Tuesday, November 8, 2016

LAWATAN YANG PENUH IMPAK DAN BERJAYA


OLEH SHAHBUDIN HAJI EMBUN

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)

Sebagai Perdana Menteri yang diamanahkan dan diberi mandat untuk menerajui negara ini,pastinya Datuk Seri Najib Tun Razak lebih mementingkan  usahanya untuk memantapkan ekonomi dan  mensejahterakan negara kita ,Malaysia daripada melayan pelbagai kritik, rasa tidak puas hati serta tohmahan yang dikenakan pada dirinya.

Lihat sahaja tohmahan yang dilemparkan pada Najib sebaik sahaja dia mengumumkan pelbagai pemeteraian perjanjian yang bernilai RM144 bilion antara syarikat Malaysia dan China yang akan menyumbang kepada pertumbuhan sosio ekonomi Malaysia.

Ada sahaja yang tidak kena di mata para pengkritik Najib. Usaha yang baik untuk memantapkan pertumbuhan ekonomi dilihat sebagai langkah yang negatif sehinggakan ada yang menuduh Malaysia telah menggadai maruah hingga sanggup mengorbankan kedaulatan negara kepada China.Ini merupakan satu tuduhan yang tidak berasas sama sekali . Apatah lagi jika kita melihat sejarah perhubungan antara Malaysia dan China yang sudah lama terjalin dengan eratnya.

Perlu diingatkan bahawa sebarang penjanjian perdagangan antara dua negara ini bukanlah sesuatu yang baru. China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia pada 2015, iaitu satu kedudukan yang kekal sejak 2009 lagi. Jumlah dagangan dua hala pada 2015 adalah sebanyak US$100 bilion. Malaysia juga merupakan rakan perdagangan terbesar di kalangan negara ASEAN bagi China selama lapan tahun berturut-turut.

Antara projek yang diselar oleh pengkritik Najib seperti Tun Mahathir ialah projek Landasan Kereta Api Pantai Timur (ECRL), yang mana menurut Mantan Perdana Menteri itu, ianya merupakan suatu projek yang akan membebankan lagi negara kita. Kritikan ini tidak relevan kerana dari sudut positifnya,  laluan landasan berkembar kereta api  itu akan menghubungkan Kuala Lumpur dan Wilayah Ekonomi Pantai Timur seperti Mentakab, Kuantan, Kuala Terengganu and Tumpat. Pastinya dengan adanya landasan seperti ini, akan menjadi pemangkin kepada transformasi ekonomi dan pembangunan negeri-negeri di Pantai Timur.

Mereka yang mengkritik Najib juga tidak mengambil kira akan faktor pelaburan yang masuk dalam ekonomi Malaysia . Tidakkah mereka terfikir , perjanjian perdagangan ini akan mewujudkan lebih  banyak peluang pekerjaan, dapat meningkatkan kemahiran dalam kehidupan rakyat di negara kita.

Seperkara lagi yang perlu diambil kira ialah, perjanjian perdagangan ini juga merupakan satu petanda bahawa negera China telah memberi kepercayaan kepada pentadbiran Najib dalam mengurus dan mentadbir negara ini. Disebabkan faktor inilah, China sanggup membuat pelaburan dan memeterai pelbagai perjanjian perdagangan dengan Malaysia. Bukannya semua negara dapat menjalin perhubungan diplomatik dan perdagangan yang mantap dengan sebuah kuasa besar ekonomi seperti Malaysia.

Apa yang dirundingkan oleh Najib serta rombongan perdagangan dari Malaysia ialah untuk memastikan setiap kerjasama yang dibentuk dengan China adalah untuk keuntungan bersama antara kedua buah negara ini. Inilah pegangan yang dipraktikkan selama ini ,yang mana setiap perjanjian perdagagangan  antara  syarikat Malaysia  dan China dalam pelbagai projek, baik di Malaysia mahupun di China telah  berjaya mencapai matlamat iaitu  memberi manfaat dan kebaikan kepada kedua-dua pihak.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini Beijing telah menyatakan hasratnya untuk  merapatkan lagi  hubungan dengan negara-negara jirannya seperti Malaysia serta negara Asean yang lain . Dan antara usaha Beijing ialah dengan menyediakan pelbagai inisiatif, yang mana antara inisiatif  yang dimaksudkan oleh Beijing ialah memperkenalkan dasar Laluan Sutera Maritim.

Jelaslah di sini juga lawatan Najib ialah untuk membuktikan komitmen Malaysia dengan China dalam melaksanakan dasar Laluan Sutera Maritim yang akan memberikan kesan yang positif terhadap ekonomi serantau, termasuklah negara kita Malaysia.Dalam hal ini Malaysia merupakan antara negara yang paling awal berada dalam zon atau kerangka Laluan Sutera Maritim yang diusahakan oleh China.

Bahkan sokongan Malaysia terhadap dasar  laluan sutera maritim telah dipraktikkan menerusi perjanjian Malaysia-China Joint Communique yang ditandatangani bersama ketika menyambut ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik Malaysia-China pada tahun 2014

Jelaslah , lawatan Perdana Menteri kita ialah untuk terus menjalin hubungan yang baik  dan mencipta sejarah hubungan diplomatik yang lebih bermakna antara Malaysia dan China. Dan pastinya usaha ini juga akan memberikan impak yang sangat besar kepada ekonomi dan perdagangan Malaysia.


No comments:

Post a Comment