Sunday, March 17, 2019

TERENGGANU MEMPUNYAI POTENSI DIBANGUNKAN SEBAGAI BANDAR PINTAR

KUALA TERENGGANU, 17 Mac (Bernama) -- Terengganu mempunyai potensi untuk dibangunkan sebagai bandar pintar dan menambah baik sektor pelancongan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata bagi mencapai sasaran tersebut pihaknya bersedia mempertimbangkan pelbagai cadangan daripada kerajaan negeri dan menyediakan kos tertentu sekiranya terdapat keperluan.

“Banyak lagi ruang untuk memajukan negeri ini demi rakyat dan pihak kementerian akan mempertimbangkan permintaan serta permohonan yang boleh meningkatkan ekonomi dan membantu pelancongan negeri,” katanya.

Zuraida berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Sementara itu Ahmad Samsuri berkata kunjungan tersebut adalah lambang komitmen dan kerjasama antara kerajaan persekutuan dan negeri, dalam pembangunan ekonomi dan kepentingan rakyat.

“Terima kasih kepada kerajaan yang telah memberi komitmen dalam melaksanakan beberapa projek termasuk projek pelupusan sampah di Marang dan pembangunan Pasar Payang. Kita juga dalam proses perbincangan dengan kementerian untuk pembinaan stesen teksi dan bas di Jerteh, berikutan penangguhan yang agak lama,” katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment