Tuesday, January 9, 2018
PENIAGA PASAR MALAM BANGGA DBKL KELUARKAN LESEN BERNIAGA
KUALA LUMPUR: Peniaga Pasar Malam di Jalan Ikan Emas, Cheras menarik nafas lega apabila mereka diberikan lesen berniaga oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kata mereka dengan adanya lesen tersebut, tidak timbul soal takut terutama sekali ketika pegawai Penguatkuasa DBKL membuat rondaan di kawasan berkenaan.
Salah seorang penerima, Ratnawati Jalus berkata sebelum ini dirinya sentiasa risau apabila melihat penguatkuasa DBKL datang.
"Kini saya tak perlu bimbang. Lesen ada ditangan saya," katanya dengan nada gembira.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada pihak DBKL yang telah memberi lesen berniaga kepadanya serta rakan-rakannya yang lain.
Beliau yang berniaga apam balik di pasar malam setiap Khamis itu juga tidak lupa mengucapkan syabas kepada Umno Bahagian Bandar Tun Razak (BTR) yang telah memainkan peranan sehinggakan apa yang dihajati selama ini menjadi kenyataan.
"Terima kasih Datuk (Rizalman Mokhtar) yang bersusah payah bantu saya dapatkan lesen ini," katanya.
Bagi Nurul Ashikin Jamaluddin pula impiannya untuk memperolehi lesen ini sudah terlaksana.
"Bertahun-tahun saya tunggu akhirnya dapat juga," kata peniaga roti john itu.
Pada majlis berlangsung di Flat Sri Johor itu, seramai 60 orang hadir untuk menerima lesen masing-masing.
Majlis hari ini merupakan fasa terakhir pemberian lesen diberikan kepada peniaga daripada sejumlah 160 peniaga kesemuanya. Baki 5 peratus peniaga akan menerima lesen masing-masing tidak lama lagi.
Majlis penyampaian telah disempurnakan oleh Datuk Rizalman Dato' Mokhtar. Beliau adalah Ketua Umno Bahagian BTR yang juga Ahli Lembaga Penasihat DBKL.
Hadir sama Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd. Zain serta Pengerusi Persatuan Penduduk Flat Sri Johor, Haji Abu Daud Ibrahim.
Seorang lagi peniaga, Muhamad Rusydi Abdullah berkata dengan adanya lesen ini beliau tidak perlu lagi rasa takut sekiranya pihak DBKL ataupun penguatkuasa lain datang membuat pemeriksaan.
"Sebelum dapat lesen ini, pantang tengok Bandaraya datang, kecut kita dibuatnya. Maklum sajalah kita berniaga tak ada lesen.
"Jadi dengan adanya lesen ini, tak perlulah nak bimbang ataupun takut apabila pihak berkuasa melakukan operasi dan sebagainya lagi," katanya.
Beliau yang berniaga ikan dan sayuran seterusnya berkata daripada apa yang didengarnya, Umno telah banyak memainkan peranan bagi mempastikan setiap peniaga di sini memperolehi lesen.
Katanya tanpa bantuan parti keramat ini belum tentu peniaga-peniaga di sini diberikan lesen sepertimana mereka perolehi seperti hari ini.
Beliau berharap peniaga-peniaga walau di mana sahaja mereka berada dapat sama-sama membulatkan tekad memberi sokongan kepada calon Umno andai kata calon itu dipilih pada Pilihan Raya Umum Kali Ke-14 (PRU 14) akan datang.
"Orang Umno sudah berjasa kepada kita. Tibalah masanya kita balas jasa mereka pada PRU nanti,"ujarnya.
Sementara itu, Haji Abu Daud meminta kepada semua peniaga di sini supaya dapat menjaga kebersihan di tapak perniagaan masing-masing.
Dengan hanya menjaga kebersihan hasil jualan dapat dipertingkatkan kerana pengunjung lebih suka membeli di gerai bersih.
Beliau mengharapkan supaya peniaga di sini dapat dijadikan pasar malam contoh dari semua pasar malam yang ada di Wilayah Persekutuan ini.
"Itulah sahaja harapan saya kepada semua peniaga di sini. Tolonglah jaga kawasan masing-masing supaya bersih dan kemas," pintanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment