Monday, January 22, 2018

MAHDZIR KESAL PEMBANGKANG PUTARBELIT PERUTUSANNYA



KUALA LUMPUR 22 Jan. – Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menyelar tindakan pembangkang yang tergamak memutar belit Perutusan Tahun Baharu 2018 yang disampaikan beliau sehingga mencetuskan fitnah bahawa kementerian akan memberhentikan guru-guru yang terlibat dalam politik pembangkang.


Beliau menjelaskan, tiada langsung ugutan disuarakan dalam perutusan tersebut sebaliknya warga Kementerian Pendidikan dinasihatkan supaya mengambil pendekatan berpada-pada dalam berpolitik memandangkan mereka adalah penjawat awam.

“Ketika itu saya menyampaikan ucapan dalam masa jangka masa dua jam namun pihak pembangkang memainkan isu pada lima minit terakhir dan menyebarkannya.

“Perutusan itu saya sampaikan kepada warga kementerian, mereka tidak menyebarkannya sebaliknya Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Ketua Pemuda PPBM, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menyebarkan fitnah tersebut,” katanya ketika ditemui dalam program turun padang di Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Seri Putera dekat sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, Datuk Seri Alias Ahmad serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih, Datuk Johan Abd. Aziz.

Mahdzir menambah, beliau tidak pernah mengeluarkan kenya­taan mengenai undi dan memahami bahawa undi seseorang itu adalah rahsia serta bukan sesuatu yang boleh dikawal.

“Saya tidak sebut perkataan undi tetapi si budak kecil yang merasakan dirinya pandai di dunia ini, Syed Saddiq menularkan bahawa undi adalah rahsia dan mengaitkan dengan perutusan tersebut.

“Memang undi itu rahsia, siapa pula yang mengeluarkan kenya­taan undi bukan lagi rahsia?” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mahdzir menjelaskan, kementeriannya akan membina sebuah sekolah kebangsaan dan sebuah sekolah menengah di kawasan Hulu Langat bagi menampung peningkatan jumlah murid serta pelajar di kawasan tersebut.

“Dalam tahun ini, kita akan membina SK Pelangi Semenyih dengan kos dianggarkan RM31.2 juta dan sebuah sekolah menengah di Bandar Bukit Mahkota namun kosnya belum dikenal pasti,” jelasnya.

Beliau memberitahu, Kementerian Pendidikan juga telah memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan di tujuh sekolah dalam daerah Hulu Langat.


No comments:

Post a Comment