Saturday, January 13, 2018

PAKATAN HARAPAN UNTUK MASUK PILIHANRAYA SAHAJA



PADANG TERAP, 12 Jan (Bernama) -- Gabungan parti dalam Pakatan Harapan hanya dibuat semata-mata untuk kepentingan sesebuah parti bagi membolehkan mereka bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata ia dapat dilihat melalui pengagihan 165 kerusi Parlimen dalam kalangan komponen parti yang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diperuntukkan paling banyak iaitu 52 kerusi, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan 51 kerusi, DAP (35) dan Parti Amanah Negara (Amanah) diperuntuk dengan 27 kerusi.

"Pakatan Harapan ini ditubuhkan dalam kalangan ahli politik serpihan kerana (Datuk Seri) Anwar Ibrahim tubuh PKR selepas keluar UMNO begitu juga Tun Dr Mahathir Mohamad yang tubuhkan Bersatu (PPBM) manakala Mohamad Sabu pula tubuh Amanah selepas keluar daripada PAS.






"Parti-parti ini telah bergabung dengan 'parti dominan' iaitu DAP yang sebenarnya bijak mengatur percaturan. Sebab itu walaupun diperuntukkan dengan hanya 35 kerusi, mereka tidak bersuara kerana mereka mahu biarkan parti Melayu ini berlawan antara satu sama lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan Program Hari Keluarga di Kampung Baru Lembah Permai di Kuala Nerang di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pengerusi PPBM, Dr Mahathir yang bersedia bertanding dalam PRU14 membabitkan satu daripada tiga kerusi Parlimen iaitu Putrajaya, Langkawi atau Kubang Pasu.

Mahdzir yang juga Menteri Pendidikan berkata ia juga jelas dilihat apabila tidak sampai seminggu pengagihan kerusi Parlimen itu diumumkan ramai pemimpin dan anggota parti pembangkang lain yang menyatakan ketidakpuasan hati dengan keputusan yang telah dibuat.

"Tidak sampai seminggu umum, timbul isu pemimpin PKR tidak puas hati dengan keputusan agihan kerusi itu dan sampai tahap ada yang merayu minta ditambah kerusi. Selain itu penyokong Anwar, Pro 98 Reformis juga tidak puas hati kerana sepatutnya Anwar yang dicalonkan menjadi Perdana Menteri dan bukannya Dr Mahathir.

"Ini seperti perumpamaan 'walaupun tidur sebantal, mimpi masing-masing lain' yang sebenarnya mereka semua mempunyai agenda tersembunyi untuk parti tersendiri. Sebab itu mereka bergabung, supaya mereka boleh bertanding dalam PRU nanti," katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment