Friday, January 12, 2018

DAKWAAN SYAIFUL IRFAN MENGARUT



KUALA LUMPUR – Dakwaan harga ikan mahal di Terengganu satu cubaan memburukkan imej Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Pengerusi Pertubuhan Penggerak Nadi Rakyat, Syed Rosli Jamalulail berkata, dakwaan Timbalan Ketua Armada Terengganu, Syaiful Irfan Anang itu mengarut.

“Saya yang telah meninjau ke Pasar Payang Kuala Terengganu mendapati bekalan ikan ada, saya pun telah dapati harga harga ikan seperti kembung ialah dijual pada harga RM13 sekilogram sahaja dan ianya adalah ikan segar beku yang telah dicairkan bukan seperti tuduhan oleh Syaiful ia mencecah sehingga RM20 sekilogram,” katanya hari ini.

Menurut Syed Rosli, dakwaan itu tidak lain hanya mahu memburukkan imej Menteri Pertanian dan Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek yang juga Ahli Parlimen Kemaman.

“Untuk makluman semua, harga harga ikan Terengganu memang agak mahal sedikit dari kawasan lain terutamanya di Kuala Lumpur dan Selangor kerana ketika musim biasa nelayan boleh keluar ke laut, hasil tangkapan nelayan Terengganu selalunya mendapat ikan yang berkualiti tinggi dan segar dan menghantarnya ke Kuala Lumpur.

“Perjalanan memakan masa dari jeti nelayan hingga sampai ke kedai runcit akan mengambil masa tidak kurang dari lima atau tujuh hari,jadi ini menjejaskan kualiti ikan tersebut dan terpaksa dijual sedikit murah dari Terengganu.

“Rakyat Terengganu sebenarnya mendapat ikan yang segar yang berkualiti tinggi pada harga yang amat berpatutan,” katanya.

Justeru, Syed Rosli berkata, untuk menuduh menteri terlibat mengabaikan rakyat Terengganu dalam perkara mendapatkan harga yang berpatutan untuk sumber protein mereka adalah tidak benar dan tepat.

“Saya selalu melihat dengan mata sendiri bagaimana menteri dan seluruh warga kerja kementerian siang, malam dan hujung minggu berkerja keras memastikan rakyat semua mendapat bekalan yang mencukupi serta pada harga yang munasabah.

“Bab harga ikan ini tidak perlulah nak tunjuk pandai dengan saya, saya telah lalui semua proses perjalanan ikan ini dari jeti hinggalah ke pengguna,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau bersedia berdebat dengan Syaiful Irfan dan menasihati mereka supaya mencari isu lain yang lebih menjuarai isu rakyat.

Menurut Syed Rosli, isu harga ikan itu telah dibangkitkannya pada tahun lepas selepas menerima aduan dan berjumpa sendiri dengan Ahmad Shabery bagi tujuan itu.

Bagaimanapun, selepas menerima maklumat dan cerita sebenar mengenai proses penjualan ikan di negara ini, pihaknya yakin kementerian dan kerajaan telah melakukan yang terbaik membantu rakyat.

No comments:

Post a Comment