PUTRAJAYA, 22 Jan (Bernama) -- Majlis Tindakan Sara Hidup Negara, yang penubuhannya diumumkan pada Perhimpunan Agung UMNO 2017 Disember lepas, akan mengadakan mesyuarat pertamanya pada Februari ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata majlis itu merangkumi lima kluster iaitu perumahan, makanan dan minuman, utiliti, pengangkutan dan pendidikan.
Katanya majlis itu akan dianggotai wakil badan bukan kerajaan (NGO) dan cendekiawan yang mempunyai kepakaran dalam setiap kluster terbabit bagi memastikan keputusan yang dibuat memberi impak jangka panjang.
"Kita hanya akan bermesyuarat selepas semua anggota setiap kluster menerima surat pelantikan masing-masing. Mesyuarat diadakan mengikut pengerusi setiap kluster yang akan diumumkan kelak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Amanat Tahun Baharu kepada kakitangan kementerian itu di sini, hari ini.
Terdahulu dalam ucapannya, Hamzah berkata selain menangani kos sara hidup, majlis itu juga memberi fokus kepada aspek pendidikan sejak peringkat sekolah bagi memastikan rakyat tahu mengenai tanggungjawab, etika dan hak pengguna.
Mengenai Jualan Sentuhan Rakyat, beliau berkata program itu diadakan di hampir 30 lokasi di seluruh negara hasil inisiatif para pemimpin tempatan dengan kerjasama kementerian.
Susulan sambutan baik diberikan penduduk setempat, katanya, kementerian akan terus memberi sokongan kepada pemimpin tempatan yang berhasrat mengadakan program jualan itu.
"Kalau mereka hendak kita bawa pemborong untuk jual terus kepada penduduk kawasan masing-masing, kita akan bantu.
"Ada yang buat dalam bentuk karnival dan ada juga buat jualan di lokasi tetap. Jadi, terpulang kepada mereka (pemimpin) untuk mengadakan jualan mengikut acuan mereka sendiri," katanya.
Mengenai harga barangan keperluan yang dijual, Hamzah berkata kementerian tidak menetapkan sebarang peratusan tetapi ia dijual lebih murah daripada harga pasaran mengikut jenis barangan.
"Contohnya, jika di kawasan itu harga ayam RM7 sekilogram, akan dijual sekurang-kurangnya RM6 sekilogram. Ada barang yang kadar penurunan harganya kecil dan ada juga yang besar," jelasnya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment