KOTA BHARU 24 Jun - Calon Presiden UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah hanya berhasrat memimpin parti itu selama tiga tahun atau satu penggal.
Tengku Razaleigh yang juga Ketua UMNO Bahagian Gua Musang berkata, dalam tempoh itu, beliau berazam berusaha sebaik mungkin memulihkan kekuatan parti dari dalam dan meraih keyakinan rakyat.
Menurutnya, selepas tamat tempoh tersebut, beliau akan berundur secara sukarela dan menyerahkan tampuk kepimpinan kepada individu lebih muda.
“Beri masa tiga tahun kepada saya, supaya UMNO boleh pulih, bergerak semula dan merampas balik kuasa. Ini bukan kerja mudah, tidak boleh main-main, namun saya akan cuba.
“Saya tidak boleh kata berjaya atau tidak (pulihkan UMNO) dalam tempoh tiga tahun itu. Kalau sambutan baik, mungkin lebih awal (bangkit), kalau tidak mungkin lebih panjang tapi saya hanya nak tawar diri tiga tahun sahaja.
“Selepas itu, giliran orang muda pula,” katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri Sesi Ramah Mesra Bersama Tengku Razaleigh Hamzah di sini malam ini.
Tengku Razaleigh dalam pada itu mengakui, usaha memulihkan UMNO bukan kerja mudah dan parti itu tidak boleh bersendirian, sebaliknya mungkin perlu bekerjasama dengan parti Melayu lain untuk mencapai matlamat itu.
“Cuma sekarang ini kita tidak boleh cakap dulu macam mana, kena tengok sejauh mana kekuatan parti dulu selepas ini,” katanya.
No comments:
Post a Comment