Sunday, January 14, 2018

AZMIN MAIN WAYANG TAWARKAN PARLIMEN GOMBAK KEPADA MAHATHIR

SHAH ALAM, 14 Jan (Bernama) -- Tindakan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menawarkan kerusi Parlimen Gombak kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bertanding pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) hanyalah wayang semata-mata.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor Datuk Johan Abdul Aziz berkata menteri besar itu hanya ingin mencari alasan untuk lari daripada kegagalannya berkhidmat kepada penduduk di situ.

"Saya lihat ramai penduduk di Parlimen Gombak bersungut kerana diabaikan kepimpinan Mohamed Azmin sehingga ada kawasan yang tidak pernah dilawati beliau. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar pula yang terpaksa turun ke kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) di kawasan Parlimen itu bagi mengatasi masalah bumbung rosak dan sampah," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menerusi kenyataan yang dimuat naik di akaun Twitter miliknya malam tadi, Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR bersedia memberi laluan kepada Dr Mahathir di Parlimen Gombak sekiranya dipersetujui oleh PKR.

Sebelum ini, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyatakan kesediaan untuk bertanding dalam PRU14 membabitkan satu daripada tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

Pada Ahad lepas, Konvensyen Pakatan Harapan Ke-2 mengumumkan Dr Mahathir sebagai calon perdana menteri dan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai timbalan perdana menteri sekiranya pakatan pembangkang itu memenangi PRU14.

Ketua Pemuda UMNO Selangor Zainuri Zainal berkata Mohamed Azmin menawarkan kerusi Parlimen Gombak kepada Dr Mahathir kerana mengetahui beliau mempunyai peluang tipis untuk mengekalkan kerusi itu pada PRU14 berikutan tidak lagi mendapat sokongan daripada PAS.

Ini kerana, beliau berkata kemenangan Mohamed Azmin di Parlimen itu pada PRU12 dan PRU13 adalah hasil sokongan dan bantuan daripada pemimpin serta jentera PAS.

Pada PRU13, Mohamed Azmin menewaskan calon Barisan Nasional Raman Ismail dan calon Bebas Saiz Nazar Abu Baker dengan majoriti 4,734 undi.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment