Saturday, June 30, 2018

KHAIRY SESUAI DILANTIK KETUA PENERANGAN UMNO YANG BAHARU



KUALA LUMPUR: Bekas menteri belia dan sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar akur dengan kekalahan dalam merebut jawatan presiden Umno.

Melalui kenyataan di Twitter, Khairy mengucapkan tahniah kepada presiden Umno yang baru Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Tengku Razaleigh yang turut serta sebagai "negarawan".

"Saya terima keputusan ini dengan hati yang terbuka. InsyaAllah barisan kepimpinan Umno yang baharu boleh kembalikan keyakinan rakyat kepada parti kita.

"Lakukanlah perubahan yang total. Buktikan Umno mampu berubah ke arah yang lebih baik," katanya.

Dalam kiriman yang lain, Khairy menambah dia akan terus berkhidmat sebagai anggota parlimen Rembau dan timbalan ketua bahagian bagi mengukuhkan parti dan memenangi hati rakyat.

Terdahulu, berdasarkan kutipan undi yang disiarkan Twitter rasmi pemilihan Umno, Khairy dilihat memberi cabaran sengit kepada Ahmad Zahid, malah pada satu tahap mendahului anggota parlimen Bagan Datuk itu.

Namun, Ahmad Zahid akhirnya diumumkan sebagai presiden Umno ketujuh bagi penggal 2018-2021.

Ulasan saya, Khairy lebih layak jadi ketua penerangan Umno yang baharu di bawah kepimpinan Zahid Hamidi. Beliau yang petah berhujah wajar diberi peluang menjelajah ke seluruh negara menghuraikan reformasi yang bakal dilakukan Zahid Hamidi.

Friday, June 29, 2018

KEPUTUSAN PEMILIHAN PRESIDEN UMNO AKAN TENTUKAN PERJALANAN SEJARAH MASA DEPAN

oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek 
(ahli majlis tertinggi Umno dan bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani)

Tun Dr Mahathir Mohamad lawan Tengku Razaleigh Hamzah pada tahun 1987 untuk merebut jawatan Presiden Umno merupakan pertandingan paling sengit yang pernah diingati.

Team A lawan Team B. Team A menang, Team B kalah tipis.

Kisah yang berlaku hampir 30 tahun dahulu sudah menjadi seperti riwayat. Penceritaannya berliku-liku. Ada fakta. Ada separa fakta. Bergantung dari sudut mana ia dilihat. Bergantung siapa yang menceritakannya.

Perjalanan sejarah dilihat ada jalurnya sendiri. Namun tidak ramai yang menyedari jalur ini terbina kerana langkah-langkah kritikal yang berlaku ketika itu.

Misalnya, sehingga sekarang umum tak mengetahui, kenapa Datuk Seri Najib Razak dilihat menyeberang sempadan. Dari orang yg dikenali sebagai orang Ku Li, anak didik Ku Li ketika itu, hanya di saat akhir sebelum pengundian, Najib mengisytiharkan sokongannya kepada Dr Mahathir.

Keputusan akhir – Ku Li kalah 43 undi.

Jumlah perwakilan tak sampai 3,000 orang. Ketika itu satu Bahagian Umno diwakili 11 orang. Kalau dua Bahagian menyeberang sempadan, sudah tentu keputusan berbeza.

Sebagai Ketua Pergerakan Pemuda Umno dan Ketua Perhubungan Umno Negeri Pahang ketika itu, sudah tentu Najib mampu membawa lebih dari dua bahagian berpaling menyokong Dr Mahathir.

Sejarah berbeza dan jalur perjalanan politik Umno berbeza. Tanpa langkah Najib, mungkin Dr Mahathir kalah dan Ku Li jadi Perdana Menteri. Sudah tentu corak dan lanskap politik negara juga berbeza.

Umum mengetahui dalam politik, kita tidak boleh terlalu mengharap orang berterima kasih atau mengenang budi di masa depan. Ketika ini, Dr Mahathir tidak perlu menoleh kebelakang untuk berterima kasih kepada Najib kerana tanpa Najib, beliau mungkin kalah ketika itu dan tidak terus menjadi Perdana Menteri.

Itu sebahagian dari jalur sejarah untuk beliau menjadi Perdana Menteri ke-7. Lagi pun Dr Mahathir sudah pun membalas budi Najib dengan pelbagai cara selepas itu. Maka haknya juga untuk menghukum Najib pada hari ini sekiranya Najib berbuat sesuatu yang beliau tidak senangi.

Namun kalau Dr Mahathir menyatakan kekesalannya menjatuhkan Tun Abdullah Ahmad Badawi dan menaikkan Najib selepas itu, sudah tentu Najib pula berhak menyatakan kekesalannya menjatuhkan Ku Li dan menyokong Dr Mahathir 29 tahun dulu.

Ia penting, kerana hanya di tahun 2018 ini kita melihat pertandingan merebut jawatan Presiden Umno dipertandingkan kembali. Entah dirancang, entah kebetulan. Nama Ku Li muncul lagi.

Bagi Ku Li, jangan dilihat pertandingan ini untuk beliau melawan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi atau Khairy Jamaluddin. Ia adalah pertandingan di mana Ku Li ingin mengepalai Umno melawan Dr Mahathir lagi.

Mungkin ini langkah terakhir Ku Li dalam kehidupan politiknya. Menang kalah adalah adat. Namun ini peluang terakhir untuk beliau menunjukkan keupayaan menentang Dr Mahathir sekali lagi. Ada yang menganggap untuk temukan buku dan ruas ialah perlawanan kembali Dr Mahathir-Ku Li versi 2.0. Mereka sama berpengalaman, sama veteran dan sama berumur.

Dalam sejarah ramai melihat cara Dr Mahathir mengendalikan musuh politiknya. Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah merasanya, Zahid pernah merasanya, Lim Kit Siang pernah merasanya, Lim Guan Eng pernah merasanya. Kini Najib dan Umno sedang merasainya.

Jalur sejarah berlaku kerana perjalanan masa. Keputusan kita hari ini walaupun kecil tetapi ia mungkin amat kritikal menentukan perjalanan sejarah di masa depan.

Thursday, June 28, 2018

JANGAN BUAT SPEKULASI TERHADAP SIASATAN 1MDB


KUALA NERUS, 28 Jun (Bernama) -- Bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman menasihatkan semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi terhadap siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang turut melibatkan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad Razif yang juga ADUN Seberang Takir berkata siasatan harus diserahkan sepenuhnya kepada SPRM atau badan siasatan bebas lain yang berkaitan sebelum menuduh individu tertentu bertanggungjawab terhadap skandal yang berlaku kepada syarikat pelaburan strategik itu.

"Saya percaya dan yakin syarikat 1MDB ditubuhkan untuk membuat pelaburan dan sudah tentu setiap pelaburan ada untung dan rugi.. yang penting kita jangan buat keputusan awal sebelum dapat bukti siasatan yang dijalankan oleh SPRM dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

"Jika ada pihak yang bersalah kita serah pada SPRM untuk diberikan hukuman cuma kita jangan malukan orang-orang tertentu tanpa tahu cerita sebenarnya," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri DUN Seberang Takir di Dataran Permata di sini hari ini.

Turut hadir, isteri, Toh Puan Seri Harlina Zakaria, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri, Tuan Faizah Abdul Rahman.

Wednesday, June 27, 2018

POLITIK BERBALAH TIDAK UNTUNGKAN RAKYAT



KUALA NERUS – Politik berseteru dan berbalah serta tidak bertegur sapa tidak menyelesaikan masalah dan tidak membawa negeri keadaan yang lebih baik.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan baharu pimpinan PAS Terengganu mahu membawa rakyat kepada keadaan yang lebih baik samaada pembangunan dan kesejahteraan serta hubungan diantara masyarakat.

“Supaya kita dapat hidup dalam keadaan bahagia, senang, selamat, maju, berkat dan sejahtera,

“Kejayaan suatu negeri dan negara akan dapat dicapai sekiranya semua pihak pemimpin kerajaan dan rakyat bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis sambutan Hari Raya Peringkat Daerah Kuala Nerus di Stadium Tertutup Selasa lalu.

Katanya, melaksanakan kerja-kerja membangunkan negeri bukan sepenuhnya kerja kerajaan tetapi adalah tanggungjawab semua kerana yang memilih kerajaan adalah rakyat.

“Tidak ada satu-satu mana-mana kerajaan yang mengatakan mereka betul dan saya sendiri tak boleh mengatakan saya betul,

“Menteri Besar, Exco kerajaan, wakil rakyat tidak boleh buat apa –apa tanpa kerjasama dan restu daripada rakyat,” ujarnya.

Beliau menekankan kerajaan negeri akan laksanakan program sumbang saran dan perbincangan supaya maklumat dapat disampaikan daripada ‘bawah ke atas’.

Kata beliau, cadangan daripada orang bawahan akan membentuk suasana harmoni kepada negeri dan negara.

Tuesday, June 26, 2018

90 ANGGOTA PARLIMEN BAHARU TERBANYAK DALAM SEJARAH PARLIMEN MALAYSIA

KUALA LUMPUR, 26 Jun (Bernama) -- Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen Keempat Belas yang bermula 16 Julai ini bakal menyaksikan penampilan julung kali 90 Anggota Parlimen (MP) baharu.

Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Rosmee Hamzah berkata jumlah tersebut adalah yang terbanyak dalam sejarah Parlimen Malaysia.

"Ini merupakan 'Hari Ini Dalam Sejarah'. Landskap Parlimen pada kali ini amat berbeza kerana kita dapat menyaksikan ada (anggota Parlimen) yang senior dan yang sangat-sangat muda seperti Yang Berhormat P. Prabakaran (Anggota Parlimen Batu) yang masih merupakan seorang pelajar," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Taklimat Ahli-Ahli Dewan Rakyat Parlimen ke-14, di Dewan Rakyat hari ini.

Justeru, katanya sesi taklimat pada hari ini amat penting untuk anggota-anggota yang berhormat terutama yang baharu untuk memahami peraturan Dewan Rakyat khususnya seperti sesi pertanyaan jawab lisan dan bagaimana satu-satu rang undang-undang itu dikemukakan.

Dalam pada itu, katanya, sidang Parlimen ke-14 selama 20 hari itu juga akan menyaksikan kemunculan semula 11 anggota Parlimen yang dahulunya juga pernah berkhidmat sebagai MP manakala 121 lagi MP sidang Parlimen ke-13 sebelum ini yang berjaya dipilih semula pada Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei lepas.

Rosmee juga berkata pada taklimat hari ini anggota-anggota Parlimen turut diterangkan tentang persiapan hari pertama persidangan pada 16 Julai ini yang akan menyaksikan pemilihan dan pemahsyuran Yang Dipertua Dewan Rakyat, dan diikuti dengan upacara angkat sumpah 222 anggota Parlimen.

Sementara itu ketika ditanya berhubung calon Yang Dipertua Dewan Rakyat, beliau berkata setakat ini pihaknya belum menerima usul daripada pihak kerajaan dan usul pencalonan jawatan itu mesti dikemukakan dalam tempoh 14 hari sebelum Parlimen mula bersidang atau selewat-lewatnya Isnin depan.

Katanya susunan tempat duduk anggota Parlimen di dalam Dewan juga hanya akan ditentukan selepas pelantikan kesemua menteri Kabinet dan timbalan menteri yang dijadualkan berlangsung Isnin depan.

"Selepas itu kita boleh mengatur tempat duduk lain seperti susunan kekananan penyokong kerajaan dan juga susunan pihak pembangkang di sebelah kiri," katanya.

Beliau turut menambah anggota Parlimen perlu mengemukakan soalan bagi sesi pertanyaan jawab lisan selewat-lewatnya 29 Jun ini.

-- BERNAMA

Monday, June 25, 2018

BARISAN CALON CALON AHLI JAWATANKUASA UMNO BAHAGIAN KEMAMAN DARI "KEMAMAN BERUBAH"








KEMAMAN: Biarpun kumpulan Kemaman Berubah kalah dalam pertandingan sayap Sabtu lalu, mereka tidak berputus asa untuk menumbangkan penyandang pada pemilihan Umno Bahagian Kemaman Sabtu ini.

Kemaman Berubah diketuai Mat Dalam Awang (ketua bahagian - calon nombor 02) diikuti Ahmad Mizani Mohd (naib ketua- calon nombor 02), Datuk Mohamad Awang Tera (pengerusi tetap- calon nombor 04 ) dan Sazali Idris (timbalan pengerusi tetap - calon nombor 03)

Di antara yang menawarkan diri sebagai calon ahli jawatankuasa bahagian ialah Che Ku Maznah Engku Awang (nombor 11), Mohd Satti Said (nombor 11), Ismail Omar (nombor 23), Mohamad Ismail (nombor 24), Tuan Nazam Tuan Sidek (nombor 25), Kamaruddin Ali (nombor 26),  Dr Mohd Zaki Salleh (nombor 27), Yusoff Mohamad (nombor 28), Zakaria Noor (nombor 29), Mamat Jusoh (nombor 30), Che Wan Azlan Che Wan Abd Ghani (nombor 31), Rahman Mainun (nombor 33), Osman Awang (nombor 37)  dan Othman Awang (nombor 39).

Sunday, June 24, 2018

KU LI MAHU SEPENGGAL SAHAJA JADI PRESIDEN UMNO










KOTA BHARU 24 Jun - Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah hanya berhasrat memimpin parti itu selama tiga tahun atau satu penggal.


Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, dalam tempoh itu, beliau berazam berusaha sebaik mungkin memulihkan kekuatan parti dari dalam dan meraih keyakinan rakyat.


Menurutnya, selepas tamat tempoh tersebut, beliau akan berundur secara sukarela dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada individu lebih muda.

“Beri masa tiga tahun kepada saya, supaya UMNO boleh pulih, bergerak semula dan merampas balik kuasa. Ini bukan kerja mudah, tidak boleh main-main, namun saya akan cuba.

“Saya tidak boleh kata berjaya atau tidak (pulihkan UMNO) dalam tempoh tiga tahun itu. Kalau sambutan baik, mungkin lebih awal (bangkit), kalau tidak mungkin lebih panjang tapi saya hanya nak tawar diri tiga tahun sahaja.

“Selepas itu, giliran orang muda pula,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra Bersama Tengku Razaleigh Hamzah di sini malam ini.

Tengku Razaleigh dalam pada itu mengakui, usaha memulihkan UMNO bukan kerja mudah dan parti itu tidak boleh bersendirian, sebaliknya mungkin perlu bekerjasama dengan parti Melayu lain untuk mencapai matlamat itu.

“Cuma sekarang ini kita tidak boleh cakap dulu macam mana, kena tengok sejauh mana kekuatan parti dulu selepas ini,” katanya.


Saturday, June 23, 2018

PENIPUAN DI UMNO KEMAMAN BERLAKU SEJAK BERTAHUN TAHUN LALU






KEMAMAN: Beberapa calon dan ahli UMNO Bahagian Kemaman mendakwa terdapat ketidaktelusan serta penipuan dalam proses pengundian bagi pemilihan Ketua Pemuda dan Wanita bahagian berkenaan hari ini.

Menurut mereka, ada dalam kalangan perwakilan yang bukan hanya membuat undian untuk diri sendiri malah menandakan lebih daripada satu kertas undian.

Calon Ketua Pemuda, Mohd Zammil Mohd Zuslaini, mendakwa beliau mempunyai bukti gambar dan video mengenai 'penipuan' itu.

"Selain ada individu menandakan banyak kertas undian, terdapat juga orang yang menyuruh dan mempengaruhi perwakilan mengundi calon tertentu ketika proses pengundian sedang berlangsung.

"Saya terima seandainya tewas dengan cara jujur tetapi perkara sebegini amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Sementara itu, calon Ketua UMNO bahagian sama, Mat Dalam Awang, mendakwa penipuan seperti itu berlaku sejak bertahun-tahun lalu.

"Tapi dulu, kita tak mahu UMNO berpecah-belah dan kerana itu mendiamkan penipuan yang berlaku tetapi sekarang, situasinya sudah berbeza dan sepatutnya perbuatan sebegini tidak lagi berlaku dalam keadaan UMNO dalam keadaan rapuh," katanya.

Menurutnya lagi, seandainya perkara seumpama itu tidak dibendung, tidak mustahil lebih ramai ahli di peringkat cawangan bertindak keluar parti.

"Saya juga berharap biarlah proses pengundian pemilihan Ketua UMNO bahagian minggu depan dikendalikan 100 peratus oleh badan perhubungan negeri dan wakil majlis tertinggi.

"Jika perkara sebegini berlaku dalam pemilihan pemuda dan wanita, tidak mustahil perkara serupa turut berlaku dalam pemilihan ketua UMNO Bahagian Kemaman," kata Ketua UMNO Cawangan Bukit Mentok itu.

Ditanya mengapa bantahan tidak dilakukan ketika proses pengundian sedang berlaku, beliau berkata ia bagi mengelak kekecohan di tempat berkenaan.

Dalam pertandingan semalam, semua calon Kemaman Berubah kalah  kepada kumpulan penyandang di mana bagi calon ketua pemuda, Hashim Ali menang dengan majoriti 122 undi. Hashim mendapat 160 undi manakala Mohd Zammil mendapat 48 undi.

Bagi jawatan ketua wanita, Hajah Rosmiza Mokhtar menang dengan majoriti 346 undi di mana Hajah  Rosmiza mendapat 376 undi manakala Norzamziah mendapat 30 undi.

Bagi jawatan ketua puteri, Hafizah Zakaria menang dengan majoriti 115 undi. Hafizah memungut 162 undi manakala Tuan Noraishah mendapat 47 undi.


Friday, June 22, 2018

DUA TAHUN BERSARA NOR SHAMSIAH KEMBALI KE BANK NEGARA



KUALA LUMPUR: Gabenor Bank Negara (BNM) yang baru, Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata masih terlalu awal baginya untuk bercakap mengenai keutamaan yang harus dilakukan selepas dilantik mengetuai bank pusat itu.

"Saya dan tinggalkan (BNM) hampir dua tahun. Saya perlu kembali dan mulakan tanggungjawab saya pada bulan Julai dan berbincang dengan kakitangan mengenai keadaan semasa dan apakah keutamaan untuk bergerak ke hadapan," katanya dalam satu sidang akhbar di Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Nor Shamsiah menjawab soalan wartawan mengenai keutamaannya beliau selaku gabenor baru pada masa ini.

Mengucapkan terima kasih kerana dilantik ke jawatan itu, Shamsiah berkata beliau menerima pelantikan itu dengan penuh rasa hormat dan tanggungjawab.

"Saya akan berusaha menjalankan tugas sebagai gabenor Bank Negara dengan sebaik mungkin, bersama pasukan sekarang.

"Bank Negara akan terus menumpukan bagi menyampaikan mandat untuk mengekalkan kestabilan kewangan dan monetari demi kepentingan negara," katanya.

Terdahulu dalam sidang media yang sama, Menteri Kewangan Lim Guan Eng secara rasmi mengumumkan pelantikan Shamsiah sebagai gabenor baru.

Nor Shamsiah pertama kali menyertai bank pusat pada 1987 dan menjadi timbalan gabenor pada tahun 2010.

Beliau meninggalkan Bank Negara pada November 2016 selepas tamat perkhidmatan.

"Sebagai timbalan gabenor, Nor Shamsiah bertanggungjawab dalam perbankan, penyeliaan insurans dan takaful, perisikan kewangan dan penguatkuasaan, pengurusan bakat, kewangan dan perkhidmatan bersama bank pusat," kata Lim.

Wednesday, June 20, 2018

BEKAS PENGARAH HUTAN DIPENJARA 36 BULAN KERANA RASUAH

KUALA TERENGGANU, 20 Jun (Bernama) -- Bekas Pengarah Jabatan Perhutanan Terengganu Datuk Azmi Nordin hari ini dijatuhi hukuman penjara 36 bulan dan denda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas didapati bersalah atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM60,000 pada 2013.

Hakim Mohamad Haldar Abdul Aziz turut memerintahkan Azmi, 59, yang kini bertugas sebagai pegawai perhutanan di ibu pejabat di Kuala Lumpur, dipenjara 18 bulan lagi jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh membayar denda itu.

Tertuduh dijatuhi hukuman penjara 12 bulan bagi setiap pertuduhan menjadikan jumlahnya 36 bulan, bagaimanapun hanya perlu menjalani hukuman penjara 12 bulan selepas hakim memerintahkan hukuman penjara itu berjalan serentak.

Bagi pertuduhan pertama, pada 3 Mac 2013 Azmi didakwa menerima suapan RM30,000 melalui akaun Malayan Banking Berhad milik Azhar Nordin daripada kontraktor balak Yew Keong Fah untuk memperoleh kelulusan membalak di Kompartmen 36b dan 40a, Hutan Simpan Hulu Terengganu, Mukim Tersat

Tuesday, June 19, 2018

PERWAKILAN KEMAMAN PERLU BERANI BUAT PERUBAHAN




KEMAMAN: Perwakilan Umno Bahagian Kemaman perlu berani buat perubahan jika  mahu lihat BN kembali memerintah Terengganu pada PRU 2023.

Menurut calon ketua bahagian dari pasukan "Kemaman Berubah", Mat Dalam Awang, BN kalah tiga kerusi dalam PRU bulan lepas kerana pengundi muak dengan kepimpinan Umno yang ada.

"Pada PRU 2013, hanya DUN Chukai yang kalah tetapi bulan lepas tiga DUN kalah. Ini menunjukkan ahli-ahli Umno bosan dengan barisan kepimpinan Umno yang tidak berubah," katanya ketika berucap menemui para perwakilan 10 cawangan dalam DUN Air Putih di Cheneh malam tadi.

Katanya, itu pun Datuk Seri Ahmad Said menang di DUN Kijal kerana undi orang Mymmar di Seri Bandi sedangkan di kampungnya sendiri, Teluk Kalong, beliau kalah.

Beliau mengajak semua perwakilan mengundi calon-calon " Kemaman Berubah" kerana menurutnya jika semua pemimpin yang ada dikekalkan prestasi Umno Bahagian Kemaman akan semakin layu dan tidak bermaya.

Turut serta dalam road show tersebut ialah calon ketua wanita, Norzamziah Afzainizam, calon ketua puteri, Tuan Noraishah Tuan Puteh dan calon ketua pemuda, Mohd Zammil Mohd Zuslaini.

Monday, June 18, 2018

ANAK BEKAS EXCO MAUT KEMALANGAN JALAN RAYA

KUALA TERENGGANU, 18 Jun (Bernama) -- Anak lelaki bongsu bekas anggota exco kerajan negeri Terengganu, Datuk Mohd Jidin Shafie, maut selepas motosikal Yamaha Y15ZR yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 petang itu, mangsa, Muhammad Izzat Husaini, 17, dilaporkan mengalami kecederaan parah pada anggota badan dan meninggal dunia ketika menerima rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).

Bagaimanapun, keadaan pemandu kereta itu belum diketahui.

Bapa mangsa, Mohd Jidin, ketika ditemui di Jabatan Forensik HSNZ, berkata anak bongsunya itu keluar dari rumah mereka di Kampung Losong di sini pada jam 2 petang untuk beraya di rumah rakannya di Chendering.

"Saya dimaklumkan kemalangan berlaku ketika Izzat dalam perjalanan pulang ke rumah pada kira-kira 5 petang tadi. Saya menerima kehilangan anak bongsu saya pada Syawal keempat sebagai takdir dan redha dengan pemergiannya," kata bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri itu

Sunday, June 17, 2018

HENTIKAN BERI SURAT SOKONGAN KEPADA PENIAGA

MUAR, 17 Jun (Bernama) -- Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hari ini mahu penggunaan surat sokongan (untuk urusan perniagaan) daripada kerajaan diperhalusi dan sekiranya boleh, terus dihentikan bagi membendung salah guna kuasa dalam kalangan parti serta kakitangan kerajaan.

Serentak itu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut meminta penjawat awam agar lebih berani untuk tidak menerima atau membuat sebarang sokongan yang melanggar perundangan.

"PM (Perdana Menteri) dah katakan kalau ada elemen salah guna kuasa atau perkara tersebut bertindih dengan undang-undang sedia ada, penjawat awam kena berani bersuara."

"Jangan terima perkara ini, kerana salah tetap salah, tambahan penjawat awam merupakan benteng kerajaan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas dakwaan berlaku skandal bazar Ramadan di Kuala Lumpur baru-baru ini yang melibatkan pemimpin Pemuda PPBM.

Dalam skandal itu, pemimpin terbabit didakwa menyalahgunakan pengaruh politiknya bagi mendapatkan 80 tapak bazar Ramadan di Jalan Masjid India dan menyewakannya semula sehingga RM5,000 untuk satu lot bagi mengaut keuntungan keseluruhan kira-kira RM400,000.

Menurut Syed Saddiq beliau dimaklumkan kejadian itu berhubung kait dengan budaya surat sokongan dan oleh itu laporan polis telah dibuat oleh Biro Integriti Pemuda PPBM bagi memastikan siasatan secara mendalam dijalankan.

Ini seiring dengan ketegasan kerajaan baharu Pakatan Harapan untuk menghapuskan gejala rasuah dan penyelewengan kuasa di peringkat parti dan kerajaan.

"Kita hendak ia disiasat sampai ke lubang cacing. Kalau ada elemen penyelewengan dan salah guna kuasa, kita tidak akan mmpertahankan mereka yang berada di pihak yang salah," katanya.

-- BERNAMA

KERAJAAN TERPAKSA CATU PERUNTUKAN ADUN PAS

KUALA TERENGGANU, 17 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri terpaksa melaksanakan catuan kewangan dengan memberi keutamaan kepada Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS kerana mereka tidak mendapat peruntukan yang sepatutnya ketika menjadi pembangkang sebelum ini.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pada pembentangan bajet 2018 pada Oktober tahun lalu, kerajaan Barisan Nasional (BN) yang memerintah sebelum ini telah meluluskan peruntukan RM4 juta untuk setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Bagaimanapun, peruntukan tersebut telah habis dibelanjakan dalam tempoh tidak sampai setengah tahun iaitu sehingga April tahun ini.

"Dalam kerajaan lepas ada dibentangkan untuk setiap DUN, kalau tidak silap saya setiap DUN dirangkakan peruntukan sebanyak RM4 juta yang sepatutnya dibelanjakan untuk tempoh setahun iaitu Januari hingga Disember 20I8."

"Bagaimanapun apa yang berlaku bila kami ambil alih kerajaan pada bulan lima (Mei), kami tengok akaun setiap wakil rakyat BN sebelum ini...saya terpaksa sebut secara terus terang kerana wang yang sepatutnya dibelanjakan dari Januari hingga Disember telah habis dalam bulan empat (April) iaitu waktu pilihan raya."

"Maka bila kami ambil alih terpaksa dibuat catuan dengan memberi keutamaan kepada kawasan pembangkang sebelum ini (PAS) yang sebelum ini tak dapat apa-apa untuk rakyat di kawasan itu," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Ramah Mesra Bersama Anak- Anak Terengganu di Perantauan di Dewan Konvensyen Duyong Marina & Resort semalam yang turut dihadiri Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Friday, June 15, 2018

TUAN TUAN PANGKAH PH, LUPUT TERUS GST

Putrajaya, 15 Jun (Bernama) -- Kerajaan Pakatan Harapan akan terus berusaha menunaikan janji-janji manifestonya, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata sebagai permulaan, pelaksanaan kadar sifar cukai barangan dan perkhidmatan (GST) setelah Pakatan Harapan (PH) memenangi pilihan raya umum 9 Mei lepas telah membolehkan rakyat menikmati kehidupan yang lebih baik.

"Sebab itu kami ingin ucap terima kasih kepada tuan-tuan yang undi PH. Insya-Allah kami akan tunaikan janji. "Yang pertama ialah menghapuskan GST. Tuan-tuan dan puan-puan pangkah sahaja, luput undang-undang zalim. Kali ini kita akan nikmati cara hidup yang lebih selesa," katanya ketika berucap di hadapan tetamu pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya di Seri Perdana di sini, hari ini.

Pemansuhan GST adalah antara manifesto pilihan raya PH dan ia mula dilaksanakan dengan kadar sifar GST sebagai langkah awal penghapusannya sejak 1 Jun lepas.

Dr Mahathir turut mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang berkunjung ke majlis rumah terbuka itu.

Pada masa sama, perdana menteri turut meminta maaf kerana hanya sempat bersalam dengan kira-kira 55,000 tetamu sahaja serta meminta mereka yang tidak sempat bersalaman untuk datang lagi bagi giliran mereka tahun hadapan.

Sambil berseloroh beliau berkata, "Saya takut tangan saya lekang (tercabut) tadi. Alhamdulillah masih boleh bersalam.

"TPM (timbalan perdana menteri) akan bersalam menggantikan saya. Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam dan bukan Islam. Hari ini hari kemenangan kerana tuan-tuan dan puan-puan." Seramai 80,000 tetamu telah berkunjung ke majlis itu, yang juga kali pertama diadakan bagi kerajaan pimpinan PH.

-- BERNAMA

Wednesday, June 13, 2018

GERAKAN IBARAT BIAWAK HIDUP

IPOH: UMNO Perak menyifatkan tindakan Timbalan Ketua Pemuda Gerakan, Andy Yong mendesak supaya mesyuarat majlis tertinggi diadakan bagi memutuskan status UMNO dalam komponen Barisan Nasional (BN) sebagai biadap dan tidak mengenang budi.

 Ketua Penerangannya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata ia seharusnya diberikan perhatian serius memandangkan kejayaan Gerakan terutama dalam memenangi kerusi pilihan raya sebelum ini banyak dibantu oleh UMNO.

Beliau berkata, Andy seharusnya lebih bersopan dan melihat semula kepada kekuatan Gerakan yang diketahui kurang mendapat tempat dikalangan masyarakat terutama kaum Cina.

"Gerakan ibarat biawak hidup di dalam BN yang terpaksa digendong oleh parti-parti lain terutamanya UMNO, dan hanya mengharapkan belas ihsan pihak lain untuk terus bernyawa.

"Kemenangan calon-calon Gerakan sebelum ini banyak dibantu oleh jentera pilihanraya UMNO dan pengundi Melayu yang menyokong BN, termasuklah semasa Presidennya Datuk Mah Siew Kiong menang dalam Pilihanraya Kecil Parlimen Teluk Intan pada 2014," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Khusairi berkata Gerakan juga tidak memainkan peranan yang baik terutama dalam membantu UMNO dan parti lain dalam komponen BN memenangi kerusi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14). "Sebaliknya kemenangan calon-calon BN yang lain, terutamanya dari parti UMNO langsung tidak membabitkan bantuan berkesan dari Gerakan yang amat lemah jentera pilihanrayanya. "Oleh itu para pemimpin Gerakan terutamanya kepimpinan pemudanya tidak layak untuk membuat kenyataan bagi menentukan masa depan BN, termasuk mahu mengusir UMNO dari komponen itu," katanya. Yong dalam satu kenyataan pada 12 Jun lalu menyifatkan, parti komponen BN tidak perlu meninggalkan gabungan itu sebaliknya satu mesyuarat khas perlu dibuat bagi mengkaji semula kedudukan UMNO yang dilihat terpalit dengan pelbagai isu termasuk politik wang

Tuesday, June 12, 2018

NAJIB SEPATUTNYA DITAHAN DI BAWAH AKTA SOSMA KATA KHAIRUDDIN




KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Biro Komunikasi Dan Mobilisasi Pakatan Harapan (PH) , Khairuddin Abu Hassan menyarankan  bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar duduk diam-diam serta jangan terlalu banyak buat kenyataan provokasi yang tidak mempunyai asas sama sekali.

Katanya, Kerajaan PH bukan jenis berdendam sambil mengatakan Tun Dr Mahathir Mohamad adalah tokoh negarawan yang tidak pernah ada perasaan dendam peribadi

"Apa saja tindakan undang-undang yang bakal diambil ke atas semua para pengkhianat negara mestilah berteraskan kepada keluhuran undang-undang sepertimana termaktub dalam perlembagaan Malaysia," katanya dalam posting Facebook beliau.

Tegasnya, bukan tiada asas kukuh untuk mendakwa Najib Tun Razak tetapi kini kerajaan tidak mahu dan tidak pernah berada di hadapan pihak penguatkuasa undang-undang

"Yang hendak siasat serta mendakwa Najib  adalah PDRM dan SPRM. Semua pihak kena menghormati segala gerak kerja PDRM dan SPRM untuk menyiasat dan seterusnya mendakwa Najib  kelak sekiranya terdapat unsur-unsur kekukuhan bukti salahlaku ke atas mantan Perdana Menteri.

Katanya lagi, sesiapa pun tidak boleh membuat ulasan kesalahan-kesalahan jenayah Najib Tun Razak secara melepasi pihak penguatkuasa undang-undang di tanahair kita

Dalam pada masa yang sama, ujarnya, Najib kena sabar sikit untuk tahu mengenai kedudukannya selepas ini

"Ini membuktikan kepada keseluruhan rakyat malaysia bahawa pengasingan kuasa di antara pihak eksekutif dengan bidang undang-undang begitu jelas kini," jelasnya.

Beliau mendakwa buat masa ini, kerajaan PH tidak bersikap seperti kerajaan kleptokrasi pada suatu masa dahulu

"Kerajaan kleptokrasi telah menyalahguna kuasa dan mencampuri hal ehwal pentadbiran pihak penguatkuasa undang-undang secara berleluasa dahulu," dakwanya lagi.

Tegasnya, penguatkuasa undang-undang telah dicengkam dan ditekan agar mengikut telunjuk kerajaan kleptokrasi

"Sebab itu saya yang telah buat laporan pada PDRM, SPRM, Bank Negara, Pejabat Peguam Negara serta beberapa penguatkuasa undang-undang di Singapura, Hong Kong, Peranchis, Switzerland, United Kingdom serta FBI telah ditangkap seterusnya dipenjarakan selama dua bulan bersama peguam yang berkhidmat pada pelanggannya," katanya.

Katanya lagi, situasi ini tidak pernah berlaku di dalam dunia yang bertamaddun tetapi terjadi di bumi Malaysia yang ketika itu dipimpin oleh mantan Perdana Menteri paling korup.

"Tolong sabar Najib Tun Razak!. Secara peribadi saya amat yakin bukan saja pihak penguatkuasa undang-undang di Malaysia saja yang bakal bertindak ke atasnya secara professional tetapi badan undang-undang di beberapa negara luar juga akan mendakwa beliau," katanya.

Ujarnya lagi, beliau mesti dihukum setimpal dengan segala pengkhianatannya pada bangsa dan negara. Tetapi malangnya  Najib masih hidup dalam keadaan penafian

"Sepatutnya pihak penguatkuasa undang-undang mesti tahan Najib dan semua kuncu-kuncunya yang terlibat dalam kes skandal 1MDB  di bawah Akta Sosma," cadang beliau.

Khairuddin berkata kalangan penyangak-penyangak dan pengkhianat ini telah mensabotaj ekonomi negara

"Kerana pengkhianatan mereka semua inilah yang menyebabkan keadaan sosial politik dan ekonomi negara sedang berada di ambang kemusnahan," tegasnya,

Sehubungan dengan itu beliau berkata kesalahan puak kleptokrat ini semua dalam isu kes skandal 1MDB tidak boleh dimaafkan sama sekali kerana mereka telah merompak khazanah kerajaan serta duit rakyat sejumlah puluhan bilion ringgit

"Rakyat malaysia sedang menanti dengan penuh sabar hari-hari kesemua penyangak ini bakal ditangkap dan didakwa secara telus serta seadil-adilnya," tambahnya.

Secara peribadi, beliau yang berjuang bersama semua para sahabat dalam PH nengenai kes skandal 1MDB  ini amat yakin bahawa Najib Tun Razak bersama kuncu-kuncunya akan tewas pada bidang kehakiman yang benar-benar telus di bawah pemerintahan kerajaan baru PH.

Monday, June 11, 2018

BERI BONUS RM1.8 JUTA BUKTI KERAJAAN PAS MAMPU LAKSANAKAN JANJI DALAM MANIFESTO

KUALA NERUS, 11 Jun (Bernama) -- Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1,824,500 sebagai bonus kepada 1,705 guru yang berkhidmat di Yayasan Islam Terengganu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pendidikan Terengganu serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.

Bonus itu juga dibayar kepada 1,944 guru kelas al-Quran kampung, kelas al-Quran dewasa, kelas berzanji, kelas agama belia dan kelas agama dewasa di negeri berkenaan.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pemberian bonus itu membuktikan kerajaan yang dipilih rakyat untuk memerintah Terengganu pada PRU14 lepas, mampu melaksanakan janji seperti terkandung dalam manifesto.

"Kita juga pada masa sama akan meneruskan program pembangunan dilaksanakan kerajaan terdahulu dan akan memperbaiki atau menambah baik dari semasa ke semasa supaya kebaikan dilaksanakan akan dapat dinikmati seluruh rakyat.

"Tidak timbul apabila kerajaan baharu mengambil alih kepimpinan negeri itu, maka mana-mana yang baik itu kita batalkan," katanya selepas majlis penyampaian bonus berkenaan di sini hari ini.

Sunday, June 10, 2018

MAS ERMIEYATI DIJANGKA REBUT KERUSI NAIB PRESIDEN UMNO



KUALA LUMPUR - Ketua Puteri Umno, Datuk Mas Ermieyati Samsudin akan mempertimbangkan semula untuk bertanding dalam pemilihan parti pada 30 Jun ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, keputusannya untuk bertanding jawatan itu hanya akan diputuskan pada 17 Jun ini.

"Semenjak saya mengumumkan untuk tidak bertanding, banyak rayuan dan desakan diterima terutama dalam kalangan Exco Puteri Umno, apa pun saya berharap ahli Umno semua peringkat dapat berkempen untuk calon pilihan mereka dengan berhemah.

"Senarai mereka bertanding pula wajar didedahkan secara terbuka memandangkan sekarang ini permohonan menjadi calon pemilihan Umno dibuat melalui atas talian dan tidak dapat diakses oleh semua ahli Umno," katanya selepas Mesyuarat Exco Puteri Umno di Menara Onn, petang tadi.

Jika benar Mas Ermieyati akan bertanding jawatan Naib Presiden Umno, maka pertandingan Naib Presiden Umno semakin rancak. Sehingga kini tujuh orang calon sudah mengesahkan bertanding jawatan tersebut iaitu Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Ismail Sabry Yaacob, Datuk Seri Tajuddin Rahman, Datuk Seri Ahmad Said, Datuk Seri Johari Ghani dan Datuk Seri Khaled Nordin.







Saturday, June 9, 2018

ANUAR MUSA SEPATUTNYA LAWAN ZAHID HAMIDI

KUALA LUMPUR: Bekas Pengerusi MARA, Tan Sri Anuar Musa tersilap percaturan. Sepatutnya beliau yang bertandingjawatan  Presiden Umno menentang bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan bukannya  bertanding jawatan timbalan presiden.

Hari ini ahli parlimen Ketereh itu mengumumkan bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno menentang bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Anuar Musa ketika menjadi Menteri Pembangunan Luar Bandar pernah menentang Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi jawatan ketua pemuda pada tahun 1996. Ketika itu mereka berdua menentang ketua pemuda, Tan Sri Rahim Tamby Chik yang turut disertai bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Isa Samad.

Zahid menang dalam pertandingan empat penjuru tersebut. Ini bermakna Anuar Musa adalah seangkatan dengan Zahid dan sewajarlah beliau yang merebut jawatan Presiden Umno.

Pada tahun 1990, selepas PAS menawan Kelantan, Anuar Musa berpengalaman membangunkan semula Umno Kelantan yang lumpuh selepas Tengku Razaleigh Hamzah menyertai Parti Semangat 46. Maka sewajarlah Anuar Musa yang menentang Zahid Hamidi kerana Ku Li pun masih belum keputusan untuk merebut jawatan Presiden Umno.

Friday, June 8, 2018

TUJUH CALON REBUT TIGA KERUSI NAIB PRESIDEN UMNO







KUALA LUMPUR: Tujuh orang sudah umumkan tanding Naib Presiden Umno. Mereka ialah Khairy Jamaluddin (Negeri Sembilan), Datuk Seri Tajuddin Rahman (Perak), Datuk Seri Mahdzir Khalid (Kedah),  Datuk Seri Johari Ghani (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Khaled Nordin (Johor), Datuk Seri Ismail Sabry Yaacob (Pahang) dan Datuk Seri Ahmad Said (Terengganu).

Pertandingan 30 Jun ini amat menarik kerana disertai empat orang bekas menteri, satu orang bekas timbalan menteri dan dua orang bekas menteri besar.

Di antara tujuh calon itu empat orang adalah ahli parlimen,seorang ADUN dan dua orang lagi kalah dalam PRU baru-baru ini.

Tidak dapat dipastikan siapa tiga orang calon Naib Presiden yang akan jadi pilihan para perwakilan tersebut. Adakah mereka akan mengundi ikut semangat kenegerian?

Adakah mereka dinilai berdasarkan kementerian yang pernah mereka pegang? Adakah Khairy, Mahdzir dan Ismail Sabry yang jadi pilihan?

Atau adakah mereka perlu tokoh kontroversi seperti Ahmad Said untuk berhadapan dengan pemimpin Pakatan Harapan? Ahmad Said ketika menjadi MB pernah dilantik sebagai ahli majlis tertinggi Umno maka beliau yang sudah meninggalkan MKT sejak tahun 2014 mampukah diterima perwakilan sebagai Naib Presiden Umno yang baharu?

Oleh itu perwakilan bebas memilih pemimpin dari tujuh orang ini yang mampu berhadapan dengan Pakatan Harapan pada PRU akan datang.

Thursday, June 7, 2018

KERAJAAN PERSEKUTUAN SETUJU ROYALTI MINYAK TERUS KEPADA NEGERI

PUTRAJAYA, 7 Jun (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan setuju menyalurkan royalti minyak sekurang-kurangnya lima peratus terus kepada negeri pengeluar minyak, kata Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Kewangan Negara 2018 yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Menurutnya, Dr Mahathir memaklumkan negeri-negeri berkaitan termasuk Terengganu akan menerima wang royalti minyak terus kepada kerajaan negeri.

"Ia dipersetujui secara prinsip. Quantum akan dibincang selepas ini. Yang penting (wang royalti) terus kepada kerajaan negeri.

"Ini janji kerajaan Persekutuan. Seluruh rakyat Teregganu mengucapkan terima kasih atas komitmen kerajaan pusat menyalurkan royalti secara terus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat itu.

Wednesday, June 6, 2018

DAH BUBAR SPAD TAK PERLU TUBUH APAD



PUTRAJAYA 6 Jun - Sebuah entiti baharu yang dikenali sebagai Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) akan diwujudkan bagi menggantikan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).


Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, langkah tersebut merupakan antara pelan penstrukturan semula suruhanjaya tersebut bagi mengurangkan kos dan memastikan tiada pertindihan tugas dengan jabatan lain terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).


"Dari segi penguatkuasaan serta pengeluaran lesen dan permit akan dikendalikan oleh JPJ sepenuhnya, selepas pelaksanaan penstrukturan semula ini tiada lagi kaunter berasingan hanya ada satu kaunter iaitu kaunter JPJ di semua tempat.

"Peranan SPAD pula dari segi perancangan dan pembangunan sektor awam darat akan dikekalkan," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Menurut Anthony, fungsi APAD ialah merancang dan melihat pada sektor pembangunan awam darat seperti perkhidmatan transit aliran ringan (LRT), rel, bas dan sebagainya

Ulasan saya, mesyuarat kabinet yang pertama kerajaan PH telah mengumumkan pembubaran SPAD. Maka semua staf SPAD akan diserapkan ke dalam JPJ. Hari ini Anthony Loke mengumumkan penubuhan APAD pula. Lucu juga Anthony ini.

Dah bubar SPAD tak perlulah tubuh APAD kerana ia akan melibatkan kos kerajaan pula. Sebab itu sebelum bubar SPAD fikir masak masak. Apa salahnya SPAD ditukar nama kepada APAD. Ini dah bubar SPAD tiba tiba nak tubuh APAD pula. Kan cerdik namanya itu.  Ini macam punya menteri pun ada.


Tuesday, June 5, 2018

SYED SADDIQ TAK TAHU SEJARAH PEMUDA UMNO



SHAH ALAM - Umno seolah-olah ketandusan tokoh anak muda apabila Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang berumur 48 tahun menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda parti itu.

Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sepatutnya pemimpin muda perlu berusia 35 tahun ke bawah mengikut Dasar Belia Malaysia yang dirangka bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.


“Parti-parti politik lain kalau boleh pemimpin mudanya biarlah bawah 35 tahun. Tetapi kalau Umno susah sangat, sekurang-kurangnya bawah 40 tahun.

“Kalau sampai Jamal Yunos umur 48 tahun pun nak bertanding Ketua Pemuda Umno, saya tak tahulah dunia mana yang kira 48 tahun ini anak muda? Memalukan Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Menurut beliau, satu budaya politik sihat perlu diwujudkan di mana semua parti politik berlumba-lumba untuk mengangkat suara anak muda.

“Saya rasa ada ramai pemimpin muda dalam Umno, cuma tak diberi ruang. Kalau ada tokoh anak muda dari Umno, kita di Bersatu akan berlumba-lumba untuk pastikan wakil anak muda dalam parti diperkasakan, Pas pun begitu.

“Apabila suara anak muda diangkat, kita semua akan berjaya bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Syed Saddiq secara peribadi berpandangan Exco Pemuda Umno, Shahril Hamdan layak memegang jawatan Ketua Pemuda Umno.

“Saya agak bias kepada Shahril kerana beliau merupakan rakan saya sebelum ini. Beliau juga pernah berdebat dan berdialog dengan saya.

“Saya rasa itu salah satu ciri kepimpinan yang ada pada beliau. Tetapi bukan niat saya untuk ‘endorse’ beliau berbanding calon lain,” katanya.

Selain Jamal, tiga calon lain yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno ialah Khairul Azwan Harun, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Syed Rosli Jamalullail.

Kesemua mereka berumur atas 40 tahun.

Ulasan saya, nampaknya Syed Saddiq yang kononnya ahli parlimen PH yang termuda tak tahu sejarah pemuda Umno Malaysia. Bagi jawatan ketua pemuda, Umno buka kepada semua umur tetapi kepada Exco Pemuda hanya mereka yang berusia 40 tahun ke bawah.

Tan Sri Syed Jaafar Albar pernah jadi ketua pemuda Umno pada tahun 1976 ketika berusia 63 tahun. Umur bukan halangan kerana yang penting ketuanya yang mahu bawa isu orang muda. Mungkin Syed Saddiq tak tahu siapa Syed Jaafar Albar yang dikenali Singa Umno.

Anak Syed Jaaafar, Tan Sri Syed Hamid Albar yang menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan ketua pemuda Umno pada tahun 1986.

Hairan juga anak muda sekarang tak tahu sejarah perjuangan pemuda. Beliau mencadangkan Shahril Hamdan mengetuai pemuda. Shahril kalah di parlimen Kuala Langat macam mana mahu diangkat sebagai ketua pemuda. Lagipun Shahril tak berani mendaftar dirinya sebagai calon ketua pemuda.

Setakat pandai berbahas bukan ukuran untuk menjadi ketua pemuda yang baik kerana ketua pemuda perlu bekerja keras memenangi hati pemuda untuk mengundi BN pada PRU akan datang yang mana Khairy Jamaluddin gagal berbuat demikian.

KERAJAAN TERENGGANU SEDIA TERIMA KRITIKAN

KUALA TERENGGANU, 5 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS sentiasa terbuka untuk menerima sebarang kritikan atau pandangan daripada mana-mana pihak demi kebaikan rakyat.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semua kepimpinan tertinggi kerajaan negeri termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Anggota Parlimen, pegawai tadbir dan beliau sendiri perlu berlapang dada untuk menerima pandangan daripada pihak lain.

"Kita perlu ubah satu paradigma pemikiran bahawa ketua sentiasa betul. Pada saya, itu adalah satu pandangan yang silap kerana kita bekerja dalam satu pasukan, dari bawah hingga ke atas termasuk Menteri Besar haruslah dalam keadaan mindanya bersedia untuk sebarang kritikan membina.

"Dalam satu pasukan, sudah tentulah ada perkara-perkata tertentu sepanjang perjalanan kita memerintah dikesan pentadbiran lain, maka penambahbaikan boleh dibuat oleh mereka. Rakyat juga berhak sampaikan pandangan yang baik untuk kita bina Terengganu yang lebih baik dan penuh kasih sayang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

Monday, June 4, 2018

PEMIMPIN YANG KALAH PRU PUN TANDING NAIB PRESIDEN UMNO



KUALA LUMPUR: Dua orang pemimpin yang kalah dalam PRU baru baru ini turut menawarkan diri sebagai calon Naib Presiden Umno. Mereka ialah Datuk Seri Khaled Nordin yang kalah di parlimen Pasir Gudang dan Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang tewas di parlimen Titiwangsa.

Bekas Menteri Besar Johor Mohamed Khaled Nordin hari ini mengumumkan akan turut bertanding jawatan naib presiden Umno pada pemilihan akan datang.

Menjelaskan tujuannya bertanding jawatan itu, Khaled yang juga merupakan pengerusi Umno Johor berkata, ia bagi memastikan Umno kembali mendapat sokongan.

"Ini pegangan perjuangan saya dan perjuangan ini saya tak akan pinggirkan semata-mata Umno parti yang kalah.

"Kita mahu banyak orang tampil ke depan bantu memulihkan Umno," katanya pada sidang media di Pasir Gudang hari ini.

Selain Khaled, bekas Menteri Kewangan kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hari ini turut mengumumkan bertanding bagi jawatan naib presiden Umno.

Setakat ini, lima pemimpin Umno sudah mengumumkan akan bertanding jawatan itu.

Tiga yang lain adalah Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Sunday, June 3, 2018

KHAIRY, MAHDZIR KHALID DAN TAJUDDIN SUDAH SAHKAN TANDING NAIB PRESIDEN UMNO


KUALA LUMPUR, 3 Jun (Bernama) -- Bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid akan bertanding jawatan Naib Presiden UMNO pada pemilihan parti itu 30 Jun ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Mahdzir berkata keputusan menawarkan diri untuk bertanding jawatan itu dibuat berdasarkan tanggungjawab untuk berkongsi semangat, idea dan tenaga bagi memastikan UMNO terus diperkasakan dengan penuh kejujuran dan keinsafan dalam memperoleh kembali kepercayaan rakyat.

Katanya pembaharuan semangat, jati diri anggota UMNO serta pendekatan parti dalam menghadapi cabaran mendatang memerlukan perancangan, usaha yang bersifat inklusif dan holistik untuk kelangsungan dan kebangkitan UMNO.

"Amalan dan corak berpolitik, berorganisasi, bekerja, bermasyarakat yang sudah menjadi kebiasaan namun telah menjadi kurang relevan sewajarnya diperbaharui secara total bagi memacu teras utama agenda perjuangan kita demi agama, bangsa, rakyat dan negara tercinta.

Terjemahan sokongan saudara dan saudari perwakilan di semua peringkat kepimpinan UMNO untuk memberikan kepercayaan kepada saya amatlah dihargai. Ayuh kita bangkit bersama-sama memperbaharui agenda perjuangan UMNO!," katanya.


Pada 1 Jun lalu, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mengesahkan akan bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti, 30 Jun ini.

Ahli Parlimen Rembau itu berkata beliau sudah mengisi borang pencalonan dalam talian petang tadi, sebaik sahaja pencalonan untuk pemilihan UMNO bagi semua jawatan dalam parti mula dibuka hari ini.

"Ramai yang bertanya mengapa tidak bertanding jawatan yang lebih tinggi? Tetapi saya rasa itulah tempat paling sesuai untuk saya buat masa ini. Jadi tidak timbul spekulasi mengenai perkara tersebut," katanya pada sidang media selepas majlis berbuka puasa anjuran Pemuda UMNO di sini pada malam tersebut.