SHAH ALAM, 12 Nov (Bernama) -- Masih tiada kata putus sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) akan menjadi sebahagian daripada gabungan parti-parti pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH).
Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata walaupun secara dasarnya PPBM bersetuju untuk menyertai pakatan pembangkang itu, tetapi kepimpinan kanan parti serpihan Umno berkenaan memerlukan masa untuk berbincang lebih lanjut mengenai penyatuan berkenaan.
Katanya lagi penangguhan menandatangani perjanjian kerjasama dengan gabungan parti DAP-PKR-Amanah (Parti Amanah Negara) yang sepatutnya berlaku pada Konvensyen Nasional pakatan itu hari ini bukan menunjukkan PPBM mahu menarik diri.
"Bersatu akan bermesyuarat untuk berbincang mengenai hubungan kerjasama ini dalam masa satu atau dua hari lagi," katanya dalam ucapan pada konvensyen itu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli dan Presiden Amanah Mohamad Sabu dalam ucapan masing-masing pada konvensyen berkenaan dilihat menggesa supaya Muhyiddin segera mengakhiri teka teki sama ada mahu menyertai PH.
Sementara itu, Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pihaknya akan menyelesaikan beberapa perkara terlebih dahulu sebelum menyertai pakatan tersebut termasuk menjadikan pakatan itu sebagai satu entiti.
"Ada beberapa isu yang perlu kita diperhalusi terlebih dahulu sebelum menyertai pakatan itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui sewaktu konvensyen.
Ditanya mengenai penyertaan PAS dalam Pakatan Harapan, Dr Mahathir berkata rundingan masih dilakukan bersama pimpinan parti Islam itu dalam meyakinkan mereka menyertai pakatan itu.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment