Wednesday, January 31, 2018

RATING TERTINGGI BAGI JANUARI 2018

Beritanya simple tapi original dapat rating tertinggi bagi Januari 2018 melalui "Peniaga pasar malam bangga DBKL keluarkan lesen berniaga" yang disiarkan pada 9 Januari lalu dengan 222 hits. Ini bermakna pembaca blog ini mahu baca berita yang original dan bukannya berita Bernama.

10 rating tertinggi bagi Januari 2018 adalah seperti berikut:-

1. Peniaga pasar malam bangga DBKL keluarkan lesen berniaga (9 Januari) - 222 hits
2. Tadika pertama di Malaysia tawarkan biasiswa (13 Januari)
3. BN juga tapis laporan kesihatan semua calon untuk elak PRK (16 Januari)
4. Zahid terima kejutan dari kakitangan pejabat TPM (4 Januari)
5. BN yakin pertahan dua DUN dan parlimen Kinabatangan (25 Januari)
6. 128 kerusi parlimen luar bandar tetap sokong BN (23 Januari)
7. Dakwaan Syaiful Irfan mengarut (12 Januari)
8. Beri peluang kepada pakar bentang kajian tentang ketum (26 Januari)
9. PNB beri sijil ADAM50 kepada semua bayi tahun baru (1 Januari)
10. Azmin main wayang tawarkan parlimen Gombak kepada Mahathir (14 Januari)

AMANAH PARTI KOMPONEN PH, TAKKAN UMNO NAK KERJASAMA DENGAN AMANAH

KOTA BHARU: UMNO Kelantan menyifatkan dakwaan wujud kerjasama antara UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah) bagi menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan pada pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) hanya spekulasi.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata tuduhan tidak berasas itu sudah menjadi kebiasaan bagi sesetengah pemimpin politik apabila menjelangnya pilihan raya.

"Tidak timbul kita berpakat dengan PAS atau Amanah untuk menjatuhkan mana-mana parti politik di negeri ini," katanya kepada pemberita pada program Jualan Sentuhan Rakyat peringkat Parlimen Jeli di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas laporan sebuah portal berita berkaitan Naib Presiden PAS Datuk Mohd Amar Abdullah yang mendakwa mempunyai maklumat mengenai kerjasama antara Amanah dan UMNO di Kelantan untuk menjatuhkan PAS pada PRU14.

Sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Mustapa berkata beliau tidak pernah berjumpa sama ada pemimpin PAS atau Amanah untuk berbincang bagi mewujudkan pakatan untuk tumbangkan mana-mana parti.

"Apa yang penting kita (UMNO) tidak berkongsi dengan sesiapa, kita buat kerja dan dari dulu hingga sekarang, kita akan lawan siapa sahaja yang menentang kita," katanya.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata Program Jualan Sentuhan Rakyat yang diterajui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) merupakan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat untuk meringankan beban perbelanjaan terutama membabitkan barangan keperluan asas.

"Program ini merupakan hasrat Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) bagi membantu rakyat mengurangkan beban perbelanjaan harian kerana melalui program seperti ini kehendak rakyat akan terbela," katanya.

Beliau melihat rakyat gembira dengan penganjuran program seperti itu dan berharap ia dapat dilaksanakan secara berterusan serta diperluaskan ke lebih banyak kawasan luar bandar.

Melalui program tersebut barangan keperluan harian seperti ayam, daging, ikan dan minyak masak dijual pada harga yang lebih rendah berbanding pasar raya.

Tuesday, January 30, 2018

KEMPEN UNDI ROSAK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan kempen 'undi rosak' oleh pihak tertentu sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak baik untuk demokrasi dan negara.

Beliau berkata merosakkan undi bukanlah jawapan kepada rasa kecewa terhadap mana-mana parti politik.

"Memilih merosakkan undi tidak boleh menyelesaikan perbezaan politik kita. Jadilah pengundi yang bermaklumat dan memilihlah dengan penuh rasa tanggungjawab untuk masa hadapan negara.

"Inilah masanya untuk berbakti pada negara," katanya dalam catatan blog sskeruak.blogspot.my,.

Beliau berkata kemudahan tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh dimanfaatkan oleh sesiapa yang masih keliru untuk mencari maklumat berhubung parti terbaik untuk dipilih pada pilihan raya umum akan datang.

Salleh berkata maklumat yang sepatutnya dicari adalah tentang rekod pemimpin dan parti-parti yang bertanding serta tawaran dan agenda yang diketengahkan.

"Pilihlah kepimpinan yang terbukti kestabilannya, yang mengendalikan keharmonian kaum sebaiknya, dan yang mengutamakan isu-isu penting negara seperti keselamatan nasional, terrorisme (keganasan), kemiskinan, pembangunan ekonomi dan lainnya.

"Jika sudah bersedia, gunalah kuasa memilih sebaiknya dan laksanalah tanggungjawab kepada negara. Hanya dengan kuasa ini, hasrat untuk melihat penambahbaikan dan kemajuan negara dapat dikecapi," kata beliau.

-- BERNAMA

Monday, January 29, 2018

AZMIN AKUI PAKATAN HARAPAN GAGAL MUKTAMADKAN PENGAGIHAN KERUSI DUN

SHAH ALAM, 29 Jan (Bernama) -- Pakatan Harapan Selangor dilihat masih gagal memuktamadkan pengagihan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan ditandingi pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Perkara itu diakui Pengerusinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang menyifatkan pihaknya masih mempunyai masa untuk berbuat demikian.

Beliau berkata meskipun masih belum memutuskan soal pengagihan kerusi DUN, Pakatan Harapan Selangor bersedia berdepan dengan sebarang kemungkinan termasuk sekiranya PRU14 diadakan pada April depan.

"Adalah selamat untuk saya menyatakan bahawa kami sudah bersedia untuk itu (PRU14), sama ada dari segi calon, pengagihan kerusi dan persediaan untuk pilihan raya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Jabatan-jabatan kerajaan negeri Selangor di sini hari ini.

Mohamed Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) Selangor, Jamzuri Ardani baru-baru ini yang dilaporkan berkata bahawa beliau (Mohamed Azmin) cuba melengah-lengahkan masa pengagihan kerusi DUN bagi menghadapi PRU14.

Menerusi laporan portal berita, themalaysianinsight.com, Jamzuri mengakui bahawa pengagihan kerusi DUN bagi Pakatan Harapan itu masih gagal diputuskan sehingga kini walaupun tarikh akhir bagi memuktamadkan perkara itu ditetapkan Rabu ini.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan kerusi Parlimen Gombak dan kerusi DUN Bukit Antarabangsa pada PRU14, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata perkara itu masih belum diputuskan kerana tertakluk kepada perbincangan dengan parti.

-- BERNAMA

Sunday, January 28, 2018

USAHAKAN TANAH BERSAMA FELCRA



ALOR SETAR, 27 Jan (Bernama) -- Semua kerajaan negeri yang memiliki tanah tidak diusahakan disaran bekerjasama dengan Felcra Berhad (Felcra) untuk melaksanakan projek tanaman kelapa sawit, padi atau getah.




Pengerusi Felcra Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata setiap tahun Felcra merancang untuk memperluaskan kawasan ladang di seluruh negara namun kekurangan tanah untuk membuka ladang-ladang baharu di Semenanjung Malaysia.




"Felcra hanya bertindak sebagai agensi pelaksana, hasil serta keuntungan yang diperoleh menerusi projek terbabit akan dipulangkan kepada Kerajaan Negeri, untuk diagihkan bagi membantu golongan berpendapatan rendah," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) Belia Felcra Wilayah Utara di Dataran Pejabat Pengurus Besar Felcra Wilayah Utara di sini hari ini.




Perasmian majlis yang dihadiri kira-kira 600 anak peneroka Felcra dari seluruh wilayah utara itu disempurnakan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.




Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata projek ladang terbabit adalah baik, malah banyak negeri yang telah bekerjasama dengan Felcra termasuk Kedah, Terengganu, Johor dan Pahang.

PEKEBUN KECIL WANITA PERLU BERANI

SUNGAI PETANI, 28 Jan (Bernama) -- Pekebun kecil wanita khususnya anggota Pergerakan Wanita Pekebun Kecil (PWPK) Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) perlu berani melalui gelombang perubahan jika ingin mencapai kejayaan bagi meningkatkan pendapatan isi rumah.

Anggota Dewan Negara yang juga anggota Pihak Berkuasa RISDA Senator Datuk Shahanim Mohamed Yusoff berkata terdapat seramai 181,113 pekebun kecil di seluruh negara dengan 35.68 peratus daripadanya merupakan pekebun kecil wanita.

"RISDA telah mengambil langkah menggerakkan ahli-ahli isi rumah serta pekebun kecil wanita supaya dapat sama-sama berusaha membangunkan negara melalui aktiviti yang dijalankan oleh PWPK...saya berharap agar segala kemudahan sosial yang disediakan KKLW (Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) akan dimanfaatkan sepenuhnya.

"Saya juga mahu semua pekebun kecil wanita RISDA berani melakukan gelombang perubahan. Budaya komuniti yang sebahagiannya lebih cenderung menunggu serta bergantung kepada bantuan kerajaan perlu diubah dan digantikan dengan konsep keusahawanan sosial," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Hari Pergerakan Wanita Pekebun Kecil Risda negeri di sini hari ini. Turut hadir Pengarah Bahagian Pengembangan dan Pemindahan Teknologi Risda Amran Jaafar dan Pengarah Risda Kedah Ramlie Tumin.....

WAN AZIZAH AKUI KEMPEN UNDI ROSAK KERANA TAK SETUJU MAHATHIR JADI PM PAKATAN HARAPAN

KUANTAN, 27 Jan (Bernama) -- Kempen #UndiRosak dilancarkan sejak 7 Jan lalu dipercayai dilakukan pihak tertentu yang tidak bersetuju dengan cadangan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bagaimanapun kempen berkenaan tidak akan menjejaskan sokongan terhadap PH oleh kerana ia bukanlah satu gerakan yang begitu dominan hingga boleh mempengaruhi keputusan PRU.

"Kita sepakat memilih Tun (Dr Mahathir) kerana faktor yang dimiliki beliau selama 22 tahun sebagai perdana menteri.

"Kalau ikutkan emosi atau perasan terguris dengan apa berlaku sebelum ini, saya adalah paling terjejas teruk... tapi, kita kena 'move on' kerana paling penting adalah masa depan negara ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Konvensyen PH Pahang 2018, di sini, hari ini.

Sehubungan itu beliau menasihati para pengundi supaya tidak memboikot pilihan raya kerana setiap undi adalah berharga.

-- BERNAMA

Friday, January 26, 2018

BERI PELUANG KEPADA PAKAR BENTANG KAJIAN TENTANG KETUM

SANGLANG, 26 Jan (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim meminta pihak-pihak yang berbeza pendapat berhubung penanaman ketum secara komersial supaya memberi peluang kepada pakar membentangkan kajian mereka.

Katanya walaupun ada laporan atau kajian tumbuhan tersebut mempunyai khasiat dari segi perubatan namun dari segi perundangan pula perkara tersebut belum mencapai kata putus.

"Perkara ini telah dua kali dibawa ke Parlimen. Kita hendak kategorikannya sebagai dadah pun tidak boleh kerana kandungannya bukan dadah. Ketum hanya memberi kesan tidak baik apabila dicampur dengan bahan lain.

"Justeru, kajian lengkap perlu dilaksanakan oleh pakar dan dibentangkan kepada pihak berkuasa untuk membuat keputusan," katanya kepada pemberita semasa diminta mengulas perbezaan pendapat antara Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man dan Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin berhubung perkara itu.

Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada 54 murid Sekolah Rendah Kebangsaan (C) Chin Hun di sini, hari ini

Thursday, January 25, 2018

BN YAKIN PERTAHAN DUA DUN DAN PARLIMEN KINABATANGAN

KINABATANGAN, 25 Jan (Bernama) -- Barisan Nasional (BN) Kinabatangan yakin mampu mempertahankan kerusi Parlimen Kinabatangan dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau dan Kuamut pada pilihan raya akan datang.

Pengerusi BN Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata ini berdasarkan solidariti kalangan parti komponen yang jitu di kawasan itu.

Beliau berkata solidariti itu hasil perpaduan dan saling memahami antara parti komponen BN Kinabatangan membabitkan UMNO, Parti Bersatu Sabah dan Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO).

"Solidariti ini penting bukan sahaja semasa pilihan raya tapi selepas itu juga. Kita akan sentiasa bergabung antara satu sama lain," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Simposium Solidariti dan Gerak Gempur Pemuda BN Kinabatangan di Kampung Suan Lamba dekat sini, semalam.

Hadir sama Ketua Pemuda BN Kinabatangan yang juga Ketua Pemuda UMNO Kinabatangan Aksyah Nasrah.

Wednesday, January 24, 2018

PERDEBATAN COKE ATAU PEPSI TARIK PERHATIAN SALLEH

KUALA LUMPUR, 24 Jan (Bernama) -- Berikut ialah kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berhubung perdebatan 'Coke atau Pepsi' yang ditimbulkan seorang aktivis politik baru-baru ini.

Ia susulan tawaran pakatan pembangkang yang mencalonkan bekas perdana menteri yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menjadi perdana menteri.

Kenyataan menteri itu yang disiarkan di laman blog beliau di capaian sskeruak.blogspot.my berbunyi berikut:

Perdebatan Coke atau Pepsi dimulakan oleh aktivis politik yang berpendapat bahawa apa gunanya keluar untuk mengundi jika pilihan itu hanya sama ada Coke atau Pepsi? PPBM menjawab bahawa walaupun Coke berbanding Pepsi, anda masih boleh mengundi Pepsi kerana ia mungkin mempunyai rasa yang lebih baik daripada Coke.

Pakatan seolah-olah terlepas pandang. Apabila seseorang berkata 'Coke versus Pepsi' ia bermakna tidak ada perbezaan antara kedua-duanya. Dengan kata lain, Pakatan tidak lebih baik daripada Barisan Nasional walaupun mereka cuba meyakinkan sebaliknya.

Pengundi bertanya kenapa perlu mengundi jika kedua-duanya sama? Sekiranya Pakatan hanya merupakan Barisan 2.0 maka adalah lebih baik biarkan Barisan kekal dalam tampuk pemerintahan. Pakatan nampaknya seolah-olah tidak memahami mesej yang dihantar oleh pengundi.

-- BERNAMA

Tuesday, January 23, 2018

128 KERUSI PARLIMEN LUAR BANDAR TETAP SOKONG BN

KUALA LUMPUR, 23 Jan (Bernama) -- Usaha kerajaan yang sentiasa membantu masyarakat luar bandar dijangka boleh memberi kelebihan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum akan datang.

Anggota Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin percaya sokongan masyarakat luar bandar akan membolehkan UMNO dan BN terus kekal sebagai kerajaan yang memerintah negara ini.

Zahidi yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), berkata kerajaan BN di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah mengabaikan penduduk luar bandar terutama petani dan pekebun kecil dengan menyalurkan pelbagai kemudahan dan bantuan.

Daripada 222 kerusi Parlimen, 128 merupakan kerusi parlimen di luar bandar dan menurut pemerhatiannya masyarakat luar bandar pada kebiasaannya hanya menyokong sama ada UMNO atau PAS.

"Kita lihat BN akan terus memerintah sebab kalau PAS menang pun, mereka tidak akan menyokong Pakatan Harapan," katanya selepas menyampaikan taklimat mengenai ekonomi pertanian luar bandar kepada petugas Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zahidi berkata Risda telah mencadangkan kepada kerajaan supaya sistem kad kepada penduduk luar bandar diperkenalkan bagi membolehkan mereka membeli barang-barang keperluan pada harga lebih murah berbanding di pasaran.

"Kita tengah minta kepada kerajaan supaya beras, gula dan minyak masak harganya murah sikit kepada penduduk kawasan luar bandar," katanya.

Katanya sistem itu juga mampu mengurangkan beban sara hidup masyarakat luar bandar serta menghargai mereka kerana selama ini memberi sokongan yang kuat kepada kerajaan BN.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarang Perkhidmatan Berita Dalam Negeri Bernama Datuk Mokhtar Hussain dan Pengarang 1 Haji Khairdzir Md Yunus.

-- BERNAMA

Monday, January 22, 2018

MAHDZIR KESAL PEMBANGKANG PUTARBELIT PERUTUSANNYA



KUALA LUMPUR 22 Jan. – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyelar tindakan pembangkang yang tergamak memutar belit Perutusan Tahun Baharu 2018 yang disampaikan beliau sehingga mencetuskan fitnah bahawa kementerian akan memberhentikan guru-guru yang terlibat dalam politik pembangkang.


Beliau menjelaskan, tiada langsung ugutan disuarakan dalam perutusan tersebut sebaliknya warga Kementerian Pendidikan dinasihatkan supaya mengambil pendekatan berpada-pada dalam berpolitik memandangkan mereka adalah penjawat awam.

“Ketika itu saya menyampaikan ucapan dalam masa jangka masa dua jam namun pihak pembangkang memainkan isu pada lima minit terakhir dan menyebarkannya.

“Perutusan itu saya sampaikan kepada warga kementerian, mereka tidak menyebarkannya sebaliknya Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyebarkan fitnah tersebut,” katanya ketika ditemui dalam program turun padang di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putera dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz.

Mahdzir menambah, beliau tidak pernah mengeluarkan kenya­taan mengenai undi dan memahami bahawa undi seseorang itu adalah rahsia serta bukan sesuatu yang boleh dikawal.

“Saya tidak sebut perkataan undi tetapi si budak kecil yang merasakan dirinya pandai di dunia ini, Syed Saddiq menularkan bahawa undi adalah rahsia dan mengaitkan dengan perutusan tersebut.

“Memang undi itu rahsia, siapa pula yang mengeluarkan kenya­taan undi bukan lagi rahsia?” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir menjelaskan, kementeriannya akan membina sebuah sekolah kebangsaan dan sebuah sekolah menengah di kawasan Hulu Langat bagi menampung peningkatan jumlah murid serta pelajar di kawasan tersebut.

“Dalam tahun ini, kita akan membina SK Pelangi Semenyih dengan kos dianggarkan RM31.2 juta dan sebuah sekolah menengah di Bandar Bukit Mahkota namun kosnya belum dikenal pasti,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Kementerian Pendidikan juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di tujuh sekolah dalam daerah Hulu Langat.


MTSHN ADAKAN MESYUARAT PERTAMA FEBRUARI INI

PUTRAJAYA, 22 Jan (Bernama) -- Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, yang penubuhannya diumumkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 Disember lepas, akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada Februari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata majlis itu merangkumi lima kluster iaitu perumahan, makanan dan minuman, utiliti, pengangkutan dan pendidikan.

Katanya majlis itu akan dianggotai wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan cendekiawan yang mempunyai kepakaran dalam setiap kluster terbabit bagi memastikan keputusan yang dibuat memberi impak jangka panjang.

"Kita hanya akan bermesyuarat selepas semua anggota setiap kluster menerima surat pelantikan masing-masing. Mesyuarat diadakan mengikut pengerusi setiap kluster yang akan diumumkan kelak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu kepada kakitangan kementerian itu di sini, hari ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Hamzah berkata selain menangani kos sara hidup, majlis itu juga memberi fokus kepada aspek pendidikan sejak peringkat sekolah bagi memastikan rakyat tahu mengenai tanggungjawab, etika dan hak pengguna.

Mengenai Jualan Sentuhan Rakyat, beliau berkata program itu diadakan di hampir 30 lokasi di seluruh negara hasil inisiatif para pemimpin tempatan dengan kerjasama kementerian.

Susulan sambutan baik diberikan penduduk setempat, katanya, kementerian akan terus memberi sokongan kepada pemimpin tempatan yang berhasrat mengadakan program jualan itu.

"Kalau mereka hendak kita bawa pemborong untuk jual terus kepada penduduk kawasan masing-masing, kita akan bantu.

"Ada yang buat dalam bentuk karnival dan ada juga buat jualan di lokasi tetap. Jadi, terpulang kepada mereka (pemimpin) untuk mengadakan jualan mengikut acuan mereka sendiri," katanya.

Mengenai harga barangan keperluan yang dijual, Hamzah berkata kementerian tidak menetapkan sebarang peratusan tetapi ia dijual lebih murah daripada harga pasaran mengikut jenis barangan.

"Contohnya, jika di kawasan itu harga ayam RM7 sekilogram, akan dijual sekurang-kurangnya RM6 sekilogram. Ada barang yang kadar penurunan harganya kecil dan ada juga yang besar," jelasnya.

-- BERNAMA

Sunday, January 21, 2018

ENAM NELAYAN DITAHAN DI INDONESIA DIJANGKA DIBEBASKAN PERTENGAHAN FEBRUARI DEPAN

PONTIAN, 21 Jan (Bernama) -- Enam nelayan tempatan yang ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu, dijangka dibebaskan selewat-lewatnya pertengahan Februari depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata proses membebaskan mereka mengambil masa sedikit kerana terpaksa melalui proses perundangan.

"Kedua-dua negara setuju untuk pembebasan tetapi dalam proses itu, terdapat prosedur yang tertentu.

"Pihak Indonesia telah memberi jaminan kesemua mereka akan dibebaskan dalam tempoh dinyatakan iaitu pada bulan ini atau pada pertengahan Februari," katanya selepas melawat keluarga seorang daripada nelayan yang ditahan di Kampung Pulai Sebatang di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata semua kos perbelanjaan termasuk untuk urusan dokumentasi ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Kerajaan, katanya, akan terus memantau rapi proses pembebasan tersebut bagi memastikan nelayan itu pulang ke pangkuan keluarga mereka dengan selamat.

Sementara itu, isteri seorang nelayan terlibat, Besah Abu Bakar, 57, berkata dia gembira mendengar khabar suaminya Mahabob Hasimat, 55, dapat dibebaskan tidak lama lagi.

Ini kerana, menurut Besah, suaminya yang kini ditahan di penjara Tanjung Pinang, Indonesia sepatutnya telah dibebaskan pada 11 Jan lalu.

"Harapan makcik biar suami dapat keluar secepat mungkin, anak-anak pun minta macam itu juga, harap dapat kumpul macam dulu. Kalau bebas, makcik ingat hendak buat kenduri sikit.

"Ada juga berhubung dengan pakcik (suami), dia beritahu tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan, layanan yang diterima baik," katanya.

Persetujuan untuk membebaskan kesemua nelayan itu, sebelum ini, dicapai hasil pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Majlis Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-12 di Kuching, Sarawak pada November lepas.

Selain Mahabob, lima lagi nelayan ialah Low Siong Huat, 59, yang kini ditahan di penjara Tanjung Pinang; Chua Kee Chan, 63, (ditahan di penjara Labuhan Deli, Medan); Leong Bian Seng, 61, (ditahan di Batam); Abdul Rashid Nik, 53, (ditahan di Lanal Tarempa) dan Kamaruzaman Awi, 47, (ditahan di Lanal Tarempa).

-- BERNAMA

MALAYSIA LEBIH BAIK DARI NEGARA LAIN DALAM MENANGANI KRISIS

KUALA LUMPUR, 21 Jan (Bernama) -- Malaysia dapat menangani krisis yang dihadapinya dengan lebih baik berbanding banyak negara lain, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata dengan dunia sedang berdepan pelbagai krisis, Malaysia turut menerima kesannya.

Namun, beliau berpendapat penyelesaian kepada krisis bukanlah dengan mengambil jalan mudah seperti mengubah kerajaan atau Perdana Menteri.

"Pakatan Harapan memberitahu rakyat bahawa Malaysia sedang menghadapi krisis politik dan ekonomi, dan satu-satunya cara untuk mengatasi masalah itu adalah dengan menukar kerajaan atau menggantikan Perdana Menteri," katanya dalam catatan di blog sskeruak.blogspot.my malam ini.

Merujuk kepada Amerika Syarikat dan United Kingdom, beliau berkata kedua-dua negara itu merupakan contoh demokrasi barat dengan Amerika Syarikat mengamalkan sistem kerajaan republik manakala United Kingdom melaksanakan pemerintahan raja berperlembagaan Westminster.

"Kedua-duanya mengalami krisis ekonomi dan politik," katanya sambil memberitahu bahawa kerajaan kedua-dua negara itu juga sedang menghadapi krisis keyakinan dan berusaha untuk kekal relevan.

Salleh yang juga Bendahari UMNO berkata tindakan menukar kerajaan yang dilakukan di Amerika Syarikat dan United Kingdom bukan sahaja tidak menamatkan krisis politik dan ekonomi yang dihadapi mereka, malah menyebabkan keadaan menjadi lebih buruk.

"Apa yang berlaku di bahagian dunia lain juga memberi kesan kepada Malaysia. Ini bermakna, penyelesaian bukanlah dengan mengambil jalan mudah seperti menukar kerajaan atau Perdana Menteri," katanya.

-- BERNAMA

Saturday, January 20, 2018

"RBC MENCARI CEO DESA" BERJAYA GALAKKAN BELIA JADI USAHAWAN

KUALA LUMPUR, 20 Jan (Bernama) --Program realiti televisyen Cabaran Perniagaan Luar Bandar 'RBC' atau 'RBC Mencari CEO Desa' berjaya menggalakkan golongan belia khususnya di desa memilih bidang keusahawan sebagai kerjaya bagi meningkatkan pendapatan dan seterusnya membangunkan kawasan luar bandar.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata program realiti yang pertama kali dilaksana oleh kementerian itu membolehkan juri dan mentor memberi ilmu pengetahuan dan 'tips' kepada peserta, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka.

"Secara tidak langsung, penonton berminat menceburi bidang perniagaan juga dapat menjadikannya sebagai panduan dan membuka minda mereka untuk terlibat dalam perniagaan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang peringkat akhir rancangan 'RBC Mencari CEO Desa' yang disiarkan secara langsung di TV3, di sini hari ini.

Beliau berkata peserta akan terus dibimbing selepas tamat program oleh kementerian dan agensi yang berkaitan dengan perniagaan mereka agar produk dihasilkan dapat menembusi pasaran global.

Program realiti RBC disiarkan sebanyak 13 episod sejak 28 Okt lalu dan peserta diberikan latihan serta tunjuk ajar berkaitan bidang keusahawanan oleh empat sifu usahawan selebriti.

Friday, January 19, 2018

BERNIAGA SENDIRI TREND ORANG MUDA MASA KINI



BERA, 19 Jan (Bernama) -- Senario lepasan universiti berniaga nasi lemak atau menjadi pemandu Uber menunjukkan kreativiti mereka mencipta peluang pekerjaan dan bukannya semata-mata mengharap untuk makan gaji.




Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pemilihan kerja oleh generasi sekarang juga tidak boleh disifatkan sebagai kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan.




Beliau menambah senario berniaga sendiri telah menjadi trend khususnya kepada orang muda termasuk penuntut universiti menerusi perniagaan dalam talian sehingga memperoleh pendapatan yang boleh dibanggakan apabila diusahakan bersungguh-sungguh.




"Pelajar semakin kreatif dalam menguruskan kewangan. Kita dapat lihat di universiti sudah ada kursus bersifat keusahawanan. Menjual nasi lemak tidak boleh dianggap sebagai kegagalan."




"Pada awalnya mungkin dia berniaga kecil-kecilan tapi perniagaan itu boleh dikembangkan ke peringkat lebih tinggi. Berniaga mampu membawa seseorang ke masa depan yang lebih baik sehingga Islam sendiri menggalakkan berniaga," katanya.




Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Moh Ngeteh Bersama Warga Kesihatan Daerah Bera di Klinik Kesihatan Padang Luas di sini, hari ini.




Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang dilaporkan menyifatkan jumlah graduan yang semakin ramai menjual nasi lemak dan menjadi pemandu Uber sebagai memalukan dan kegagalan kerajaan.




"Pemikiran itu pemikiran lama. Saya tidak salahkan dia (Dr Mahathir) kerana dia orang lama, selalu lihat apa yang berlaku pada zaman dia sedangkan dunia sudah berubah...sekarang hampir di semua universiti sudah ada pelajar yang berniaga," katanya.




Menyedari perubahan itu, Ismail Sabri berkata kerajaan menyediakan peluang secukupnya kepada generasi muda yang berminat menceburi bidang perniagaan seperti menyediakan dana pinjaman untuk dijadikan modal permulaan.




"Kerajaan memang menggalakkan graduan untuk tidak hanya makan gaji atau berharap kerja kerajaan. Malah di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) juga kita galakkan 20 peratus daripada graduan untuk terlibat dalam perniagaan."




"Saya percaya mereka boleh berkembang maju dan jika kita lihat, banyak perniagaan besar pada masa kini dimulakan secara kecil-kecilan," katanya.




-- BERNAMA

Thursday, January 18, 2018

PEMBANGKANG YANG TUDUH MAHATHIR DIKTATOR

KUALA LUMPUR, 18 Jan (Bernama) --Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak hari ini melontarkan soalan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad tentang siapa sebenarnya yang melabel beliau diktator.

Salleh berkata bekas perdana menteri itu menulis dalam blognya semalam catatan bertajuk 'The Dictator' yang berbentuk sindiran dan cuba memulang paku buah keras tuduhan beliau seorang diktator dan kleptokrat semasa menjadi Perdana Menteri Malaysia selama 22 tahun.

"Mahathir mengakhiri catatannya dengan berkata, "jadi teruskan menggelar saya diktator, Mahazalim dan Mahafiraun, tidak demokratik, dan menjadi terlampau kaya melalui rasuah. Ini adalah benar, sebenar-benarnya, tiada lain melainkan benar."

"Yang sebenarnya mereka yang menggelar Mahathir diktator, Mahazalim dan Mahafiraun, tidak demokratik dan kini menjadi terlampau kaya melalui rasuah" adalah mereka yang berada dalam Pakatan Harapan," kata Salleh dalam catatan terbaru blog beliau hari ini.

Menteri itu berkata Dr Mahathir mungkin lupa suatu perkara penting bahawa mereka itu kini adalah sekutu dan rakan politiknya sekarang.

"...atau apakah sebenarnya beliau memang mahu menyindir sekutu politknya sekarang?" tanya Salleh.

-- BERNAMA

PROJEK KEMUDAHAN SOSIAL KKLW DIMULAKAN FEBRUARI INI

PUTRAJAYA, 18 Jan (Bernama) -- Projek pembangunan melibatkan kemudahan sosial di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) untuk tahun ini akan dimulakan selewat-lewatnya Februari ini, kata Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata projek-projek tersebut yang dikenal pasti tahun lepas melibatkan antaranya projek berskala kecil seperti pembinaan jalan di kawasan kampung dan baik pulih rumah Program Perumahan Rakyat Termiskin.

Ismail Sabri berkata projek jangka pendek itu akan melibatkan kira-kira 30 peratus atau RM1.049 bilion daripada RM3.87 bilion peruntukan pembangunan yang diterima kementerian itu tahun ini.

"Projek-projek ini harus segera disiapkan dalam tempoh suku pertama tahun ini yang membolehkan impak projek tersebut dirasai oleh rakyat," katanya kepada media selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu kepada warga KKLW, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata kementerian juga akan meneruskan pelaksanaan kursus-kursus kemahiran yang dikendalikan agensinya untuk golongan sasaran yang ingin menambah pendapatan

Tuesday, January 16, 2018

BN JUGA TAPIS LAPORAN KESIHATAN SEMUA CALON UNTUK ELAK PILIHANRAYA KECIL

KUALA LUMPUR, 16 Jan (Bernama) -- Semua calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan raya Umum ke-14 (PRU14) sedang menjalani tapisan integriti sepenuhnya bagi memastikan mereka tidak terlibat dengan sebarang salah laku melibatkan integriti, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkatawalaupun negeri-negeri telah menghantar nama-nama calon bagi kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN), tapisan integriti akan menjadi perkara utama dalam pemilihan calon.

Beliau berkata tapisan itu dilakukan oleh unit khas BN bersama agensi-agensi berkaitan, khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Kita tahu bahawa soal-soal yang tersangkut dengan integriti melibatkan rasuah atau penyalahgunaan kuasa atau personaliti atau sahsiah yang bercanggah dengan pelbagai perundangan turut diberikan perhatian.

"Dalam perkara sedemikian, pengundi mahu melihat personaliti seseorang. Bagaimana seseorang calon (bukan hanya) bersih tetapi mesti kelihatan bersih," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Diskusi Intelektual:Institut Integriti Malaysia di sini hari ini.

Ketika ditanya nasib calon yang tidak menepati tapisan integriti yang ditetapkan, Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden berkata, "Kita ucapkan selamat tinggal."

Beliau berkata bahagian, perhubungan negeri dan pengerusi parti- parti komponen BN telah mengemukakan lebih daripada tiga nama calon yang boleh dijadikan calon gantian bagi mereka yang tidak melepasi tapisan.

"Kita juga mempunyai calon-calon simpanan yang kita lakukan ujian dari segi penerimaan masyarakat untuk mengundi di tempat itu dan daya kemenangan," katanya.

Selain tapisan integriti terhadap calon, Ahmad Zahid berkata, BN juga sedang melaksanakan tapisan laporan kesihatan calon supaya pilihan raya Kecil tidak berlaku dalam waktu singkat selepas PRU14.

Terdahulu dalam ucapannya Ahmad Zahid mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa mempertahankan nama baik perkhidmatan, teguh dengan prinsip integriti dan menolak rasuah serta tegas menentang salah guna kuasa yang boleh mengakibatkan ketirisan hasil negara.

Beliau berkata tahap integriti penjawat awam perlu sentiasa dinilai dan dipantau melalui satu kaedah sistematik bagi meningkatkan keyakinan rakyat terhadap usaha kerajaan menjadikan pentadbiran dan pengurusan negara yang telus dan berintegriti.

Katanya, usaha Institut Integriti Malaysia dan MIMOS Berhad memperkenalkan instrumen penilaian integriti individu (Profil Integriti Malaysia) bagi menyediakan profil integriti penjawat awam adalah bertepatan dengan hasrat kerajaan menjadikan integriti sebagai aspirasi utama negara terutama dalam merancang pembangunan negara ke arah Transformasi Nasional 2050.

-- BERNAMA

Monday, January 15, 2018

PEMBANGKANG PERLUKAN MAHATHIR UNTUK DAPATKAN DANA PRU



KUALA LUMPUR 14 Jan. – Gabungan parti-parti pembangkang yang dike­tuai DAP sanggup mengetepikan ‘kerakusan’ 22 tahun pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad demi mendapatkan dana gerakan untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

FAKHRUL AZMAN ABU BAKAR

Ini kerana kata bekas Ke­tua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Terengganu, Fakhrul Azman Abu Bakar, Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu mempunyai ja­ringan kuat untuk mendapatkan dana bagi menggerakkan jentera PRU-14 bagi Pakatan Harapan yang diketuai DAP.


Malah ujarnya, pemberian kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang banyak berbanding DAP, PKR dan PAN selain dicalonkan sebagai Perdana Menteri sementara Pakatan Harapan adalah sebagai umpan untuk Dr. Mahathir mendapatkan dana bagi pilihan raya.

“Pakatan Harapan sebenarnya mengharapkan ke­upayaan Dr. Mahathir mendapatkan dana dan bukan disebabkan kepemimpinan serta kebijaksanaannya sebagai seorang cendekiawan.

“Dahulu mereka tentang kerakusan Dr. Mahathir, tetapi sekarang pujanya ke­rana faktor kewangan untuk menghadapi PRU-14,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Fakhrul Azman berkata demikian susulan tindakan yang dilakukan Pakatan Harapan seolah-olah melakukan pusingan U dalam hal ehwal calon Perdana Menteri termasuk polisi cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta pelaksanaan tol.

Menurut beliau, selain pe­milihan Perdana Menteri, gabungan pembangkang juga sering menggunakan gimik atau helah menjelang PRU se­perti yang dilakukan Dr. Mahathir apabila beliau tiba-tiba mahu menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah dipenjarakannya dahulu.

“Dahulu mereka gunakan mahasiswa sebagai gimik, ko­nonnya golongan yang lan­tang bersuara itu diambil tindakan dan kemudian menagih simpati rakyat ko­nonnya kerajaan serta pihak berkuasa zalim. Kini, perkara itu beralih pula pada artis ta­nah air,” jelasnya.



Sunday, January 14, 2018

AZMIN MAIN WAYANG TAWARKAN PARLIMEN GOMBAK KEPADA MAHATHIR

SHAH ALAM, 14 Jan (Bernama) -- Tindakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menawarkan kerusi Parlimen Gombak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hanyalah wayang semata-mata.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Johan Abdul Aziz berkata menteri besar itu hanya ingin mencari alasan untuk lari daripada kegagalannya berkhidmat kepada penduduk di situ.

"Saya lihat ramai penduduk di Parlimen Gombak bersungut kerana diabaikan kepimpinan Mohamed Azmin sehingga ada kawasan yang tidak pernah dilawati beliau. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar pula yang terpaksa turun ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Parlimen itu bagi mengatasi masalah bumbung rosak dan sampah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya malam tadi, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR bersedia memberi laluan kepada Dr Mahathir di Parlimen Gombak sekiranya dipersetujui oleh PKR.

Sebelum ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam PRU14 membabitkan satu daripada tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

Pada Ahad lepas, Konvensyen Pakatan Harapan Ke-2 mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang itu memenangi PRU14.

Ketua Pemuda UMNO Selangor Zainuri Zainal berkata Mohamed Azmin menawarkan kerusi Parlimen Gombak kepada Dr Mahathir kerana mengetahui beliau mempunyai peluang tipis untuk mengekalkan kerusi itu pada PRU14 berikutan tidak lagi mendapat sokongan daripada PAS.

Ini kerana, beliau berkata kemenangan Mohamed Azmin di Parlimen itu pada PRU12 dan PRU13 adalah hasil sokongan dan bantuan daripada pemimpin serta jentera PAS.

Pada PRU13, Mohamed Azmin menewaskan calon Barisan Nasional Raman Ismail dan calon Bebas Saiz Nazar Abu Baker dengan majoriti 4,734 undi.

-- BERNAMA

Saturday, January 13, 2018

PAKATAN HARAPAN UNTUK MASUK PILIHANRAYA SAHAJA



PADANG TERAP, 12 Jan (Bernama) -- Gabungan parti dalam Pakatan Harapan hanya dibuat semata-mata untuk kepentingan sesebuah parti bagi membolehkan mereka bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia dapat dilihat melalui pengagihan 165 kerusi Parlimen dalam kalangan komponen parti yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diperuntukkan paling banyak iaitu 52 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan 51 kerusi, DAP (35) dan Parti Amanah Negara (Amanah) diperuntuk dengan 27 kerusi.

"Pakatan Harapan ini ditubuhkan dalam kalangan ahli politik serpihan kerana (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tubuh PKR selepas keluar UMNO begitu juga Tun Dr Mahathir Mohamad yang tubuhkan Bersatu (PPBM) manakala Mohamad Sabu pula tubuh Amanah selepas keluar daripada PAS.






"Parti-parti ini telah bergabung dengan 'parti dominan' iaitu DAP yang sebenarnya bijak mengatur percaturan. Sebab itu walaupun diperuntukkan dengan hanya 35 kerusi, mereka tidak bersuara kerana mereka mahu biarkan parti Melayu ini berlawan antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Program Hari Keluarga di Kampung Baru Lembah Permai di Kuala Nerang di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi PPBM, Dr Mahathir yang bersedia bertanding dalam PRU14 membabitkan satu daripada tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata ia juga jelas dilihat apabila tidak sampai seminggu pengagihan kerusi Parlimen itu diumumkan ramai pemimpin dan anggota parti pembangkang lain yang menyatakan ketidakpuasan hati dengan keputusan yang telah dibuat.

"Tidak sampai seminggu umum, timbul isu pemimpin PKR tidak puas hati dengan keputusan agihan kerusi itu dan sampai tahap ada yang merayu minta ditambah kerusi. Selain itu penyokong Anwar, Pro 98 Reformis juga tidak puas hati kerana sepatutnya Anwar yang dicalonkan menjadi Perdana Menteri dan bukannya Dr Mahathir.

"Ini seperti perumpamaan 'walaupun tidur sebantal, mimpi masing-masing lain' yang sebenarnya mereka semua mempunyai agenda tersembunyi untuk parti tersendiri. Sebab itu mereka bergabung, supaya mereka boleh bertanding dalam PRU nanti," katanya.

-- BERNAMA

TADIKA PERTAMA DI MALAYSIA TAWARKAN BIASISWA

RAWANG: Tadika Lestari muncul sebagai tadika swasta pertama di Malaysia yang menawarkan biasiswa.

Menurut Pengerusi Tadika Lestari, Datuk Lawrence Low, tadika tersebut telah menyediakan sejumlah RM100,000 kepada kanak-kanak yang tidak berkemampuan untuk memulakan pelajaran pra sekolah.

"Tadika Lestari telah beroperasi selama 19 tahun di Bandar Seri Damansara. Tetapi kami sedih ramai kanak kanak yang tidak mampu belajar prasekolah lantaran kemiskinan ibu bapa," katanya.

Sehubungan dengan itu beliau telah memperuntukkan sebanyak RM100,000 kepada ibu bapa yang berpendapatan kurang dari RM1,000 untuk menghantar anak mereka ke tadika mereka  secara percuma.

Majlis penyampaian cek biasiswa itu diadakan di Tadika Lestari di cawangan Bukit Sentosa di sini telah disampaikan oleh  Lawrence Low kepada Timbalan Menteri Pendidikan , Datuk P Kamalanathan selaku ahli parlimen Hulu Selangor.

P Kamalanathan telah merasmikan majlis penyampaian biasiswa itu.

"Biasiswa untuk kedua dua cawangan Tadika Lestari di Bandar Sri Damansara dan Bukit Sentosa merangkumi yurann tadika, alat alat tulis, buku buku serta pakaian seragam sekolaj kepada murid-murid," katanya lagi.

Lawrence menambah setakat ini, seramai lapan orang murid sudah dipilih untuk menerima sumbangan biasiswa tersebut.

Kepada sesiapa yang memerlukan biasiswa tersebut boleh memohon kepada 0122889930 atau hantar email kepada hazirah.k@lestari.edu.my


Friday, January 12, 2018

DAKWAAN SYAIFUL IRFAN MENGARUT



KUALA LUMPUR – Dakwaan harga ikan mahal di Terengganu satu cubaan memburukkan imej Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pengerusi Pertubuhan Penggerak Nadi Rakyat, Syed Rosli Jamalulail berkata, dakwaan Timbalan Ketua Armada Terengganu, Syaiful Irfan Anang itu mengarut.

“Saya yang telah meninjau ke Pasar Payang Kuala Terengganu mendapati bekalan ikan ada, saya pun telah dapati harga harga ikan seperti kembung ialah dijual pada harga RM13 sekilogram sahaja dan ianya adalah ikan segar beku yang telah dicairkan bukan seperti tuduhan oleh Syaiful ia mencecah sehingga RM20 sekilogram,” katanya hari ini.

Menurut Syed Rosli, dakwaan itu tidak lain hanya mahu memburukkan imej Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman.

“Untuk makluman semua, harga harga ikan Terengganu memang agak mahal sedikit dari kawasan lain terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor kerana ketika musim biasa nelayan boleh keluar ke laut, hasil tangkapan nelayan Terengganu selalunya mendapat ikan yang berkualiti tinggi dan segar dan menghantarnya ke Kuala Lumpur.

“Perjalanan memakan masa dari jeti nelayan hingga sampai ke kedai runcit akan mengambil masa tidak kurang dari lima atau tujuh hari,jadi ini menjejaskan kualiti ikan tersebut dan terpaksa dijual sedikit murah dari Terengganu.

“Rakyat Terengganu sebenarnya mendapat ikan yang segar yang berkualiti tinggi pada harga yang amat berpatutan,” katanya.

Justeru, Syed Rosli berkata, untuk menuduh menteri terlibat mengabaikan rakyat Terengganu dalam perkara mendapatkan harga yang berpatutan untuk sumber protein mereka adalah tidak benar dan tepat.

“Saya selalu melihat dengan mata sendiri bagaimana menteri dan seluruh warga kerja kementerian siang, malam dan hujung minggu berkerja keras memastikan rakyat semua mendapat bekalan yang mencukupi serta pada harga yang munasabah.

“Bab harga ikan ini tidak perlulah nak tunjuk pandai dengan saya, saya telah lalui semua proses perjalanan ikan ini dari jeti hinggalah ke pengguna,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau bersedia berdebat dengan Syaiful Irfan dan menasihati mereka supaya mencari isu lain yang lebih menjuarai isu rakyat.

Menurut Syed Rosli, isu harga ikan itu telah dibangkitkannya pada tahun lepas selepas menerima aduan dan berjumpa sendiri dengan Ahmad Shabery bagi tujuan itu.

Bagaimanapun, selepas menerima maklumat dan cerita sebenar mengenai proses penjualan ikan di negara ini, pihaknya yakin kementerian dan kerajaan telah melakukan yang terbaik membantu rakyat.

Thursday, January 11, 2018

INDONESIA AKAN BEBASKAN ENAM NELAYAN MALAYSIA

JAKARTA, 11 Jan (Bernama) -- Indonesia hari ini memberi jaminan untuk membebaskan enam nelayan Malaysia yang ditahan kerana menceroboh perairan negara itu.

Jaminan itu dinyatakan Menteri Kelautan dan Perikanan Indonesia Susi Pudjiastuti dalam pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

"Indonesia memberi jaminan akan membebaskan (nelayan terbabit) (namun) tak boleh dikeluarkan (dibebaskan) serentak, kerana ada beberapa urusan berkaitan pentadbiran, soal undang-undang, dan (proses) untuk membebaskan mereka dari pusat-pusat tahanan," kata Ahmad Shabery, di sini.

Beliau berkata proses untuk membebaskan nelayan terbabit bermula hari ini, dan mereka terbabit akan dibebaskan secara berperingkat dan dijangka selesai selewat-lewatnya Februari ini.

Malaysia juga komited untuk turut membebaskan nelayan Indonesia yang ditahan kerana menceroboh perairan Malaysia, katanya

Wednesday, January 10, 2018

PM PUN PERLU PATUHI UNDANG UNDANG

KUALA LUMPUR, 10 Jan (Bernama) -- Calon Perdana Menteri Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad seharusnya adalah orang pertama menunjukkan contoh yang baik dan tidak menyalahgunakan kuasa atau melanggar undang-undang, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau berkata Dr Mahathir merungut beliau tidak dibenarkan untuk melawat Datuk Seri Anwar Ibrahim di hospital hari ini dan Dr Mahathir perlu tahu bahawa seseorang tidak boleh tiba-tiba muncul semata-mata untuk bertemu seorang banduan kerana ada prosedur yang terlibat.

"Jika tidak, beliau akan mengajar rakyat Malaysia bahawa jika anda seorang yang berkedudukan, maka anda tidak perlu mematuhi undang-undang.

"Adakah Mahathir mematuhi prosedur yang sepatutnya? Malah isteri sekalipun tidak boleh melawat suami di penjara jika prosedur sepatutnya tidak dipatuhi,? kata beliau menerusi catatan dalam blog beliau sskeruak.blogspot.my malam ini.

"Isteri dan peguam perlu terlebih dahulu mendapat kelulusan sebelum dibenarkan melawat banduan dan itupun, ada waktu tertentu dan tarikh yang diluluskan sebelum lawatan tersebut boleh dilakukan."

"Tidak timbul perkara seperti 'ad hoc' atau lawatan mengejut dan juga ia tidak boleh melebihi jumlah jam yang dibenarkan dalam seminggu," kata beliau.

Bendahari UMNO itu berkata ia kelihatan pelik bahawa sebelum ini Dr Mahathir sama sekali tidak berminat untuk melawat Anwar di penjara.

Beliau berkata Anwar dipenjarakan dari 1998 hingga 2004 dan kemudian dari 2015 sehingga sekarang tetapi Dr Mahathir tidak pernah mahu melawatnya di penjara.

"Pada 1998, Anwar dimasukkan ke hospital berikutan insiden 'mata lebam' dan Mahathir tidak menunjukkan perhatian untuk melawatnya.

"Bagaimanapun sekarang, oleh kerana Mahathir memerlukan Anwar untuk menyokongnya sebagai calon Perdana Menteri, beliau tiba-tiba begitu teruja untuk bertemu Anwar di penjara," kata Salleh.

-- BERNAMA

Tuesday, January 9, 2018

PENIAGA PASAR MALAM BANGGA DBKL KELUARKAN LESEN BERNIAGA



KUALA LUMPUR: Peniaga Pasar Malam di Jalan Ikan Emas, Cheras menarik nafas lega apabila mereka diberikan lesen berniaga oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Kata mereka dengan adanya lesen tersebut, tidak timbul soal takut terutama sekali ketika pegawai Penguatkuasa DBKL membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Salah seorang penerima, Ratnawati Jalus berkata sebelum ini dirinya sentiasa risau apabila melihat penguatkuasa DBKL datang.

"Kini saya tak perlu bimbang. Lesen ada ditangan saya," katanya dengan nada gembira.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak DBKL yang telah memberi lesen berniaga kepadanya serta rakan-rakannya yang lain.

Beliau yang berniaga apam balik di pasar malam setiap Khamis itu juga tidak lupa mengucapkan syabas kepada Umno Bahagian Bandar Tun Razak (BTR) yang telah memainkan peranan sehinggakan apa yang dihajati selama ini menjadi kenyataan.

"Terima kasih Datuk (Rizalman Mokhtar) yang bersusah payah bantu saya dapatkan lesen ini," katanya.

Bagi Nurul Ashikin Jamaluddin pula impiannya untuk memperolehi lesen ini sudah terlaksana.

"Bertahun-tahun saya tunggu akhirnya dapat juga," kata peniaga roti john itu.

Pada majlis berlangsung di Flat Sri Johor itu, seramai 60 orang hadir untuk menerima lesen masing-masing.

Majlis hari ini merupakan fasa terakhir pemberian lesen diberikan kepada peniaga daripada sejumlah 160 peniaga kesemuanya. Baki 5 peratus peniaga akan menerima lesen masing-masing tidak lama lagi.

Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh Datuk Rizalman Dato' Mokhtar. Beliau adalah Ketua Umno Bahagian BTR yang juga Ahli Lembaga Penasihat DBKL.

Hadir sama Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd. Zain serta Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Sri Johor, Haji Abu Daud Ibrahim.

Seorang lagi peniaga, Muhamad Rusydi Abdullah berkata dengan adanya lesen ini beliau tidak perlu lagi rasa takut sekiranya pihak DBKL ataupun penguatkuasa lain datang membuat pemeriksaan.

"Sebelum dapat lesen ini, pantang tengok Bandaraya datang, kecut kita dibuatnya. Maklum sajalah kita berniaga tak ada lesen.

"Jadi dengan adanya lesen ini, tak perlulah nak bimbang ataupun takut apabila pihak berkuasa melakukan operasi dan sebagainya lagi," katanya.

Beliau yang berniaga ikan dan sayuran seterusnya berkata daripada apa yang didengarnya, Umno telah banyak memainkan peranan bagi mempastikan setiap peniaga di sini memperolehi lesen.

Katanya tanpa bantuan parti keramat ini belum tentu peniaga-peniaga di sini diberikan lesen sepertimana mereka perolehi seperti hari ini.


Beliau berharap peniaga-peniaga walau di mana sahaja mereka berada dapat sama-sama membulatkan tekad memberi sokongan kepada calon Umno andai kata calon itu dipilih pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 (PRU 14) akan datang.

"Orang Umno sudah berjasa kepada kita. Tibalah masanya kita balas jasa mereka pada PRU nanti,"ujarnya.

Sementara itu, Haji Abu Daud meminta kepada semua peniaga di sini supaya dapat menjaga kebersihan di tapak perniagaan masing-masing.

Dengan hanya menjaga kebersihan hasil jualan dapat dipertingkatkan kerana pengunjung lebih suka membeli di gerai bersih.

Beliau mengharapkan supaya peniaga di sini dapat dijadikan pasar malam contoh dari semua pasar malam yang ada di Wilayah Persekutuan ini.

"Itulah sahaja harapan saya kepada semua peniaga di sini. Tolonglah jaga kawasan masing-masing supaya bersih dan kemas," pintanya.

Monday, January 8, 2018

NEGARA DIANCAM KEHANCURAN JIKA PAKATAN HARAPAN MEMERINTAH MALAYSIA

CHUKAI, 7 Jan (Bernama) -- Negara diancam kehancuran jika Pakatan Harapan dipilih sebagai pemerintah pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Beliau berkata ini kerana pakatan pembangkang itu tidak stabil akibat tiadanya parti yang dominan menerajui gabungan pembangkang itu, yang merangkumi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), PKR, DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah).

"...pastinya perebutan kuasa akan terjadi untuk menentukan siapa yang akan menjadi perdana menteri (PM) meskipun mereka mencalonkan Tun Mahathir sebagai calon PM (sekiranya pakatan menang PRU14)," katanya.

Beliau mengulas pengumuman Pakatan Harapan hari ini yang menamakan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri.

Pakatan pembangkang itu turut mengumumkan pembahagian kerusi Parlimen bagi PRU14 iaitu PPBM (52), PKR (51) , DAP (35) dan Amanah (27).

Ahmad Shabery yang juga Menteri Pertanian Industri dan Asas Tani serta Anggota Parlimen Kemaman memberitahu pemberita demikian selepas menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan kepada 60 mangsa kejadian ribut di Taman Fikri 2 di sini.

-- BERNAMA

Saturday, January 6, 2018

RISDA DAPAT RM37.2 JUTA DI KELANTAN

MACHANG, 6 Jan (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah memperuntukkan RM37.2 juta kepada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) untuk melaksanakan program pembangunan fasa pertama bagi pekebun kecil di Kelantan tahun ini.

Timbalan menteri berkenaan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata antara program pembangunan itu adalah tanaman semula getah dan program keusahawanan bagi meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

"Kita berharap peruntukan kedua tidak kurang besarnya.

"Ini penting bagi merapatkan jurang perbezaan pendapatan antara penduduk luar bandar dan bandar," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis penerangan Program Pembangunan Risda Kelantan 2018 dan Pemimpin Bersama Rakyat kawasan Dewan Undangan Negeri Pulai Chondong di sini, hari ini.

Ahmad Jazlan berkata peruntukan itu menunjukan keprihatinan kerajaan Persekutuan dalam membantu rakyat khususnya di kawasan luar bandar.

Friday, January 5, 2018

HENTIKAN WAYANG POLITIK MAHATHIR

KUALA NERANG, 5 Jan (Bernama) -- Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini menasihati Tun Dr Mahathir Mohamad supaya menghentikan wayang politiknya dengan terus membuat serangan peribadi ke atas beberapa pemimpin dan memburuk-burukkan kerajaan.

Mahdzir berkata, Dr Mahathir, 92, yang juga pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), perlu menginsafi dirinya berikutan usianya yang kian meningkat serta pernah mentadbir negara selama 22 tahun.

"Dia (Dr Mahathir) akan bercakap apa sahaja tanpa memikirkan perasaan orang lain serta kesannya kepada individu terbabit.

Dia akan menghina pemimpin lain yang dianggap musuhnya secara terbuka dan itu antara strateginya dalam politik sejak dulu lagi. Dulu dia tidak suka kepada parti DAP, macam-macam yang dia kritik, tapi sekarang parti itulah yang dia paling sayang," katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas mengenai kenyataan melampau Dr Mahathir terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Rabu lalu.

-- BERNAMA

Thursday, January 4, 2018

ZAHID TERIMA KEJUTAN DARI KAKITANGAN PEJABAT TPM

PUTRAJAYA, 4 Jan (Bernama) -- Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menerima 'kejutan' sambutan hari jadi daripada kakitangan pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri yang meraikan ulang tahun ke-65 kelahiran beliau di bangunan Perdana Putra di sini.

Majlis ringkas itu berlangsung di pejabat Timbalan Perdana Menteri sebelum beliau menerima kunjungan Menteri Dalam Negeri Sudan Mejar Jeneral Dr Hamid Mohamed Manan.

Sebaik sahaja melangkah masuk ke pejabat, para petugas melaungkan ungkapan ' 'surprise' dan menyanyikan lagu 'Allah Selamatkan Kamu' sebelum beliau memotong pulut kuning yang tertera angka '65'.

Dalam ucapan ringkasnya, Ahmad Zahid meminta petugas di pejabat Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri untuk bekerja bersama-samanya mempertahankan 'pejabat' yang diduduki daripada jatuh ke tangan pihak lain, sambil mengakui 2018 merupakan tahun yang mencabar.

Beliau juga mahu semua petugas terbabit berazam memastikan semua kejayaan yang telah dibina kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus diperkukuh dan dipertahankan daripada dimusnahkan pihak tertentu.

"Jangan ada keraguan di hati kita terhadap kepimpinan kerajaan, jangan termakan fitnah,? katanya.

-- BERNAMA

Wednesday, January 3, 2018

KAYVEAS DAKWA CAMERON HIGHLANDS BUKAN MILIK MIC

KUALA LUMPUR: PRESIDEN MyPPP, Tan Sri Kayveas amat terkilan apabila ada orang tertentu dalam MIC mendakwa kerusi Parlimen Cameron Highlands menjadi milik parti itu.

Padahal semua orang tahu bahawa parti tersebut sudah tidak bernyawa lagi apabila wakil rakyatnya sudah berstatus parti bebas.

Dengan lain-lain perkataan apabila wakil rakyat itu sudah tidak sebumbung dengan BN lagi maknanya mereka tidak layak kata kawasan itu adalah kawasan tradisi MIC.

Lebih daripada itu wakil rakyat MIC sudah tidak lagi mewakili parti mereka di sana.

Memang benar MIC masih bersama BN tetapi masalahnya ialah wakil rakyat mereka sudah tidak berparti lagi kerana Datuk Seri Palanivel mengistiharkan dirinya putus hubungan dengan BN.

Tetapi yang memeranjatkan semua pihak ialah bagaimana seorang anggota sayap MIC mengaku Cameron milik
parti itu dan tanpa segan silu mengistiharkan dirinya adalah bakal bertanding di kawasan tersebut.

Sepatutnya orang besar MIC itu tengok cermin dulu sebelum umum dirinyalah paling layak dipertaruhkan oleh parti berkenaan.

Beliau perlu sedar bahawa soal mengumumkan siapa perlu bertanding bukan dirinya tetapi hak mutlak Perdana Menteri.

Orang muda MIC ini seolah-olah lupa peranan seorang Perdana Menteri berkaitan calon yang bakal bertanding di sesuatu kawasan.

Mereka terlalu gopoh dan terdesak hendak bergelar ahli yang berhormat sehingga sanggup membelakangkan Datuk Seri Najib yang juga Pengerusi BN dalan menentukan calon Pilihan Raya (PRU) iaitu orang paling layak mengumumkan calon untuk bertanding.

Jika beginilah orang yang ingin dilantik menjadi wakil rakyat nescaya para pengundi Cameron akan menolaknya.

Orang Cameron amat tinggi budi bahasanya. Mereka sama sekali akan menolak calon syok sendiri ini jika pemuda ini diberi peluang wakili BN pada PRU ke-14 nanti.

Lagipun penduduk di Cameron Highlands sudah selesa dengan Tan Sri Kayveas. Bagi mereka anak kelahiran Cameron Highlands inilah orang paling tepat mewakili mereka pada PRU ini.

Bagi mereka jasa Tan Sri Kayveas membantu penduduk di kawasan berkenaan tidak dapat dibalas dengan kata-kata.

Hanya dengan memilih beliau sahaja jasa bakti pemimpin itu dapat dibalas.

Bagi mereka MIC seolah-olah tidak wujud lagi apabila ketua mereka telah meninggalkan BN untuk bergelar bebas.

Beliau bimbang andai kata orang MIC dipertaruhkan di sini dan menang kemungkinan besar pemipin tersebut akan meninggalkan mereka sepertimana Datuk Seri Palanivel lakukan sekarang.

Justeru itu untuk mengelakkan peristiwa keluar BN berulang kembali mereka mengharap sebuah parti yang boleh dipercayai mewakili mereka di kawasan sejuk ini.

Mereka berpendapat calon dari parti MyPPP nanti bakal merubah lanskaps politik Cameron sama ada dari sosio ekonomi dan sebagainya lagi.

Bagi mereka Tan Sri Kayveas telah menujukkan sifat terpujinya dengan hadir setiap minggu di sini untuk menyelesaikan pelbagai masalah seperti banjir dan sebagainya setelah wakil rakyatnya lari ke parti bebas.

Bagi penduduk Cameron yang jumlah pengundinya melebihi 33,000 orang mereka bersedia memilih orang yang telah banyak berjasa kepada mereka tatkala wisel PRU ditiupkan oleh Perdana Menteri.

Mereka tidak mahu lagi pemimpin suka 'lari malam' apabila menghadapi bencana akan berulang dan mereka mahukan seorang ketua yang sanggup meredah banjir bersama.

Mereka juga tidak akan menerima orang yang mengaku membangunkan kawasan mereka sedangkan mereka tahu kerja tersebut dilakukan oleh orang lain.

Monday, January 1, 2018

PNB BERI SIJIL ADAM50 KEPADA SEMUA BAYI TAHUN BARU

KUALA LUMPUR, 1 Jan (Bernama) -- Sejak tengah malam tadi, sijil Amanah Dana Anak Malaysia 2050 (ADAM50) mula diberikan kepada bayi yang dilahirkan di 30 lokasi di seluruh negara.

Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Berhad (PNB) Datuk Abdul Rahman berkata ADAM50 melibatkan dua tabung iaitu Amanah Saham Bumiputera (ASB) bagi bayi Bumiputera dan Amanah Saham 1Malaysia (AS1M) bagi bayi bukan Bumiputera.

"Ibu bapa atau penjaga boleh membuat pelaburan tambahan ke dalam ASB bagi bayi Bumiputera hingga 200,000 unit dan akaun AS1M bagi bayi bukan Bumiputera hingga 50,000 unit," katanya.

Beliau ditemui ketika menyampaikan sijil berkenaan kepada lapan bayi yang dilahirkan bermula 12.54 pagi hingga 12 tengah hari di Hospital Bersalin Kuala Lumpur (HBKL) di sini.

Beliau berkata pelaburan boleh dibuat melalui cawangan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) seluruh negara, portal myASNB di www.myasnb.com.my, ejen ASNB seperti Maybank dan CIMB Bank serta perbankan dalam talian seperti Maybank2u dan CIMB Clicks.