Tuesday, January 30, 2018

KEMPEN UNDI ROSAK TIDAK BERTANGGUNGJAWAB

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan kempen 'undi rosak' oleh pihak tertentu sebagai tidak bertanggungjawab dan tidak baik untuk demokrasi dan negara.

Beliau berkata merosakkan undi bukanlah jawapan kepada rasa kecewa terhadap mana-mana parti politik.

"Memilih merosakkan undi tidak boleh menyelesaikan perbezaan politik kita. Jadilah pengundi yang bermaklumat dan memilihlah dengan penuh rasa tanggungjawab untuk masa hadapan negara.

"Inilah masanya untuk berbakti pada negara," katanya dalam catatan blog sskeruak.blogspot.my,.

Beliau berkata kemudahan tekonologi maklumat dan komunikasi (ICT) boleh dimanfaatkan oleh sesiapa yang masih keliru untuk mencari maklumat berhubung parti terbaik untuk dipilih pada pilihan raya umum akan datang.

Salleh berkata maklumat yang sepatutnya dicari adalah tentang rekod pemimpin dan parti-parti yang bertanding serta tawaran dan agenda yang diketengahkan.

"Pilihlah kepimpinan yang terbukti kestabilannya, yang mengendalikan keharmonian kaum sebaiknya, dan yang mengutamakan isu-isu penting negara seperti keselamatan nasional, terrorisme (keganasan), kemiskinan, pembangunan ekonomi dan lainnya.

"Jika sudah bersedia, gunalah kuasa memilih sebaiknya dan laksanalah tanggungjawab kepada negara. Hanya dengan kuasa ini, hasrat untuk melihat penambahbaikan dan kemajuan negara dapat dikecapi," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment