Thursday, February 28, 2019

MAHATHIR HINA BN YANG ANGKATNYA JADI PM 22 TAHUN



“BN (Barisan Nasional) dah tak ada, dah ‘Innalillahi wainna ilaihi raajiun,” kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perdana Menteri berkata, memilih calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih adalah perbuatan sia-sia kerana parti itu sudah tiada.

Sebaliknya, kata beliau, yang ada hanyalah UMNO itupun sekadar pada nama sahaja.


“Sudah habis, yang ada UMNO, pada nama saja, UMNO pun dah hancur, banyak ahli minta nak masuk Pakatan Harapan (PH) dan BERSATU (Parti Pribumi Bersatu Malaysia), yang tinggal itu nak jalan pun tak larat dah,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Ceramah Perdana PH sempena PRK DUN Semenyih di Taman Pelangi, Hulu Langat, malam tadi.

Hadir sama, Timbalan Presiden PH, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pucuk pimpinan komponen PH.

Dalam pada itu, Dr Mahathir meminta mereka yang terpengaruh dan setia dengan kempen #Bossku supaya berfikir semula kerana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disanjung itu membawa masalah kepada negara.

“Tahu apa makna perkataan boss ini? Ia datang dari Amerika Syarikat (AS). Orang kulit hitam panggil pemilik mereka sebagai boss, jadi bila panggil bossku, tu maknanya kita jadi milik boss. Kita sudah merdeka, adakah kita mahu jadi hamba lagi?

“Betul tidak tahu malu, tengok kelakuan dia, tak malu langsung. Saya mungkin salah kadang-kadang, tapi saya tidak salah bila tolak Najib,” kata beliau.

Dalam pada itu, Dr Mahathir yakin dengan pemilihan Muhammad Aiman Zainali yang juga calon PH sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) akan melaksanakan tanggungjawab dan janjinya.

“Kalau dia tak buat, kita tibai dia, itu janji saya,” kata beliau.

Wednesday, February 27, 2019

ANWAR DEDAH PAS BAYAR RM1.4 JUTA KEPADA CLARE REWCASTLE BROWN

SEMENYIH, 27 Feb (Bernama) -- PAS membayar RM1.4 juta kepada Clare Rewcastle Brown membabitkan kes penyelesaian luar mahkamah antara Editor Sarawak Report itu dan presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, demikian kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden PKR itu mendakwa beliau mempunyai penyata bank yang membuktikan PAS membayar jumlah itu bagi menyelesaikan kes saman di luar mahkamah.

“Kalau PAS hendak cabar saya, saya akan tunjuk kenyataan bank. Bank mana nantilah, jumlahnya RM1.4 juta," katanya ketika berucap pada kempen Pilihan Raya Kecil (PKR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Semenyih Central di sini, malam ini,.

Tuesday, February 26, 2019

AIMAN UMUM LIMA AGENDA SEMENYIH

SEMENYIH, 26 Feb (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih Muhammad Aiman Zainali malam ini menggariskan lima agenda perubahan yang akan diperjuangkannya untuk penduduk Semenyih sekiranya menang Sabtu ini.

Agenda ‘Aiman4Semenyih’ itu antaranya menggariskan inisiatif “Semenyih Terhubung” sebagai agenda pertamanya bagi meningkatkan kekerapan perkhidmatan bas termasuk bas ‘Smart Selangor’ dan menaik taraf terminal bas dan teksi di Semenyih.

Selain itu, Muhammad Aiman turut menjanjikan inisiatif kesihatan “Semenyih Sihat” bagi menaik taraf klinik kesihatan dan mewujudkan ‘Smart Semenyih Mobile Clinic’ agar dapat memberi perkhidmatan kesihatan yang terbaik kepada penduduk Semenyih.

Monday, February 25, 2019

"UNCLE KENTANG" TIADA MASALAH JADI YB DAN AKTIVIS MASYARAKAT SEKALIGUS

SEMENYIH, 25 Feb (Bernama) -- Calon Bebas, Kuan Chee Heng berkata beliau tidak mempunyai masalah berkhidmat secara serentak sebagai aktivis masyarakat dan wakil rakyat sekiranya menang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih.

Lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’, beliau berkata dapat berbuat demikian akan memberi lebih ruang kepadanya untuk membantu masyarakat di kawasan Semenyih.

"Saya tiada masalah untuk jadi dua-dua (jika menang), wakil rakyat dan aktivis...kerana ia mudahkan lagi saya untuk bantu orang,

"Seorang pemimpin yang baik bukan sahaja perlu mengharapkan dana daripada kerajaan tapi kena perlu bersedia dengan (mencari) dana dan kemudahan lain," katanya kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan mesra di tapak pasar malam, dekat sini, hari ini.

Sunday, February 24, 2019

HASANUDDIN MAHU SEMENYIH KEKAL DI BAWAH PH

SEMENYIH, 24 Feb (Bernama) -- Penampilan naib presiden Parti Amanah Negara Datuk Hasanuddin Mohd Yunus sebagai penceramah pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih jelas menekankan tentang pentingnya Semenyih kekal di bawah Pakatan Harapan (PH) menjelang hari mengundi minggu depan.

Anggota parlimen Hulu Langat itu turun padang untuk bertemu penduduk di pasar pagi Beranang bagi menyatakan sokongan kepada calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Hasanuddin menyeru penduduk supaya menyokong Muhammad Aiman pada PRK Semenyih 2 Mac ini. Semenyih adalah satu daripada dua kawasan DUN terletak dalam kawasan parlimen Hulu Langat. Satu lagi ialah Dusun Tua.

Saturday, February 23, 2019

PKR TETAP BANTU CALON BERSATU DI SEMENYIH

SEMENYIH, 23 Feb (Bernama) -- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim malam ini turun padang bagi memperkuatkan kempen Pakatan Harapan (PH) dalam usaha mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu, 2 Mac ini.

Program pertama beliau adalah pada Rumah Terbuka Pesta Chap Goh Mei Semenyih 2019 di Gelanggang Bola Keranjang Kampung Baru Semenyih dan turut dihadiri calon PH, Muhammad Aiman Zainali.

Ia dikuti dua ceramah pilihan raya di Bilik Gerakan Utama PH dan di Taman Sri Jenaris.

Kehadiran Anwar ini jelas menepis dakwaan pembangkang kononnya PKR dan DAP tidak membantu calon PH daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam kempen PRK DUN Semenyih.

“ Saya datang untuk bantu dengan sokongan kuat dan padu kepada calon PH. Harap tak lagi jadi teka teki yang digunakan pembangkang,” katanya kepada hadirin dalam ceramah di Bilik Gerakan Utama PH di sini.

Sebelum itu, pada Rumah Terbuka Pesta Chap Goh Mei Semenyih 2019, Anwar mengingatkan penyokong PH supaya tidak memandang ringan PRK itu.

"Jangan lupa apa sebab anda semua bagi sokongan (kepada PH) dalam pilihan raya umum (PRU) lalu, sebab kita tidak mahu lagi kekayaan negara ini dicuri," katanya.

Dalam ucapannya yang turut diselit perkataan Mandarin, Anwar berkata rakyat perlu memberikan sokongan kepada kepimpinan negara untuk membawa Malaysia ke landasan betul.

"Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sudah 93 tahun, dia mahu duit lagi ke Dia tak mahu, dia mahu jaga dan selamatkan Malaysia," katanya.

Anwar turut menempelak pembangkang yang menghasut rakyat menjauhi kerajaan dengan memainkan isu janji manifesto.

Anwar berkata kerajaan PH bukannya tidak ingat kepada janji yang dibuat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, namun memerlukan masa untuk melaksanakannya.

" Kita ingat kepada janji, tetapi pembangkang mengungkit, kita belum sampai satu tahun pun (memerintah), mereka 60 tahun, apa yang mereka buat," katanya.

Beliau turut mempersoalkan peranan PAS yang dilihat menyerangnya selepas parti itu menjalin kerjasama dengan UMNO.

"Kamu Islam tetapi orang curi boleh berkawan, boleh bohong, cakap saya mahu jatuhkan perdana menteri," katanya.

Dalam ceramah di Taman Sri Jenaris, Anwar berkata pengundi Semenyih perlu melihat rekod pencapaian kerajaan Selangor dalam membangunkan negeri ini.

“ Apa yang diberi oleh kerajaan Selangor tidak diberikan oleh mana-mana kerajaan negeri bawah Barisan Nasional yang lain," katanya .

Sehubungan itu, beliau berharap pengundi memenangkan Muhammad Aiman bagi membolehkannya membantu kerajaan negeri melaksanakan pelbagai dasar dan program kepada penduduk di DUN Semenyih.

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Muhammad Aiman, calon Barisan Nasional Zakaria Hanafi, calon Bebas Kuan Chee Heng dan Nik Aziz Afiq Abdul daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Ia diadakan berikutan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada Bersatu yang mewakili PH pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung.

-- BERNAMA

Friday, February 22, 2019

CALON PH MAHU JADI "SUPERMAN" SELESAIKAN MASALAH DALAM SATU HARI



HULU LANGAT 22 Feb. - Timbalan Presiden Pakatan Harapan (PH), Tan Sri Muhyiddin Yassin mengakui calon mereka terlepas cakap berhubung janji menyelesaikan masalah penduduk sehari selepas memenangi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Semenyih.

Beliau berkata, ini kerana Muhammad Aiman begitu bersemangat dan ghairah untuk membantu rakyat.

Katanya, beliau sendiri sudah pun menasihatkan calon PH berkenaan mengenai terlajak kata tersebut selain boleh diperbetulkan.

“Ini menunjukkan anak muda ini bukan main ghairah sekali. Sampaikan hari ini bawa, esok selesai. Jadi, saya kata tak apa lah, itu sebagai terlanjur kata, boleh kita perbetulkan.

“Apa yang penting, beliau menunjukkan minat untuk membantu rakyat Semenyih dengan isu-isu yang telah saya sebutkan semalam dengan panjang lebar yg menjadi perhatian penduduk di sini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sewaktu menghadiri sembang santai bersama penduduk Kampung Batu Tiga, Jalan Bangi, di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas isu Muhammad Aiman yang berjanji bahawa jika PH menang PRK DUN Semenyih pada 2 Mac ini, keesokannya juga masalah penduduk akan cuba diselesaikan.

Muhammad Aiman membuat janji sedemikian di hadapan kira-kira 150 penduduk Batu 26, Beranang di sini malam tadi.

Thursday, February 21, 2019

MAINAN CYBER TROOPER

PUTRAJAYA, 21 Feb (Bernama) -- Dakwaan terdapat gerakan untuk membawa undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, hanyalah cerita yang dibangkitkan 'cybertrooper', kata Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman.

Katanya beliau tidak mendengar sebarang komplot seperti itu, sebaliknya lebih ramai yang meminta supaya Dr Mahathir diberi masa lebih panjang sebagai Perdana Menteri sehingga semua tugasnya dapat diselesaikan.

"Banyak 'cybertrooper' upahan ni...lebih banyak wang yang mereka dapat, lebih banyak putar belit mereka tampilkan. "Bagi saya tidak dengar lagi (komplot), sebaliknya saya dengar semakin ramai yang suka Dr Mahathir," katanya.
.....

Wednesday, February 20, 2019

PH KENA LETAK CALON BOLEH MENANG DI RANTAU

SEREMBAN, 20 Feb (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja lebih keras dan meletakkan calon '’boleh menang’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kata Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata berkata PH akan turun sebagai ‘únderdog’ atau calon alternatif memandangkan kawasan itu merupakan kubu kuat UMNO yang disandang oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan sejak tiga penggal lalu.

“Ini bukan pertandingan yang mudah...memandangkan Mohamad merupakan orang nombor satu dalam UMNO dengan memangku jawatan presiden.

Tuesday, February 19, 2019

CALON PH MAHU TURUNKAN KAIN RENTANG "KITA BUKAN PEROMPAK"

SEMENYIH, 19 Feb (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Muhammad Aiman Zainali berkata beliau akan mendapatkan maklumat lanjut berhubung beberapa bahan kempen pihaknya yang dikatakan bersifat provokasi.

“Kami akan lihat, kalau boleh kami akan turunkan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan ke rumah pengundi di Kampung Sentosa di sini hari ini.

Sejak semalam, terdapat beberapa kain rentang yang memaparkan logo PH bertulis “Kita Bukan Pencuri”, “Kita Bukan Pembohong” dan “Kita Bukan Perompak” telah dinaikkan di beberapa kawasan antaranya di persimpangan jalan di pekan Semenyih.

Monday, February 18, 2019

WANITA PKR TAK MAHU CALON LAMA BERTANDING DI RANTAU

PUTRAJAYA, 18 Feb (Bernama) -- Naib Presiden Parti Keadilan rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin mahu calon wanita diketengahkan sebagai calon parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bakal diadakan.

Beliau, yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, berkata calon wanita di kerusi DUN Rantau adalah sesuai memandangkan Negeri Sembilan sebuah negeri yang mengamalkan Adat Perpatih yang mengutamakan kaum wanita.

“Sudah berapa pilihan raya kecil tidak ada pun orang perempuan, jadi kali ini (DUN Rantau) saya minta orang (calon) perempuan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2018 dan Jasamu Dikenang kementeriannya di sini hari ini.

Sunday, February 17, 2019

PAS TETAP SOKONG BN DI SEMENYIH

MARANG, 17 Feb (Bernama) -- PAS hari ini menegaskan tidak timbul soal parti itu tidak menyokong UMNO dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih, berikutan pertemuan Presiden PAS Datuk Seri Hadi Awang dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lepas.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menjelaskan perakuan bertulis yang berbentuk contoh yang diberikan kepada Dr Mahathir dalam pertemuan itu hanyalah komitmen sokongan PAS atas dasar menjaga kepentingan agama, negara dan bangsa sehingga Pilihan Raya Umum ke-15.

Di sebalik sokongan itu, Takiyuddin menegaskan tiada sebarang isu berkenaan perakuan bertulis daripada pihak PAS untuk tidak akan menyokong UMNO dalam PRK Semenyih.

Saturday, February 16, 2019

BUKAN MUDAH BAGI BN RAMPAS SEMENYIH

JOHOR BAHRU, 16 Feb (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih tidak akan menjadi semudah PRK Cameron Highlands buat jentera Barisan Nasional (BN) memandangkan keadaan semasa dijangka memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan (PH).

Ketua Umno Bahagian Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad berkata yang PRK kali ini berbeza kerana Semenyih terletak di kawasan pinggir bandar.

Selain itu, PH adalah kerajaan di peringkat negeri dan pusat, sekaligus memberikan kekuatan untuk mereka memahami isu setempat manakala di Cameron Highlands PH hanya berkuasa di peringkat pusat manakala Kerajaan Negeri masih dikuasai oleh BN.

Friday, February 15, 2019

AMANAH ARAH JENTERANYA BANTU KEMPEN CALON PH

KLANG, 15 Feb (Bernama) -- Parti Amanah Negara (Amanah) mengarahkan jentera parti itu membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH), Muhammad Aiman Zainali, bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, 2 Mac ini.

Presiden Amanah, Mohamad Sabu berkata, arahan itu meliputi jentera dari semua negeri dan mereka akan bekerja bersama-sama jentera parti komponen PH yang lain.

"Jentera sudah bersiap sedia untuk PRK DUN Semenyih dan semua parti komponen akan bekerja atas nama PH,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina DUN Sungai Kandis dan Parlimen Kota Raja, di sini, hari ini.

Tuesday, February 12, 2019

ADAKAH PENAFIAN AKAN JADI KENYATAAN?

SEPANG, 12 Feb (Bernama) -- Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali hari ini menafikan khabar angin kononnya beliau telah dipecat parti itu dan menganggapnya sebagai berita palsu.

“Banyak khabar angin sekarang ini yang disebar oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Jadi untuk menyelesaikan masalah ini, kita jangan kita percaya dengan khabar-khabar angin terutamanya melalui teknologi baru seperti sosial media,”katanya ketika ditemui media di sini hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi terdahulu merasmikan perkhidmatan sewa khas untuk Haji dan Umrah, Amal oleh Malaysia Airlines di sini.

Tular di media sosial termasuk di Facebook dan Twitter sejak malam semalam yang mendakwa Mohamed Azmin telah dipecat daripada PKR.

-- BERNAMA

Monday, February 11, 2019

PENGUNDI SEMENYIH SAMAN SPR HALANG PRK SEMENYIH



SHAH ALAM, 11 Feb (Bernama) – Seorang pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih memfailkan saman pemula terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menghalang suruhanjaya itu daripada mengendalikan Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih akan datang.

Selain SPR, Puan Sri Sabariah Mohd Shariff, 58, selaku plaintif turut menamakan Pengerusi SPR Azhar Azizan Harun serta Kerajaan Persekutuan sebagai defendan-defendan dan saman itu difailkan secara dalam talian (e-filing) menerusi Tetuan Azam Aziz Shaharudinali & Co pada Jumaat lalu.

Bercakap dalam sidang media di lobi Kompleks Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini, Sabariah berkata beliau memutuskan untuk mengambil tindakan saman itu selepas timbul isu di media sosial berkaitan SPR sama ada ia satu entiti yang sah atau tidak di sisi Perlembagaan Persekutuan.

“Melihat perkembangan politik hari ini, saya merasakan bahawa adalah menjadi tanggungjawab saya sebagai pengundi di kawasan DUN Semenyih dan sebagai warganegara Malaysia untuk melakukan sesuatu selaras dengan prinsip Kedaulatan Undang-undang seperti terkandung dalam Perlembagaan dan undang-undang negara.

“Saya tidak mewakili mana-mana fahaman atau parti politik, saya tiada apa-apa kepentingan politik dengan apa jua keputusan undian yang bakal dibuat oleh majoriti pengundi di DUN Semenyih nanti. Saya hanya mahu memastikan proses demokrasi di negara kita ini dijalankan oleh pihak yang sah di sisi undang-undang dan saya percaya mahkamah satu-satunya medan yang layak membuat keputusan sama ada SPR ini sah atau tidak mengikut Perlembagaan,” katanya.

Peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili plaintif pula berkata pihaknya berharap mahkamah akan menetapkan tarikh pendengaran dalam masa terdekat dan membuat keputusan sebelum hari penamaan calon PRK DUN Semenyih pada Sabtu ini (16 Feb).

“Pihak kami difahamkan saman difailkan anak guam kami adalah tindakan yang pertama di negara ini. Kita serahkan kepada mahkamah sama ada SPR masih satu entiti yang sah apabila hanya terdapat seorang Pengerusi SPR yang menguruskan hal-hal rasmi SPR selepas timbalan pengerusi SPR dan lima lagi anggotanya telah meletak jawatan berkuat kuasa 1 Jan lalu dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.

“Mengikut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan, SPR mestilah terdiri daripada gabungan seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang kesemuanya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja,” katanya.

Dalam tuntutan saman pemulanya, Sabariah memohon perintah deklarasi bahawa entiti SPR tidak wujud dan tidak sah dan atau tidak berperlembagaan selepas 1 Jan lepas menurut Fasal 114 (1) Perlembagaan Persekutuan.

Plaintif juga memohon perintah deklarasi bahawa mesyuarat SPR bertarikh 18 Jan lepas yang dipengerusikan oleh Azhar Azizan seorang diri tanpa keanggotaan timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang lain adalah tidak sah, batal dan melanggar Fasal sama, serta kesemua keputusan yang dibuat dalam mesyuarat itu tidak sah, batal dan tidak boleh dikuatkuasakan oleh Azhar Azizan.

Selain itu, Sabariah memohon injunksi larangan untuk menghalang defendan kedua (Azhar Azizan) daripada bermesyuarat dan atau meneruskan, melaksanakan, menjalankan atau sebarang tindakan atau perbuatan mengendalikan atau menganjurkan dan atau melaksanakan PRK DUN Semenyih sehingga keanggotaan penuh SPR dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong mengikut Perlembagaan Persekutuan.

Dalam afidavit yang turut difailkan bersama saman pemula itu, plaintif mendakwa setakat 18 Jan lalu, Yang di-Pertuan Agong tidak ada membuat lantikan timbalan pengerusi dan lima anggota SPR yang baharu.

Menurutnya, beliau percaya disebabkan SPR tidak lagi wujud secara sah selepas 1 Jan 2019, maka pengerusi SPR seorang diri tidak boleh mengendalikan, mengagihkan atau melaksanakan sebarang mesyuarat atau membuat sebarang keputusan untuk mengendalikan PRK DUN Semenyih.

Enam bekas anggota SPR itu ialah Tan Sri Othman Mahmood (bekas Timbalan Pengerusi SPR), Datuk Md Yusop Mansor, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi, Datuk K. Bala Singam dan Datuk Leo Chong Cheong.

Lima daripada mereka meletak jawatan pada 18 Okt 2018 manakala seorang lagi pada 27 Nov 2018 dan kesemua peletakan jawatan itu berkuat kuasa pada 1 Jan 2019.

Pada 18 Jan lalu, Azhar Azizan mengumumkan bahawa PRK DUN Semenyih akan diadakan pada 2 Mac ini, hari penamaan calon pada Sabtu ini dan hari mengundi awal pada 26 Feb.

-- BERNAMA

Sunday, February 10, 2019

HASANUDDIN LAWAT BEKAS EDITOR BM FREE MALAYSIA TODAY

SEMENYIH: Ahli parlimen Hulu Langat, Hasanuddin Mohd Yunus yang minum pagi bersama penduduk Fasa 9 Bandar Tasik Kesuma di kedai roti canai Pak Uda sempat meluangkan masa melawat bekas Editor Bahasa Malaysia, Free Malaysia Today (FMT), Mohd Zabidi Saidi yang diserang jantung pada 25 Disember lalu.

Zabidi yang sudah memasang stent di Hospital Serdang pada 23 Januari lalu semakin sihat dan beliau terharu dengan kunjungan Naib Presiden Parti Amanah tersebut ke rumahnya selama setengah jam.

Beliau ditemani isterinya berasal dari Batu Pahat, Johor dan pernah bertanding sebagai calon PAS di DUN Rengit pada PRU 1999, 2004 dan 2008. Pada PRU 2013 beliau tidak bertanding dan pada PRU 2018, beliau yang juga bekas Pengarah Agama FELDA bertanding di parlimen Hulu Langat sebagai calon PH telah menang dengan majoriti 25,424 undi. Hasanuddin mengalahkan bekas ahli parlimen PAS, Dr Che Rosli Che Mat dan calon BN, Azman Ahmad.

Beliau pernah belajar di Jordan dengan bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Idris Jusoh dan bekas ADUN Batu Rakit, Khazan Che Mat. Walaupun mereka berlainan parti tetapi beliau rapat dengan Idris. Pernah ketika beliau bekerja sebagai pegawai agama FELDA, Idris menelefonnya minta Hasanuddin bawa Khazan ke Kuala Lumpur untuk cari peluang menyambung karier atau peluang perniagaan.

Beliau juga adalah waris bekas Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wan Farid Wan Salleh  (bekas Ketua Umno Bahagian Kuala Terengganu) di mana mereka rapat walaupun berlainan parti. Malah ahli parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid pernah belajar sekali di Kolej Islam Kelang.

Dalan pertemuan singkat ini Hasanuddin berkata PRK Semenyih merupakan pertembungan sengit antara PH dengan BN kerana BN sudah lama bertapak di Semenyih sedangkan PH baru merampas kerusi tersebut pada PRU Mei 2018.

"PH kena kerja kuat untuk kekalkan kemenangan," katanya lagi.

Zabidi menemui Hasanuddin buat kali pertama di parlimen pada tahun lepas. Pertemuan hari ini adalah kali kedua di antara mereka berdua.

Saturday, February 9, 2019

PRK SEMENYIH BUKAN PILIHANRAYA YANG MUDAH

SEMENYIH, 9 Feb (Bernama) -- Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Semenyih sebagai satu cabaran getir yang memerlukan kerja keras untuk memastikan kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai Bersatu.

Beliau menegaskan apa yang penting ialah jentera pilihan raya parti mesti bersatu dan bergerak sebagai satu pasukan yang mantap.

"Kerana ini bukan satu pilihan raya yang mudah. Kita akan bersikap 'it's a big task, an uphill battle'," kata Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri pada sidang akhbar selepas mengadakan perjumpaan dengan pemimpin masyarakat dan Bersatu di sini hari ini menjelang PRK itu yang dijadualkan berlangsung 2 Mac ini.

Berdasarkan pengalamannya menerajui pelbagai pilihan raya sebelum ini, Muhyiddin berkata tidak ada satupun yang dianggapnya mudah untuk dimenangi.

"Kita perlu mengambil sikap kita perlu kerja keras. Kalau kita rasa boleh menang, tak cukup dengan harapan boleh menang sahaja kerana kita perlu kerja keras (untuk memastikan kemenangan)," kata beliau.

PH sebelum ini dilapor akan meletakkan calon daripada Bersatu untuk bertanding PRK Semenyih yang diadakan susulan kematian wakil rakyat daripada PH, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lalu akibat serangan jantung.

Muhyiddin berkata nama calon berkenaan akan diumumkan pada 14 Feb ini.

Menjawab pertanyaan pemberita, beliau berkata gesaan supaya PH meletakkan anak tempatan pada PRK itu akan diambil kira dalam menentukan calon selain aspek lain seperti berkelayakan, berkemampuan dan berbudi bahasa.

Beliau seterusnya berkata PH akan mengambil peluang pada kempen PRK itu untuk menjelaskan pelbagai isu termasuk dakwaan kononnya gabungan itu tidak mempertahankan kepentingan Melayu.

Muhyiddin berkata Bersatu dan PH juga tidak akan mengambil mudah kerjasama UMNO-PAS seperti yang dilihat pada PRK Parlimen Cameron Highlands lalu.

“Saya merasakan tidak semua anggota PAS bersetuju dengan kerjasama mereka. Apapun, kita akan lihat nanti sejauh mana (kekuatan),” katanya.

Mengenai pertemuan dengan pemimpin masyarakat setempat hari ini, Muhyiddin berkata antara isu yang dibangkitkan ialah projek tebatan banjir Sungai Beranang dan kesesakan yang berlaku di klinik kesihatan dan Hospital Kajang yang memerlukan perhatian kerajaan pusat dan negeri.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Allahyarham Bakhtiar menewaskan wakil rakyat dua penggal daripada Barisan Nasional (BN) Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S. Arutchelvan daripada PSM. Bakhtiar menang dengan majoriti 8,964 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU14. Sebelum ini, Selangor menyaksikan penentuan di tiga PRK iaitu bagi DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

-- BERNAMA

Friday, February 8, 2019

YB DIDAPATI RASUAH TIDAK AKAN DICALON SEMULA

SEMPORNA, 8 Feb (Bernama) -- Menteri dalam kabinet negeri mahupun wakil rakyat di Sabah yang didapati terbabit rasuah dan penyelewengan akan digugurkan dan tidak dicalonkan semula pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata tindakan itu disifatkan bersesuaian dan penting kerana keutamaan kerajaan negeri adalah menjaga rakyat.

“Jangan ada menteri saya, YB (Yang Berhormat) atau pegawai kerajaan terlibat dengan rasuah.

Thursday, February 7, 2019

BN AKAN PILIH CALON TEMPATAN YANG PUNYA REKOD BAIK

SHAH ALAM, 7 Feb (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) akan memilih calon tempatan yang mempunyai rekod baik bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Semenyih yang dijadual diadakan 2 Mac depan.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, selain senarai enam nama yang diserahkan UMNO Selangor, pihaknya turut menerima beberapa lagi nama calon yang diserahkan Majlis Tertinggi (MT) parti.

"Konteks setempat menjadi kriteria utama kita," katanya kepada pemberita selepas program Bicara Minda anjuran Sinar Harian di Kompleks Karangkraf di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata pihaknya juga akan menilai calon yang dicadangkan pihak luar UMNO dengan syarat ia diterima penduduk setempat.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. Penamaan calon ditetapkan pada 16 Feb.

-- BERNAMA

Wednesday, February 6, 2019

ANWAR DAH JUMPA AZMIN MENGENAI ROMBAKAN KABINET

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan desas-desus rombakan Kabinet yang dikatakan bakal berlaku selepas sambutan Tahun Baharu Cina sebagai perkara sengaja dihangatkan pihak tertentu bagi menimbulkan ketegangan dalam Pakatan Harapan (PH).

Presiden PKR itu berkata perkara tersebut juga telah dinafikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri hari ini.

“Tun Mahathir pun dah jelaskan tidak perlu layan khabar angin ini, saya pun ada berjumpa dengan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali selepas pembedahan.

“Keadaan semua baik, perkara ini tidak berbangkit pun oleh sesiapa. Ia sengaja dihangatkan untuk menimbulkan ketegangan,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada pembukaan Seminar Antarabangsa Pemikiran Islam Semasa dan Reformasi Masyarakat di sini malam ini.

Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas tulisan sebuah blog dua hari lepas, mendakwa Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu selepas Tahun Baharu Cina.

Menerusi catatan blog itu juga, desas-desus pelantikan Mohamed Azmin itu dikuatkan lagi apabila Dr Mahathir memberikan pelbagai tugasan penting kepada Mohamed Azmin termasuk sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan serta kemungkinan mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

-- BERNAMA

Tuesday, February 5, 2019

TANYA PM ROMBAKAN KABINET AZMIN GANTI WAN AZIZAH

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan beliau tidak menerima sebarang berita mengenai rombakan Kabinet yang dikatakan akan berlaku selepas sambutan Tahun Baharu Cina.

Timbalan perdana menteri itu berkata sebarang keputusan perubahan kabinet harus diserahkan kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Itu kena tanya Perdana Menteri sebab saya tidak dengar lagi nak rombak kabinet," katanya kepada pemberita selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di sini hari ini.

Dr Wan Azizah berkata demikian ketika diminta mengulas tulisan sebuah blog semalam yang mendakwa Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bakal dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri yang baharu selepas Tahun Baharu Cina.

Menerusi catatan blog itu juga, desas desus pelantikan Azmin itu dikuatkan lagi apabila Dr Mahathir memberikan pelbagai tugasan penting kepada Azmin termasuk sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Negeri (MTNg) Kelantan serta kemungkinan mengetuai Majlis Tindakan Ekonomi Negara.

-- BERNAMA

Monday, February 4, 2019

RAIS BIDAS TINDAKAN AHLI BERSATU BUAT LAPORAN POLIS NAJIB BERSWAFOTO

SEREMBAN: Ketua Bersatu Negeri Sembilan Rais Yatim membidas tindakan ahli partinya yang membuat laporan polis terhadap program bekas perdana menteri, Najib Razak yang turut melibatkan acara berswafoto di Langkawi.


Dalam kenyataan di Twitter hari ini, Rais berkata tiada keperluan untuk berbuat demikian memandangkan Anggota Parlimen Pekan itu hanya sekadar makan angin di Langkawi.

"Yang benar tetap benar, yang hakiki tetap hakiki. Tak perlu buat laporan polis semata-mata Najib jalan-jalan di Langkawi sambil ambil swafoto atau lepak dengan kenalannya.

"Tunggu saja kes beliau diputuskan oleh mahkamah," katanya.

Terdahulu, lima laporan polis dibuat berhubung program berkenaan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Eddin Syazlee Shith berkata, anggota Bersatu membuat laporan polis itu semalam bagi "menjaga ketenteraman" Langkawi.


Beliau bagaimanapun menegaskan bahawa Bersatu tidak mengeluarkan sebarang arahan kepada anggotanya untuk membuat laporan polis tersebut.

"Saya percaya laporan polis itu dibuat atas kapasiti keselamatan. Kita tidak mahu pulau yang selama ini aman, berlakunya perkara yang tidak baik serta tidak diingini sebab kita melihat banyaknya agenda bersifat provokasi seperti penyebaran berita-berita tidak benar,” katanya.

Saturday, February 2, 2019

PASAR PAGI DALAM LADANG GETAH

PASIR PUTEH, 2 Feb (Benama) -- Siapa sangka dalam kawasan ladang getah di Kampung Guntong di sini terdapat sebuah pasar pagi yang menjual pelbagai keperluan harian seperti ikan, sayur-sayuran serta gerai makanan.

Seawal 6 pagi, para peniaga telah mula memenuhi ruang niaga masing-masing sambil menunggu kedatangan pengunjung. Pasar ini dibuka hanya pada hari Jumaat dari awal pagi sehingga tengahari.

Keunikan pasar pagi ini mengimbau kenangan filem Laksamana Do Re Mi arahan Tan Sri P.Ramlee terbitan Shaw Brothers pada 1972 yang mempunyai adengan Re (Ibrahim Din) membeli sayur-sayuran di sebuah pasar pagi dan di situ berlakulah tawar menawar yang sarat dengan adengan lucu.

Friday, February 1, 2019

LEIKING KESAL PARTI GUNA SENTIMEN KAUM

KOTA KINABALU, 1 Feb (Bernama) -- Timbalan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) Datuk Darell Leiking menyatakan kesal dan kecewa terhadap parti-parti politik tertentu yang menggunakan sentimen perkauman demi mencapai matlamat mereka.

Leiking yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata walaupun beliau berasal dari suku kaum Kadazan tetapi beliau tidak pernah menggunakan sentimen asal-usulnya dalam platform politik.

"Bagi mereka yang masih menggunakan sentimen kaum untuk mencapai matlamat politik, saya berasa kesal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program tanggungjawab sosial korporat, Malaysian Industrial Development Finance Berhad, di sini hari ini.