Friday, March 15, 2019

PERMOHONAN ANAK MUSA AMAN MASUK BERSATU SEDANG DIKAJI



PUTRAJAYA, 15 Mac (Bernama) -- Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mengumumkan penyertaan lapan bekas pemimpin UMNO Sabah ke dalam Bersatu serta memberi jaminan bahawa mereka akan menyokong kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) di negeri itu.



Mereka yang menerima kad keanggotaan Bersatu daripada Dr Mahathir di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini terdiri daripada empat Anggota Parlimen, dua Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan dua senator.



Anggota Parlimen itu ialah Datuk Zakaria Edris (Libaran); Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran); Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort) dan Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat); ADUN pula ialah Datuk Hajiji Mohd Noor (Sulaman) dan Datuk Seri Masidi Manjun (Karanaan). Dua senator itu pula ialah Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin dan Datuk John Ambrose.



Perdana Menteri berkata kemasukan Bersatu ke Sabah tidak bermakna untuk mengetepikan atau menggantikan kerajaan negeri pimpinan Warisan.



"Anggota-anggota Bersatu di Sabah akan sokong kerajaan Warisan sekarang. Kita tak ada niat nak ganti mana-mana pihak. Kita hendak ada di sana hanya untuk menyokong kerajaan Warisan Sabah,” katanya.



Dr Mahathir berkata walaupun Bersatu bercadang untuk melancarkan Bersatu Sabah pada 6 April ini, ‘sudah ada permintaan untuk menyertai Bersatu di Sabah’.



Dr Mahathir berkata walaupun Warisan bukan anggota komponen Pakatan Harapan (PH), namun tiga wakil parti itu telah diberi jawatan sebagai menteri dan dua sebagai timbalan menteri di peringkat persekutuan.



"Kita menyokong kerajaan yang ditubuh oleh Warisan di Sabah. Itu adalah pendirian keempat-empat buah parti dalam PH termasuk Bersatu," katanya.



Tiga menteri dari Warisan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong, Datuk Ignatius Darell Leiking (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan Datuk Mohamaddin Ketapi (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya).



Dua timbalan menteri pula ialah Datuk Aziz Jamman (Kementerian Dalam Negeri) dan Isnaraissah Munirah Majilis (Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar).



Dalam pada itu, penyertaan empat Anggota Parlimen terbabit ke dalam Bersatu menjadikan parti itu kini mempunyai 26 Anggota Parlimen di Dewan Rakyat.



Semalam, Hajiji yang juga bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah dilaporkan berkata beberapa lagi bekas wakil rakyat UMNO Sabah akan menyertai Bersatu pada 6 April ketika pelancaran parti berkenaan di Kota Kinabalu.



Pada 15 Feb lepas, Dr Mahathir mengumumkan Bersatu akan melebarkan sayapnya ke Sabah selepas perkara itu dipersetujui oleh pucuk pimpinan tertinggi parti.

Ditanya sama ada Anggota Parlimen Sipitang, Yamani Hafez Musa akan turut menyertai Bersatu, Dr Mahathir berkata parti itu akan mengkaji perkara itu terlebih dahulu.

"Mereka perlu menjadi bebas terlebih dahulu, barulah kita mengkaji rekod mereka dan komitmen kepada parti Bersatu dan PH, baru kita boleh terima," katanya.

Beliau berkata enam lagi ADUN yang telah menghantar borang keanggotaan untuk menyertai Bersatu juga akan turut dipertimbangkan.

Enam ADUN itu ialah Datuk Japlin Akim (Usukan), Datuk Isnin Aliasnih (Klias), Datuk Nizam Abu Bakar Titingan (Apas), Datuk Mohd Arifin Arif (Membakut), Datuk Ghulam Khan Bahadar (Kawang) dan Matbali Musah (Lumadan).

Sementara itu, Hajiji berkata beliau bersedia memikul tanggungjawab sebagai pengerusi Bersatu Sabah sekiranya diberi mandat.

Beliau juga memberi jaminan Bersatu Sabah akan memberikan sokongan dan kerjasama penuh kepada kerajaan negeri yang diterajui Warisan.

“Saya telah berjumpa (Warisan Presiden) Datuk Seri Mohd Shafie Apdal beberapa kali. Bagi saya, tidak ada masalah bagi kami untuk bekerjasama dan kita akan bersama-sama membantu kerajaan negeri,” katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment