Tuesday, June 5, 2018

KERAJAAN TERENGGANU SEDIA TERIMA KRITIKAN

KUALA TERENGGANU, 5 Jun (Bernama) -- Kerajaan negeri Terengganu pimpinan PAS sentiasa terbuka untuk menerima sebarang kritikan atau pandangan daripada mana-mana pihak demi kebaikan rakyat.

Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata semua kepimpinan tertinggi kerajaan negeri termasuk Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN), Anggota Parlimen, pegawai tadbir dan beliau sendiri perlu berlapang dada untuk menerima pandangan daripada pihak lain.

"Kita perlu ubah satu paradigma pemikiran bahawa ketua sentiasa betul. Pada saya, itu adalah satu pandangan yang silap kerana kita bekerja dalam satu pasukan, dari bawah hingga ke atas termasuk Menteri Besar haruslah dalam keadaan mindanya bersedia untuk sebarang kritikan membina.

"Dalam satu pasukan, sudah tentulah ada perkara-perkata tertentu sepanjang perjalanan kita memerintah dikesan pentadbiran lain, maka penambahbaikan boleh dibuat oleh mereka. Rakyat juga berhak sampaikan pandangan yang baik untuk kita bina Terengganu yang lebih baik dan penuh kasih sayang," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman di sini, hari ini.

No comments:

Post a Comment