Showing posts with label prk rantau. Show all posts
Showing posts with label prk rantau. Show all posts

Sunday, April 14, 2019

ANWAR AKUI RANTAU KUBU MAT HASSAN

KUANTAN, 14 April (Bernama) -- Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan tindakan tegas akan diambil jika ada anggota parti itu yang terbabit dalam insiden pergaduhan dan memeriksa sebuah kereta peronda polis (MPV) di Rantau, Negeri Sembilan, semalam.

Beliau berkata kedua-dua insiden itu tidak boleh dipandang ringan kerana tiada sebab untuk mana-mana individu bersikap biadap atau angkuh seperti yang berlaku.

"... tiada sebab juga untuk (individu terlibat) mengambil alih kuasa dan kerja polis. Jika benar ini berlaku, saya sokong tindakan tegas polis kerana parti ini adalah parti yang menghormati undang-undang.

"Saya juga sudah merujuk kepada Biro Disiplin untuk membuat siasatan dalaman dan mereka bebas untuk mengambil tindakan," katanya kepada pemberita selepas merasmikkan Pejabat PKR Pahang di Kuantan Avenue, di sini, hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, yang juga Anggota Parlimen Indera Mahkota, dan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri, Fuziah Salleh.

Anwar berkata demikian semasa diminta mengulas insiden pergaduhan yang didakwa berlaku di Bilik Gerakan Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau melibatkan dua kumpulan dalam PKR selepas keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Rantau diumumkan semalam.

Selain itu, turut tular di media sosial hari ini, ialah rakaman video lima lelaki, didakwa penyokong PH memaksa dua anggota polis membuka but MPV di hadapan pusat mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chung Hua, Rantau kerana mengesyaki kereta polis itu membawa kertas undi ke pusat pengundian.

Dalam perkembangan lain, Anwar menyifatkan kekalahan PH pada tiga PRK iaitu Cameron Highlands, Semenyih dan Rantau secara berturut-turut sebagai bukan suatu trend kerana ia bergantung kepada kawasan dan pengundi di situ.

"Kita menang empat PRK (Sungai Kandis, Seri Setia, Balakong dan Port Dickson) sebelum itu. Kita harus terima hakikat bahawa Rantau adalah kubu Tok Mat (calon Barisan Nasional Datuk Seri Mohamad Hasan) selama 15 tahun.

Menurutnya, kekalahan itu juga sebagai peringatan daripada rakyat yang semakin bijak menilai kerajaan untuk bekerja lebih kuat dalam menangani masalah dan menepati janji yang dibuat sebelum ini.

Saturday, April 13, 2019

PH HORMATI KEPUTUSAN PENGUNDI RANTAU

SEREMBAN, 13 April (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) menghormati keputusan yang diambil pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang memilih Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai wakil rakyat mereka pada Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu.

Sambil mengucapkan tahniah kepada Mohamad, Ketua Umum PH Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan malam ini berkata kekalahan itu merupakan peringatan kepada pimpinan PH agar memberi perhatian sewajarnya terhadap kebimbangan rakyat berkaitan isu ekonomi dan kos sara hidup.

“Saya melahirkan keyakinan PH akan kembali bangkit mendapat sokongan rakyat selepas ini. Terima kasih juga kepada jentera Keadilan (PKR) serta parti komponen PH yang lain kerana berjaya menunjukkan kematangan dan contoh baik ketika sesi kempen,” kata Presiden PKR yang juga Anggota Parlimen Port Dickson itu.

Sementara itu, Pengerusi PH Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kekalahan dalam PRK DUN Rantau tidak akan menjejas sebarang perancangannya bagi negeri ini.

Katanya, walaupun kalah, PH masih mendahului komposisi DUN Negeri Sembilan dengan 20 kerusi berbanding pembangkang 16 kerusi.

"Kita tidak akan berhenti di sini kerana ia tidak melibatkan perkara yang menjejaskan kredibiliti kerajaan. Tidak kira berlaku atau tidak berlaku kekalahan ini saya akan bekerja 24 jam untuk memastikan keselesaan rakyat," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH, di sini.

Dalam pada itu, beliau berkata siasatan akan dijalankan jika ada laporan mengenai dakwaan unsur sabotaj yang menyebabkan kekalahan PH pada PRK berkenaan.

Pada PRK itu, Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO mempertahankan kerusi DUN Rantau buat penggal keempat selepas menewaskan tiga pencabarnya termasuk Dr S. Streram yang mewakili PH dan dua calon Bebas iaitu suri rumah R. Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Bekas menteri besar Negeri Sembilan itu memperoleh majoriti 4,510 undi, selepas mendapat 10,397 undi manakala Dr Streram yang juga Timbalan Ketua PKR Cabang Rembau mendapat 5,887 undi manakala Malarvizhi dan Mohd Nor, masing-masing memperoleh 83 serta 79 undi.

-- BERNAMA

Friday, April 12, 2019

RIBUAN HADIRI CERAMAH HAJI HADI DAN MAT HASSAN DAPATKAH MEMENANGKAN CALON BN?



REMBAU 11 April - Datuk Seri Mohamad Hasan menganggap kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) mempunyai hikmahnya apabila menyatukan dua parti Melayu terbesar iaitu UMNO dan Pas.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden itu berkata, kekalahan tersebut perlu dijadikan iktibar untuk saling bekerjasama dan membina semula kekuatan.

“Malam ini jelas sekali kerjasama apabila kita bersama-sama satu pentas dengan rakan kita dari Pas.Tak semestinya apabila kalah tak bangkit. Kita kena ingat bahawa ada panas ada hujan, ada siang dan malam, kalau pasang ada surut.


“Sebab itu saya beritahu Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kita tak ada pilihan dan strategi politik perlu perkukuhkan dengan UMNO dan Pas bersama.

“Bertuahnya kita walaupun ada banyak masalah, saya lihat ada cahaya di hujung terowong. Mari kita tanam benih perpaduan ummah ini. Apabila ada buah nanti kita makan sama-sama,” katanya.

Calon BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu berkata demikian semasa berucap dalam Ceramah Perdana di Taman Angsamas di sini malam ini.

Yang turut hadir, Abdul Hadi; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan; Naib Presiden MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Mohamad berkata, kerjasama UMNO, Pas serta parti-parti komponen BN ketika ini menjadikan gabungan itu kuat dan mula menampakkan hasil apabila buat kali pertama pindaan Perlembagaan yang dibentangkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di Parlimen semalam tidak diluluskan.

Beliau turut menafikan tuduhan DAP bahawa agenda perpaduan ummah itu adalah ‘pengisytiharan perang’ terhadap bukan Islam dan kononnya akan mewujudkan kerajaan Taliban jika UMNO serta Pas membentuk kerajaan.

Katanya, sepanjang BN menjadi kerajaan telah terbukti berjaya membendung kegiatan keganasan seperti Daesh dan Al-Qaeda yang turut mendapat pengiktirafan dunia.


Ujarnya, Pas yang telah hampir 30 tahun mentadbir Kelantan pula telah menjadikan negeri itu tempat terbaik dan aman kepada kaum India, Cina dan Siam.


Wednesday, April 10, 2019

KALAU KAYA, KENAPA SEMBUNYI SEMBUNYI?

SEREMBAN, 10 April (Bernama) -- Naib Presiden PKR Rafizi Ramli mempersoalkan tindakan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan yang didakwa menyembunyikan tindakannya memindahkan wang RM10 juta bagi pembelian kediaman di London, United Kingdom.

Beliau berkata selepas timbul isu berkenaan, ramai pimpinan UMNO yang mempertahankan calon Barisan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau itu dengan alasan "Tok Mat memang kaya” disebabkan beberapa jawatan korporat dipegangnya sebelum ini.

"Habis, kalau betul kaya, kenapa Tok Mat takut sangat orang tahu (pindah wang) sehingga menggunakan saluran yang melanggar undang-undang," katanya ketika menyampaikan ucapan pada ceramah Pakatan Harapan sempena kempen PRK DUN Rantau, malam ini.

Beliau berkata terdapat dua kemungkinan sahaja membuatkan seseorang menggunakan kaedah pemindahan wang seperti didakwa dilakukan bekas menteri besar Negeri Sembilan itu, sama ada wang dipindahkan melebihi had dibenarkan Bank Negara atau wang berkenaan bukan daripada sumbernya sendiri.

"Tok Mat bercita-cita menjadi Perdana Menteri Malaysia kerana yakin strategi memainkan isu perkauman oleh gabungan PAS-UMNO akan berjaya.

"Saya nasihatkan, jika Tok Mat mahu terus bercita-cita menjadi Perdana Menteri, lebih baik Tok Mat berterus-terang dan jujur dari sekarang mengenai sebab musabab beliau memindahkan wang RM10 juta itu pada 2007 secara sembunyi, sedangkan Tok Mat kan kaya," soalnya.

-- BERNAMA

Tuesday, April 9, 2019

JANGAN UNDI MAT HASSAN SUPAYA DIA DAPAT FOKUS PULIHKAN UMNO

SEREMBAN, 8 April (Bernama) -- Pengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau boleh membantu calon Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan untuk 'berehat' selepas berakhir PRK ini dengan tidak mengundinya.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ini bagi membolehkan Mohamad memberi fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

"Meskipun Mohamad dikenali sebagai seorang yang gemar membantu orang ramai di DUN ini, BN bukan lagi parti memerintah dan Mohamad boleh memberikan fokus beliau untuk memulihkan UMNO.

"Kita mahukan pembangkang yang kuat, jadi saya fikir lebih baik orang Rantau tolong Tok Mat dengan ‘merehatkan’ beliau selepas PRK ini," katanya pada satu program ceramah di Bandar Ekar, di sini, malam ini.

Beliau juga berkata pengundi perlu memberikan kemenangan kepada calon Pakatan Harapan (PH) Dr S. Streram kerana kerajaan PH sedang berusaha memulihkan kembali negara ini.

Beliau memberi contoh kerajaan sedang berusaha memulihkan Felda dengan cara membentang Kertas Putih Felda di Parlimen, Rabu ini, yang akan menjelaskan kerugian Felda dan bagaimana untuk memulihkan institusi berkenaan.

"Tok Mat kalau menang di sini bolehkah dia memulihkan Felda Kenapa saya cerita mengenai Felda di sini Sebab UMNO yang lingkupkan Felda dan calon UMNO ada di PRK Rantau.

"Biar PH menang di sini bagi memudahkan PH memulihkan Felda. PH kini kerajaan di Negeri Sembilan, PH juga kerajaan di Putrajaya," katanya.

PRK DUN Rantau, 13 April ini, menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Dr Streram, Mohamad dan dua calon Bebas, suri rumah R.Malarvizhi dan bekas pensyarah Mohd Nor Yassin.

Ia berikutan Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad, yang juga penyandang DUN Rantau, untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban pada 16 Nov tahun lalu, yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi kerusi berkenaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 terbatal dan tidak sah.

-- BERNAMA

Sunday, April 7, 2019

CALON BEBAS AKUI KEMPENNYA TAK AGRESIF

SEREMBAN, 7 April (Bernama) -- Calon Bebas di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohd Nor Yassin akui bahawa pergerakan kempennya tidak begitu agresif dan lambat, namun beliau optimis untuk mencapai kemenangan.

Mohd Nor berkata masuk hari kelapan kempen PRK, beliau menyifatkan kempennya hanya meliputi 40 peratus kawasan Rantau, dan masih mempunyai masa untuknya berkempen ke seluruh kawasan itu.

Beliau berkata, jika dibandingkan kempennya dengan pergerakan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional yang begitu agresif, ia adalah kerana mereka mempunyai kekuatan tenaga yang ramai.

Thursday, April 4, 2019

CALON BEBAS LANCAR MANIFESTONYA

SEREMBAN, 4 April (Bernama) -- Calon bebas, bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Mohd Nor Yassin hari ini melancarkan manifestonya dengan lima perkara menjadi perjuangan utama untuk penduduk di Rantau.

Kandungan manifestonya adalah membangun bersama Islam, kebajikan rakyat diutamakan, suara rakyat suara saya, membangunkan insan dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek serta perpaduan kaum diutamakan.

Calon berusia 67 tahun itu memberitahu misi beliau bertanding adalah untuk meneruskan agenda perjuangan bekas Mursyidul Am Pas, Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam mengangkat kepimpinan Islam.

Wednesday, April 3, 2019

DR STRERAM NAFI ANJUR SOLAT HAJAT UNTUK BELIAU

SEREMBAN, 3 April (Bernama) -- Calon Pakatan Harapan (PH) untuk pilihan raya kecil (PRK) Rantau, Dr S.Streram menafikan wujudnya penganjuran solat hajat untuk beliau sempena sambutan 20 tahun PKR seperti yang ditularkan di media sosial dan diedarkan melalui risalah-risalah kepada pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Jelasnya, perkara berkenaan adalah palsu dan beliau sama sekali tidak tahu menahu mengenai hal itu.

"Saya akan bincang dengan pemimpin saya mengenai perkara ini tapi perkara ini tidak wajar berlaku. Ini boleh timbulkan isu perkauman tapi kita sebagai PH kita nak menyatukan pelbagai bangsa dan agama," katanya kepada pemberita selepas menghadir Majlis Perasmian Pasar Malam di Bandar Sri Sendayan di sini hari ini.

Tuesday, April 2, 2019

JANGAN TAKUT CALON BUKAN MELAYU

SEREMBAN, 2 Mac (Bernama) -- Tidak ada masalah untuk mana-mana bangsa menjadi pemimpin negara asalkan mereka pemimpin yang baik, bersih dan tidak mengamalkan rasuah, kata Ketua Umum Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang mempertahankan pilihan PH meletakkan calon berbangsa India pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr S. Streram berkata, tidak timbul soal risiko kepada survival Melayu dalam PRK berkenaan sekiranya sokongan diberikan kepada PH.

"Kaum Malayu akan ‘survive’ kalau kita ada pemimpin yang baik, bersih, serta tidak korup, dan bukan setakat kaum Melayu sahaja, kaum lain juga.. Cina, India, Kadazan pun akan survive. Tetapi kalau lantik (pemimpin) dari kaum Melayu korup, zalim.. kaum India, Cina, Melayu pun takkan survive," katanya di ceramah sempena kempen PRK berkenaan di Taman Angsamas, di sini, malam ini.

Monday, April 1, 2019

JANGAN BANDINGKAN PENCAPAIAN MAT HASSAN DENGAN AMINUDDIN

SEREMBAN, 1 April (Bernama) -- Pengundi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau diminta supaya tidak hanya membandingkan pencapaian yang pernah diraih bekas menteri besar Datuk Seri Mohamad Hasan dengan Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Sebaliknya, Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pengundi juga perlu menilai mengenai aspek keperibadian dimiliki kedua-dua pemimpin itu, malah Aminuddin yang juga Pengerusi PH Negeri Sembilan berjaya menarik pelaburan asing lebih besar berbanding zaman pentadbiran Mohamad.

"Pengundi mungkin terlepas pandang keperibadian jujur dimiliki Aminuddin yang mengisytiharkan harta sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Siapa tahu berapa banyak harta dimiliki Tok Mat (Mohamad) Tiada siapa tahu...Aminuddin ini kita sudah tahu berapa harta dimilikinya dan sekarang pun kita masih boleh baca harta dimilikinya.

Saturday, March 30, 2019

ADAKAH MAT HASSAN MASIH RELEVAN DI RANTAU?

SEREMBAN, 30 Mac (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bermula hari ini akan menjadi medan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menguji samada pengundi di DUN itu masih mahu memilih beliau.

Mohamad, 63, yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK itu dan telah menjadi ADUN Rantau selama tiga penggal bagaimanapun sedar tugas berat sedang menanti beliau dalam misi untuk mempertahankan kerusi itu yang juga akan menentukan masa depan politiknya.

Beliau yang tidak mahu mendedahkan strategi kempennya mengakui akan berjumpa seramai mungkin pengundi di DUN Rantau.

Thursday, March 28, 2019

LOMPAT PARTI MENJELANG PRK BUKAN PERKARA BARU

SEREMBAN, 28 Mac (Bernama) -- Senario ahli lompat parti untuk bertanding atas tiket bebas setiap kali tiba pilihan raya bukan sesuatu yang baru atau menakutkan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata perkara itu juga tidak menghalang sama sekali usaha PH untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya kecil (PRK) yang dijadualkan pada 13 April.

Aminuddin berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita mengenai seorang peniaga yang mendakwa akan bertanding sebagai calon bebas pada PRK DUN Rantau kerana kecewa dengan kepimpinan tertinggi PKR memilih Dr S. Streram yang didakwa sebagai orang luar.

Saturday, March 23, 2019

STRERAM AKAN GUNAKAN PELUANG KEDUA UNTUK MENANG

SEREMBAN, 23 Mac (Bernama) -- Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S. Streram, yang dinamakan semula sebagai calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau 13 April ini, berazam untuk membuktikan keupayaan diri dalam memberi kemenangan bermakna kepada PH, khususnya di peringkat negeri.

Pakar bius berusia 60 tahun itu diberi peluang kedua sebagai calon PH, setelah sebelum ini dinafikan haknya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas selepas dihalang masuk ke pusat penamaan calon ekoran ketiadaan pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Ini peluang kedua saya dan saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk menang. Saya tidak mahu memandang rendah kepada lawan atau terlalu yakin untuk menang dalam PRK ini, tetapi perkara ini bukan yang seharusnya saya fikirkan sangat.

Wednesday, March 20, 2019

PERKASA BELUM BINCANG SOKONG SESIAPA DI RANTAU



REMBAU 20 Mac - Rekod cemerlang sebagai wakil rakyat dan faktor anak tempatan memberi kelebihan kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.



Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, beliau telah lama mengenali Timbalan Presiden UMNO itu dan secara peribadi menyokongnya dalam PRK pada 13 April depan.


“Beliau dikenali sebagai seorang yang berhemah, mempunyai watak Melayu sejati dalam dirinya. Beliau antara pemimpin UMNO yang banyak menyokong Perkasa sejak awal penubuhan pada 2008, terutama Perkasa Negeri Sembilan.

“PRK ini hanya kesinambungan kepada khidmat beliau. Kalau semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu berlaku pertandingan, saya yakin beliau menang. Beliau ada rekod yang baik dan merupakan anak tempatan.

“Bagaimanapun Perkasa belum lagi membincangkan sama ada menyokong sesiapa dalam PRK ini. Kita akan lihat dulu sikap pengundi Melayu di Rantau dan selepas itu baru kita akan tentukan sokongan,” katanya dalam Program Minum Petang Perkasa di Kuala Sawah, Rantau di sini hari ini.

PRK DUN Rantau perlu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan Mahkamah Khas Pilihan Raya Seremban baru-baru yang membatalkan kemenangan tanpa bertanding Mohamad di kerusi itu dalam PRU-14.

Dalam pada itu, Ibrahim berkata, Mohamad yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat’ bagaimanapun tidak boleh mengambil mudah lawannya, Dr. S. Streram dari Pakatan Harapan dan perlu bekerja keras menarik undi bukan Melayu.

“Keadaan sudah berubah, dulu beliau calon parti kerajaan, sekarang parti pembangkang. Jauh bezanya. Beliau kena bergantung kepada hubungan dengan rakyat yang terjalin semasa tiga penggal menjadi wakil rakyat dan Menteri Besar,” katanya.


Tuesday, March 19, 2019

PH MAMPU CIPTA KEMENANGAN DI RANTAU

REMBAU, 19 Mac (Bernama) -- Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu mahu semua anggota parti bekerja keras memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) Dr S Streram pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Beliau yang juga Menteri Pertahanan berkata meskipun PH kalah di PRK Parlimen Cameron Highlands dan DUN Semenyih, namun yakin mampu mencipta kemenangan di DUN Rantau.

"Ada yang berkata elok kalau di Rantau kita letak calon Melayu macam di Cameron Highlands letak Melayu Orang Asli boleh menang, Semenyih calon melayu tetapi kita nak beritahu kita tidak akan terperangkap dengan perkauman.

Monday, March 11, 2019

DR S STRERAM KEKAL CALON PH

PETALING JAYA, 11 Mac (Bernama) -- Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) PKR Rantau, Dr S. Streram dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, 13 April ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemilihan pakar bius berkenaan dipersetujui secara konsensus oleh Majlis Presiden PH dalam mesyuarat yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad, Sabtu lepas.

"Kami telah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Presiden dengan pelbagai pandangan dikemukakan berhubung kebimbangan dan reaksi terutama reaksi orang Melayu pada masa ini,” katanya ketika mengumumkan nama calon pada sidang media, di sini hari ini.

“Tetapi pendirian saya agak konsisten dengan menekankan bahawa kita perlu tetap konsisten dengan membentangkan kes dan kedudukan kami sebagai sebuah parti mewakili semua penduduk, adil kepada semua dan sentiasa melindungi golongan miskin, yang dipinggirkan dan kurang bernasib naib dan sudah tentu termasuk orang Melayu,” katanya.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Pada PRU14, Mohamad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas lanjut, Anwar berkata meskipun ada permintaan supaya calon adalah daripada orang Melayu susulan perkembangan politik semasa khususnya gabungan UMNO dan PAS namun Anggota Parlimen Port Dickson itu menegaskan pelbagai faktor telah diambil kira dalam mengekalkan calon daripada kaum India.

Ini, katanya, termasuklah jumlah pengundi kaum itu sebanyak 27 peratus selain kawasan-kawasan lain telah diwakili oleh orang Melayu termasuk di Parlimen Port Dickson yang dahulu diwakili kaum India kini diwakili beliau sendiri.

"Kita telah bincang dengan teliti dan menekankan aspek sifat negara ini yang besar adalah Melayunya dan sudah tentunya tidak akan korban kepentingan penduduk Melayu termasuk di Rantau. Kita fikir tidak wajar kita bergelut dalam politik semata-mata kerana reaksi keadaan semasa," katanya.

Tegasnya, beliau mahu PH kekal dengan prinsip keadilan untuk semua kaum dan tidak terpengaruh dengan politik perkauman.

Ditanya sama ada PRK ini akan jadi kayu pengukur kepada sokongan masa hadapan rakyat kepada PH selepas dua kekalahan berturut-turut di PRK Cameron Highlands dan Semenyih, beliau berkata: "Kayu pengukur paling munasabah ialah Port Dickson, orang kadang-kadang dia terlupa, kita menang Balakong, Seri Setia, Sungai Kandis dan menang besar di Port Dickson, semua itu tak dipandang."

Anwar turut mengumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sebagai Pengarah PRK DUN Rantau bagi PH.

SPR menetapkan PRK DUN Rantau diadakan pada 13 April manakala penamaan calon pada 30 Mac ini.

-- BERNAMA

Wednesday, February 20, 2019

PH KENA LETAK CALON BOLEH MENANG DI RANTAU

SEREMBAN, 20 Feb (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) perlu bekerja lebih keras dan meletakkan calon '’boleh menang’ pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, kata Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata berkata PH akan turun sebagai ‘Ășnderdog’ atau calon alternatif memandangkan kawasan itu merupakan kubu kuat UMNO yang disandang oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan sejak tiga penggal lalu.

“Ini bukan pertandingan yang mudah...memandangkan Mohamad merupakan orang nombor satu dalam UMNO dengan memangku jawatan presiden.