KUALA NERUS, 11 Jun (Bernama) -- Kerajaan Terengganu memperuntukkan RM1,824,500 sebagai bonus kepada 1,705 guru yang berkhidmat di Yayasan Islam Terengganu, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Jabatan Pendidikan Terengganu serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional.
Bonus itu juga dibayar kepada 1,944 guru kelas al-Quran kampung, kelas al-Quran dewasa, kelas berzanji, kelas agama belia dan kelas agama dewasa di negeri berkenaan.
Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pemberian bonus itu membuktikan kerajaan yang dipilih rakyat untuk memerintah Terengganu pada PRU14 lepas, mampu melaksanakan janji seperti terkandung dalam manifesto.
"Kita juga pada masa sama akan meneruskan program pembangunan dilaksanakan kerajaan terdahulu dan akan memperbaiki atau menambah baik dari semasa ke semasa supaya kebaikan dilaksanakan akan dapat dinikmati seluruh rakyat.
"Tidak timbul apabila kerajaan baharu mengambil alih kepimpinan negeri itu, maka mana-mana yang baik itu kita batalkan," katanya selepas majlis penyampaian bonus berkenaan di sini hari ini.
No comments:
Post a Comment