Monday, March 11, 2019

DR S STRERAM KEKAL CALON PH

PETALING JAYA, 11 Mac (Bernama) -- Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) PKR Rantau, Dr S. Streram dipilih sebagai calon Pakatan Harapan (PH) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Rantau, 13 April ini.

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pemilihan pakar bius berkenaan dipersetujui secara konsensus oleh Majlis Presiden PH dalam mesyuarat yang dipengerusikan Tun Dr Mahathir Mohamad, Sabtu lepas.

"Kami telah membincangkan perkara ini dalam mesyuarat Majlis Presiden dengan pelbagai pandangan dikemukakan berhubung kebimbangan dan reaksi terutama reaksi orang Melayu pada masa ini,” katanya ketika mengumumkan nama calon pada sidang media, di sini hari ini.

“Tetapi pendirian saya agak konsisten dengan menekankan bahawa kita perlu tetap konsisten dengan membentangkan kes dan kedudukan kami sebagai sebuah parti mewakili semua penduduk, adil kepada semua dan sentiasa melindungi golongan miskin, yang dipinggirkan dan kurang bernasib naib dan sudah tentu termasuk orang Melayu,” katanya.

PRK itu diadakan selepas Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 Nov lepas yang mengisytiharkan kemenangan beliau bagi DUN berkenaan pada PRU14, terbatal dan tidak sah.

Pada PRU14, Mohamad, bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, menang tanpa bertanding kerusi tersebut selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Mengulas lanjut, Anwar berkata meskipun ada permintaan supaya calon adalah daripada orang Melayu susulan perkembangan politik semasa khususnya gabungan UMNO dan PAS namun Anggota Parlimen Port Dickson itu menegaskan pelbagai faktor telah diambil kira dalam mengekalkan calon daripada kaum India.

Ini, katanya, termasuklah jumlah pengundi kaum itu sebanyak 27 peratus selain kawasan-kawasan lain telah diwakili oleh orang Melayu termasuk di Parlimen Port Dickson yang dahulu diwakili kaum India kini diwakili beliau sendiri.

"Kita telah bincang dengan teliti dan menekankan aspek sifat negara ini yang besar adalah Melayunya dan sudah tentunya tidak akan korban kepentingan penduduk Melayu termasuk di Rantau. Kita fikir tidak wajar kita bergelut dalam politik semata-mata kerana reaksi keadaan semasa," katanya.

Tegasnya, beliau mahu PH kekal dengan prinsip keadilan untuk semua kaum dan tidak terpengaruh dengan politik perkauman.

Ditanya sama ada PRK ini akan jadi kayu pengukur kepada sokongan masa hadapan rakyat kepada PH selepas dua kekalahan berturut-turut di PRK Cameron Highlands dan Semenyih, beliau berkata: "Kayu pengukur paling munasabah ialah Port Dickson, orang kadang-kadang dia terlupa, kita menang Balakong, Seri Setia, Sungai Kandis dan menang besar di Port Dickson, semua itu tak dipandang."

Anwar turut mengumumkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun, sebagai Pengarah PRK DUN Rantau bagi PH.

SPR menetapkan PRK DUN Rantau diadakan pada 13 April manakala penamaan calon pada 30 Mac ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment