KUANTAN, 27 Jan (Bernama) -- Kempen #UndiRosak dilancarkan sejak 7 Jan lalu dipercayai dilakukan pihak tertentu yang tidak bersetuju dengan cadangan melantik Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri jika Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Presiden Pakatan Harapan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata bagaimanapun kempen berkenaan tidak akan menjejaskan sokongan terhadap PH oleh kerana ia bukanlah satu gerakan yang begitu dominan hingga boleh mempengaruhi keputusan PRU.
"Kita sepakat memilih Tun (Dr Mahathir) kerana faktor yang dimiliki beliau selama 22 tahun sebagai perdana menteri.
"Kalau ikutkan emosi atau perasan terguris dengan apa berlaku sebelum ini, saya adalah paling terjejas teruk... tapi, kita kena 'move on' kerana paling penting adalah masa depan negara ini," katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Konvensyen PH Pahang 2018, di sini, hari ini.
Sehubungan itu beliau menasihati para pengundi supaya tidak memboikot pilihan raya kerana setiap undi adalah berharga.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment