, malah mereka juga tidak akan terlepas dari cengkaman undang-undang jika terlibat dengan gejala sedemikian.

Seramai tujuh saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil untuk memberi keterangan semasa perbicaraan kes itu.

Pada 1 Sept lepas Mahkamah Sesyen memerintahkan Mohd Rafizi membela diri atas kedua-dua pertuduhan itu selepas mendapati pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadapnya.

No comments:

Post a Comment