Sunday, January 21, 2018

ENAM NELAYAN DITAHAN DI INDONESIA DIJANGKA DIBEBASKAN PERTENGAHAN FEBRUARI DEPAN

PONTIAN, 21 Jan (Bernama) -- Enam nelayan tempatan yang ditahan di Indonesia kerana menceroboh perairan negara itu, dijangka dibebaskan selewat-lewatnya pertengahan Februari depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata proses membebaskan mereka mengambil masa sedikit kerana terpaksa melalui proses perundangan.

"Kedua-dua negara setuju untuk pembebasan tetapi dalam proses itu, terdapat prosedur yang tertentu.

"Pihak Indonesia telah memberi jaminan kesemua mereka akan dibebaskan dalam tempoh dinyatakan iaitu pada bulan ini atau pada pertengahan Februari," katanya selepas melawat keluarga seorang daripada nelayan yang ditahan di Kampung Pulai Sebatang di sini, hari ini.

Ahmad Shabery berkata semua kos perbelanjaan termasuk untuk urusan dokumentasi ditanggung sepenuhnya oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Kerajaan, katanya, akan terus memantau rapi proses pembebasan tersebut bagi memastikan nelayan itu pulang ke pangkuan keluarga mereka dengan selamat.

Sementara itu, isteri seorang nelayan terlibat, Besah Abu Bakar, 57, berkata dia gembira mendengar khabar suaminya Mahabob Hasimat, 55, dapat dibebaskan tidak lama lagi.

Ini kerana, menurut Besah, suaminya yang kini ditahan di penjara Tanjung Pinang, Indonesia sepatutnya telah dibebaskan pada 11 Jan lalu.

"Harapan makcik biar suami dapat keluar secepat mungkin, anak-anak pun minta macam itu juga, harap dapat kumpul macam dulu. Kalau bebas, makcik ingat hendak buat kenduri sikit.

"Ada juga berhubung dengan pakcik (suami), dia beritahu tiada apa-apa yang perlu dibimbangkan, layanan yang diterima baik," katanya.

Persetujuan untuk membebaskan kesemua nelayan itu, sebelum ini, dicapai hasil pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada Majlis Perundingan Tahunan Malaysia-Indonesia ke-12 di Kuching, Sarawak pada November lepas.

Selain Mahabob, lima lagi nelayan ialah Low Siong Huat, 59, yang kini ditahan di penjara Tanjung Pinang; Chua Kee Chan, 63, (ditahan di penjara Labuhan Deli, Medan); Leong Bian Seng, 61, (ditahan di Batam); Abdul Rashid Nik, 53, (ditahan di Lanal Tarempa) dan Kamaruzaman Awi, 47, (ditahan di Lanal Tarempa).

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment