Wednesday, June 27, 2018

POLITIK BERBALAH TIDAK UNTUNGKAN RAKYAT



KUALA NERUS – Politik berseteru dan berbalah serta tidak bertegur sapa tidak menyelesaikan masalah dan tidak membawa negeri keadaan yang lebih baik.

Menteri Besar Terengganu Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan baharu pimpinan PAS Terengganu mahu membawa rakyat kepada keadaan yang lebih baik samaada pembangunan dan kesejahteraan serta hubungan diantara masyarakat.

“Supaya kita dapat hidup dalam keadaan bahagia, senang, selamat, maju, berkat dan sejahtera,

“Kejayaan suatu negeri dan negara akan dapat dicapai sekiranya semua pihak pemimpin kerajaan dan rakyat bekerjasama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis sambutan Hari Raya Peringkat Daerah Kuala Nerus di Stadium Tertutup Selasa lalu.

Katanya, melaksanakan kerja-kerja membangunkan negeri bukan sepenuhnya kerja kerajaan tetapi adalah tanggungjawab semua kerana yang memilih kerajaan adalah rakyat.

“Tidak ada satu-satu mana-mana kerajaan yang mengatakan mereka betul dan saya sendiri tak boleh mengatakan saya betul,

“Menteri Besar, Exco kerajaan, wakil rakyat tidak boleh buat apa –apa tanpa kerjasama dan restu daripada rakyat,” ujarnya.

Beliau menekankan kerajaan negeri akan laksanakan program sumbang saran dan perbincangan supaya maklumat dapat disampaikan daripada ‘bawah ke atas’.

Kata beliau, cadangan daripada orang bawahan akan membentuk suasana harmoni kepada negeri dan negara.

No comments:

Post a Comment