SHAH ALAM - Umno seolah-olah ketandusan tokoh anak muda apabila Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang berumur 48 tahun menawarkan diri sebagai calon Ketua Pemuda parti itu.
Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, sepatutnya pemimpin muda perlu berusia 35 tahun ke bawah mengikut Dasar Belia Malaysia yang dirangka bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin.
“Parti-parti politik lain kalau boleh pemimpin mudanya biarlah bawah 35 tahun. Tetapi kalau Umno susah sangat, sekurang-kurangnya bawah 40 tahun.
“Kalau sampai Jamal Yunos umur 48 tahun pun nak bertanding Ketua Pemuda Umno, saya tak tahulah dunia mana yang kira 48 tahun ini anak muda? Memalukan Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, hari ini.
Menurut beliau, satu budaya politik sihat perlu diwujudkan di mana semua parti politik berlumba-lumba untuk mengangkat suara anak muda.
“Saya rasa ada ramai pemimpin muda dalam Umno, cuma tak diberi ruang. Kalau ada tokoh anak muda dari Umno, kita di Bersatu akan berlumba-lumba untuk pastikan wakil anak muda dalam parti diperkasakan, Pas pun begitu.
“Apabila suara anak muda diangkat, kita semua akan berjaya bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Syed Saddiq secara peribadi berpandangan Exco Pemuda Umno, Shahril Hamdan layak memegang jawatan Ketua Pemuda Umno.
“Saya agak bias kepada Shahril kerana beliau merupakan rakan saya sebelum ini. Beliau juga pernah berdebat dan berdialog dengan saya.
“Saya rasa itu salah satu ciri kepimpinan yang ada pada beliau. Tetapi bukan niat saya untuk ‘endorse’ beliau berbanding calon lain,” katanya.
Selain Jamal, tiga calon lain yang menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno ialah Khairul Azwan Harun, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Syed Rosli Jamalullail.
Kesemua mereka berumur atas 40 tahun.
Ulasan saya, nampaknya Syed Saddiq yang kononnya ahli parlimen PH yang termuda tak tahu sejarah pemuda Umno Malaysia. Bagi jawatan ketua pemuda, Umno buka kepada semua umur tetapi kepada Exco Pemuda hanya mereka yang berusia 40 tahun ke bawah.
Tan Sri Syed Jaafar Albar pernah jadi ketua pemuda Umno pada tahun 1976 ketika berusia 63 tahun. Umur bukan halangan kerana yang penting ketuanya yang mahu bawa isu orang muda. Mungkin Syed Saddiq tak tahu siapa Syed Jaafar Albar yang dikenali Singa Umno.
Anak Syed Jaaafar, Tan Sri Syed Hamid Albar yang menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi jawatan ketua pemuda Umno pada tahun 1986.
Hairan juga anak muda sekarang tak tahu sejarah perjuangan pemuda. Beliau mencadangkan Shahril Hamdan mengetuai pemuda. Shahril kalah di parlimen Kuala Langat macam mana mahu diangkat sebagai ketua pemuda. Lagipun Shahril tak berani mendaftar dirinya sebagai calon ketua pemuda.
Setakat pandai berbahas bukan ukuran untuk menjadi ketua pemuda yang baik kerana ketua pemuda perlu bekerja keras memenangi hati pemuda untuk mengundi BN pada PRU akan datang yang mana Khairy Jamaluddin gagal berbuat demikian.
No comments:
Post a Comment